Swasti Srih!
Mungkin sebelum ini pun ada sudah dibicarakan dalam ini. Aku cuma mengumpulkannya semula semoga boleh dilihat kesinambungannya oleh para pelawat laman kecil ini. Umumnya, penganut agama lain sebenarnya tidak sepatutnya membaca pun samacara-samacara yang dipaparkan kerana ia dilarang oleh agama mereka. Yang tak dilarang cuma penganut Dharma dan yang tak beragama dengan agama Abrahamic. Jadi kita mengalu-alukan pengikut Dharma sekelian tak mengiralah engkau itu penganut ajaran Buddha, Jinendra, Saiwa, Waisnawa, Sakti atau lain-lain. Svagatam selamat datang kepada tuan sahanya!
Arūpa Lokam
Alam tak berupa atau tak berjasad ini termasuklah empat lapangan yang dalamnya ada makhluk yang tercetus, terjelma, terlahir sebagai kesan daripada pencapaian Jhana Arūpa Dhyāna. Penduduk dalam alam-alam ini tidak mempunyai jasad atau bertempat tapi cuma berada dalam rupa akal. Mereka tak mampu mendengar ajaran-ajaran Dharma. Mereka mencapai hal ini dengan mencapai tahap-tahap jhana arupa dalam satu kehidupan lampau, lalu menerima vipāka (buah) karma baik mereka apabila selesai tempoh ajal mereka sebelum menjelma kembali nanti dalam lapangan alam yang lebih bawah sedikit sekali lagi nya. Mereka tak berhubung dengan seluruh alam semesta pun.
Untuk setengah istilah bahasa Arab itu ku pinta ampunlah pada rakan-rakan Hindu lain. Ku susun sapuloh jari ku. Kalau tak diperguna bahasa Melayu pelbagai laras nanti orang tidak paham pula dan ingat kita ini bangsa bodoh padahal kalau diperguna bahasa Sanskerta dan bahasa Pali kita ini pun pembaca tak memahaminya dan membuat teori merapu-rapu tanpa merujuk kepada sastera-sastera agama suci kita.
31. Nevasannanasannayatanupaga Deva
Makhluk dalam lapangan alam ini cuma ada akal tapi tidak ada jasad. Tidak mampu mereka hendak dengar ajaran Dharma. Dalam alam ini, makhluk tidak berupa tidak terlibat dengan "persepsi" langsung. Bapa kepada Uddaka Ramaputra pernah mencapai lapangan alam ini dan menyangka bahawa ia berada dalam keadaan sedar. Baginda Buddha sendiri menyedari menerusi pengalaman baginda sendiri bahawa keadaan ini pun akhirnya tetap akan membawa kepada penjelmaan seterusnya pula.
30. Akincannayatanupaga Deva
Ruangan Kekosongan apabila roh makhluk yang terjelma dalam lapangan alam ini menerima vipaka jhana arupa ketiganya dalam kehidupan lampau. Keadaan ini pun dianggap sebagai satu bentuk persepsi, walaupun yang paling halus. Lapangan alam ini pernah dicapai oleh Āḷāra Kālāma, iaitu guru pertama baginda Buddha. Āḷāra Kālāma menyangka bahawa keadaan ini merupakan keadaan terbangunnya diri atau kebebasan.
29. Vinnanancayatanupaga Deva
Terjelmanya makhluk dalam lapangan alam ini adlah sebagai kesan daripada pencapaian dalam jhana arupa tahap kedua. Dalam ruangan alam kesedaran tak terbatas ini, makhluk yang berada dalamnya cuma bertapa vijñāna beramai-ramainya tanpa batasan.
28. Akasanancayatanupaga Deva
Makhluk terjelma dalam ini selepas ia mencapai pencapaian tertinggi dalam jhana arupa tahap pertama.
Rupa Lokam
Ruangan alam ini mengandungi 16 lapangan bertindan semuanya. Makhluk yang dilahirkan dalam lapangan ini kesan daripada pencapaian rupa dari jhana-jhana. Cara mencapai pengalaman alam semesta dalam alam ini lebih kepada pertapaan berbanding dengan penggunaan deria tubuh. Tubuh makhluk-makhluk dalam alam ini pula terbina daripada bahan-bahan alam semesta yang halus.
16 lapangan alam ini berselari dengan pencapaian empat jhana jua. Deva-deva dalam rupa lokam ini berupa jasad tapi tiada jantina dan tiada hawa nafsu keinginan. Makhluk dalam lapangan yang lebih rendah tak mampu melihat makhluk-makhluk di lapangan alam yang lebih tinggi daripada alam mereka. Makhluk rupa lokam ini tak tertakluk kepada kesakitan atau kesukaan yang bersangatan, tidak juga diperintah oleh hawa nafsu untuk bahan-bahan yang menyenangkan deria rasa mereka seperti makhluk dalam Kāma Lokam.
Makhluk dalam Rupa Lokam tidak mempunyai perbedaan jantina laki-laki mahu pun perempuan. Keadaan mereka sama dengan makhluk penghuni di Arupa Lokam, mempunyai akal yang berselari dengan pengamalan jhāna (dhyāna). Dalam keadaan mereka itu, jhāna yang mereka amalkan dikenali sebagai rupa dhyāna. Sutra yang berkaitan bagi rujukan adalah Jhana Sutra dari Anguttara Nigaya.
Kediaman Murni Suddhavasa
Kediaman Murni, berbeda daripada dunia-dunia dalam lapangan rupa lokam. Ia bukan tempat berdiam makhluk-makhluk yang terjelma menerusi pahala biasa-biasa atau pencapaian pertapaan pada kehidupan lampau mereka. Kelahiran dalam lima alam ini merupakan kesan vipaka yang tak berpulang atau Anagami, tahap ketiga dalam pencerahan jiwa.
Kediaman Murni ini boleh dicapai hanya oleh mereka yang telah menghapuskan "lima rantaian kaki" yang mengandungi pandangan diri, was-was keraguan, terlampau terikat dengan upacara dan samskara, deria-deria keinginan tubuh, dan niat tak elok. Mereka akan menghapuskan saki-baki rantaian pengikat kaki yang terdapat pada idaman kepada kewujudan bahan halus (tubuh), idaman kepada kewujudan bahan tak berjasa, keangkuhan, kegelisahan, dan kejahilan semasa keberadaan mereka dalam Kediaman Murni Suddhavasa.
Yang mengambil jelmaan di sini dipanggillah sebagai "yang tak berpulang" lagi kerana roh mereka tidak kembali lagi dari alam tersebut, namun mencapai nirvana terakhir di sana tanpa perlu kembali. Mereka melindungi dan menjaga ajaran Buddha dan Dharma di muka bumi, dan akan masuk ke dalam pencerahan sebagai Phra Arahat tatkala melepasi alam Suddhavasa. Menurut Ayacana Sutra, antara penduduk alam Suddhavasa itu adalah Bramha Saghampati, yang merayu supaya baginda Buddha mengajar Dharma di dunia itu.
Lima Alam Suddhavasa itu adalah....
27. Akanniṣṭha Deva
Alam deva yang setaraf sahaja kedudukannya. Yang tertinggi sekali daripada segala dunia Rupadhatu itu, selalu juga diperguna buat merujuk kepada kelampauan tertinggi dalam Jagat Raya. Śakra kini nanti akan terjelma di sini.
26. Suddasi Deva
Para deva yang cerah pandangan matanya hidup dalam alam yang sama dan beramah-mesra lah pula dengan penduduk alam Akaniṣṭha.
25. Suddasa Deva
Dunia ini adalah dunia deva-deva ayu yang cantik belaka, diperkatakan dunia ini merupakan tempat menjelmanya semula jiwa-jiwa bagi lima jenis anāgāmin.
24. Atappa Deva
Dunia deva yang tak pernah terganggu, yang rakan-rakan mereka itu adalah mereka yang alam-alam bawah seterusnya.
23. Aviha Deva
dunia deva-deva yang tak pernah jatuh. Kemungkinannya dunia ini adalah destinasi yang biasa bagi jelmaan semula para Anāgāmin. Ramailah deva mencapai arahat dalam alam ini, namun setengahnya berlalu pergi (perlina hilang) dan dijelmakan semula dalam dunia-dunia yang lebih tinggi dalam Kediaman Murni Suddavasa sampailah mereka ini terjelma di dunia Akaniṣṭha. Maka mereka ini pun digelarlah sebagai uddhaṃsotah, atau mereka yang alirannya menaik....
Tiada ulasan:
Catat Ulasan