Ahad, 29 Disember 2013

Prapañcavijñāna Theravada: Kamalokam


Kamalokam

Lahir atau menjelma dalam semua satah-satah langit itu merupakan kesan daripada perbuatan dana bakti dan susila. Alam keseronokan deria ini merupakan yang terendah sekali dalam tiga buana. Tenaga pemandu dalam alam ini adalah keseronokan deria. Deva-deva menikmati keseronokan seni, umur panjang, dan beberapa sakti.

Satah-satah langit sebenarnya bukan untuk semata-mata penganut ajaran Buddha sahaja sebaliknya sesiapa sahaja makhluk yang hidup berkebajikan boleh menjelma menjadi makhluk-makhluk dalam alam tersebut. Orang-orang yang berkepercayaan bahawa "sorga" itu "abadi" juga boleh terus-terusan membawa kepercayaan mereka itu ke satah deva dan hidup dengan jangka hayat panjang serta percaya bahawa mereka akan terus berada di situ.  

Hanya mereka yang memahami Dharma atau Jalan Alam Semesta sahaja akan menyedari bahawa, satah-satah kewujudan itu semua tidak kekal abadi, satu masa nanti semua makhluk berhati nurani nanti akan jatuh dari satah-satah tersebut bila sampai ajalnya dan akan terjelma lagi di dunia lain pula kerana ia masih lagi dalam alam semesta. Deva-deva boleh membantu manusia dengan mencondongkan pikiran mereka kepada amalan dan tindakan yang membawa kesan karma baik, dan manusia pula boleh membantu deva-deva dengan menjemput mereka untuk merayakan karma berpahala mereka. Sila rujuk ke Saleyyaka Sutra dan Dana Sutra.

Kamaloka Tinggi

Deva-deva di sini berdiam dalam empat sorga terapung atas angin, yang menyebabkan mereka bebas daripada terlibat dengan pergelutan di dunia bawah. 

11. Parinimmita Vasavattin Deva

Deva-deva ini menikmati keseronokan deria yang dicetuskan oleh yang lain kepada mereka. Mereka tak mencetuskan pun bentuk-bentuk menyeronokkan diri mereka itu sendiri, tapi keseronokan keinginan mereka itu dipenuhi menerusi tindakan deva-deva lain yang inginkan kesenangan yang sama. Mara, perupaan bagi hawa nafsu dan khayalan itu, berdiam di sini.

10. Nimmanarati Deva

Deva-deva ini suka dengan bahan-bahan deria cetusan diri mereka sendiri. Mereka mampu berubah rupa sesuka hati mereka. Penguasa dalam dunia ini adalah Sunirmita.

9. Tuṣita Deva

Tushita ini merupakan tempat berdiam deva-deva suka gembira, yang antaranya itu ada Sang Maitreya pun berdiam dalam loka ini. Sebelum kelahiran Siddhartha Gautama, alam ini adalah alam tempat kediaman baginda bersama dengan bodhisatva-bodhisatva lain. Nama baginda dalam loka ini adalah Śvetaketu. Kebanyakan penduduk dalam loka Tusita ini adalah bodhisatva belaka, penguasa loka ini, Sang Santuṣita.

8. Yama Deva

Loka ini berkedudukan di udara, bebas dari segala kesukaran tempat berdiamnya deva-deva Yama.

Kamaloka Rendah

Deva-deva dalam Kamaloka ini di pelbagai bahagian di pergunungan dekat tengah alam semesta, disebutlah Sumeru. Mereka ini lebih berhawa nafsu daripada yang di alam Kamaloka Tinggi, dan bukan sahaja mempunyai deria keseronokan tetapi juga berperang, bertelingkah dan bergaduh.

7. Deva Tavatimsa

Makhluk ini hidup di puncak Sumeru sama seperti penceritaan dewa-dewa Olympia orang Greek itu. Pemerintah mereka ini, Sang Śakra, yang menurut Dharma. Sang Sakra mengatur alamnya dengan Dharma, kesabaran terhadap yang melampaui batasan dan melayan dengan belas kasihan yang berbuat salah.

Sang Śakra dan deva-deva memberi penghormatan kepada resi-resi dan muni. Baginda itu menjadi pemerintah deva Tavatimsa dengan memenuhi tujoh vratam yang merangkumkan piawai-piawai seorang yang berumah tangga semasa kelahiran sebelumnya sebagai manusia.

Baginda Buddha menyanjungi kesabaran Sang Sakra dan sikap pemaafnya itu sebagai contoh bagi para bhikkhu sekelian. Ramai deva-deva di alam ini berdiam dalam kediaman-kediaman di awangan. Selain daripada 33 deva, ramai deva dan makhluk bunian lainnya berdiam di sini, termasuklah pembantu-pembantu deva sekelian serta para apsara

Sutra yang boleh kau rujuk bagi ini adalah Śakra Panha Sutra dan Śakra Samyutta (bahagian ke-11 dari Samyutta Nigaya) yang juga mengandungi 25 perbincangan pendek berkenaan dengan Sang Sakra.

6. Caturmamaharajika Deva

Dunia Empat Maharaja Agung, termasuklah Mahakesateria yang mengawal empat penjuru Bumi. Kepala bagi semua maharaja ini, Sang Vaisravana, namun akhirnya nanti segalanya akan tertanggung ke pundak Sang Sakra juga.
  • Dhatarattha, maharaja arah mata angin timur, penguasa bagi bangsa Gandharva. 
  • Virulha, maharaja mata angin selatan, penguasa bangsa Kumbanda.
  • Virupaksa, maharaja mata angin barat, penguasa bangsa Naga.
  • Kuveran, maharaja mata angin utara, penguasa bangsa Yaksa.  
Deva-deva yang memberi petunjuk kepada Matahari dan Bulan pun merupakan sebahagian daripada makhluk dalam alam ini. 

Alam ini merupakan dimensi alam bagi empat jenis bangsa separa deva di bumi atau semangat alam semulajadi seperti Gandharva, pemain bunyian kayangan atau bangsa Yaksa, semangat pokok yang pelbagai pula tahap kemurnian susilanya. Mereka ini tersebut juga sebagai goblin, troll, ogre dan lain-lain bangsa makhluk halus dalam penglipur lara orang Barat.

Mereka mendiami kawasan-kawasan senyap sepi jauh dari hiruk-pikuk kota manusia seperti hutan-hutan, pergunungan dan gua-gua yang ditinggalkan orang. Walaupun hidup mereka itu sengsara susah, namun mereka pun mempunyai potensi buat terjaga sedar serta mencapai jalan dan vipaka dari kehidupan rohaniah. Boleh dibaca dalam Yaksasayutta dari Samyutta Nigaya.

Menurut Atanateya Sutra:
"Ada jugalah jenis makhluk halus yang garang, ganas, suka berdendam; yang tak menurut arahan mana-mana maharaja empat mata angin, menteri-menteri purohitam mereka mahupun pesuruh-pesuruh mereka. Mereka ini bergelar pemberontak terhadap maharaja empat mata angin. Sepertilah juga dalam kerajaan Magadha, penyamun kawar itu tak menurut perintah maharaja Magadha, menteri nya mahupun pesuruh kerajaan, maka digelarlah mereka ini semua penderhaka pemberontak terhadap kerajaan Magadha. Maka, dalam alam makhluk halus pun begitu juga lah, ada yang ganas... Mereka menderhaka kepada maharaja berempat".
Mengenai Kumbhanda (orang kerdil), Naga dan juga Garuda boleh kau cari dalam Maha Samya Sutra dari Digha Nigaya. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan