Isnin, 23 Disember 2013

Tuhan bagi Brahmana

Om Swastiastu!


Mohon maaf kerana aku sudah lama tidak memeriksa ke bahagian ini. Pada cuti hari Natal ini maka aku berkesempatanlah melihat semula bahagian mana yang mempunyai ulasan atau pesanan. Ada persoalan yang aku tidak pasti sama ada yang bertanya itu jujurnya memang kurang faham atau berbuat tidak faham kerana hal mengenai agama orang Hindu sebenarnya ada dijelaskan oleh pendakyah Islam bernama Zakir Naik yang menghafal segala ayat Veda suci untuk dibacakan dalam pidato berapinya di hadapan penganut agama Islam atau penganut agama lain. Zakir Naik mengakui dirinya, Hindu tetapi dia beragama Islam.

Persoalan itu berkisarkan mengenai penyembahan orang berkebudayaan Hindu dan kebenuaan Hindu. Sebenarnya istilah Hindu ini seperti rujukan kata Zakir Naik sendiri merujuk kepada Lembangan Sindhu iaitu tempat awal bermulanya tamadun India purwa sampai ke zaman moden seperti yang tuan-tuan lihat hari ini. Kawasan rantau kehinduan turut merangkumi kawasan sekitar India purwa seperti Indochina di Asia Tenggara kebenuaan atau di Indonesia yang meliputi rantau kepulauan. Makanya, orang Bali di Indonesia yang beragama "Hindu" pun akan mengakui dirinya sebagai bangsa Hindu. Sebenarnya pengakuan mereka itu bukannya satu pengakuan yang syok sendiri atau pun pengakuan yang jahil seperti yang akan dilontarkan oleh mereka yang tiada kesedaran jati diri lampau sebaliknya berdasarkan pula kepada sejarah lampau yang meliputi rantau Asia Tenggara (Hindia Timur) ribuan tahun lamanya. 

Bentuk agama yang ada dalam Lembangan Sindhu dan rantau sekitar Ganga-Yamuna-Kaveri adalah dari pelbagai ideologi yang dilabelkan oleh orang Barat seperti monotheisme, monisme, animisme, pantheisme, polytheisme, dan sebagainya. Yang itu baru sahajalah ideologi asas dalam sebuah agama sebaliknya juga ada aliran dan falsafah pemikiran yang tak akan tuan fahami kalau sekadar tuan membaca bahan-bahan penulis yang seorang atau penulis yang mendengar-dengar sahaja.  

Ajaran yang diajarkan di India purwa sebenarnya datang dari orang Brahmana. Orang Brahmana kemudian mengangkat juga orang-orang dari suku bangsa lain masuk ke lingkungan Brahmanisme seterusnya berkongsi kebudayaan dengan mereka iaitu ada "give and take". Pertukaran kebudayaan berlaku dalam jangkamasa yang lama juga. Di samping agama orang Brahmana yang berasaskan kepada kitab suci veda sekeliannya, ada juga agama kerantauan dan agama rakyat. Agama yang berdasarkan Veda Suci disebut sebagai Sanatana Dharma. Manakala ajaran Buddha atau ajaran Mahavira Jinendra pula merupakan bentuk ajaran yang bersifat falsafah hasil penelitian jiwa orang-orang zuhud dalam kalangan bangsa Kesatria terhadap kejadian dalam diri, jiwa, serta masyarakat manusia.

Keadaannya adalah seperti agama orang Mesopotamia dan rantau Arabia yang pelbagai pula. Ada agama polytheisme, pemujaan menerusi alam semesta seperti planet-planet dan agama puak, ada aliran agama monotheisme seperti agama Kristian, agama Yahudi atau agama Islam. Ada juga mereka yang atheis yang aku dengar disebut sebagai Zindik oleh orang Arab. Peranan orang Brahmana di India purwa itu sama lah jua dengan peranan orang Yahudi di negara-negara Arab atau peranan keturunan Abraham yang anak cucunya menjadi nabi-nabi. Orang Brahmana menjejaki asal-usul mereka dari gotra yang turun menerusi tujuh maharesi atau saptaresi. Resi itu adalah orang-orang yang menerima wahyu dari Tuhan menerusi "dewa-dewa" yang mendengar "nada" tanpa "bunyi". Keadaan di Arabia itu sama halnya dengan di India purwa dan dalam kalangan orang Hindu.     

Konsep Tuhan

Untuk perkataan konsep ini, cuba fahami dahulu erti konsep itu apa. Lihatnya dari sudut epistemologi dalam falsafah yang digunapakai orang-orang terpelajar. Dalam agama orang Hindu sekeliannya, konsep ketuhanan itu pelbagai pula dari satu aliran ke satu aliran dan dari satu agama ke satu agama. Agama di sini bererti kitab suci. Seperti yang sudah ku jelaskan tadi. Sistem pemikiran dalam penganut agama orang Hindu ini pun pelbagai juga dari sistem monotheisme, henotheisme, panentheisme, pantheisme, monisme, polytheisme, dan lain-lain. 

Setengah sarjana menamakan sistem keagamaan orang Hindu ini sebagai sistem monotheisme terbuka yang bukan sepenuhnya bersifat polytheisme seperti yang dilihat oleh orang bukan dari benua Hindu. Ada masanya juga sistem ketuhanan agama ini diistilahkan kepada sistem ketuhanan monisme bagi menerangkan mengenai kewujudan makhluk sekelian.

Sistem falsafah Advaita atau tiada duaan itu dijelaskan secara kategori dalam Veda Suci dan Upanishad, serta sangatlah terkenal dalam kalangan penganut agama Saiwa seperti penganut Saiwa Trika di Kashmir. Konsep ini disebarkan oleh Guru Adi Sankara sekitar kurun ke-9 M, dalam kerangka falsafah Vedanta dalam falsafah klasik Hindu.

Sistem Advaita ini meletakkan jati bagi Diri atau Atman dengan Keseluruhan atau Brahman. Maka perkara yang ini dijelaskan menerusi sistem monisme atau pantheisme. Bentuk monotheisme yang jelas terdapat dalam Bhagavadgitam. Monotheisme yang jelas ini digambarkan menerusi kebaktian atau bentuk perasaan hati yang disalurkan menerusi amalan kebaktian ditujukan kepada-Nya menerusi Ishta Devata atau dewa perseorangan mewakili Brahman Agung sama ada dalam rupa Betara Siwa atau rupa Betara Wisnu. Kebaktian menjadi terkenal di India Selatan pada awal abad pertengahan. Kebaktian kepada begawan Kresna, yang merupakan salah satu jelmaan Betara Wisnu, mula menjadi terkenal di seluruh India semasa abad-abad pertengahan lantas membawa kepada kemunculan Sampradayam Waisnawa. Kebaktian menerusi Dewi Durga pula menjadi terkenal di beberapa bahagian India seperti di Bengal dan India Selatan sekitar penghujung abad pertengahan dan awal abad moden.    

Sampai ke hari ini, kebanyakan orang Hindu (India) mengamalkan polytheisme atau monotheisme menurut kecenderungan mentaliti dan peribadinya tetapi terbuka juga kepada menghormati dewata lain-lain walaupun tidak memujanya dalam kehidupan harian. Kata puja itu ertinya memberi tabik hormat dan sembah takzim kepada tokoh tertentu. Sama halnya apabila orang Melayu walaupun kini menganuti agama Islam yang bersifat monotheisme tetapi memberi sembah takzim kepada sultan-sultan dan dilarang mempersoal sultan-sultan kerana mereka merupakan wakil Tuhan di muka bumi. Dewata itu merupakan wakil Tuhan yang menghubungkan manusia dengan-Nya. Maka dewata disembah hormat oleh manusia. Begitu lah juga dengan Guru seperti Betara Siwa yang menyampaikan ajaran-Nya. Maka Betara Siwa disembah dan dicontohi menerusi jalan tapa serta sadhana yang seolah-olahnya ditujukan kepadanya tetapi sebenarnya merupakan latihan rohani. 

Aliran Waisnawa, utamanya Sri Kresna Smapradayam, aliran Sakti dan beberapa bentuk aliran Saiwa mempunyai sistem pemujaan monotheisme yang ditujukan terus kepada ishta dewata atau dewa persendirian yang diambil buat Guru petunjuk Jalan. Setengah orang Hindu yang lain pula terutamanya dalam kalangan penganut ajaran Betara Siwa, cenderung kepada Tuhan Maha Esa tapi tak semestinya mengaitkan Tuhan dengan aspek-aspek seseorang tokoh keagamaan seperti begawan Kresna, Betara Siwa, Betara Wisnu dan sebagainya. Mereka memandang Tuhan itu sebagai Brahman yang Mutlak tiada rupa tokoh dalam akal manusia tapi menerima pemujaan-Nya dijalankan menerusi perupaan. Istilah Iswara boleh merujuk sama ada kepada sebarang konsep monotheisme dalam tradisi kepercayaan orang Hindu, bergantung kepada konteks.

Brahman
 
Terbitan Kata
 
Sebelum keluar teori mengarut mengenai asal-usul kata Brahman contohnya perkaitan dengan perkataan bahasa orang Timur Tengah untuk mengaitkan perkataan ini dengan Abraham. Maka aku berikanlah asal-usul terbitan bahasa Sanskertanya. Sama seperti bahasa Arab yang ada sistem Tajwid harkat dan sebagainya. Bahasa Sanskerta mempunyai sistem sebutan bunyi, sistem tatabahasa, serta sistem-sistem bahasa yang terdapat dalam pengajian bahasa dibangunkan oleh orang Brahmana sendiri.

Brahman ini terbit dari kata akar bahasa Sanskerta bṛh ertinya "membengkak kemudian berkembang dan bertambah lalu membesar". Brahman merupakan kata nama yang tidak berjantina, berbeda pula dengan kata "Brahmā" yang merujuk kepada orang yang dikaitkan dengan Brahman, dan dari Brahmā, yang merupakan pencetus kepada ciptaan. Bagi penganut ajaran Buddha, Brahmā ini merupakan makhluk kepada Brahman serupa malaikat yang sifatnya mencetuskan makhluk lain-lain bagi pihak Brahman. Orang yang berkecimpung dalam hal kerohanian serta keturunan resi-resi, maka disebutlah mereka sebagai Brahmana.

Konsep Brahman ini merupakan konsep tiada berjantina. Ia memberi gambaran bahawa ada tokoh yang lebih daripada jantina lelaki mahu pun perempuan yang biasanya terdapat dalam konsep dewa-dewi. Brahman ini dirujuk sebagai Jiwa Tertinggi oleh orang Hindu, yang tak tercapai dek akal manusia apatah lagi pemandangan manusia.

Ringkasnya, Brahman merupakan Jiwa Sejagat yang Maha Agung yang merupakan punca serta dokongan kepada segala Jagat berfenomena ini. Brahman kadangkala dirujuk sebagai Tuhan atau Yang Maha Mutlak. Yang menjadi Tapak Suci Murni bagi segala bahan, jisim, tenaga, masa, ruangan, makhluk kejadian dan segalanya dalam atau yang melampaui alam semesta ini.         

Brahman dilihat sebagai tokoh yang mempunyai sifat-sifat, tak bertokoh tanpa sifat-sifat, dan Yang Maha Tinggi bergantung kepada aliran falsafah.

Orang-orang alim yang mengumpulkan Upanishad mengajarkan bahawa Brahman itu merupakan Zat Terutama bagi fenomena jisim (termasuklah jua jati diri jiwa manusia) yang tak boleh dilihat atau didengari oleh manusia biasa tetapi hanya oleh mereka yang fitrahnya boleh diketahui menerusi perkembangan atma-jnana atau pengetahuan kejiwaan

Menurut Advaita, manusia yang bebas jiwanya dari cengkaman duniawi atau jiwanamukta pastinya menyedari bahawa Brahman itu merupakan fitrah jiwanya sendiri. Isha Upanishad menyebut
"Om.... Brahman Agung yang tiada batasan, dan disyaratkanlah bahawa Brahman itu tiada batasan. Tiada batasan yang berlangsung dari yang tiada batasan. Jika kau tolak yang tiada batasan dengan yang tiada batasan, maka yang tiada batasan itu jugalah adanya".
Rigveda menyebut, bahawa menerusi kehendak (RV 10.12.94), jelmaan awalan dari alam semesta berjisim muncul dari Hiranyagarbha (Telur Emas), keluarlah dunia ini, makhluk-makhluk merayap halus dan besar serta makhluk-makhluk langit (dewata)...
"Hebat nian dewa-dewa yang terbit keluar dari Brahman" (Atharva Veda).
Agama Veda kemudian menghasilkan berlonggok-longgok renungan falsfah yang jelas dengan Brahman ketika itu dianggap sebagai satu Hakikat Mutlak di sebalik rupa-rupa yang berubah; Hakikat Maha Esa yang daripada-Nya terbit segala yang berjisim dan kenampakan di mata terbit dan kepada-Nya segalanya akan kembali selepas penguraian.

Penerima-penerima Upanishad membuat omkara perisytiharan dengan berdasarkan pengalaman peribadi mereka yang menerima wahyu atau sruti (yang kedengaran) sebagai salah satu komponen renungan falsafah mereka. Sruti itu merupakan salah satu perkara ghaib yang didengari dan dilihat oleh orang-orang yang berhubung dengan dewata (malaikat). Ia kemudian dicatit oleh si pendengar itu dalam daun lontar, kemudian dikumpulkan sampai ke hari ini kita dapat melihatnya dalam bentuk buku pula.     

Mahāwākaya

Beberapa sebutan agung dari Mahāwākya yang terdapat dalam Upanishad kita menyatakan perkara yang tersebut sebagai Brahman itu sebagai......

Bramha satyam jagan mithya. Ekam edwadwitiyam bramha. Prajnānam bhamha. Ayam ātmā bramha. Aham brahmāsmi. Tat tatwanisma. Sarwam khalwedam bramhasachchidānanda bramha.

Ada dua jenis terjemahan pula berdasarkan penafsiran oleh aliran falsafah Hindu seperti aliran Advaita dan aliran Waisnawa.....

Terjemahan Advaita

"Brahman itu benar, dunia ini tidak benar. Brahman itu Esa tiada duanya. Brahman itu ilmu pengetahuan. Jiwa (Roh) itu Brahman. Akulah Brahman. Engkaulah itu (Yang Maha Agung).  Segala yang kita nampak dalam dunia ini adalah Brahman. Segala yang kelihatan dalam alam berjisim itu adalah Maya (khayalan). Brahman atau Brahma itu kewujudan, kesedaran dan kesukaan".

Terjemahan Waisnawa

"Brahman itu benar, dunia ini tidak benar. Brahman itu Esa tiada duanya. Brahman tahu segalanya. Jiwa dan Atma itu dari fitrah rohaniah abadi mencakupi segalanya seperti Brahman. Aku (roh) ini seabadi Brahman. Engkau (pembaca) merupakan hamba kepada Brahman Agung. Brahman itu segalanya, dan segala yang kita nampak itu adalah (hasil) tenaga-tenaga Nya yang pelbagai, berjisim mahu pun yang rohani. Brahman mempunyai sat, cit, ananda, wigraham... Tubuh rohaniah abadi yang penuh dengan kesenangan dan kekayaan, dan Dia itu Maha Agung (Kebenaran Mutlak Yang Penuh Kesedaran-Nya)". 

Upanishad diajarkan oleh para resi menyatakan bahawa Brahman itu tiada terbatas wujud-Nya, tiada terbatas kesedaran-Nya, dan tiada terbatas kesenangan-Nya. Yang ini semuanya dicakupi oleh istilah Saccidananda

Pandangan Falsafah Advaita 

Disebut bahawa Brahman itu tak akan kau ketahui dengan cara yang empirik. Brahman cuma disedari menerusi kesedaran jiwa, kerana Brahman itu sendiri adalah Yang Maha Sedar. Maka, Moksa, yoga, semadhi, nirwana dan sebagainya itu bukan semata-mata jalan bagi mengenali Brahman, sebaliknya adalah untuk menyedari fitrah jiwa makhluk sendiri, menyedari bahawa jiwa itu adalah dan senantiasa bersama dengan-Nya.

Yang berkait dapat dengan konsep Jiwa dari Brahman itu adalah pikiran bahawa ia adalah bersamaan dengan Jiwa-Atma atau roh perseorangan, atman atau roh kita itu bersedia untuk menjatikan milikannya dengan Parama Atma atau Jiwa Tertinggi, Brahman Agung.

Inilah penjelasan ringkas dari pandangan falsafah Advaita mengenai Brahman Agung atau Tuhan. Ada lagi separuh pandangan tentang Brahman dalam falsafah orang Hindu disebut sebagai Tattwa Wada atau Hakikat Duaan.

Untuk kata agama Hindu itu, sebenarnya adalah sangat tak tepat. Agama orang Hindu sebenarnya tiada nama. Kata Hindu diterima oleh orang British daripada orang Parsi yang memanggil mereka yang tinggal di seberang Sungai Indus sebagai orang Hindu. Segala adat-istiadat, keagamaan, dan kebudayaan habis dicakupkan sekali dalam istilah payungan Hindu itu walaupun ada pelbagai jenis ideologi. 

Konsepnya seperti jika kau istilahkan agama-agama di rantau Arab sebagai agama Arab yang di dalamnya mengandungi pemujaan kepada raja-raja, pemujaan kepada Tuhan Maha Tinggi, pemujaan kepada malaikat-malaikat, pemujaan kepada makhluk halus lain, pemujaan kepada penunggu planet, penunggu kawasan serta sebagainya. Hanya baru-baru ini, kaum pendita Brahmana menyatakan bahawa istilah tepat bagi ajaran agama yang dianuti sebahagian besar orang Hindu adalah Sanatana Dharma yang ringkasnya membawa erti, Jalan Yang Abadi. Manakala hal mengenai perkara ghaib seperti dewa, hantu, roh, serta sebagainya dalam masyarakat penganut ajaran Buddha boleh dilihat dalam Abhidharma Pitaka.    

Tiada ulasan:

Catat Ulasan