Dalam kebanyakan karya dikenali sebagai Daksina Kali, cetera terkenal sekali menyebutkan bahawa baginda Dewi Kali menjadi mabuk darah mangsa ketika di padang perang, lantas baginda menari tarian pemusnahan yang menggerunkan!
Disampaikan juga bahawa baginda hampir memusnahkan seluruh alam semesta lantas devata semua mendesak Betara Guru supaya baginda itu berbaring di tengah jalan supaya perjalanan Ibunda Kali terhenti. Dalam kegilaan tersebut, baginda dewi tidak nampak tubuh Betara Guru yang terbaring dalam kalangan bangkai-bangkai yang tiada nyawa di padang perang jadi dewi terpijak dada baginda Betara Guru.
Menyedari bahawa yang dipijaknya itu kemudian adalah Betara Guru, maka kemurkaan baginda ditenangkan dan baginda segera sejuk. Walaupun tak ditambahkan dalam sebarang purana, cetera terkenal menyatakan bahawa dewi berasa malu apabila terinjak suami baginda sendiri lantas terjelir lidahnya kerana menahan malu.
Devi Purana yang memberi keterangan mendalam mengenai Devi Kali, mendedahkan penyebab sebenar bagi perlambangan lidah terjulur itu. Ciri-ciri rupa yang memaparkan Devi Kali adalah seperti berikut....
- Rambut berdandan yang kusut masai.
- Mata terbuka besar merah.
- Mulut terbuka lidah terjulur.
- Di tangan ada khadgam atau pedang dan kepala manusia.
- Rantai tangan manusia melintangi pinggang baginda.
- Betara Siwa berbaring bawah kaki Devi.
Setiap satu perlambangan ini sebenarnya memberi pengertian falsafah. Lidah terjulur itu mewakili lapar darah. Betara Siwa terbaring bawah kaki mewakili bahan, kerana Kali Devi itu tanpa keraguan lagi mewakili sakti dasar dari awalan lagi. Gambaran Kali Devi atas Betara Siwa itu menunjukkan pengertian bahawa jika tiada sakti, maka bahan itu mati saja.
Konsep ini kemudian diringkaskan menjadi cetera rakyat menggambarkan seorang bini meletakkan kakinya atas suami dan terjelir lidahnya sebab malu. Dalam konteks tantrika, lidah itu dilihat sebagai lambang guna (unsur) dan rajas (tenaga dan tindakan) yang dikawal oleh sattva.
Jika Kali Ambha memijak Betara Siwa dengan kaki kanannya dan memegang khadgam di tangan kirinya, maka dia berada dalam rupa Daksina Kali. Pura Daksina Kali mempunyai kepentingan dan perkaitan keagamaan dengan Pura Jagannatha dan dipercayai Daksina Kali menjadi penunggu di dapur Pura Sriman Jagannatha. Tradisi Purana menyebut bahawa dalam Puri, Sriman Jagannatha dianggap sebagai Daksina Kalika. Dewi Daksinakali memainkan peranan penting dalam Niti di Saptapuri Amavasya.
Tradisi India Selatan
Salah satu tradisi cetera India Selatan pula menceterakan mengenai pertandingan tarian antara Betara Siwa dan Kali Ambha. Selepas mengalahkan dua narakasura, Sumbha dan Nisumbha, Kali Ambha berdiam di hutan di Thiruvalankadu atau Thiruvalangadu. Baginda menyebabkan terjadi kegempaan di sekitar dengan kecengilan baginda dan ciri yang meletus darinya.
Salah seorang pemuja Betara Siwa berasa terganggu semasa menjalani tapasya, dan meminta baginda Betara Siwa supaya menghapuskan hutan yang didiami oleh Kali Ambha. Apabila Betara Siwa mencemar duli, baginda Kali Ambha mengancam baginda dan mendakwa bahawa rantau itu adalah miliknya!!! Betara Siwa mencabar Dewi Kali dalam pertandingan tarian. Kedua-duanya pun menari dan Dewi Kali menyesuaikan setiap langkah Betara Siwa dalam tariannya sampailah kepada langkah Urdhva Tandavam, apabila Betara Siwa mengangkat kaki kanan baginda. Dewi Kali enggan menjalankan langkah tersebut kerana tak manis bagi perempuan maka baginda pun ditenangkan.
Smashan Kali
Jika Kali Ambha memijak Betara Siwa dengan kaki kiri dan memgang khadgam di tangan kanan, maka baginda berada dalam rupa ibunda yang menggerunkan, Smashan Kali di tapak pengebumian. Rupa dewi ini dipuja oleh orang Tantri, pengikut aliran Tantra, yang percaya bahawa amalan kerohanian dijalankan di tapak pembakaran bakai itu akan membawa kejayaan yang segera. Pernah juga Sarada Devi, bini kepada Brahmana Ramakresna Paramahamsa dari Bengal memuja Smashan Kali di Dakshineswara.
Pesanan Penaja: Dilarang membaca mantra sesuka hati tanpa diksha (kenaikan) ke sampradayam Sang Natha! Penulis masukan dan pihak Kaulantaka Sampradayam tidak akan bertanggungjawab kalau terjadi sebarang masalah kepada tuan-tuan dan puan-puan. Oleh sebab itu, mantra tidak dimasukkan kerana bahaya. Masukan ini diperbuat cuma untuk rujukan dan pendidikan agama Hindu sahaja!!!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan