Isnin, 7 April 2014

Kukai: Kemunculan Dari Kekaburan


Tahun 810, bhiksu Kukai muncul sebagai tokoh umum apabila beliau dilantik menjadi ketua kepada pentadbiran Toudai-ji iaitu kuil utama bagi Nara serta menjadi Sougou atau Ketua Bhiksu Diraja. Tak lama selepas kenaikan ke takhta, maharaja Saga menderita penyakit teruk. Sementara baginda pulih, bekas maharaja iaitu Heizei mula melakukan pemberontakan yang memaksa kerajaan untuk memadamkannya dengan kekuasaan tentera.

Bhiksu Kukai membuat permohonan kepada maharaja supaya membenarkannya menjalankan upacara rohaniah yang dikatakan membolehkan maharaja menghapuskan tujuh jenis ketidaktenangan, mengekalkan empat musim dengan aman, melindungi negara dan keluarga, serta memberi ketenangan kepada maharaja serta orang lain. Maharaja Saga membenarkannya. Sebelum itu juga, kerajaan memang bergantung kepada bhiksu-bhiksu dari aliran tradisional di Nara untuk menjalankan upacara seperti membacakan Sutra Cahaya Keemasan bagi mengukuhkan kerajaan. Permohonan Kukai ini menandakan pencapaian baru pula bagi aliran tradisi rahsia rohaniah Buddha pula yang memainkan peranan dalam upacara istana. 

Dengan upacara abhisheka awam untuk bhiksu Saicho dan yang lain-lain di Takaosan pada 812, bhiksu Kukai kemudian dikenali sebagai guru ajaran Buddha rahsia di Jepun. Beliau mengasaskan susunan bagi pengikutnya menjadi satu gerakan rohaniah dengan tanggungjawab pentadbiran, penjagaan, dan pembinaan dalam kuil serta tatacara kebiaraan. Tahun 813, bhiksu Kukai menggariskan matlamatnya dan amalan dalam satu dokumen yang dipanggil sebagai Garis Panduan Konin. Pada ketika itu juga lah, bhiksu Kukai menyempurnakan banyak karya-karya pengasasan aliran Shingon di Takaosan misalnya seperti:
  • Mencapai Pencerahan dalam Hayat Ini.
  • Makna Suara, Bunyi dan Hakikat.
  • Makna Perkataan Huṃ.
Semua karya ini dikarang pada tahun 817. Rekod ada menunjukkan bahawa bhiksu Kukai begitu sibuk menulis kekawin, menjalankan upacara, dan mengarang bacaan upacara kematian serta permintaan peringatan roh si mati. Popularitinya juga meningkat di istana dan melebar luas ke seluruh negara.

Sementara itu, ajaran rahsia baru oleh bhiksu Kukai serta sasteranya ini menimbulkan persoalan juga bagi seorang bhiksu terpelajar yang agak disegani ketika itu dikenali sebagai bhiksu Tokuitsu. Bhiksu Tokuitsu menulis surat kepada bhiksu Kukai sehingga tahun 815 meminta penjelasan tentang semua itu. Timbul pula perbualan antara mereka dalam surat yang terbukti membina dan membantu memberi bhiksu Kukai lebih kredibiliti. Dalam pada itu, sekolah-sekolah ajaran Buddha di Nara mula berminat dengan amalan Buddha rahsia yang diperkenal oleh Kukai ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan