Memaparkan catatan dengan label Tamil Education. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Tamil Education. Papar semua catatan

Isnin, 13 Januari 2014

Keistimewaan Tersendiri Pendidikan Tamil

Oleh Sharon Nelson
Terjemahan BM, NG


 

"Langsung tak ada seorang pun menteri, timbalan menteri atau setiausaha parlimen yang menghantar anak-anak mereka ke sekolah Tamil di Malaysia!" kata peguam S. Pasupathi, menyatakan kekecewaannya terhadap tahap keyakinan yang rendah kepada pendidikan berbahasa Tamil.

"Dalam kalangan peguam pun, saya boleh katakan bahawa hanya 10 orang saja dari seluruh Malaysia yang menghantar anak-anak mereka ke Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil", ulas lanjut peguman berusia 43 tahun yang juga merupakan timbalan presiden Yayasan Pendidikan, Kebajikan dan Kajian (EWRF) NGO berkaitan pendidikan.

Keadaan ini sangatlah menyedihkan bagi pendidikan bahasa Tamil hari ini. Empat puluh lima tahun selepas kemerdekaan negara kita, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil masih lagi ketinggalan dari segi sumber, serta ketinggalan jauh jika dibandingkan dengan sistem Sekolah Jenis Kebangsaan Cina!

Kegagalan untuk memberi inspirasi bagi keyakinan serta isu sama ada menutup terus aliran berbahasa Tamil tetaplah menjadi isu debat yang tak berkesudahan.

Dalam kaji selidik atas talian dianjurkan oleh News Straits Times, didapati sebanyak 55.95 peratus pengundi menyatakan bahawa, "Ibu bapa masyarakat India melihat bahawa pendidikan aliran Tamil langsung tak mempunyai masa depan, dan mereka lebih suka memasukkan anak-anak mereka ke aliran kebangsaan yang lebih kukuh". 

Hanya 36.05 peratus sahaja melihat aliran Tamil sebagai penting dalam bahagian sistem pendidikan Malaysia secara keseluruhan.

Memang beberapa dasawarsa ini, tuntutan untuk menutup aliran Tamil sangatlah kuat. Namun, pemikir-pemikir hari ini dan juga penggerak persatuan masih lagi percaya bahawa aliran Tamil masih relevan. "Tengok saja keputusan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR)", kata Pasupathi.

Kalau di sekolah kebangsaan, katanya, kadar lulus bagi mata pelajaran Sains adalah sebanyak 77.8 peratus. Sekolah jenis kebangsaan Cina pula mencatatkan keputusan sebanyak 85.1 peratus manakala sekolah jenis kebangsaan Tamil pula hanya sedikit sahaj di belakang sekolah jenis kebangsaan Cina iaitu sebanyak, 82.6 peratus. Trend ini turut kelihatan dalam mata pelajaran Matematik dan bahasa Inggeris.

"Ada sedikit harapan bagi aliran Tamil. Jika ada yang menyatakan sebaliknya, maka saya masih lagi boleh menempelak mereka", jelas Pasupathi yang turut merupakan anak didik sekolah jenis kebangsaan Tamil di Batu Arang. "Apabila kita belajar dalam bahasa ibunda sendiri pun, kita akan dapat belajar aspek kebudayaan kita dan juga bangsa kita. Saya percaya bahawa ia mampu mengacu kita menjadi rakyat yang lebih baik dan menghargai negara kita. Enam tahun lamanya dididik dalam aliran Tamil merupakan antara perkara terbaik yang pernah ibu bapa saya berikan kepada saya. Ia memberikan saya keyakinan diri tanpa perlu berasa rendah diri dengan jati diri saya".

"Ijazah pertama saya dalam bidang kejuruteraan kimia. Kemudian saya mengambil ijazah perundangan pula dan meneruskan ijazah lanjutan dalam bidang perundangan. Asas pendidikan dalam aliran Tamil menjadikan saya lebih mudah menyesuaikan diri di mana sekali pun". Beliau bukannya sekadar-kadar bercakap untuk menunjuk-nunjuk sebaliknya beliau menyatakan kebaikan sekolah dalam aliran Tamil.     

Pasupathi merupakan salah seorang daripada beberapa ibu bapa kelas pertengahan yang tetap bertegas bahawa aliran Tamil adalah yang terbaik buat anak-anak mereka. Begitu juga dengan S. Thiagarajan, pembantu pengurus di sebuah perbadanan multinasional, serta isterinya, seorang doktor perubatan. Mereka menghantar anak-anak mereka ke Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil di Sungai Siput, Ipoh. Thiagarajan turut menjadi pengerusi bagi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah tersebut.

"Kebanyakan guru di sekolah kebangsaan merupakan orang Melayu. Saya tak yakin yang keadaan tersebut akan memotivasikan anak-anak saya. Saya tak mahu anak-anak saya diabaikan!" Di sekolah Tamil, jelasnya, masyarakat Tamil sendiri boleh memastikan ada tekanan dibuat atas sistem pendidikan supaya guru-guru membuat lebih banyak pembaikan dalam pengajaran anak-anak mereka. "Kita tak nampak hal begini di sekolah kebangsaan. Tiada sesiapa pun memberi ulasan bagi penambahbaikan pelajar-pelajar bukan Melayu". Salah satu bahan yang dijadikan hujah untuk penutupan sekolah Tamil adalah disebabkan oleh bahasa Tamil dipandang sebagai tiada sebarang kepentingan di Malaysia mahu pun di dunia seperti bahasa Inggeris atau bahasa Cina.   

Sebenarnya ramai lagi orang percaya bahawa bahasa Tamil masih lagi merupakan alat yang berkesan dalam bidang politik dan ekonomi. "Saya diberitahu bahawa bahasa Tamil kini merupakan bahasa yang ketiga terbanyak digunapakai dalam Internet selain daripada bahasa Inggeris dan bahasa Cina", kata Kumar Menon, Pengarah Senior (Projek Khas) di Stamford College Berhad.

"Keadaan ini mungkin juga logika yang dianggap sebagai satu bentuk angan-angan saja, tapi ada juga disebut dalam teori bahawa bahasa Tamil mempunyai struktur yang sama dengan bahasa-bahasa yang diaturcarakan dalam komputer, yang menyebabkan ramai pengaturcara komputer banyaknya datang dari India Selatan". Menon turut memetik kata-kata Anthony Giddens, pengarah London School of Economics dalam bukunya, The Third Way, bahawa masyarakat India Selatan merupakan satu-satunya di dunia yang melompat bertakah-takah dari masyarakat yang bergantung kehidupan kepada pertanian kepada kehidupan berasaskan pendidikan dan perhubungan tanpa perlu melalui tahap perusahaan industri (perkilangan) seperti masyarakat Eropah.

Namun, masih banyak lagi masalah yang perlu diteliti sebelum dapat diatasi.

"Adakah sekolah aliran Tamil berada dalam kedudukan yang menjadikannya sebagai satu keperluan bagi perhubungan sosial, kebudayaan dan ekonomi masyarakat India secara keseluruhannya di Malaysia?" Jawapannya jelas sekali, "Tidak!", kata Menon.

Langkah pertama mengatasi masalah adalah dengan menghapuskan hubungan lama antara aliran Tamil dengan masa lampau berkaitan dengan penjajahan British dan pentadbiran kerajaan British di Malaya. Sekolah aliran Cina dibangunkan oleh masyarakat Cina itu sendiri. Tapi bagi sekolah aliran Tamil, ia muncul dari estet getah yang ditadbir secara konsesi oleh pemilik-pemilik estet getah sendiri.

"Ke tahap yang lebih tingi lagi di tempat kerja, sebuah tempat itu, sebuah tempat itu berpegang bahawa anak-anak yang berusia 10 atau 11 tahun itu sudah sedia buat membantu orang tua nya. Asasnya bukan berbentuk pendidikan". Halangan terbesar sekali adalah latarbelakang pelajar sekolah aliran Tamil itu sendiri.

"Satu-satunya isu berputar sekitar aliran Tamil yang kerajaan pun sedar adalah tahap kedudukan sosio-ekonomi pelajar-pelajar aliran Tamil", kata Pasupathi.

Kata beliau, kajian yang dijalankan Kementerian Pendidikan mengenai tahap yang rendah dicapai pelajar aliran Tamil itu datangnya dari persekitaran sosio-ekonomi yang rendah. Keadaan ini memberi kesan kepada kesihatan, keperluan jasmani dan juga menyebabkan pencapaian akademik mereka sendirinya terbantut. "Lihat bahawa sebanyak 60 peratus (527) sekolah aliran Tamil merupakan 'Sekolah Bantuan Modal', yang bermaksud bahawa hanya gaji guru saja dibayar terus oleh kerajaan persekutuan. Perkara lain seperti pengubahsuaian, pembaikan dna lain-lain mestilah diuruskan oleh masyarakat Tamil sendiri, "Siapakah masyarakat tersebut?" Tanya beliau. "Mereka pun tak mampu mengumpulkan dana".

"Saya percaya kepada pendidikan asas", sambungnya lagi. "Tak ada komputer atau alat bantu mengajar kerana mereka tak akan menambah sesuatu pun buat masa ini. Pertama sekali kita harus memahami bahawa setiap langkah itu mestilah berturutan." Kebanyakan anak-anak di aliran Tamil tak mempunyai komputer di rumah, jadi ada juga jurang Teknologi Maklumat (IT) dalam kalangan pelajar miskin dengan pelajar kelas pertengahan.

"Anak perempuan saya memang ada komputer sendiri di rumah. Tapi takkanlah kita jangkakan bahawa semua 40 pelajar lain di kelasnya itu pun pergi ke kelas komputer bersama-sama hanya kerana anak saya ada komputer? Keadaan yang sama pun terjadi apabila terbangunnya Kolej Perubatan dan Sains Kongres India Malaysia (MIC) yang baru.

"Saya tak tahulah apakah yang difikirkan oleh pemimpin-pemimpin sekelian. Jika dibandingkan dengan membina sekolah perubatan sebanyak RM430 juta itu, kenapakah tak gunakan sedikit buat membantu sekolah aliran Tamil?

"Berapa banyaklah anak-anak dari aliran Tamil yang mampu hendak menyambung pengajian dalam bidang perubatan? Bagi saja 10 peratus dari peruntukan tersebut dan selama lima tahun, jangan ganggu saya. Saya boleh agih-agihkannya". Masalah utama aliran pendidikan Tamil ini, kata Sathish Ramacandran, seorang peguam dan sukarelawan EWRF, adalah "pengagihan sumber peruntukan yang diberikan oleh kerajaan persekutuan dan juga sumber sumbangan masyarakat yang diuruskan secara tidak betul".

"Dua kesan daripada situasi ini adalah beratus-ratus sekolah aliran Tamil tak mempunyai papan hitam, kapur tulis, meja, kerusi dan juga bumbung yang bocor-bocor tiris". Namun, peguam Datuk Dr. M Thambirajah yang sudah berada dalam bidang pendidikan aliran Tamil selama lebih daripada 20 tahun tetap tabah hati. Beliau merupakan pengasas Pusat Sri Murugan (SMC), iaitu NGO berkaitan pendidikan berbahasa Tamil dan Hindu. Pusat ini beroperasi di 225 tempat seluruh Malaysia.

Seperti S. Pasupathi, beliau mengaitkan keadaan sekolah aliran Tamil tersebut dengan fakta bahawa "anak-anak berbahasa Tamil itu kebanyakannya datang dari keluarga berlatarbelakang miskin dan mereka pun tak mampu menekankan pendidikan sebanyak mungkin sebab tidak mampu".

"Saya percaya bahawa anak-anak miskin di sekolah jenis kebangsaan Tamil tetapi bersemangat, dan mempunyai kemampuan dalaman dalam mencapai keputusan akademik yang sama dengan anak-anak kelas pertengahan".

"Perbedaan besar antara ibu bapa anak-anak di aliran Tamil di kawasan luar bandar adalah mereka meninggalkan pendidikan anak-anak sepenuhnya kepada para guru. Ibu bapa di bandar-bandar lebih banyak memperhatikan perkembangan pendidikan anak-anak, dan mereka pun memberikan kelas tambahan serta mempunyai kedai-kedai buku terbaik yang menyokong pendidikan mereka". Keadaan ini menjadi cabaran terbesar buat guru-guru di aliran Tamil, namun Thambirajah percaya bahawa mereka mampu bertahan.  

"Orang ramai banyak menyalahkan kekurangan kemudahan prasarana di sekolah. Prasarana itu penting namun ia bukannya suatu yang perlu pun".

"Selagi ada kelas dan pelajar, guru dan guru besar yang bekerjasama bagi menghasilkan anak-anak berpendidikan baik maka keadaan itu pun sudah mencukupi". Namun realiti pun turut memberi pengaruh kepada idealisme ini. Beberapa guru masih lagi mampu mengambil usaha dan masa mereka dikorbankan bagi mengatasi masalah ini semua. Bagi sebab ini, Thambirajah percaya bahawa peranan guru-guru di pedalaman patutlah ditakrifkan semula dan mereka sepatutnya diberikan perhatian lebih oleh kerajaan dan masyarakat dari segi mental dan fizikal!

"Mereka sepatutnya mengambil perhatian kepada pelajar-pelajar di luar kelas, melihat siapa kawan-kawan mereka dan pergaulan mereka serta membantu dalam memberi petunjuk kepada mereka supaya mengisi masa lapang dengan cara yang berfaedah tetapi menyeronokkan. Jika mereka membuat lawatan ke rumah pelajar, maka pihak kerajaan mestilah memberikan insentif tambahan kepada mereka kerana perkara ini semua melibatkan kewangan dan juga mengambil masa. Mereka perlukan insentif yang betul seperti kenaikan dan juga modal, bayaran tambahan bagi kelas tambahan dan juga kegiatan luar sekolah kerana mereka tak mampu juga bergerak tanpa bantuan. Sekolah aliran Tamil tak seperti sekolah-sekolah aliran lain yang mempunyai piawai urban hampir selaras. Kita mesti melihat dan meneliti juga masalah sosial yang dihadapi penduduk serta melihat kepada tanggungjawab yang lebih dipegang oleh agen-agen pendidikan seperti guru-guru sekolah kerajaan.

Dalam kebanyakan benda, kewangan boleh memberikan perubahan. "Beri bayaran kepada guru yang menganjurkan kelas tambahan seperti untuk mata pelajaran Sains, bahasa Inggeris dan bahasa Melayu supaya pelajar-pelajar aliran Tamil pun akan jadi pelajar yang bagus seperti pelajar-pelajar arus perdana. Di sekolah aliran Cina, guru-guru mereka dibayar lebih masa jika mereka bekerja lagi selepas jam dua petang", ujar Pasupathi. "Jika anak-anak tak balik rumah dan tinggal di sekolah lagi selepas waktu sekolah, mereka pun mungkin tak ada wang yang cukup bagi membeli makan tengah hari, jadi beri sedikit wang tambahan kepada pihak kantin supaya menyediakan makanan kepada mereka". Mungkin juga kelompok masyarakat India dan masyarakat kelas pertengahan Tamil pun perlu juga memainkan peranan juga dalam membuat sumbangan bakti bagi masyarakat dan ahli masyarakat secara keseluruhannya bagi membuat perubahan.

"Jika mereka mahu kedudukan masyarakat Tamil dan masyarakat India dihormati, maka perlulah mereka mengambil tanggungjawab susila masing-masing dengan memberi bantuan kepada ahli masyarakat yang miskin", jelas Pasupathi.

Perkara utama sekali adalah, untuk "sampai kepada ahli masyarakat dan membantu mereka dengan dengan semampu mungkin".

"Kesannya itu tak mungkinlah kita ketahui terus. Semasa saya dalam tahun lima di sekolah rendah, seorang lelaki menunjukkan kepada saya sekeping gambar dia berdiri di depan sebuah kolej di Britain memakai baju sejuk. Dia memberitahu kepada saya bahawa dia di Birmingham semasa gambar diambil. Tahun itu adalah tahun 1968. Saya pun terdetik dalam hati. Suatu hari nanti saya mesti ke sana juga! 20 tahun kemudiannya memang saya sampai ke sana. Saya berdiri di depan bangunan yang saya masih ingat lagi, adalah bangunan yang sama dengan dalam gambar yang saya pernah lihat...." - Indian Malaysian Online, India Malaysiagal   

Sabtu, 11 Januari 2014

Pendidikan Tamil: Malaysia


Pendidikan Tamil di Malaysia sudah berada di Malaysia semenjak zaman British lagi. Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil terbahagi pula kepada dua jenis iaitu Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil dan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Tamil. 

Sejarah

Pentadbiran British Malaya

Semasa zaman pemerintahan British di Malaya, orang-orang dari India utamanya penutur bahasa Tamil dari India Selatan datang ke Malaya sebagai pekerja migran lantas diupah bekerja di sektor perladangan seperti ladang kopi, kebun teh, kebun getah dan juga ladang tebu.

Pendidikan Tamil di Malaysia bermula apabila sekolah rendah berwahana bahasa Tamil didirikan di Penang pada 1816. Apabila ladang getah berkembang pesat kerana industri perkilangan yang menghasilkan barangan berasaskan getah seperti tayar dan lain-lain sekitar penghujung kurun ke-19 M, pihak pengurusan ladang dan kerajaan British pun membuka sekolah rendah Tamil bagi pekerja mereka. Keadaan ini terjadi kerana pihak British sangat mengambil berat mengenai kebajikan pekerja mereka serta mempunyai dasar yang menggalakkan kebajikan pekerja dijaga. Sampai kini pun tuan boleh melihat lagi dalam dasar-dasar syarikat dan juga dasar lain yang berkaitan di Britain yang mencerminkan keadaan itu. 

Sebagai tambahan, pihak penginjil Kristian di Malaya pun ada membuka sekolah bagi penyebaran ajaran Kristian. Menjelang 1905, tedapat 13 buah sekolah Tamil kerajaan British temasuk juga sekolah Mission berbahasa Tamil di Malaya sahaja (tidak termasuk Borneo).   

Pada awalnya, kebanyakan sekolah Tamil tidak dapat bertahan lama kerana kekurangan sokongan dan komitmen daripada pihak pengurusan estet dan kerajaan. Masyarakat Tamil sendiri tidak berusaha secara malar bagi mengekalkan sekolah Tamil jika dibandingkan dengan masyarakat migran Cina! Dalam usaha menarik lebih ramai tenaga buruh dan supaya mereka tinggal lebih lama, maka kerajaan British Malaya mengeluarkan undang-undang Buruh 1912 mewajibkan pihak pengurusan estet mendirikan sekolah Tamil jika tedapat lebih daripada 10 orang anak-anak yang sudah mencapai usia masuk sekolah di estet tersebut.

Namun, kebanyakan pemilik estet menolak untuk membina bangunan baru bagi sekolah disebabkan kedekut dan kononnya kurang peruntukan jadi anak-anak pekerja Tamil terpaksa belajar dalam bangunan yang rosak dan di bekas rumah simpanan daging. Satu lagi masalah ketika itu adalah, kerajaan British di Malaya tidak membekalkan dana peruntukan bagi pembinaan sekolah Tamil tapi rang undang-undang pendidikannya ada.

Sekolah Tamil ketika itu menggunakan kurikulum dari India dan langsung tak mengajarkan bahasa Melayu serta bahasa Inggeris. Penekanan cuma diberikan kepada pembacaan, penulisan, kemahiran mengira di peringkat rendah dan juga kemahiran mengarang serta ilmu muka bumi yang diajarkan di tahap pendidikan rendah tinggi. Anak-anak selepas keluar dari sekolah rendah Tamil, cuma akan diserap masuk bekerja di estet dan ladang getah. Ibu bapa mereka kebanyakannya buta huruf dan langsung tak nampak nilai atau tujuan mencari pendidikan menengah. Di samping itu, kerajaan British tak berniat pun untuk menahan orang India lama-lama di ladang getah mereka dan tak berminat hendak menyediakan pendidikan melampaui pendidikan rendah. Perkara ini sebenarnya bergantung kepada kesedaran dan saling kerjasama dalam masyarakat itu sendiri.

Kesannya, sekolah menengah Tamil langsung tiada di Malaya jika dibandingkan dengan sekolah menengah Cina dan imigran Cina dalam rantau pemantauan British dihantar balik ke China menyambung pengajian tinggi. Dalam 1930 dan 1937, terdapat sedikit perkembangan dalam pendidikan Tamil apabila kerajaan British India sangat mengambil berat tehadap layanan buruk yang diterima buruh India di British Malaya. Kesannya, kerajaan British Malaya mewujudkan jawatankuasa khas bagi menyediakan bantuan kewangan buat sekolah Tamil, memilih pemeriksa bagi sekolah Tamil dan mula menyediakan latihan perguruan Tamil. Bilangan sekolah Tamil meningkat dengan mendadak sekali. Menjelang 1938, terdapat 13 sekolah rendah kerajaan British, 511 sekolah rendah ladang dan 23 sekolah rendah mission di Malaya. 

Pasca Perang Dunia Ke-II

Kerajaan British mula memberi perhatian berat kepada pendidikan bahasa ibunda penduduk dengan menguatkuasakan Ordinans Pendidikan 1946. Rang undang-undang memberi penekanan kepada pendidikan dalam bahasa ibunda yang pecuma dan peruntukan anugerah yang dipertingkatkan bagi sekolah-sekolah Tamil.

Langkah ini mengorak jalan ke arah peningkatan pelajar di sekolah jenis Tamil. Bilangan pelajar meningkat dai 29,800 kepada 38,700 pada 1949. Pada 1951, Jawatankuasa Pendidikan Tamil memantau semula pendidikan Tamil di Malaya dan mencadangkan pengajaran bahasa Inggeris bagi pelajar-pelajar Tamil pada darjah 4 dan pengajaran bahasa Melayu pada darjah 5.

Semakin Malaya menuju kepada era pentadbiran sendiri dan akhirnya kemerdekaan, usaha diperbuat bagi meningkatkan lagi dasar pendidikan negara. Laporan Barnes diterbitkan pada 1951 dan diangkat menjadi Rang Perundangan 1952, mencadangkan sistem pendidikan kebangsaan dengan bahasa Melayu (bukan bahasa Malaysia!) dan bahasa Inggeris sahaja sebagai wahana pengajaran dengan sekolah jenis Cina dan jenis Tamil diketepikan. Keadaan ini menyebabkan penduduk Cina dan penduduk British dalam kalangan orang India membantah!

Laporan Fenn-Wu kemudian memberi pengecualian kepada sekolah jenis Cina dan Tamil lantas menyebabkan rakyat sultan-sultan Melayu yang tediri daripada penutur bahasa Melayu pelbagai bangsa dan keturunan pula membantah. 

Pada 1956, Laporan Razak pula diterbitkan sebagai kompromi. Ia menyatakan bahawa sistem sekolah kebangsaan dengan bahasa Melayu, bahasa Inggeris, bahasa Tamil dan bahasa Cina diajarkan dari sekolah rendah, manakala bahasa Inggeris dan bahasa Melayu diwajibkan di peringkat sekolah menengah! Sekolah yang memakai wahana bahasa Melayu kemudian berubah menjadi Sekolah Kebangsaan. Sekolah yang tak berbahasa Melayu pula berubah menjadi Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil atau Cina). Laporan ini yang diterima dan diangkat menjadi Ordinans Pendidikan 1956. Laporan ini menjadi dasar pendidikan Persekutuan Malaya dan seterusnya negara Malaysia sampai sekarang walaupun terdapat juga bantahan kedengaran dari dalam kalangan kelompok nasionalis "Melayu" atau dijadikan isu politik pula buat meraih undian.

Selepas kemerdekaan Persekutuan Malaya, sekolah Tamil menerima dana peruntukan kerajaan dan menjadi Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil). Bawah susunan serentet itu, Kerajaan Persekutuan bertanggungjawab memberi peruntukan, menyediakan latihan perguruan dan menyusun kurikulum sekolah. Bangunan sekolah, harta khazanah dan lain-lain dalam sekolah pula kekal menjadi milikan masyarakat India dan Tamil tempatan. Bawah peruntukan ini, sekolah Tamil mengundi majlis pengarah bagi memantau dan menjaga harta sekolah. Namun, disebabkan oleh matlamat teakhir penggunaan bahasa Melayu sebagai wahana pengajaran dalam semua sekolah itu digariskan dalam Laporan Razak, maka sekolah jenis kebangsaan menerima sebahagian kecil sahaja peruntukan kewangan bagi pendidikan jika dibandingkan dengan sekolah berbahasa Melayu.

Kurun ke-21

Pada 2003, pihak kerajaan Persekutuan memperkenal dasar pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris di semua jenis sekolah kerajaan. Keadaan ini dibantah oleh kelompok pendidikan yang memihak kepada penggunaan bahasa ibunda sebagai wahana pengajaran di sekolah. Pada 2009, kerajaan Persekutuan mengumumkan bahawa keadaan kembali seperti sebelumnya bermula 2012. Ibu bapa yang menyokong dasar tahun 2003 ini dan merasakan dasar ini baik pula menentang. Pada 2011, kerajaan Persekutuan melepaskan perincian bagi perlaksanaan wahana bahasa sebelumnya. Pelajar darjah 1 (anak berusia 7 tahun) akan diajarkan mata pelajaran seperti Sains, Matematik, Sejarah dan lain-lain yang selain daripada mata pelajaran bahasa Inggeris dan bahasa Melayu dalam bahasa ibunda manakala yang sudah pun belaja Sains-Matematik dalam bahasa Inggeris boleh memilih untuk menyambungnya dalam bahasa Inggeris atau kekal dalam bahasa ibunda masing-masing.  

Peribadinya, aku berpandangan orang-orang yang mencadangkan perlaksanaan dasar pendidikan secara terburu-buru yang ada di peringkat menteri-menteri yang dipilih berdasarkan undian semasa pilihanraya umum itu adalah bersifat keanak-anakan. Yang menjadi mangsa keadaan nanti adalah pelajar-pelajar dan seterusnya pelajar sekolah menjadi hilang tumpuan mereka kerana dasar yang diubah tanpa kajian lanjutan dari segi kesan psikologi, kesan terhadap masa depan pelajar serta kesan-kesan lain semata-mata hendak menunjuk bagus atau pandai depan orang ramai.

Pendidikan Rendah Tamil Moden

Di Malaysia, kerajaan Persekutuan Malaysia memberi bantuan juga kepada sekolah rendah yang menggunakan bahasa Tamil sebagai wahana penyampaian pembelajaran. Biasanya sekolah rendah Tamil dihadiri oleh pelajar berketurunan Tamil tak mengira agama sama ada Hindu, Islam atau Kristian selain daripada beberapa kerat etnik lain seperti bangsa Orang Asli atau keturunan lain seperti Telugu, Malayalam dan keturunan orang India minoriti yang lain. Kebanyakan orang Melayu memilih untuk menyekolahkan anak-anak mereka di sekolah jenis kebangsaan Cina kerana memikirkan hal ekonomi, disiplin anak-anak, takut dengan upacara keagamaan Hindu bagi pelajar beragama Hindu dan sebenarnya lebih banyak dipengaruhi oleh trend semasa walaupun hal berkenaan kejayaan di masa depan itu bukannya ditentukan semata-mata oleh akademik.

Dalam rangka kerja pendidikan kebangsaan di Malaysia, sekolah rendah Tamil dirujuk sebagai Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil). Sama seperti sekolah kerajaan lain, ia mengikut kurikulum kebangsaan dan tidak lagi mengikut kurikulum dari India, khususnya Tamil Nadu seperti sebelumnya. Bahasa Melayu diajarkan sebagai bahasa Kebangsaan manakala bahasa Inggeris sebagai bahasa Antarabangsa. Kedua-dua mata pelajaran ini adalah mata pelajaran wajib di sekolah kerajaan!

Semua mata pelajaran lain walau bagaimanapun diajarkan dalam bahasa Tamil kecuali untuk mata pelajaran Matematik atau Sains yang mempunyai pilihan bahasa bagi pelajar. Mereka boleh memilih untuk kekal dalam bahasa Tamil atau belajar dalam bahasa Inggeris bagi dua mata pelajaran itu bergantung juga kepada sekolah itu sendiri dan juga tahap kelas pelajar.  

Bagi pendidikan rendah di Malaysia, enam tahun lamanya diambil bagi pelajar melengkapkan pendidikan peringkat bawahnya. Rujukannya ialah Tahun 1 sampai Tahun 6 iaitu dari usia 7 tahun sampai 12 tahun. Dalam Tahun ke-6, pelajar dimestikan menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah yang piawai di semua sekolah kerajaan termasuk di Sekolah Kebangsaan (aliran Melayu) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (aliran Cina). Selepas itu, pelajar Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil boleh memilih untuk menyambung pengajian menengah rendahnya di Sekolah Menengah Kebangsaan yang menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya atau mengambil kelas aliran bahasa Tamil untuk pengajian Kesusasteraan Tamil di peringkat menengah atas.

Di samping pendidikan dalam bahasa Tamil, sekolah Tamil berperanan menjadi penyampai nilai-nilai kebudayaan India utamanya budaya India Selatan dan keagamaan yang umumnya menyentuh budaya beragama Saiva (pengikut Betara Guru) dalam kalangan anak-anak muda Tamil dan India lain di Malaysia. Dengan cara ini maka, jatidiri kehinduan dapat dipelihara selain kewujudan pelbagai kaum tetap berlangsung dalam kesepaduan kebangsaan Malaysia. Kini, di Semenanjung Malaysia (Malaya) terdapat sebanyak 523 sekolah rendah jenis kebangsaan Tamil.   

Prejudis

Jika disebut tentang bahasa Tamil, pasti ada saja yang menyanggah menyatakan bahawa bahasa Hindi lebih utama namun mereka tak belajar pun bahasa Hindi, bahasa Sanskerta atau bahasa Punjabi. Diketahui juga ada kelas pengajaran bahasa Punjabi dan tulisan Gurumukhi di Gurudvara Sikh tapi tidak dikunjungi orang lain-lain agama kerana masalah kebudayaan berbeda atau masalah melibatkan "ego" dalam kepercayaan.

Penyampai rencana ini berketurunan Saraiki dengan datuk nenek turun dari selatan negeri Punjab. Penulis bukan seorang Tamil pun dan tidak fasih berbahasa Tamil namun cuba sedaya upaya belajar disebabkan sedar akan kepentingan bahasa Tamil.

Kegunaan Bahasa Tamil

Bahasa Tamil bukan sahaja diperguna dalam pembelajaran Hindu Dharma, boleh juga diperguna buat mencarigali sejarah purwa di negara Tamil (Tamil Nadu) dan menjadi juga wahana pembelajaran bagi bahasa Sanskerta. Ia boleh juga diperguna di rantau lain di India Selatan seperti di Kerala dan Andhra Pradesh bergantung kepada kecekapan bahasa Tamil seseorang. Ia boleh digunakan bagi mempelajari perubatan Siddha kerana masyarakat Tamil Lama terkenal dengan perubatan Siddha. Jika di Kerala (negeri Malayalam) terkenal pula dengan Ayurveda.

Dewasa ini peniaga-peniaga Tamil terutamanya Tamil Muslim sebenarnya sangat berjaya dan mereka juga membuka perniagaan berangkai seperti restoran mamak yang orang Melayu suka habiskan masa mereka merambu di situ, kedai buku dan alat tulis serta perniagaan runcit. Yang melabur pula ada yang datang terus dari Tamil Nadu dan mereka menggunapakai pekerja dari Tamil Nadu sendiri kerana pekerja tempatan enggan melibatkan diri dengan kerja-kerja rendahan. Kerajaan Persekutuan Malaysia juga membuat pelaburan di Tamil Nadu dan terlibat dalam usaha pembangunan lebuhraya di sana. Dalam kalangan Tamil Muslim peranakan Melayu pun ada yang menyertai parti politik terkenal dan menggunakan jatidiri sebelah ibu mereka bagi mendapatkan kemasukan ke parti untuk kemudahan perniagaan dari segi "kabel" serta menggunapakai agama ibu mereka walaupun mereka berketurunan Tamil dari sebelah bapa.

Maka, inilah sedikit sebanyak daripada paparan kita berkenaan dengan kepentingan bahasa Tamil. Ia sudah menjadi bahasa yang terkenal sejak samaya purwa lagi. Pada ketika maharaja empayar Chola dan Pandiya menyebarkan mandala mereka sekitar Laut Andaman, ketika itu juga lah bahasa Tamil menyebar sampai ke Kemboja pun. Sastera Kemboja dalam bentuk tarian tradisional orang Khemir (peranakan Tamil-Nagavanshi) pun memakai sastera hasil karya orang Tamil, berjudul Manimegalai (Monimekhala). Penulis sangat pasti sastera ini tak diperbuat bentuk lakon wayang orang pun di Tamil Nadu sedang di Kemboja (Kambujadesam) masih lagi ditarikan oleh penari diraja mereka.