Memaparkan catatan dengan label mengenali dewata hindu. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label mengenali dewata hindu. Papar semua catatan

Khamis, 11 April 2013

Aingiri Nandini Mahesa Sura Mardini



Tahukah rakan-rakan siapakah Mahesa Sura ini? Mahesa Sura ini adalah sejenis asura menurut kepada pengelasan jenis ciptaan di jagat raya. Asura ertinya bukan sura atau kuasa kehidupan yang bukan sura. Mereka ini berlawanan dengan para dewata tapi kita tak boleh katakan yang mereka ini sentiasa di pihak jahat. 

Mahesa Sura ini anakanda kepada raja Rambha yang memerintah golongan asura. Baginda raja Rambha jatuh cinta dengan puteri Shyamala yang disumpah menjadi kerbau. Hasil penyatuan keduanya ini maka terjelma lah Mahesa Sura. Beliau ini boleh berubah-ubah rupa menjadi mahesa (kerbau) atau pun menjadi manusia.

Kim Wadanti

Dewata dan asura seringlah berperang sesama sendiri. Dalam salah satu peperangan, raja Rambha terbunuh oleh Betara Indera. Mahesa Sura terdengar bahawa ayahanda beliau terbunuh semasa membesar. Jadi, beliau mengumpulkan pengikut setia menjadi tenteranya dan membuat kacau dalam sorga loka. Sorga loka berjaya ditawan, Betara Indera dikalahkan dan para dewa disepak keluar dari sorga loka. Maka, dendam Mahesa Sura pun sempurna. 

Dewata membentuk gupta sabha (pertemuan tertutup) bagi mencari jalan bagaimana mengalahkan asura yang perkasa itu. Kerana Mahesa Sura tidak dapat dikalahkan oleh jantina lelaki, maka dewata mencetuskan seteru dalam bentuk dewi Durga yang merupakan satu bentuk kepada dewi Sakti dan dewi Parwati. Baginda dewi menggabungkan kesaktian para dewa dalam rupa yang cantik. Selepas itu, baginda dewi pergi mencari asura dengan menunggang wahananya, seekor harimau yang kadang-kadang digambarkan sebagai singa juga.

Mahesa Sura sebaik sahaja mendengar perkara itu, menghantar tenteranya untuk menawan dewi Durga. Dewi Durga membunuh asura semua dan mencabar Mahesa Sura supaya berlawan satu lawan satu. Selepas sembilan hari berperang dengan Mahesa Sura, dewi Durga berjaya juga mengalahkan Mahesa Sura. Baginda dewi meminum madu yang menambahkan kesaktian baginda. Mahesa Sura dibunuh oleh baginda dewi pada malam kesepuloh bulan mengambang. Makanya, baginda dewi dipanggillah sebagai Mahesa Sura Mardini iaitu yang menyembelih asura kerbau.

Cetera Lanjutan

Di negeri Kerala di India Selatan, ada cetera lanjutan pula selepas kematian Mahesa Sura. Mahesi, sang puteri kerbau memegang singgahsana kerajaan asura dan meneruskan perang dengan dewata. Mahesi merupakan wanita berkepala kerbau. Dewa Ayyappa yang dalam perjalanan di dalam hutan untuk mengambil susu harimau betina membunuh Mahesi. Jadi, dewa Ayyappa pula dikenali sebagai Mahesi Mardaka. 

Dalam beberapa peperangan lain pula, baginda dewi Durga menjelma menjadi dewi Kali. Dewi Kali melawan Rakta Bija iaitu jelmaan raja Rambha. Rakta Bija menerima karunia bahawa darahnya yang menitis-nitis itu akan mencetuskan Rakta Bija yang lain. Ketika itulah, dewi Kali menjelirkan lidahnya dalam swarupa dan menjilat semua titisan darah asura tersebut sebelum ia jatuh ke bumi.

Peristiwa ini dirayakan dalam jenis pujaan kepada dewi Durga misalnya di Behar, Bengal, Odisa (Kalingga), Assam dan sebagai Nawa Ratri di bahagian lain di benua India. Ia merayakan kejayaan kebaikan mengatasi kejahatan. Cetera ini ada dalam Dewi Mahatmaya dalam Markandeya Purana.  

Pandangan Darsana

Menurut kepada kimwadanti berdarsana, Mahesa Sura bukanlah jahat seperti yang digambarkan. Beliau ini sebenarnya adalah antara anak bakti terkenal yang memuja kesaktian dewi Durga. Dewi merupakan ibu kepada semua. Baginda adalah kuasa yang memandu jagat raya menurut Kalika Purana. Apabila baginda melihat ciptaan para dewa mula menjadi rosak disebabkan oleh kekuasaan tak berpenghujung, maka baginda menyeru anak bakti terbaik baginda dan memberinya kuasa untuk mengalahkan para dewa.

Dewi ingin mengajar para dewa pengajaran dan mengembalikan mereka dari kejatuhan. Jadi, baginda dewi meminta Mahesa Sura supaya memuja baginda dalam rupa seteru dengan ganjaran beliau akan mendapat karunia punyam dari beribu-ribu kehidupan baktinya itu. Mahesa Sura pun mengambil jelmaan asura. Beliau menjadi berkuasa kerana kuasa dewi. Namun, karunia kebal dengan lelaki dari segala bangsa itu adalah punyam dari Sang Brahma. Para dewa kemudian menyedari bahawa Mahesa Sura kebal dengan mereka. Kesaktian mereka kalah dengan beliau kerana beliau memegang kesaktian dewi Durga. Beribu-ribu tahun para dewa terpencar-pencar ke sana ke mari dan beribu-ribu tahun juga diambil oleh mereka untuk memehamai bahawa mereka tidak bererti sama sekali tanpa kesaktian yang diwakili dewi Sakti.

Jadi mereka berguptasabha dan mengumpulkan saki baki kesaktian yang masih ada. Dari situ muncul rupa dewi Durga. Artinya di sini, Adiya Sakti Dewa menyeru baginda dewi. Para dewa memuja dewi Durga dan baginda memberi janji akan mengembalikan sorga loka kepada mereka. Apabila Mahesa Sura memahami bahawa beliau tidak akan dapat jaya di atas dewi. Tetapi, beliau masih memelihara dharma asura dan berperang dengan baginda dewi sekuat tenaganya. Penghujungnya, Mahesa Sura mengambil rupa dan lelaki kacak berotot kekar namun, beliau ditangkap dewi dengan ikatan pasa atau tali sakti dan ditikam jantungnya dengan trisulo.

Seebelum mati, Mahesa Sura memuja dewi Durga dan dewi memberikan punyam yang Mahesa Sura akan tetap dipuja pula dengan baginda dewi Durga sehingga penghujung masa jagat raya berada. Jadi, apabila anda melihat dewi Durga dipuja dalam rupanya, anda akan nampak juga Mahesa Sura berada di bawah kaki dewi dengan rupa ditikam oleh trisulo baginda dewi di dada.     

Selasa, 26 Jun 2012

Dewata Hindu: Dewa Ayyappa


Pengenalan
Dewa Ayyappan juga dipanggil sebagai Sarvatu atau Sasta merupakan salah satu dewata Hindu yang dipuja di kuil-kuil serata negara India di India Selatan. Dewa Ayyappa dipercayai merupakan penjelmaan Dharma Sasta. Dharma Sasta adalah pancaran dari Siva dan Vishnu. Dewa Vishnu menjelma menjadi rupa wanita, Mohini. Dewa Ayyappa selalu digambarkan dalam kedudukan beryoga serta memakai kalung berloceng di lehernya. Dewa Ayyappa mungkin mempunyai hubungan juga dengan Dewata Aiyanar dalam negeri Tamil.  

Bermula abad ke-20 M, wujud ramai bhakta atau pengikut dewata ini dari pelbagai jenis kumpulan agama. Hal ini menjadi semakin rancak dengan perkembangan pengangkutan dan perhubungan di negeri-negeri selatan India. Perayaan tahunan dewa Ayyappa merupakan saat di mana para bhakta yang terdiri daripada lelaki-lelaki dari selatan India berkumpul. Kuil yang terutama bagi dewa ini berada di Sabarimala di pergunungan Pathanamthitta di negeri Kerala atau negeri Malayala. Di kawasan pergunungan itu sahaja, sekurang-kurangnya lebih daripada 30 juta orang penganut membanjiri kawasan itu setiap tahun. Para penganut akan berpuasa dan berada dalam pantang di bawah pantauan seorang guru untuk beberapa minggu kemudiannya beryatra ke kuil untuk darshan dewa Ayyappa.

Tiket bas susah lah hendak didapati kerana beberapa minggu sebelum kebaktian dijalankan, orang ramai berpakaian kain dhoti berwarna-warni memenuhi pengangkutan awam untuk ke kuil berbakti kepada sang dewata. Kata nama Ayyappa merupakan kata penghormatan dalam bahasa Malayalam. Bahasa Malayalam dituturkan di negeri Kerala di India Selatan. Orang ramai akan membaca mantra Swamiye sharannam Ayyappa yang membawa maksud "Wahai Ayappa, aku mencari perlindungan dengan mu".

Asal-Usul

Dewa ini juga dikenali sebagai Hariharasuta kerana baginda merupakan anakanda kepada Hari atau dewa Vishnu dan juga anakanda kepada Hara atau dewa Siva. Nama biasa Nya adalah Manigantha kerana raja Pandalam menemui dewa Ayyappa semasa baginda masih kecil dalam sebuah hutan. Baginda melihat ada mani (permata) tergantung di leher dewa Ayyappa. Sebagai Dharma Sastha pula, setengah orang berpendapat bahawa baginda tercetus dari kesatuan antara Mohini atau jelmaan dewa Vishnu dengan dewa Siva.     
Lagenda Berkaitan dengan Dewa Ayyappa

Versi Pertama

Puteri asura, Maheshi berada dalam amarah disebabkan oleh muslihat para dewa ke atas saudaranya iaitu raja asura, Mahesasura. Disebabkan Mahesasura diberkati dengan kebal maka para dewa menghantar Durga Dewi bagi memerangi dan menghapuskannya. Jadi Maheshi mula menjalankan kebaktian yang menakutkan bagi memaksa Dewa Brahma muncul menunaikan hasratnya. 

Apabila dewa Brahma muncul, baginda menyatakan bahawa tidak mungkin baginya menunaikan hasrat Mahishi itu. Jadi Mahishi membuat rencana dan meminta balasan pahala baktinya supaya dia kebal dengan semua lelaki tetapi hanya akan lemah dengan anakanda kepada Siva dan Vishnu.   

Dewa Brahma memberi perkenan kepada Mahishi yang membolehkannya memerintah jagat raya dan kebal kecuali dengan anakanda Siva dan Vishnu. Disebabkan orang sebegitu tak wujud maka Mahishi fikir bahawa dia selamat dan mula menakluki dan menjarah dunia. Para dewa memohon supaya Siva dan Vishnu menyelamatkan semua dari bencana itu. Vishnu menemui satu penyelesaian bagi masalah itu. Maka Vishnu mengambil jelmaan menjadi kura-kura. Selepas itu baginda menjelmakan dirinya menjadi Mohini, si gadis pemikat. Ia bagi tujuan menyelamatkan amrit keabadian daripada para asura yang tak mahu berkongsinya dengan para dewa. Jika Vishnu menjadi Mohini semula maka Mohini boleh melahirkan anak dengan perkongsian dengan dewa Siva. Dengan itu kekuasaan sakti mereka dapat lah menghapuskan Mahishi.

Versi Kedua

Setengah versi ceritera lebih terperinci pula menceriterakan gabungan antara Siva dan Vishnu. Satu versi menceriterakan tentang Bhasmasura yang memuaskan hati dewa Siva dengan kebaktian lalu dewa Siva memberi karunia kepadanya apa sahaja yang dipinta. Bhasmasura meminta kebolehan untuk membakar sehingga menjadi abu sebarang benda yang terkena tangannya. Tak lama selepas itu dewa Siva terus memberi perkenannya. Dari itu, Bhasmasura mula mencari dewa Siva dan mengugut membakarnya menjadi abu. Dewa Siva meminta bantuan dewa Vishnu dan menyembunyikan dirinya dalam pokok Pipal sementara Bhasmasura mencarinya ke sana ke mari. Vishnu menyedari hal itu, lalu baginda berkeputusan menjelma menjadi rupa wanita iaitu Mohini bagi menjatuhkan kuasa asura itu. Apabila Bhasmasura terpandang Mohini, dia mula tertawan. Dia cuba untuk memikatnya. Vishnu dalam jelmaan Mohini mengarahkan Bhasmasura untuk meletakkan tangannya ke atas kepalanya dan bersumpah setia. Disebabkan perbuatan ini, Bhasmasura sendiri terbakar menjadi abu. 

Vishnu lantas menemui dewa Siva dan menceritakan hal tersebut kepada dewa Siva. Dewa Siva meminta kebenaran untuk melihat dewa Visnu dalam rupa Mohini. Apabila dewa Vishnu menjelma menjadi Mohini, dewa Siva pun tertawan dengan kecantikannya. Lalu mereka berdua bersatu menjadi Harihara Murthi. Dari kesatuan ini, tercetuslah dewa Sri Dharma Sasta dan dewa Ayyappa merupakan penjelmaan bentuk asas kedua-dua dewa Siva dan dewa Vishnu dari Sri Dharma Sasta.

Sri Ayyappa adalah ahli dalam masyarakat diraja Pandya. Baginda adalah ketua kepada satu jati. Dipercayai Ayyappa menitis menjadi Sri Dharmma Sasta. Dewa Vishnu mengaruniakan dewata yang baru tercetus itu dengan rantai leher dengan loceng permata. Jadi dewa ini dikenali juga sebagai Maniganthan Swami. Di India Selatan baginda dikenali juga sebagai Shasthappan.         

Dalam kebanyakan penceritaan Tamil, lagenda ini berakhir dengan kelahiran dewa ini dengan laluannya di seluruh kawasan orang Tamil. Tapi di negeri Kerala pula, cerita bersambung lagi dengan dewa Ayyappa dibela menjadi anak angkat oleh raja Pandalam serta kisah peperangannya dengan Mahishi.  

Versi Ketiga

Ceritera Dewa Ayyappa dalam Kerajaan Pandalam

Pada ketika, raja Rajashekhara memerintah kerajaan Pandalam. Semasa baginda berburu di hutan pada suatu hari, raja terdengar bunyi seperti bayi menangis di dalam hutan di tebing sungai Pampa. Baginda ke tempat yang ada bunyi itu dan terkejut apabila mendapati ada bayi di situ. Raja mendapati wajah bayi tersebut bersinar cemerlang dan ada batu permata di sekeliling lehernya. Raja yang kuat berbakti, berkebajikan dan penuh kepercayaan kepada dewa-dewa itu tidak lah mempunyai turunan. Makanya baginda mengambil bayi tersebut dan menganggapnya sebagai karunia dewa-dewa yang membalas segala permohonan pujanya bagi mendapatkan pewaris takhtanya. Bayi tersebut diberi nama Maniganthan. 

Maniganthan membesar dalam istana dan berbakat dalam kesusasteraan dan ilmu pertahanan diri. Sementara itu permaisuri raja melahirkan seorang putera pula. Raja menganggap Maniganthan sebagai putera sulungnya. Baginda ingin menjadikan Maniganthan sebagai Yuvaraja. Dalam pada itu ada menteri jahat dalam istana yang tidak suka kepada Maniganthan. Menteri itu menghasut permaisuri menyatakan yang Maniganthan akan menjatuhkannya sekiranya baginda dilantik menjadi Yuvaraja sedangkan kerajaan tersebut kepunyaan puteranya.   

Mereka berencana buruk hendak menghapuskan Maniganthan sebolehnya segera mungkin. Mereka merasuah tabib diraja untuk bersubahat dengan mereka. Permaisuri berpura-pura sakit perut dan tabib menyatakan bahawa hanya susu harimau sahaja yang boleh memulihkan permaisuri. Raja tahu tiada siapa lagi yang mampu mendapatkan susu harimau. Maniganthan maju ke hadapan dan menawarkan dirinya untuk mendapatkan susu harimau bagi permaisuri. Walaupun dibantah oleh baginda raja, namun baginda Maniganthan tetap berdegil masuk ke hutan.

Beberapa hari kemudiannya, Maniganthan masuk ke istana dengan menunggang seekor harimau betina yang garang diikuti sekumpulan anak harimau. Golongan yang berkomplot menghapuskan Maniganthan berasa takut lalu mengakui perbuatan serta niat buruk mereka. Mereka dan yang lain-lain tidak tahu bahawa Maniganthan bukan sebarangan orang. Mereka yakin lah selepas itu bahawa Maniganthan adalah seorang dewa. Mereka memohon kepadanya supaya berada bersama mereka dan jangan pergi demi keselamatan negara mereka. Tapi Maniganthan sudah bertekad ingin pergi dari negara tersebut.  

Dengan perasaan bahagia, kesal, rasa takjub, kagum dan kebaktian, baginda raja negara Pandalam merendahkan dirinya memohon belas kasihan daripada Maniganthan. Baginda bertaubat kerana tidak menyedari sepenuhnya kuasa kedewataan Maniganthan dan berulang kali memintanya mengampunkannya kerana menganggap baginda Maniganthan hanya sebagai anakandanya. Dewa memeluk raja yang terus memohon dan memuja kepadanya dengan kasih sayang. Raja memohon: "Wahai dewa, tolonglah berkati aku bebaskan aku dari ego aku dan bebaskan aku dari keduniaan dan kelahiran semula. Karuniakanlah aku dengan moksha. Teruslah menjadi penyelamat keluarga aku dan terus kekal dalam kerajaan ku".

Maniganthan kemudian menerangkan lagi kepada raja tentang jalan menuju kepada moksha. Kata-kata dewa itu mengandungi Bhutanathagitha. Kepada raja yang ketika mendengarnya sudah suci jiwanya dan berada dalam keadaan bakti kepada dewa. Dewa Ayyappa berkata : "Aku ini akan membebaskan kamu dari segala kesedihan duniawi dan kebimbangan. Akan aku karuniakan engkau dengan moksha. Barangsiapa yang berada dan lahir dalam keluarga mu akan menerima karunia aku. Aku akan sentiasa dihubungi untuk kebaktian dan hanya bagi yang bakti". Dewa memberitahu raja bahawa baginda boleh membina kuil baginya di Sabarimala di utara sungai suci Pampa dan memasang rupa baginya di situ. Dewa Ayyappa menerangkan tentang cara bagaimana menjalankan dharmayatra di situ dengan menekankan kepada kepentingan vrutham dan apa yang boleh dicapai melalui darshan. 

Dewa lantas menenangkan raja seraya berkata bahawa para bakthan yang menerimanya dan keturunanya dengan kebaktian akan juga berbakti kepada dewa Ayyappa. Dewa Ayyappa atau Maniganthan memberkati raja dan semua yang berada di situ lalu menghilang. Raja mengarahkan pembinaan kuil di Sabarimala untuk dewa Ayyappa.

Ada banyak lagi ceritera berkaitan dengan dewa Ayyappa dari penemuan bayi di Pampa, kisah zaman remaja Maniganthan di istana Pandalam, karunia kuasa pendegaran dan pertuturan kepada anak lelaki gurunya, Guru Dakshina yang pekak dan bisu, persahabatannya dengan Vavar, membawa pulang susu harimau, menghapuskan Maheshi, menghapuskan penjahat Udayanan dalam hutan, memberi karunia moksha ke atas Sabari, memberi berkat kepada bapa angkatnya dengan moksha serta sebagainya. 

Lagenda juga menyebut tentang Maniganthan yang dikatakan sebagai penjelmaan dewa Dharma Sasta sementara bapa angkatnya, raja Rajashekhara pada kelahiran lampau merupakan seorang Brahmin kaya dan beragama dikenali sebagai Vijayan yang teguh sekali kepercayaannya terhadap dewa Dharma Sastha.

Isnin, 15 Ogos 2011

Asal-Usul Nama Vishnu

Nama Vishnu merupakan nama dari Rigveda yang menunjukkan kepada satu kedewataan kecil yang merupa unsur alam seperti cahaya dan matahari. Dewa Vishnu selalunya diseru sebagai salah satu daripada teman kepada dewa Indra dalam empat keadaan dalam gabungan dwandya, Indravishnu (Rigveda 6.69).

Nama ini tiada sebarang asal-usul yang pasti, ia tidak terbukti melalui pengkajian dengan bahasa Iran walaupun dewa Rashnu orang Iran mungkin juga sama namun diubah bunyi dalam bahasa Iran. Tafsiran yang biasa adalah vi-snu- dari vi- "sebahagian, melangkaui" dan tahap kosong bagi saanu "puncak, rabung, atas gunung," yang bermaksud "dia yang melangkah melangkaui gunung-ganang," (RV 1.62.5c) merujuk kepada dewa Indra:

vi bhuumyaa aprathaya Indra saanu
dikau Indra yang telah melebar keluar dari rabung tinggi bumi

Namun hubungan kepada dasar kata kerja vish yang bermaksud "giat, kerja, menjalankan" juga terdapat dalam pandangan sarjana kaji bahasa dan tafsiran makna.

Penjelasan tradisional tentang nama Vishnu ini melibatkan kata dasar vish yang bermaksud "menetap" yang juga sepadan dengan perkataan Latin vicus atau bahasa Inggeris wich bermaksud kampung.

Dalam Rigveda ia merujuk kepada "masuk ke dalam, meresapi" membawa maksud juga Yang Menyerapi seluruhnya. Pengulas awal Veda, iaitu Yaska dalam sasteranya Nirukta mentakrifkan Vishnu sebagai vishnu vishateh bermaksud "yang masuk ke seluruh tempat," dan yad vishito bhavati taddjwojopujep bermaksud "yang bebas dari belenggu dan ikatan itu lah Vishnu.

Vishnu sendiri merupakan nama kedua dalam Vishnu Sahasranama, yang bermaksud ribuan nama Vishnu. Adisangkara dalam ulasan sahasranamanya menyatakan peemrolehan nama ini dari vish, bermaksud wujud di mana-mana kerana dia meresap ke semuanya, vevesti, dia dipanggil Vishnu.

Adisangkara menyebut lagi berkenaan Vishnu Purana, 3.1.42: Kuasa Penguasa Tertinggi memasuki jagat. Kata dasar vish bermaksud masuk ke dalam. Swami Chinmayananda dalam terjemahan Vishnu Sahasranama panjang lebar lagi mengaitkan hal ini dengan mengesahkan vish bermaksud memasuki. Seluruh loka kebendaan dan makhluk diserapi oleh-Nya dan Upanishad dengan tegasnya menekankannya dalam mantranya "apa sahaja yang ada di situ adalah dunia yang berubah."

Makanya Dia tidak terhad oleh ruang, masa dan jasad. Chinmayananda menyatakan bahawa yang menyerapi segalanya itu lah Vishnu.

Selasa, 9 Ogos 2011

Brahma

Brahma merupakan dewa orang Hindu yang memegang fungsi mencipta dan merupakan satu watak dalam Trimurti selain dari Vishnu dan Siva. Menurut Brahma Purana, Brahma merupakan bapak kepada Manu yang darinya semua manusia diturunkan. Dalam Ramayana dan Mahabharata, Brahma sering dirujuk sebagai nenek moyang terawal manusia.

Brahma ini bukan Roh Jagat Yang Utama yang dalam falsafah Vedanta menyebutnya sebagai Brahman yang tiada jantina. Peneman kepada Brahma adalah Saraswati yang merupakan isterinya dan duduk di sebelahnya untuk mendapatkan pengetahuan. Saraswati dirujuk sebagai dewi pembelajaran. Brahma sering dikenali sebagai Prajapati yang merupakan dewata Veda.

Asal-usul Nama Brahma

Dalam tatabahasa Sanskrit, kata nama akar Brahman membentuk dua kata nama berbeza. Satunya kata nama tak berjantina, manakala satu lagi dalam bentuk tunggal iaitu Brahma. Kata nama Brahma ini mempunyai erti abstrak yang umum. Kata nama Brahma ini digunakan untuk merujuk kepada dewata Brahma.

Ada banyak jenis sebutan atau rujukan kepada tokoh dewata ini dalam masyarakat yang dipengaruhi budaya kehinduan. Misalnya dalam bahasa Melayu, dewa Brahma dikenali dengan panggilan Batara Brahma atau Adi Brahma. Bahasa Siam menyebutnya sebagai Phra Phrom atau Dhaataa manakala bahasa Tamil menyebutnya sebagai Piraman.

Gunnalaksanah

Pada permulaan penciptaan, Brahma mencipta 11 Prajapati yang dipercayai sebagai bapa kepada bangsa manusia. Manusmirti memperkira mereka sebagai Marici, Atri, Angiras, Pulastya, Pulaha, Kratuj, Vashishta, Pracetas atau Daksha, Bhrigu dan Narada. Brahma juga menciptakan Saptarishi bagi membantunya mencipta jagat raya. Walau bagaimanapun semua anaknya ini terpancar dari pikirannya dan bukan dari jasadnya. Mereka dipanggil juga sebagai Manaputra atau anak dari segi rohaniah.

Dalam pustaka Veda dan Purana, Brahma digambarkan sekali-sekala masuk campur juga dalam hal ehwal dewa-dewa lain, dan tidak banyak terlibat dalam hal ehwal loka manusia. Brahma pernah memaksa Soma supaya memulangkan Tara kepada suaminya semula Brihaspatti. Brahma dianggap sebagai bapa kepada Dharmma dan Atri.

Penjelmaan

Menurut Purana, Brahma dikatakan menjelma sendiri dari dalam bunga teratai. Lagenda lain menyebut bahawa Brahma terjelma dari air. Dari sebiji benih yang menjadi telur emas. Dari telur emas lah terjelmanya Brahma sebagai Hiranyagarbha. Sisa kulit telur emas tersebut berkembang menjadi Brahmananda atau jagat raya. Kerana terjelma dalam air, maka Brahma dikenali sebagai Kanja. Brahma juga dikatakan sebagai anak kepada Brahman dan kuasa dalam bentuk wanita disebut sebagai Prakartih atau Maya.

Rupanya dalam gambaran menunjukkan hubungan bunga teratai dengan Brahma dan Vishnu yang boleh juga dijadikan perlambangan untuk bhrunnah purba dan nala purba. Nala ini dijanakan melalui perlambangan minda ke dalam loka selepasnya. Begitulah, Brahma terlibat dalam penciptaan manakala Vishnu menyambung pula selepasnya.

Nisambung