Tahukah rakan-rakan siapakah Mahesa Sura ini? Mahesa Sura ini adalah sejenis asura menurut kepada pengelasan jenis ciptaan di jagat raya. Asura ertinya bukan sura atau kuasa kehidupan yang bukan sura. Mereka ini berlawanan dengan para dewata tapi kita tak boleh katakan yang mereka ini sentiasa di pihak jahat.
Mahesa Sura ini anakanda kepada raja Rambha yang memerintah golongan asura. Baginda raja Rambha jatuh cinta dengan puteri Shyamala yang disumpah menjadi kerbau. Hasil penyatuan keduanya ini maka terjelma lah Mahesa Sura. Beliau ini boleh berubah-ubah rupa menjadi mahesa (kerbau) atau pun menjadi manusia.
Kim Wadanti
Dewata dan asura seringlah berperang sesama sendiri. Dalam salah satu peperangan, raja Rambha terbunuh oleh Betara Indera. Mahesa Sura terdengar bahawa ayahanda beliau terbunuh semasa membesar. Jadi, beliau mengumpulkan pengikut setia menjadi tenteranya dan membuat kacau dalam sorga loka. Sorga loka berjaya ditawan, Betara Indera dikalahkan dan para dewa disepak keluar dari sorga loka. Maka, dendam Mahesa Sura pun sempurna.
Dewata membentuk gupta sabha (pertemuan tertutup) bagi mencari jalan bagaimana mengalahkan asura yang perkasa itu. Kerana Mahesa Sura tidak dapat dikalahkan oleh jantina lelaki, maka dewata mencetuskan seteru dalam bentuk dewi Durga yang merupakan satu bentuk kepada dewi Sakti dan dewi Parwati. Baginda dewi menggabungkan kesaktian para dewa dalam rupa yang cantik. Selepas itu, baginda dewi pergi mencari asura dengan menunggang wahananya, seekor harimau yang kadang-kadang digambarkan sebagai singa juga.
Mahesa Sura sebaik sahaja mendengar perkara itu, menghantar tenteranya untuk menawan dewi Durga. Dewi Durga membunuh asura semua dan mencabar Mahesa Sura supaya berlawan satu lawan satu. Selepas sembilan hari berperang dengan Mahesa Sura, dewi Durga berjaya juga mengalahkan Mahesa Sura. Baginda dewi meminum madu yang menambahkan kesaktian baginda. Mahesa Sura dibunuh oleh baginda dewi pada malam kesepuloh bulan mengambang. Makanya, baginda dewi dipanggillah sebagai Mahesa Sura Mardini iaitu yang menyembelih asura kerbau.
Cetera Lanjutan
Di negeri Kerala di India Selatan, ada cetera lanjutan pula selepas kematian Mahesa Sura. Mahesi, sang puteri kerbau memegang singgahsana kerajaan asura dan meneruskan perang dengan dewata. Mahesi merupakan wanita berkepala kerbau. Dewa Ayyappa yang dalam perjalanan di dalam hutan untuk mengambil susu harimau betina membunuh Mahesi. Jadi, dewa Ayyappa pula dikenali sebagai Mahesi Mardaka.
Dalam beberapa peperangan lain pula, baginda dewi Durga menjelma menjadi dewi Kali. Dewi Kali melawan Rakta Bija iaitu jelmaan raja Rambha. Rakta Bija menerima karunia bahawa darahnya yang menitis-nitis itu akan mencetuskan Rakta Bija yang lain. Ketika itulah, dewi Kali menjelirkan lidahnya dalam swarupa dan menjilat semua titisan darah asura tersebut sebelum ia jatuh ke bumi.
Peristiwa ini dirayakan dalam jenis pujaan kepada dewi Durga misalnya di Behar, Bengal, Odisa (Kalingga), Assam dan sebagai Nawa Ratri di bahagian lain di benua India. Ia merayakan kejayaan kebaikan mengatasi kejahatan. Cetera ini ada dalam Dewi Mahatmaya dalam Markandeya Purana.
Pandangan Darsana
Menurut kepada kimwadanti berdarsana, Mahesa Sura bukanlah jahat seperti yang digambarkan. Beliau ini sebenarnya adalah antara anak bakti terkenal yang memuja kesaktian dewi Durga. Dewi merupakan ibu kepada semua. Baginda adalah kuasa yang memandu jagat raya menurut Kalika Purana. Apabila baginda melihat ciptaan para dewa mula menjadi rosak disebabkan oleh kekuasaan tak berpenghujung, maka baginda menyeru anak bakti terbaik baginda dan memberinya kuasa untuk mengalahkan para dewa.
Dewi ingin mengajar para dewa pengajaran dan mengembalikan mereka dari kejatuhan. Jadi, baginda dewi meminta Mahesa Sura supaya memuja baginda dalam rupa seteru dengan ganjaran beliau akan mendapat karunia punyam dari beribu-ribu kehidupan baktinya itu. Mahesa Sura pun mengambil jelmaan asura. Beliau menjadi berkuasa kerana kuasa dewi. Namun, karunia kebal dengan lelaki dari segala bangsa itu adalah punyam dari Sang Brahma. Para dewa kemudian menyedari bahawa Mahesa Sura kebal dengan mereka. Kesaktian mereka kalah dengan beliau kerana beliau memegang kesaktian dewi Durga. Beribu-ribu tahun para dewa terpencar-pencar ke sana ke mari dan beribu-ribu tahun juga diambil oleh mereka untuk memehamai bahawa mereka tidak bererti sama sekali tanpa kesaktian yang diwakili dewi Sakti.
Jadi mereka berguptasabha dan mengumpulkan saki baki kesaktian yang masih ada. Dari situ muncul rupa dewi Durga. Artinya di sini, Adiya Sakti Dewa menyeru baginda dewi. Para dewa memuja dewi Durga dan baginda memberi janji akan mengembalikan sorga loka kepada mereka. Apabila Mahesa Sura memahami bahawa beliau tidak akan dapat jaya di atas dewi. Tetapi, beliau masih memelihara dharma asura dan berperang dengan baginda dewi sekuat tenaganya. Penghujungnya, Mahesa Sura mengambil rupa dan lelaki kacak berotot kekar namun, beliau ditangkap dewi dengan ikatan pasa atau tali sakti dan ditikam jantungnya dengan trisulo.
Seebelum mati, Mahesa Sura memuja dewi Durga dan dewi memberikan punyam yang Mahesa Sura akan tetap dipuja pula dengan baginda dewi Durga sehingga penghujung masa jagat raya berada. Jadi, apabila anda melihat dewi Durga dipuja dalam rupanya, anda akan nampak juga Mahesa Sura berada di bawah kaki dewi dengan rupa ditikam oleh trisulo baginda dewi di dada.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan