Selasa, 16 April 2013

Negeri Orang Mleccha


Di benua Hindu purwa, sejarawan mencatatkan mengenai rujukan "orang asing" ini sebagai mereka yang berdiam di luar dari benua Hindu. Biasanya mereka ini akan dikenali sebagai orang tak bertamadun juga. Ada juga jenis orang ini yang tinggal berdiam dalam benua Hindu tetapi dipanggil sebagai orang asing. Mereka dipanggil juga orang Mleccha, kerana mereka bukan sebahagian daripada jatiniyam kemasyarakatan Hindu. Untuk yang ini, ada pula perbedaan antara orang Mleccha dan orang yang menurut Arya Dharma berdasarkan tempat tinggal mereka.

Walaupun dianggap sebagai kelompok terkebelakang, kawasan yang dicirikan sebagai Mleccha Desa itu tak pernahlah kekal. Kawasan sempadan semulajadi yang memisahkan tanah mereka dengan tanah orang Hindu itu selalu berubah-ubah. Ia ditakrifkan berdasarkan kepada perubahan-perubahan yang berlaku kepada Arya Warta. Parasher menyebut, "kawasan yang terus disebut sebagai Mleccha Desa itu adalah rantau yang dihuni oleh kelompok puak yang dalam jangkamasa lama pun masih tidak menerima pengaruh Brahmana, ajaran Buddha atau pun ajaran para Jina".  

Kawasan orang Hindu purwa berkembang dengan jangka waktunya, maka sebutan Mleccha yang dikenakan ke atas tanah-tanah bukan tanah Arya itu adalah berkaitan dengan "kemurnian". Yang disebut dalam kesusasteraan weda itu adalah kawasan atau rantau yang biasa dengan orang Hindu purwa. Semua kawasan yang dijejaki mereka, yang diperintah mereka itu menjadi sebahagian daripada Arya Warta juga. Parasher lanjutnya berkata bahawa Arya Warta itu tercetus sebagai, "Rantau di mana menghilangnya sungai Saraswati iaitu di Patiala di Punjab. Pergunungan Pari Yatra yang datang dari banjaran Vindhiya, kemungkinannya di bukit-bukit Malwa. Kalakawana yang dikenalpasti dengan jejak-jejaknya dekat dengan Prayaga".  

Tafsiran lainnya, Arya Warta itu merujuk kepada kawasan merga hitam berkeliaran, kerananya kawasan itu sesuai sekali untuk menjalankan upacara yagna. Sastera weda awal bertumpu kepada pentakrifan kawasan bertempat tinggal orang Hindu purwa di tanah-tanah yang dianggap suci murni. Pada masa itu, tiada lagi rujukan benar-benarnya tentang negara Mleccha atau perangai mereka. Kawasan yang bukan termasuk dalam sempadan Arya Warta, maka itulah kawasan tidak suci.

Selain itu, terdapat juga bukti bahawa orang Hindu zaman weda berhubungan dengan orang di luar benua Hindu, misalnya dengan orang Parsi. Orang Parsi yang memerintah di hulu lembangan sungai Indus pada 522-486 SM tidaklah dipanggil sebagai Mleccha, mungkin disebabkan mereka tidak pernah masuk campur dalam amalan adat-istiadat orang Brahmana. 

Sastera weda terkemudian bercakap pula tentang puak Anawa yang dipanggil sebagai Mleccha. Mereka menduduki utara Punjab, Sindh, dan timur Rajastan. Puak-puak di utara suatu ketika dahulu pun dikenali sebagai Mleccha sama ada kerana tempat tinggal mereka di sempadan misalnya puak Gandhara, puak Kashmira dan puak Kemboja. Disebabkan itu, kebudayaan dan pengucapan mereka dicemari oleh unsur luar dan berbeda dengan pengucapan serta budaya mereka yang betul-betul dalam Arya Warta. Atau mungkin juga terdapat kes seperti kes orang Hindu dari India Selatan yang suatu ketika dahulunya bertamadun Brahmana tetapi disebabkan meninggalkan upacara weda maka mereka dijatuhkan ke kedudukan Mleccha. Oleh itu, orang Hindu mestilah menjalankan upacara menurut dharma mereka serta jati bagi mengelakkan terjatuh menjadi Mleccha!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan