Cetera Pedanda di Pura Chamundeswari
Empu Ragawendra menjalankan banyak jenis kesaktian yang sedikit daripadanya itu tercatat dalam itihasa kita. Satu masa ketika thirtayattram, satu pariwaara (keluarga) yang diiringi oleh Empu Ragawendra mendekati sebuah kampung yang mempunyai Pura Seri Chamundeswari (Dewi Durga). Pedanda di situ merupakan seorang anak bakti yang setia terhadap baginda Ibu, tetapi selalu sahaja bertengkar dengan isterinya yang ditakluki oleh ketamakan harta kekayaan terutamanya barangan kemas. Ada suatu ketika, seorang anak bakti lain memberi sembah seutas rantai daripada batu permata mahal kepada baginda Dewi. Perkara ini disedari oleh isteri pedanda yang tamak itu. Dia memaksa suaminya, si pedanda malang itu mencuri rantai itu. Tak lama lepas itu, kedua-dua mereka ditimpa malang. Si isteri menjadi bisu dan si suami pula dicap sebagai pencuri lalu dihalang daripada menjejakkan kaki ke pura Ibunda lagi!
Pasangan suami isteri malang itu mendekati Empu Ragawendra. Mereka mengakui tindakan keji mereka itu dengan sesungguh-sungguhnya. Empu Ragaawendra kemudian bertapa dan berhubung dengan Ibunda Durga. Ibunda Durga berkenan mengampunkan mereka dan diwartakanlah bahawa kesalahan mereka diampuni dan mereka sudah suci murni semula seperti sebelum mereka dihukum. Empu Ragawendra meminta mereka membawa kain yang dicelup dengan minyak biji gajus. Mustahil lah kain seperti itu untuk dibersihkan dengan mudah. Lantas Empu Ragawendra memercikkan thirtham ke atas kain kotor itu dan semua orang terkesima kerana kain itu menjadi suci semula. Sebenarnya, Empu Ragawendra hendak memberitahu bahawa kebaktian kepada-Nya akan menyucikan jiwa seseorang walau sekotor mana pun ia. Ia akan membawa orang yang berbakti itu naik setapak lagi ke dalam perjalanan yang jauh.
Cetera Desai dan Keraguan pada Weda
Kesaktian lain yang harus diingati lagi, beliau ketika dalam perjalanan mengembara sampai ke sebuah kampung yang dihuni juga oleh seorang Desai (orang kaya). Si Desai itu selalu mengeji amalan-amalan kerohanian yang terdapat dalam weda-weda. Sejak diketahui oleh Empu Ragawendra bahawa terdapat keadaan begini di situ, maka diterimalah oleh beliau perkara ini sebagai satu peluang untuk dipasakkan semula kekuatan weda-weda di situ. Si Desai yang marah mengambil alu lesung lalu dicabarnya Empu Ragawendra supaya menjadikannya bertunas seperti tumbuhan segar lain. Empu menerima cabaran itu dan beberapa harinya beliau bertapa semadi serta menyemahkan thirtham dari kamandala beliau kepada alu lesung itu. Hari terakhirnya, si desai terkejut melihat kesaktian Empu Ragawendra. Alu lesung tersebut bertunas dan boleh bertumbuh seperti pokok biasa. Desai meniarap ke lantai menyatakan kerendahan hati serta menjadi penyebar weda-weda pula selepas itu....
Kejadian lain yang lebih terkenal pula terjadi apabila desai tadi menjemput Empu Ragawendra untuk menjalankan pemujaan di rumahnya. Segalanya baik sahaja sehinggalah diperhatikan bahawa Desai dan keluarganya itu tidak muncul di hadapan empu. Empu menyatakan bahawa malang menimpa keluarga Desai. Anak lelakinya itu jatuh ke dalam tong sirap mempelam yang besar dan mati. Empu mengatakan bahawa, "ini belum lagi masa kematian anakmu". Beliau mengarahkan tubuh anak malang itu diletakkan di depannya. Beliau memercikkan air dari kamandala beliau kepada anak tersebut lantas anak tersebut bangun semula seperti sediakala. Maka ini penyebabnya beliau dipuja sebagai kula guru atau guru kepada seluruh keluarga Desai.
Penting untuk diketahui tuan-tuan budiman bahawa ada orang yang cuba menguji Empu Ragawendra dengan memalsukan kematian anak lelakinya. Maka Empu Ragawendra "menghidupkan" semula anak tersebut. Tapi selepas Empu Ragawendra pergi maka anak itu pun mati terus. Empu Ragawendra cuma menjawab tatkala ditanya, "Perhamba cuma boleh menyelamatkan mereka yang masih bernyawa". Ertinya di sini, beliau tahu bahawa anak tersebut tidak mati tadinya. Nampak di sini bahawa Empu Ragawendra cuba mengajarkan bahawa, "keyakinan boleh menghidupkan yang mati, tetapi keraguan itu cuma mencederakan nyawa lain". Lihat sahaja apa terjadi kepada anak malang itu yang dicederai oleh keraguan bapanya.
Pengembala Menjadi Diwan Istana Parsi di Adoni
Dalam salah satu pengembaraan beliau, Empu Ragawendra melalui seorang pengembala kambing biri-biri yang masih muda lagi. Pengembala itu meniarap di tanah menghormati empu. Empu memberi restu kepadanya dan memberitahunya supaya berpikir atau bersemahiyang dengan mengingatinya ketika ditimpa kesusahan.
Beberapa hari kemudian, Nawab Sidi Masud Khan yang menjadi raja di Adoni menunggang kuda di tempat si pengembala mengembala kambing-kambingnya. Raja itu berbangsa Parsi dan Nawab merupakan gelaran kepada mereka. Dia tidak tahu membaca atau menulis dalam tulisan tempatan iaitu tulisan Kannada dan tulisan Telugu. Ketika itu juga, seorang rajaduta membawa surat bertulisan bahasa tempatan dan memberinya kepada sang Nawab. Nawab ternampak si pengembala lantas dipanggilnya supaya dibacakan isi kandungan surat itu. Si pengembala pun buta huruf dan tak reti membaca jadi dia tidak dapat membantu Nawab.
Nawab yang salah faham dengan si pengembala lalu baginda murka sudah. Baginda ingat bahawa pengembala cuba mengingkari arahan baginda sebagai raja, sedangkan dia memang buta kayu. Nawab mengugut untuk menjatuhkan hukuman berat jika dia tidak mahu membaca surat baginda. Si pengembala yang tertekan kemudian teringat akan Empu Ragawendra yang baik hati itu. Dia pun bersemahiyang dengan nama Empu Ragawendra dan cuba sebaik mungkin membaca surat itu. Ajaibnya, dia boleh membaca dengan lancar surat tersebut walaupun dia tidak pernah belajar membaca atau menulis.
Kerana samacara dalam surat itu menyenangkan hati sang Nawab, maka Nawab pun melantik si pengembala menjadi anggota dalam Diwan di Adoni. Pangkat ini sebenarnya pangkat yang terlalu tinggi bagi seorang pengembala yang buta huruf kerana dia mendapat kuasa mentadbir rantau tempatan di Adoni. Adoni ini terletak dalam negara Andhra Pradesh di perbandaran Nagara Palika. Beberapa tahun kemudian barulah sang Nawab itu mengetahui mengenai Empu Ragawendra dari pengembala yang menjadi kakitangan kerajaannya itu.
Nawab Adoni dan Mantralayam
Beberapa lama lepas kejadian itu terjadi, Nawab Adoni mendapat peluang bertemu dengan Brahmana, Empu Seri Ragawendra. Walapun Nawab melayan empu dengan hormat namun dia cuba menguji kemahiran kerohanian guru agung ini. Lalu diletakkan di depan Empu Ragawendra sepiring makanan tidak suci (bukan sayuran) lalu ditutupi dengan kain kononnya sebagai dana kepada Brahmana walaupun Nawab tahu Brahmana dilarang mengambil makanan-makanan tersebut kerana haram bagi mereka. Menurut adat Hindu, dana dipersembah kepada Brahmana yang melawati rumah seseorang bagi mencari restu.
Empu Ragawendra menceduk sedikit air dari dalam kamandala, bertapa semadi sebentar dan memercikkannya pada piring bertutup kain itu. Keadaan ini merupakan adat kaum Brahmana sebelum makan bagi menyucikannya dahulu walaupun ia cuma makanan dari dedaunan. Bila dibukanya piring, yang ada di situ cuma buah-buahan segar. Nawab pun berasa kesala lalu menjadi anak bakti pula kepada Empu Ragawendra. Sebagai tanda kesalnya, baginda menyembahkan tanah dan juga kemewahan. Tetapi Empu Ragawendra menolak sebarang pemberian yang ditujukan untuk dirinya. Beliau cuma meminta tanah sekitar Manchale (kini Mantralayam) yang merupakan sebahagian daripada kawasan negara Nawab itu untuk diserahkan supaya boleh dijadikan Matham atau tempat belajar agama orang Hindu.
Nawab ingin memberi tanah yang subur kepadanya supaya beliau tidak susah, tetapi Empu Ragawendra tidak mahu. Beliau berkeras mahu tanah yang kering dan tak tandus sekitar Mantralayam dekat dengan Sungai Tungabhadra. Beberapa tahun kemudian, baru diberitahu kenapa beliau mahu Seri Matham dibangunkan di situ. Kawasan itu merupakan tempat raja Prahalada mempersembah yagna kepada Seri Rama semasa Dwapara Yuga. Tempat itu walaupun kering dan tandus tetapi merupakan tanah suci. Seri Matha kemudian berpindahlah ke Mantralayam. Empu Ragawendra masih meneruskan pengembaraan kerohanian beliau. Di Mantralayam pula, beliau menggalakkan supaya anna dhanam diagihkan kepada semua anak bakti. Anna dhanam atau pengagihan makanan ini merupakan amalan ikutan di Seri Matha beliau. Seri Matha selalunya disokong oleh sumbangan orang ramai yang berbakti dan Brahmana penjaga di situ tidak memakai pun barangan yang diberi sebaliknya diberi kepada yang lain.
Empu Seri Raghawendra menjalani upacara pertapaan di Panchamukhi di negara Karnataka di prachamtambol Raichur. Kawasan ini dekat sahaja dengan Mantralayam di Andhra Pradesh prachamtambol Kurnul. Di Panchamukhi, beliau menerima darsana Seri Hanuman dalam rupa Seri Panchamukha Mukhiya Pranna. Para pelajar dan anak bakti pengikut Empu Seri Ragawendra menganggap beliau sebagai jelmaan semula raja Prahalada. Raja Prahalada pula dipercayai merupakan jelmaan Sanku Karna iaitu seorang dewata dalam Dwapara Yuga. Maka, mungkin itu sebabnya beliau memilih Mantralayam sebagai tempat Brindawana beliau.
Empu Ragawendra dengan Sir Thomas Munro
Satu kejadian antara Empu Ragawendra dengan Sir Thomas Munro ada tercatat dalam Niyama Pustaka Cetak Prachamtambol Madras (Madras Districts Gazetteer). Pada 1881, semasa menjadi Pemungut Bellary, Sir Thomas Munro yang kemudiannya menjadi gabenor Madras dipercayai bertemu dengan kara perakot (jelmaan) Empu Ragawendra. Dicatatkan bahawa Sir Munro sempat lagi bersoal jawab dengan Empu Ragawendra dalam bahasa Inggeris mengenai cadangan pemeliharaan tanah yang kemudiannya dibatalkan oleh beliau kerana menurut cadangan "Empu Ragawendra".
Tiada ulasan:
Catat Ulasan