Memaparkan catatan dengan label empu. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label empu. Papar semua catatan

Sabtu, 22 Jun 2013

Empu Ragawendra: Kesaktian Lain


Cetera Pedanda di Pura Chamundeswari

Empu Ragawendra menjalankan banyak jenis kesaktian yang sedikit daripadanya itu tercatat dalam itihasa kita. Satu masa ketika thirtayattram, satu pariwaara (keluarga) yang diiringi oleh Empu Ragawendra mendekati sebuah kampung yang mempunyai Pura Seri Chamundeswari (Dewi Durga). Pedanda di situ merupakan seorang anak bakti yang setia terhadap baginda Ibu, tetapi selalu sahaja bertengkar dengan isterinya yang ditakluki oleh ketamakan harta kekayaan terutamanya barangan kemas. Ada suatu ketika, seorang anak bakti lain memberi sembah seutas rantai daripada batu permata mahal kepada baginda Dewi. Perkara ini disedari oleh isteri pedanda yang tamak itu. Dia memaksa suaminya, si pedanda malang itu mencuri rantai itu. Tak lama lepas itu, kedua-dua mereka ditimpa malang. Si isteri menjadi bisu dan si suami pula dicap sebagai pencuri lalu dihalang daripada menjejakkan kaki ke pura Ibunda lagi!

Pasangan suami isteri malang itu mendekati Empu Ragawendra. Mereka mengakui tindakan keji mereka itu dengan sesungguh-sungguhnya. Empu Ragaawendra kemudian bertapa dan berhubung dengan Ibunda Durga. Ibunda Durga berkenan mengampunkan mereka dan diwartakanlah bahawa kesalahan mereka diampuni dan mereka sudah suci murni semula seperti sebelum mereka dihukum. Empu Ragawendra meminta mereka membawa kain yang dicelup dengan minyak biji gajus. Mustahil lah kain seperti itu untuk dibersihkan dengan mudah. Lantas Empu Ragawendra memercikkan thirtham ke atas kain kotor itu dan semua orang terkesima kerana kain itu menjadi suci semula. Sebenarnya, Empu Ragawendra hendak memberitahu bahawa kebaktian kepada-Nya akan menyucikan jiwa seseorang walau sekotor mana pun ia. Ia akan membawa orang yang berbakti itu naik setapak lagi ke dalam perjalanan yang jauh. 

Cetera Desai dan Keraguan pada Weda

Kesaktian lain yang harus diingati lagi, beliau ketika dalam perjalanan mengembara sampai ke sebuah kampung yang dihuni juga oleh seorang Desai (orang kaya). Si Desai itu selalu mengeji amalan-amalan kerohanian yang terdapat dalam weda-weda. Sejak diketahui oleh Empu Ragawendra bahawa terdapat keadaan begini di situ, maka diterimalah oleh beliau perkara ini sebagai satu peluang untuk dipasakkan semula kekuatan weda-weda di situ. Si Desai yang marah mengambil alu lesung lalu dicabarnya Empu Ragawendra supaya menjadikannya bertunas seperti tumbuhan segar lain. Empu menerima cabaran itu dan beberapa harinya beliau bertapa semadi serta menyemahkan thirtham dari kamandala beliau kepada alu lesung itu. Hari terakhirnya, si desai terkejut melihat kesaktian Empu Ragawendra. Alu lesung tersebut bertunas dan boleh bertumbuh seperti pokok biasa. Desai meniarap ke lantai menyatakan kerendahan hati serta menjadi penyebar weda-weda pula selepas itu....     

Kejadian lain yang lebih terkenal pula terjadi apabila desai tadi menjemput Empu Ragawendra untuk menjalankan pemujaan di rumahnya. Segalanya baik sahaja sehinggalah diperhatikan bahawa Desai dan keluarganya itu tidak muncul di hadapan empu. Empu menyatakan bahawa malang menimpa keluarga Desai. Anak lelakinya itu jatuh ke dalam tong sirap mempelam yang besar dan mati. Empu mengatakan bahawa, "ini belum lagi masa kematian anakmu". Beliau mengarahkan tubuh anak malang itu diletakkan di depannya. Beliau memercikkan air dari kamandala beliau kepada anak tersebut lantas anak tersebut bangun semula seperti sediakala. Maka ini penyebabnya beliau dipuja sebagai kula guru atau guru kepada seluruh keluarga Desai. 

Penting untuk diketahui tuan-tuan budiman bahawa ada orang yang cuba menguji Empu Ragawendra dengan memalsukan kematian anak lelakinya. Maka Empu Ragawendra "menghidupkan" semula anak tersebut. Tapi selepas Empu Ragawendra pergi maka anak itu pun mati terus. Empu Ragawendra cuma menjawab tatkala ditanya, "Perhamba cuma boleh menyelamatkan mereka yang masih bernyawa". Ertinya di sini, beliau tahu bahawa anak tersebut tidak mati tadinya. Nampak di sini bahawa Empu Ragawendra cuba mengajarkan bahawa, "keyakinan boleh menghidupkan yang mati, tetapi keraguan itu cuma mencederakan nyawa lain". Lihat sahaja apa terjadi kepada anak malang itu yang dicederai oleh keraguan bapanya.  

Pengembala Menjadi Diwan Istana Parsi di Adoni

Dalam salah satu pengembaraan beliau, Empu Ragawendra melalui seorang pengembala kambing biri-biri yang masih muda lagi. Pengembala itu meniarap di tanah menghormati empu. Empu memberi restu kepadanya dan memberitahunya supaya berpikir atau bersemahiyang dengan mengingatinya ketika ditimpa kesusahan.

Beberapa hari kemudian, Nawab Sidi Masud Khan yang menjadi raja di Adoni menunggang kuda di tempat si pengembala mengembala kambing-kambingnya. Raja itu berbangsa Parsi dan Nawab merupakan gelaran kepada mereka. Dia tidak tahu membaca atau menulis dalam tulisan tempatan iaitu tulisan Kannada dan tulisan Telugu. Ketika itu juga, seorang rajaduta membawa surat bertulisan bahasa tempatan dan memberinya kepada sang Nawab. Nawab ternampak si pengembala lantas dipanggilnya supaya dibacakan isi kandungan surat itu. Si pengembala pun buta huruf dan tak reti membaca jadi dia tidak dapat membantu Nawab. 

Nawab yang salah faham dengan si pengembala lalu baginda murka sudah. Baginda ingat bahawa pengembala cuba mengingkari arahan baginda sebagai raja, sedangkan dia memang buta kayu. Nawab mengugut untuk menjatuhkan hukuman berat jika dia tidak mahu membaca surat baginda. Si pengembala yang tertekan kemudian teringat akan Empu Ragawendra yang baik hati itu. Dia pun bersemahiyang dengan nama Empu Ragawendra dan cuba sebaik mungkin membaca surat itu. Ajaibnya, dia boleh membaca dengan lancar surat tersebut walaupun dia tidak pernah belajar membaca atau menulis.  

Kerana samacara dalam surat itu menyenangkan hati sang Nawab, maka Nawab pun melantik si pengembala menjadi anggota dalam Diwan di Adoni. Pangkat ini sebenarnya pangkat yang terlalu tinggi bagi seorang pengembala yang buta huruf kerana dia mendapat kuasa mentadbir rantau tempatan di Adoni. Adoni ini terletak dalam negara Andhra Pradesh di perbandaran Nagara Palika. Beberapa tahun kemudian barulah sang Nawab itu mengetahui mengenai Empu Ragawendra dari pengembala yang menjadi kakitangan kerajaannya itu.    

Nawab Adoni dan Mantralayam

Beberapa lama lepas kejadian itu terjadi, Nawab Adoni mendapat peluang bertemu dengan Brahmana, Empu Seri Ragawendra. Walapun Nawab melayan empu dengan hormat namun dia cuba menguji kemahiran kerohanian guru agung ini. Lalu diletakkan di depan Empu Ragawendra sepiring makanan tidak suci (bukan sayuran) lalu ditutupi dengan kain kononnya sebagai dana kepada Brahmana walaupun Nawab tahu Brahmana dilarang mengambil makanan-makanan tersebut kerana haram bagi mereka. Menurut adat Hindu, dana dipersembah kepada Brahmana yang melawati rumah seseorang bagi mencari restu.

Empu Ragawendra menceduk sedikit air dari dalam kamandala, bertapa semadi sebentar dan memercikkannya pada piring bertutup kain itu. Keadaan ini merupakan adat kaum Brahmana sebelum makan bagi menyucikannya dahulu walaupun ia cuma makanan dari dedaunan. Bila dibukanya piring, yang ada di situ cuma buah-buahan segar. Nawab pun berasa kesala lalu menjadi anak bakti pula kepada Empu Ragawendra. Sebagai tanda kesalnya, baginda menyembahkan tanah dan juga kemewahan. Tetapi Empu Ragawendra menolak sebarang pemberian yang ditujukan untuk dirinya. Beliau cuma meminta tanah sekitar Manchale (kini Mantralayam) yang merupakan sebahagian daripada kawasan negara Nawab itu untuk diserahkan supaya boleh dijadikan Matham atau tempat belajar agama orang Hindu.

Nawab ingin memberi tanah yang subur kepadanya supaya beliau tidak susah, tetapi Empu Ragawendra tidak mahu. Beliau berkeras mahu tanah yang kering dan tak tandus sekitar Mantralayam dekat dengan Sungai Tungabhadra. Beberapa tahun kemudian, baru diberitahu kenapa beliau mahu Seri Matham dibangunkan di situ. Kawasan itu merupakan tempat raja Prahalada mempersembah yagna kepada Seri Rama semasa Dwapara Yuga. Tempat itu walaupun kering dan tandus tetapi merupakan tanah suci. Seri Matha kemudian berpindahlah ke Mantralayam. Empu Ragawendra masih meneruskan pengembaraan kerohanian beliau. Di Mantralayam pula, beliau menggalakkan supaya anna dhanam diagihkan kepada semua anak bakti. Anna dhanam atau pengagihan makanan ini merupakan amalan ikutan di Seri Matha beliau. Seri Matha selalunya disokong oleh sumbangan orang ramai yang berbakti dan Brahmana penjaga di situ tidak memakai pun barangan yang diberi sebaliknya diberi kepada yang lain.  

Empu Seri Raghawendra menjalani upacara pertapaan di Panchamukhi di negara Karnataka di prachamtambol Raichur. Kawasan ini dekat sahaja dengan Mantralayam di Andhra Pradesh prachamtambol Kurnul. Di Panchamukhi, beliau menerima darsana Seri Hanuman dalam rupa Seri Panchamukha Mukhiya Pranna. Para pelajar dan anak bakti pengikut Empu Seri Ragawendra menganggap beliau sebagai jelmaan semula raja Prahalada. Raja Prahalada pula dipercayai merupakan jelmaan Sanku Karna iaitu seorang dewata dalam Dwapara Yuga. Maka, mungkin itu sebabnya beliau memilih Mantralayam sebagai tempat Brindawana beliau. 

Empu Ragawendra dengan Sir Thomas Munro

Satu kejadian antara Empu Ragawendra dengan Sir Thomas Munro ada tercatat dalam Niyama Pustaka Cetak Prachamtambol Madras (Madras Districts Gazetteer). Pada 1881, semasa menjadi Pemungut Bellary, Sir Thomas Munro yang kemudiannya menjadi gabenor Madras dipercayai bertemu dengan kara perakot (jelmaan) Empu Ragawendra. Dicatatkan bahawa Sir Munro sempat lagi bersoal jawab dengan Empu Ragawendra dalam bahasa Inggeris mengenai cadangan pemeliharaan tanah yang kemudiannya dibatalkan oleh beliau kerana menurut cadangan "Empu Ragawendra".  

Selasa, 18 Jun 2013

Mathwa Nama oleh Empu Seri Pada Raja

 

Mathawa Nama ini merupakan salah satu karya agung empu Seri Seri Pada Raja Tirtha. Brindawana beliau dikenalo sebagai Narasinga Tirtham lebih kurang 1.5  km dari Mulabagilu berdekatan dekat lebuhraya lama Bangalore-Madras. Beliau memuji tiga jelmaan atau awatara trayah Seri Mukhiya Pranna.

Dalam video yang dimuatkan itu, ia dilagukan dalam kawi bahasa Kannada tetapi ada juga dalam bahasa Sanskerta. Dijelaskan bahawa Dewa Wayu mempunyai jelmaan tiga. Ketika masa puasa bertuah Mathawa Nawami mendekat, maka ramailah pengikut akan mengingati karya-karya empu ini bersemahiyang kepadanya dan juga antergata (isi dalaman) empu Mathawa serta dalam kepulangan antergatanya ke Seri Ranggam Wittala.

Susunan kekawin ini dalam susunan yang menurut Seri Hari Wayu Stuthi dan dikarangnya oleh Seri Pada Raja untuk kebajikan mereka yang tak herti berbahasa Sanskerta atau yang tak dibenarkan membaca Wayu Stuthi. Dalam karya padat tetapi ringkas Seri Pada Raja ini, bukan sahaja mencakupi isi Hari Wayu Stuthi tetapi juga mempunyai beberapa kunci yang tak begitu diketahui ramai. Selain itu ada selitan dari Ramayana dan Maha Bharata.

Harus diingat bahawa Seri Pada Raja merupakan amsha kepada Dhruwa, iaitu salah satu aparoksa gyani atau cendekiawan agung dan juga widya guru kepada Seri Wiyasa Raja. Jadi, gambarannya mengenai dewa Wayu dan juga tiga jelmaannya itu sempurna dan juga tiada cacatnya. Beliau mencetuskan stotram ini dengan kebaktian yang sesungguhnya serta penuh gyana. Makanya, dari segi isi kerohanian dan nilainya itu, wajarlah ia termasuk dalam jenis puja dan juga tabik. 

Seri Jagannatha Dasaru ada menulis dalam Phala Stuthi bahawa karya ini merupakan kesaksian kepada keagungan dan kehebatannya sendiri, "Mathawa Nama yang diceterakan oleh Seri Pada Raja ini akan menghapuskan kedukaan semua, membekalkan segala jenis kebahagiaan dan kebajikan. Tambahan lagi, ia akan menunjukkan kepada mu Seri Pati Jagannata Wittala dan membawa kamu keluar dari telaga (lautan) yang dipanggil sengsara". 

Empu Seri Pada Raja

Beliau dihormati semua pengikut pergerakan Mathawa. Nama lain beliau adalah Laksmi Narayana Tirtha dan beliau hidup sekitar 1402-1502. Beliau banyak menyumbang kepada aliran pemikiran Dwaita dan juga Haridasa Sahitya. Begitu juga dengan sumbangannya terhadap bidang kemasyarakatan dan juga politik.

Beliau merupakan satu daripada teras pergerakan Haridasa (hamba Tuhan). Beliau menjadikan amalan mengarang dewaranama dalam bahasa Kannada untuk kebaktian dan amalan ini menjadi ikutan ramai. Jadi, tak ada lah hanya tertumpu kepada bahasa Sanskerta sahaja. Dikatakan bahawa ketika usia beliau sudah tua, beliau mahu mempunyai Ganga Snanam tetapi tak mampu pergi jauh. Ganga Snanam ini kalau bahasa orang Kristiannya itu, baptis atau mencelup mandi. Jadi, aku tak hairan pun kalau ada orang Kristian datang mengajak aku untuk dibaptiskan menjadi orang Kristian kerana aku hanya perli mereka sambil ketawa tetapi mereka mungkin tidak paham, ahahah....

Berbalik ke cetera Seri Pada Raja, kerana tidak mampu ke sungai Ganga maka sungai Ganga muncul di hadapan beliau dan dikatakan bahawa dewi Ganga akan datang ke Narasingha Tirtham dan berada di situ selamanya. Pengikut Seri Pada Raja sangatlah suka hati kerana mereka pun boleh turut berganga snanam tanpa perlu susah-susah lagi. Mulanya ketika itu lah, mencebur diri di Narasingha Tirtham samalah seperti mencebur diri dalam sungai Ganga. 

Ada 29 seloka untuk semua bacaan bahasa Sanskertanya. Esok aku sangatlah sibuk sampai penghujung minggu ini. Jika ada kesempatan elok juga aku membuat catitan mengenai Mathawa Namah kerana ia sangat penting untuk kepahaman kita semua mengenai Hari Wayu Stuthi dan amalan Parayana.  

Nilai π oleh Empu Aryabhatta


Ilmu kira mengira sangatlah penting bagi kaum Brahmana kerana kita perlu mengira banyak benda. Empu Aryabhatta menulis dalam Arya Bhatiyam berbunyi, "Caturadhikam satamastagunnam dwasastistathaa sahasraannaam ayutadwaya wiskam bhasyaanno werttaparinnaahah".

Ertinya itu, "Tambah empat kepada 100, dikali dengan delapan dan kemudian tambah 62,000. Dengan aturan begini ukur keliling bagi bulatan dengan kelebaran seluruhannya sebanyak 20,000 boleh didekati".

Secara kiraannya itu....

((4+100) x 8 + 62000)/2000 
= 62832/20000
= 3.1416
 
π = 3.1416

Empu Aryabhatta menggunakan perkataan "asanna" yang bererti "mendekati" bagi menunjukkan bahawa walaupun beliau mencadangkan nilai tepat sampai lima titik perpulohan tetapi nilai itu tidak lah rasional atau tidak selaras.  

Menariknya, tuan-tuan budiman bahawa ketidakrasionalan nilai π (pi) hanya terbukti pada abad ke-17 oleh Lambert dari Barat. Sedangkan, empu Aryabhatta mencadangkan benda ini pada abad ke-5 M! Sela masanya itu selama 1000 tahun! Jadi, haruslah kita berbangga dengan jati diri Brahmana kita.