Selasa, 11 Jun 2013

Perbincangan Wedanta: Punar Jelma

Om Swastiastu!


Hal ini datang dari persoalan seorang rakan kita... Katanya dalam persoalan yang pertamanya, telah dijelaskan dalam pustaka suci mengenai Atman itu tidak mempunyai karma dan segala yang ternampak di jagat raya ini termasuklah diri kita itu cumanya angan belaka. Makanya, apa itu punar jelma? Sekiranya Atman itu tidak masuk ke tubuh lain tetapi tercatat pula dalam Begawadgita mengenai jelmaan semula itu mengambil masa beberapa lamanya selepas perlinanya seseorang itu tapi tiada pula keadaan berterbangan ke sana ke sini mencari tubuh lain???

Persoalan keduanya pula, dalam jelmaan ini dengan jelmaan terkemudian atau sebarang jelmaan yang diambil seseorang itu, apa yang dibawa dari jelmaannya kini dan bagaimana ia berlaku? Apa yang terjadi kepada pikiran, gnana, prana dan adrishiyam tatkala matinya tubuh seseorang itu?

Pertanyaannya banyak sekali amat beratlah hendak diberi balasannya. Pertamanya, kita mengenalpasti jati diri kita ini sebagai Atman. Tak ada persoalan lanjut lagi tertinggal, iaitu persoalan dan juga pertanyaan, semua tiga atau tiga serangkai, melarut ke dalam satu Atman yang akarta dan abhokta, tidak berbuat dan tidak pula menikmati.... Makanya, seseorang itu dapat memahami bahawa tak ada jelma itu sendiri untuk merisaukan perkara punar jelma.

Persoalan ini cuma berlaku bagi mereka yang ingat bahawa dirinya itu lahir atau menjelma dalam kehidupan yang ini yang menunjukkan juga bahawa dia tidak menyedari "Akulah Atman" yang suci murni, abadi dan tiada batasan-Nya. 

Persoalan ini juga menunjukkan bahawa kita ini mengetahui pustaka ikat lontara suci dalam bicaranya serta kita menerimanya juga sebagai tattwa tapi ada pula wacana kita bahawasanya "Aku ini satu jiwa" yang mengambil jelmaan tertentu. Maka lahirlah wacana bahawa aku ini pembuat yang ini dan yang itu. Oleh itu, aku bertanggungjawab untuk segala yang ku perbuat kini atau yang ku perbuat di masa lampau. Karma yang ku perbuat di masa lampau bertanggungjawab pula menyebabkan keadaanku di jelmaan ini begini dan menyebabkan aku berada di tempat ini dan itu.   

Katakanlah, kini aku bekerja sebagai seorang jurutera. Aku menjadi begini kerana pada masa lampauku, aku pergi ke sekolah serta mendapatkan kelayakan untuk pekerjaan itu. Makanya, masa kini merupakan kesan bagi masa lampau dan masa depan itu pula merupakan kesan lampau yang ditambah baik oleh tindakan aku yang sekarang ini. Sabdawalinya itu adalah prarabda dan purusartha. Yang ku punyai ini adalah prarabda manakala yang ku perbuat dengan yang ku punyai itu purusartha. Masa depanku itu terjadi disebabkan oleh tindakan ku kini yang membega masa lampauku itu. 

Aku boleh mengembangkan diriku mahupun mengutuk diriku sendiri. Pilihannya itu di tangan aku. Aku bukanlah tubuh legap ini yang terdiri daripada karbohidrat dan mineral galian serta air tetapi orang perseorangan yang bertempat tinggal dalam tubuh ini. Menggunakan tubuh ini untuk merasai karma phala sama ada baik atau buruknya. Ikat lontara suci semuanya menyatakan bahawasanya, kematian itu menyekat tubuh tatkala ia tak berguna lagi bagi merasai rentetan karma phala yang mendatang serta masuk ke ksetram atau mengambil tubuh lain yang lebih selesa bagi menyusutkan karma phala ku. 

Semua ini terjadi selagi aku tidak mengenalpasti bahawa aku ini bukanlah selain daripada Atma atau Brahman yang suci murni, abadi kekal tiada batasan. Makanya, sebagai Atma aku ini tiada punya jelma mau pun punar jelma. Sehingga aku mengenalpasti perkara itu, maka punarapi gnanam akan terus berterusan seperti yang diberitakan segala purana.

Penanya soalan itu bertanya lagi, Brahman itu satu-satunya yang ada. Jadi tak ada kah tempat yang tak ada Brahman? Jadi, jika seorang pembunuh atau orang alim mati pun dia tetap akan berakhir dalam Brahman? Sedangkan pada masa mereka bernyawa dalam tubuh itu pun mereka sudah berada dalam keadaan Brahman. Bedanya itu, orang alim itu menyedari Brahman sedangkan si pembunuh itu tak menyedarinya. Jadi, persoalannya itu mengapa kita cuba mencapai Brahman dan kenapa pula dikatakan seseorang itu tak mencapai Brahman disebabkan kesalahan karmanya sedang dia sudah pun berada dalam keadaan Brahman?

Dalam perjawaban juga terdapat kenyataan, "Sebagai Atma, aku tak menjelma atau pun punar jelma pun. Sehingga aku menyedari bahawa punarapi gnanam berterusan sebagaimana yang diberitakan ikat-ikat pustaka lontara suci". Seorang yang mengetahui bahawa dia itu adalah Atma dan seorang yang tak mengetahui bahawa dia itu Atma kedua-duanya pun dalam Brahman. Jadi, apa gunanya berkata, "sehingga kita menyedari punarapi gnanam" sedangkan orang yang tak mengenalpasti punarapi gnanam itu pun berada dalam keagungan Atma atau Brahman?

Bagi soalan yang ini, jawapannya terdapat dalam upanishad. Sebagaimana yang difahami, tiada suatu apa pun yang nyata kecuali Brahman. Tak ada soalan lanjut lagi. Bagi agnani (agnostik) atau gnani (gnostik) itu merupakan penggulungan berdasarkan kepada agnana saja kerana dalam Brahman itu tak ada perbedaan gnani dan agnani.  

Diperjawabkan juga, "pustaka ikatan lontara suci menyebut, kematian itu menyekat tubuh apabila ia sudah tak berguna lagi bagi merasai rentetan karma phala dan masuk ke ksetram atau mengambil tubuh yang selesa untuk menghauskan karma phala ku? Semua ini terjadi disebabkan aku tak mengenalpasti bahawa aku bukan dari sebarang Atma atau Brahman suci murni, tak terbatas serta abadi" Jadi, apa yang terjadi apabila seorang batak (budak) itu terbang nyawanya? Batak kecil langsung tak tahu mengenai Brahman. Yang mereka tahu cuma menyusu di kantung susu ibu mereka sahaja. Tak ada siapa pun boleh mengajar mereka mengenai Brahman kerana akal mereka pun belum meningkat. Bukan salah mereka juga jika mereka mati muda sebelum menyedari Brahman. Apa pandangan kepinanditaan mengenai perkara ini?

Perkara yang terjadi kepada anak kecil yang mati itu sama saja seperti yang terjadi kepada sebarang tubuh lain yang mati. Kematian menghapuskan tubuh daripada mengambil tubuh lain dalam pada menghauskan rentetan wasana (pemikiran) yang bertunas seperti yang disebut baginda Begawan Kresna sebagai, itu bukan Aku. Pada pemahaman kepinanditan sekelian, batak kecil yang mati (sama ada berkembang akalnya atau tidak) disebabkan oleh prarabda karma dalam jelmaan atau kelahiran yang dilemahkan dan dia memerlukan jelmaan seterusnya supaya dia boleh melemahkan rentetan sanchita karma seterusnya yang sedia untuk bercambah.

Makanya di sini, karma semua orang berkaitan dan terlibat dengan si mati itu turut terlibat. Aturannya itu apa yang aku ada adalah prarabda dan apa yang aku perbuat dengan yang aku ada itu adalah purusartha atau usaha kendiri yang apabila berpeluang atau diberi pilihan pastu aku perbuat. Kemudian kita menerima segala yang mendatang itu sebagai prasadam, wibhuti atau lungsuran dari pengetahuan Sang Hiyang. Pada hakikatnya juga, tak ada sesiapa pun dalam loka ini mati tak bersebab. Apa betul? Dalam Wirata Swarupam, Begawan Kresna menunjukkan serta menyatakan bahawa baginda itu Kala atau Masa. Kala itu memakan segalanya! Jadi, menurut pandangan Wedanta, tiada suatu pun perkara di jagat ini yang berlaku dengan secara kebetulan. Hanya ada kejadian sahaja serta penyebab kepada kejadian. Pemikiran manusia yang terbatas itu tak bolehlah memahaminya. Tiada satu pun perkara yang terjadi tanpa keperluan dan itulah undang-undang jagat.  

Berbalik kepada pokok persoalan, masalah utama pada persoalan rakan ini adalah; penting sekali untuk mengenalpasti dari mana datangnya rujukan mengenai kenyataan yang diperbuat. Jika dikatakan aku memahami Brahman ini lah satu-satunya yang ada, dan aku Brahman. Perbincangan yang berikutnya sudah tak berlaku lagi. Tak ada soalan, tak ada penanya soalan dan tak ada juga permasalahan. Semua sudah diselesaikan kerana tak ada suatu apa pun selain daripada Brahman yang "tak berbelah bahagi".

Perbincangan mengenai jelma dan punar jelma hanya berlaku apabila seseorang itu memikirkan mengenai tubuhnya yang lahir itu. Yang tiada terbatas itu tak boleh melalui sebarang pemotongan atau diubah-ubah. Persoalan yang keluar dalam bayangan kepala hanya apabila ada orang yang salah tapi tak rasa dia bersalah. Dan mengenai orang yang pikir bahawa dia berbeda daripada Brahman lalu dia menjelma dan ingin mengetahui mengenai jelmaan masa ke depannya. Jika aku ketahui bahawa rakan yang ini salah, maka kesalahan itu akan gugur lalu mendedahkan kebenaran yang terselindung olehnya. Tapi persoalan melibatkan pengambilan perkara yang salah sebagai satu yang benar jadi kelahiran itu juga menjadi kebenaran hanya berada pada tahap pemikiran si penanya soalan saja. Daripada soalan ini pun, seorang itu kena menjawab bahawa yang salah boleh disalahkan dan jawapan lain diberikan itu cuma akan mengesahkan kesalahan itu saja. Ajaran yang ini ditujukan bagi barangsiapa yang tidak mengenalpasti "Akulah Brahman". Dalam Brahman pula, tersebut bahawa tak ada persoalan mengenai jelma atau punar jelma.

Pesanan kepinanditaan sekelian, supaya orang ramai itu mengenalpasti dahulu keadaan rujukan dari mana kebenaran itu ditunjukkan sama ada dari Paramarthika atau dari Wiyaharika. Kekeliruan cuma timbul apabila orang itu menyaling gantikan rujukan tersebut. Ajaran ini akan sempurna sekiranya seseorang itu memahami rujukan dari mana ajaran dilepaskan. Jika aku memahami bahawa aku ini atma; segala persoalan pun terhenti sendiri. Si penanya soalan sebenarnya cuba hendak menggabungkan pandangan dwaita (duaan) dengan adwaita (kesatuan).

Yato wacho niwartante apraya manasa sah.... Kata-kata dan pikiran itu tak tercapai di sana... Hari Om Tat Sat...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan