Isnin, 17 Jun 2013

Warna Dharma dalam Kehinduan

Oleh Sri Kanchi Parama Acharya
Terjemahan ke Bahasa Melayu oleh NG


Pada samaya lalu, dapur memasak selalunya disumbat dengan kayu kering, tahi lembu dan lain-lain. Kalau hari hujan, maka susahlah hendak menyalakan dapur sebab lembap. Namun, walau ada beberapa cetusan api sahaja pun sudah cukuplah untuk dikipaskan bagi membakar kayu kering atau pun tahi lembu.

Sanatana Dharma kita tidaklah pupus terus. Beberapa cetusan darinya itu masih ada lagi dalam hidup beberapa orang yang agung yang masih hidup dalam kalangan kita ini. Sesungguhnya aku ini berharap untuk meniup mereka dengan pandangan bagi menyebarkan semula agama purwa kita ini dalam bentuk sebenar-benarnya. Para pembaharu kita cubalah untuk menghapuskan warna dharma bagi menjadikan agama Hindu nampak tak berbeda dengan kepercayaan-kepercayaan lain. 

Dalam konteks yang ini, aku mestilah mempersoal kamu. Apakah itu agama?? Agama ini seperti lah juga tata penyembuh yang tujuannya itu untuk menyembuhkan penyakit yang tercetus dari "diri" atau "jiwa". Bomoh tahu lah mengenai penyakit yang menimpa pesakit dan bagaimana cara rawatannya. Sanatana Dharma kita ini adalah ubat yang disenaraikan oleh para resi dan juga pencetus kepada dharmasastram yang tak pernah meminta balasan apa pun bagi diri mereka. Mereka cuma mengambil berat mengenai kebajikan manusia. 

Di negara-negara lain, bomoh lain memberikan senarai ubatan dalam bentuk agama mereka sendiri. Jadi, adakah bomoh anda itu suka diberitahu yang dia kena mengubati kamu dengan cara bomoh atau doktor lain rawat pesakit mereka? Ada banyak tata penyediaan ubat-ubatan. Ada yang memerlukan pesakit berpantang dengan ketatnya, manakala yang lain tak begitu ketat pada pemakanan pesakit. Jenis perubatan yang ini, memberikan cadangan ubatan yang manis rasanya kepada pesakit dan yang lain pula pahit. Untuk sembuh semula maka kita kena lah mengikut dengan penuh perhatian segala cara rawatan, dan tak mendesak kepada gabungan terapi perubatan kerana ia akan mencelarukan kesihatan pesakit.

Agama lain mengajarkan mengenai dharma yang biasa bagi semua pengikutnya. Dalam agama Weda yang diwangsit oleh para dewata pula ada dua jenis dharma. Yang pertamanya itu, yang biasa kepada semua atau segala warna masyarakat. Yang ini adalah tata kelakuan yang sejagat diamalkan segala penganut agama Hindu digelarlah ia sebagai Samanya Dharma. Ahimsa, satya, kesucian, mengawal pancha indera, tidak melampau dalam keperluan hidup, kebaktian kepada Iswara, menghormati ibu bapa serta nenek moyang dan menghormati segala makhluk merupakan bahagian daripada Samanya Dharma.

Kemudian setiap warna itu mempunyai tata kelakuannya yang tersendiri pula. Yang ini kita sebutkannya sebagai Wisesa Dharma. Yang ini ertinya, pekerjaan anak itu diwarisi daripada nenek moyangnya samaya bersamaya atau tugasan khusus untuk sesuatu masyarakat. Jika Wisesa Dharma dari pelbagai warna ini disamaratakan atau dipaksa masuk ke bahagian Samanya Dharma maka akan muncul satu keadaan yang mana tak ada sesiapa pun yang akan mengamalkan lagi sebarang dharma pun!  

Bagi menggambarkannya, aku akan berikan kamu semua contoh. Mengelakkan daging dijadikan sebagai Samanya Dharma dalam ajaran Buddha. Tapi, apa yang kita lihat hari ini di negara-negara yang memayungi ajaran Buddha itu? Di sana, hampir semua penganut ajaran Buddha melahap daging. Berbeda pula dengan perolehan melalui agama kita. Resi-resi kita dan penyusun Dharmasastram mempunyai kepahaman yang mendalam mengenai ciri-ciri semulajadi manusia. Mengelakkan daging cuma dibataskan kepada orang-orang atau masyarakat tertentu. Tapi yang lain boleh sahaja mengikut contoh kelompok kecil tersebut. Contohnya, pada hari berpuasa akan ada peristiwa-peristiwa perayaan penting seperti ulang tahun kematian ibu bapa atau pada hari-hari suci yang merayakan para dewa maka semua pun akan berpantang daging.

Agama-agama yang berkembang suatu ketika dulu di negara-negara lain yang mempunyai bentuk tatakelakuan yang mencakupi seluruh masyarakat yang menganutinya pun sudah pupus. Di rantau Barat, agama Helleni sudah pupus. Di TImur pun hanya ada beberapa kerat orang yang mengamalkan agama Shintoisme, Taoisme atau Konfusianisme. Agama seperti ajaran Buddha, agama Kristian dan Islam pun menyerkap semua sekali penganutnya dengan tiada lapisan-lapisan lagi. Penganutnya di merata-merata negara tak menemui kepuasan jiwa sebenar pun. Banyaklah orang-orang yang menganut agama tersebut atau yang asal dari keluarga yang menganut agama tersebut mula hilang kepercayaan terhadap agama tersebut. Sama ada mereka bertukar menjadi Ateis atau kembali ke aliran-aliran pemikiran Hindu seperti Yoga Bakti dan Gnana.  

Susahlah hendak dikatakan tentang berapa lama orang ramai akan terus setia dengan agama-agama yang terbit di pelbagai negara sejak samaya sejarahnya. Aku katakan begini bukan kerana aku ini mewakili penganut Hindu dan Brahmana atau aku bercakap sebab ingin menjatuhkan agama lain. Harapan aku sebenarnya supaya orang ramai yang mengikut agama yang pelbagai itu tetap dalam lipatan agama mereka dan menemui kepuasan kerohanian dalamnya. Aku tak pernah menjemput sesiapa pun untuk menganuti agama aku atau kepercayaan aku. Sebaliknya, aku percaya bahawa berbuat begitu adalah sesuatu yang berlawanan dengan dasar-dasar agama kepercayaan aku.

Tiada suatu apa pun yang berlaku secara kebetulan dalam loka ini. Orang ramai dengan pelbagai tahap kematangan dilahirkan dalam agama yang berbeda-beda. Yang ini memang sudah ditetapkan oleh Nya. Aku percaya bahawa seseorang manusia itu bertumbuh rohaninya itu dengan mengamalkan dasar-dasar agama kelahirannya. Aku bercakap jujur tentang apa yang ku rasai sebagai satu ciri yang berbaloi dalam agama orang Hindu. Ciri ini tak kedapatan dalam agama lain. Bukan aku hendak memburukkan atau mempengaruhi orang ramai masuk ke lipatan agama Hindu.

Orang bukan Hindu menyerang ciri istimewa dalam agama kita tanpa bersusah payah cuba memahami dasar-dasar agama Hindu manakala ada pula orang Hindu sendiri yang dipengaruhi oleh pandangan orang-orang bukan Hindu itu. Maka, ini penyebabnya aku terpanggil untuk bercakap mengenai doktrin-doktrin berbeda dalam agama kita. Penerimaan terhadap konsep seperti karma, jelmaan-Nya dan lain-lain sebenarnya tak akan menggoncang pun keterikatan mereka terhadap kepercayaan dasar mereka terhadap agama mereka sendiri. 

Apakah konsep asas bagi sebarang agama itu? Dasar-dasar kehidupannya atau penghayatannya? Dasar agama Hindu itu, kepercayaan kepada-Nya dan kebaktian kepada Nya. Bagi mereka yang bukan Hindu, tapi memandang konsep agama Hindu ini dengan simpati (menerima perbedaan) sebenarnya bukan bermaksud hilang kepercayaannya dalam agamanya sendiri. Ku sebut semua ini kerana aku pikir bahawa penganut agama-agama lain bersusah-susah bukan sebab aku mempunyai sebab untuk suka jika mereka susah. Aku gemakan pandangan-pandangan pelajar-pelajar agama seperti Toynbee, Paul Brunton dan Kostler. Aku cuma mengulang semula pandangan bahawa kekurangan kepercayaan dalam agama atau Atheisme itu sedang berkembang sehari ke sehari di mana-mana sahaja. Agama-agama lain pun mengalami keadaan begini dalam pergelutannya untuk wujud. 

Gaya begini dilihat timbul juga di negara kita, negara India. Tapi orang asing yang mengkaji agama kepercayaan serata dunia sebulat suara dalam pandangan mereka bahawa di India keadaannya masih lagi lebih baik berbanding tempat lain. "Desakan keagamaan tidaklah sampai ke tahap menyedihkan di negara anda, dan diberitakan ramai Sadhaka, resi-resi masuk ke India dalam bilangan yang besar juga". Sedikit berpikir patut membayangkan tanpa keraguan pun bahawa rasa keagamaan sedang menurun dan Atheisme sedang meningkat di India. Ia disebabkan oleh penghapusan warna dharma dan juga kepercayaan bahawa penganut agama Hindu itu patut tidak dibedakan tanggungjawabnya, adhikaranya atau dharmanya pada jatiniyam.        

Apabila terdapat perbedaan dalam kalangan penganut agama dalam banyak caranya, kita pun pikir bahawa tak akan ada kesatuan atau integriti dalam kalangan mereka. Nampak bagi kita kononnya agama begitu akan hancur lebur disebabkan oleh pergelutan dalaman. Sejak zaman Aleksander Agung lagi, tanah Hindu sudah dijajah dan dijarah oleh gelombang demi gelombang orang asing dengan bermacam-macam agama. Lihat semula, pembahagian dalam agama kita dan juga penaklukan asing yang bertali-tali. Sepatutnya, agama orang Hindu pastilah hancur menjadi abu sahaja. Tapi sebaliknya pula tidak terjadi begitu. Agama yang tak ada pengkhususan dan pembahagian dharma menurut jati dan yang mengajarkan bahawa semua lapisan masyarakat untuk mengamalkan upacara dan dharma yang sama pastilah akan menghilang dalam arus masa. Tata agama yang serupa masih berada pada hari ini pun berhadapan dengan bahawa sebagai yang dipersaksi oleh kelompok cendekiawan dalam kalangan penganutnya sendiri. 

Tapi, agama orang Hindu yang menurut kepada lapisan demi lapisan masihlah wujud tak hapus-hapus walaupun mengalami pelbagai penjarahan. Haruslah kita cuba memahami rahasia di sebalik kelestariannya tanpa terbawa-bawa oleh emosi. Kita ini mengamalkan warna dharma sejak berkurun-kurun lamanya dan ia masih lagi berterusan sebagai kuasa kehidupan. Apa rahasianya itu? 

Atau pikirlah begini. Tugasan Brahmana itu adalah untuk memelihara segala mak neneknya mantra. Tapi adakah Brahmana itu kaum yang majoriti? Tidak! Adakah kaum Brahmana ini menikmati kuasa besar darai segi ketenteraan atau pemerintahan? Tidak! Adakah kaum Brahmana sekurang-kurangnya mempunyai kuasa ekonomi atau mendapat peluang mencapai kekayaan loka maya ini? Tidak! Baru-baru ini sahaja, ada dalam kalangan kaum Brahmana mula menceburkan diri dalam bidang-bidang berkaitan kewangan dan mencari kekayaan melebihi batasan sepatutnya. Hal ini sebenarnya tidak disukai oleh Dharma Brahmana!

Bagaimana dan kenapa jati-jati lain menerima pembahagian dharma masyarakat yang dianjurkan dalam sastram dan juga memberi perlindungan kepada kaum Brahmana yang tak ada kekuatan ekonomi mahupun bilangan jiwa? Tokoh-tokoh agung seperti Siddhartha Gautama dan juga Mahawira bangkit untuk mengisytiharkan bahawa, "Kita tak perlukan weda-weda dan tak perlu menjalani yagna sebagai yang dianjurkan olehnya. Biar kita semua jalani dharma yang serupa tanpa pembahagian. Kita tak perlu bahasa Sanskerta juga. Mari kita catit segala sastra-sastra baru dengan bahasa Prakerta dan bahasa Bali yang dipahami orang-orang biasa.

Memang benar beberapa orang itu terpujuk menganuti ajaran Buddha atau ajaran Jina tetapi tarikan terhadap agama-agama tersebut hanyalah sementara sahaja dan kedua-duanya pun kemudian mengecut semula. Agama berdasarkan pustaka weda purwa juga yang timbul kembali dengan tenaga baru. Seorang yang agung pernah menyanyikan sebagai berbunyi, "Ia menjadi satu keajaiban tatkala jiwa itu berada dalam tubuh dengan sembilan sela (nawadwara atau sembilan pintu). Jika ia terlepas darinya maka tak ada lah lagi keajaibannya". Jadi tak menghairankanlah jika agama Hindu itu terpupus disebabkan oleh terdedahnya ia secara berterusan dari luar. Namun, ia merupakan satu keajaiban kerana ia tak pernah mati atau hilang nyawanya.

Jika kepercayaan-kepercayaan lain di India sendiri dan di luarnya pun mula hilang dan jika agama kita ini sendiri masih kekal untuk 10,000 tahun lagi... Adakah ini bererti bahawa ia mempunyai sesuatu yang agama lain tak ada? Ya. Agama lain tak mengenalpasti warna dharma. Pembaharu-pembaharu dalam agama Hindu cuba membahaskan bahawa warna dharma ini yang menyebabkan perpecahan masyarakat Hindu secara keseluruhannya! Hakikatnya, warna dharmalah yang sebenarnya memeliharanya dan menyebabkan agama Hindu bertahan merentasi masa walaupun gigih diserang oleh bangsa luar. Ia mengenalpasti bahawa manusia itu bukan semuanya berkebolehan yang sama dan serba boleh.

Berikutnya, dharma ini mempunyai ciri-ciri yang tinggi dalam konsep seperti keseimbangan, yang penting untuk kebaikan semua orang. Masyarakat Hindu memang dibahagikan pada dasar yang ini, tetapi harus juga disedari bahawa pembahagian ini yang membantu agama Hindu terus terpelihara mengatasi kejadian serangan ke atas masyarakatnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan