Selasa, 24 September 2013

Jati Cheam Hindu


Kini terdapat kira-kira 60,000 jiwa orang Cheam yang beragama Hindu. Namun mereka tidak begitu tajam dalam pengamalan jati warnasrama. Kemungkinannya pada samaya lampau, kebanyakan mereka dari jati Kesatria Nagawangsa sedangkan sekelompok kecilnya adalah bangsa Brahmana.

Candi dikenalilah dengan nama Wimong atau Thap sahaja dalam bahasa Vietnam. Di Vietnam sana ada 44,000 orang Cheam Brahmana. Nenek moyang orang Cheam barangkali berhijrah dari kepulauan Borneo sana ke Indochina. Catitan mencatatkan bahawa kerajaan Cheam sudah bermula sejak kurun ke-2 M. Ia mencapai kegemilangan pada kurun ke-9 M. Kerajaan ini mengawal tanah dari Hue moden sampai ke delta Mekong di Selatan Vietnam moden. Ia sangat makmur dengan perdagangan kelautan dengan barangan keluaran kayu cendana, hamba dan mungkin juga kegiatan melanun.

Tradisi Cheam mendakwa bahawa penemu negara Cheam adalah seorang wanita bergelar Po Nagar. Beliau seorang gadis dari keluarga peladang di pergunungan Dai An dalam negeri Khanh Hoa moden. Semangat mendorong beliau belayar pada sekeping papan cendana sampai ke China. Di sana, beliau berkahwin dengan seorang pewaris keluarga diraja dan mereka beranak dua. Beliau kemudian menjadi ratu Cheampa.

Pelawat Arab bernama al-Dimashqi mencatatkan pada 1325 bahawa negara Cheampa dihuni oleh orang Hindu dan Muslim. Orang Muslim masuk ke situ mencari suaka ketika pemerintahan khalifah Osman... dan khalifah Ali. Ramai orang Muslim dihalau semasa pemerintahan wangsa Umayyah di Syria dan oleh gabenor Hajjaj melarikan diri sampai ke negara Cheampa pun ada.

Catitan Daoyi Zhilue menyatakan bahawa pedagang China yang berdagang di pelabuhan Cheampa berkahwin dengan wanita di situ. Mereka kadangkala pulang ke China selepas berdagang. Seorang pedagang China dari Quanzhou di Fujian namanya Wang Yuanmau berniaga besar-besaran di Cheampa serta berkahwin dengan puteri raja Cheam.

Pada kurun ke-12 M, orang Cheam berperang dengan orang Hindu Angkor di sebelah Barat. Pada 1177, orang Cheam menghantar tentera menyerang tasik Tonle Sap dan menjarah ibu negara Khemir. Pada 1181, mereka dikalahkan dan dihalau raja Jayawarman VII.

Kerajaan Cheampa mula merosot dan tersepit di tengah-tengah empayar Khemir pada 800 M dan serangan Vietnam di utaranya. Pada 1471, orang Vietnam menapik Cheampa dengan teruk sampai kalah. 12,000 orang Cheampa ditangkap atau dibunuh. Negara mula berpecah belah sampai pusatnya berada di Nha Trang menjadi terbatas. Antara 1607-1676, raja-raja Cheampa seorang demi seorang berubah salin agama. Agama Islam mula dianuti oleh orang Cheampa bersama raja-raja mereka.

Mereka mengamalkan adat perpatih sama seperti Nair di India Selatan dan orang Minang di Sumatera. Warisan diturunkan menerusi ibunda. Disebabkan hal ini, negara Vietnam membuat perundangan 1499 melarang perkahwinan wanita Cheam dengan semua lelaki Vietnam tak mengira kedudukan dalam masyarakat kerana bimbang Vietnam dikalahkan menerusi wanita Cheampa. Kerajaan Vietnam turut mengeluarkan arahan di ibu kota merekaa supaya membunuh semua orang Cheam dalam rantau itu.

Selepas kejatuhan wangsa Ming di China kerana digulingkan wangsa Ch'ing yang berbangsa Manchuria maka ramailah pengungsi China lari ke selatan dan berdiam dalam tanah bangsa Cheam dan di Kemboja. Lelaki Cina muda ramai berkahwin dengan wanita Cheam. Anak-anak mereka lebih berkebudayaan Cina jika dibandingkan dengan kebudayaan tempatan. Kejadian pelarian Cina masuk ke Cheampa dan Kemboja berlaku sekitar kurun ke-17 dan ke-18 M.

Penaklukan berpanjangan oleh Vietnam sampai 1720 menyebabkan kerajaan Cheampa masuk terus dalam jajahan Vietnam dan menjelang kurun ke-19 M, mereka diserap oleh raja Vietnam iaitu raja Minh Mang menjadi rakyat Vietnam. Dalam pada itu, raja Cheampa terakhir yang menganut agama Islam, Po Chien mengumpulkan rakyatnya di perhuluan dan lari ke selatan masuk ke Kemboja. Mereka yang di sepanjang pantai pula lari ke Terengganu di Malaysia moden. Yang lain lari ke utara masuk ke Pulau Hainan di empayar China dan kini disebut sebagai orang Utsul.

Tempat perlindungan orang Cheampa di Kemboja dan bertempat tinggal bersama raja mereka dalam pelarian masih disebut dengan nama Kompong Cheam. Banyak yang berterabur di lembangan Mekong. Yang tinggal di negara asal mereka di Nha Trang, Phanrang, Phanri dan Phandiet di Tengah Vietnam diserap menjadi orang Vietnam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan