Sabtu, 25 Januari 2014

Agama Mesopotamia: Empayar Assyria Baru


Agama masyarakat di empayar Assyria Baru, 911-605 SM, kadang-kala digelar agama orang Ashuri oleh orang Assyria moden, berlegar sekeliling raja Assyria sebagai raja di tanah mereka. Namun, kerajaan pada ketika itu dihubungkan juga dengan mandat dari kayangan. Bila disebut mengenai tamadun lama saja, mesti kita semua akan teringat mengenai pandangan masyarakat tamadun China terhadap kesahihan pemerintahan maharaja mereka bukan? Sebenarnya pandangan ini ada di merata sahaja pada samaya purwa.

Raja Assyria, walaupun bukan digelar dengan gelaran deva seperti dalam ajaran Brahmana di Asia Tenggara, tapi diisytiharkanlah sebagai ketua pelayan bagi deva utama kota mereka, deva Ashur. Dengan cara ini, kekuasaan raja dilihat sebagai mutlak selagi pendita agung mengesahkan kepada orang ramai yang percaya dengan devata, atau bagi orang Assyria yang berfahaman Henotheis (fahaman seperti fahaman setengah orang Hindu juga), yang memuja hanya Sang Hyang Tunggal, bahwa kayangan itu suka dengan pemerintah sedia ada. Bagi masyarakat Assur di dalam negara-kota dan sekitarnya, rupakara ini adalah satu kebiasaan saja. Bagi mereka yang dijajahi pula, keadaan ini cuma sesuatu yang direka-reka oleh bangsa yang menjajah mereka, terutamanya penduduk di negara-kota kecil-kecil. Masa demi masa, deva Assur diangkat daripada hanya menjadi deva penunggu tempatan (kaval deivam) kota Assur kepada penunggu segala jajahan Assyria yang merentasi rantau Caucasus dan Armenia di Utara sampai ke Mesir, Nubia dan Arabia di Selatan, dan Cyprus dan Mediteranea Timur di Barat serta ke Tanah Parsi di Timur.

Pemujaan dijalankan dengan namanya di seluruh jajahan Assyria. Dengan pemujaan ini sampai sejauh Tanah Arabia Utara, raja-raja Assyria boleh memastikan "rakan-rakan" baginda yang melayani deva Assur pun setia dengan kerajaan pusat di Mesopotamia. Deva Assur, penunggu kota Assur dari Samaya Gangsa Lewat, seringkali pula bersaingan dengan devata penunggu kota Babilon, deva Marduk.

Itihasa Kemudian

Negara kota Babilon agak lambat sedikit berkembang dalam kekuasaan dan pengaruhnya. Ia berkembang bawah pemerintahan wangsa Kaldani (ahli nujum), yang mengambil alih kuasa dari saudara sebangsa mereka di utara. Namun, raja Babilon yang terakhir, dilahirkan sebagai bangsa Assyria bernama Nabonidus, kurang mengambil perhatian terhadap hal politik negara. Baginda terlampau obses dengan pemujaan deva Bulan, deva Sin dan menyebabkan pemerintahan jatuh ke tangan anakanda baginda, Belshazzar.

Keadaan ini menyebabkan bangsa Parsi dan bangsa Medes di Timur mula berkuasa dan kekuasaan orang Assyria yang mengekang mereka berkurun-kurun lamanya pun kendur. Keadaan ini nanti menjadi penyebab kematian kerajaan orang asli Mesopotamia.

Pada 539 SM, Mesopotamia dijajah pula oleh empayar Parsi yang diperintah oleh maharaja Korush Agung. Keadaan ini mengakhiri penguasaan bangsa Semitic selama 3000 tahun di Timur Dekat. Orang Parsi mengekalkan dan tidak masuk campur dalam keagamaan dan kebudayaan orang Semitic di Assyria dan Babilon. Kesemua budaya dan agama mereka wujud sebagai entiti terjalin dalam empayar Parsi, dan Assyria pun sebenarnya masih lagi mempunyai kekuatan buat memberontak melawat empayar Parsi pada 522 dan 482 SM.

Dua satavarsa kemudiannya dalam 330 SM, maharaja Alexander Agung dari Macedonia menjatuhkan kekuasaan bangsa Parsi dan mengawal Mesopotamia, sekaligus membawa pengaruh Helleni ke dalam rantau itu menerusi empayar Seleucid. Negara Assyria dan negara Babilon menjadi negeri-negeri silih berganti dalam empayar-empayar seperti empayar Parthia atau Parsi yang menjajahi Babilon dan empayar Romawi yang menjajahi Ashuristan (Assyria). Babilon diserap terus masuk menjadi bahagian dalam empayar Parsi, walaupun Assyria bertahan juga dan tidak mampu diserap oleh Romawi menjadi bangsa Romawi. 

Agama Kristian mula terpacak pada kurun ke-1 M dan negeri-negeri Assyria baru seperti Adiabene, Osroene, Assur dan Hatra serta negara Suryani, Palmyra pun mula menjadi bebas. Negara ini semua diperintah oleh pemerintah yang menganut agama Kristian dan agama Yahudi. Aliran Jnana dalam keagamaan Sabian (memuja menerusi bintang dan planet) dan ajaran Mandea pun terkenal juga, walaupun agama-agama tempatan masih lagi diamalkan dalam kalangan penduduk perhuluan. Devata seperti Ashur (Matahari) dan Sin (Bulan) masih lagi dipuja sehingga sekurang-kurangnya kurun ke-4 M. 

Kota Assur masih lagi berpenghuni sampai kurun ke-14 M apabila penduduk Assyria yang sudah beragama Kristian dibunuh beramai-ramai oleh maharaja Mongol, Tamurlane. Terdapat juga bukti menunjukkan bahawa agama lama Ashuri masih lagi diamalkan sekitar Harran sampai lewat kurun ke-17 M oleh sebilangan kecil orang Assyria.  

Dalam kurun ke-3 M, ada satu lagi agama tempatan di Mesopotamia berkembang iaitu agama yang diajarkan oleh resi Mani. Agama itu mempunyai unsur-unsur seperti agama Kristian, agama Yahudi, ajaran Buddha dan juga ajaran Zaratosht, serta unsur-unsur Mesopotamia yang asli. Pada suatu ketika, ia bersaing pula dengan agama Zaratosht dari Parsi dan agama Kristian. Namun, pengaruh agama ini mati disebabkan oleh hukuman yang dikenakan oleh pemerintah Parsi yang beragama Zaratosht dan kemudiannya dipadamkan oleh orang Arab yang kebanyakannya beragama Islam (ada orang Arab beragama Kristian dan Yahudi juga).

Bagi seluruh samaya Assyria berkuasa dan sampai ke samaya Seleucid dan Babilon pun, Assyria masih lagi kekal dengan jati kebangsaannya dan menjadi juga pusat keagamaan Kristian terkenal bagi rantau Mesopotamia (Iraq), utamanya bagi upacara agama Kristian Suryani Timur yang tersebar ke Timur Dekat (Anatolia) dan juga ke Timur Jauh di Asia Tengah, India, Mongolia dan China oleh paderi-paderi pengembara mereka. Ia masih lagi wujud menjadi agama orang Assyria sampai ke hari ini dalam bentuk gereja-gereja seperti Gereja Assyria Timur, Gereja Katolik Kaldani (Iraq) dan Gereja Purwa Timur. Pelbagai aliran Jnana seperti yang terdapat dalam agama Sabian dan Mandean pun muncul dan masih ada lagi sampai ke hari ini. 

Selepas penaklukan orang Arab dari luar dan juga penaklukan kurun ke-7 M, Assyria pun mula hancur. Selepas beberapa satawarsa, Mesopotamia menyaksikan kebanjiran orang asing yang bukan penduduk tempatan tetapi beragama Islam masuk ke situ. Penduduk tempatan Mesopotamia yang berbangsa Arab juga, berbangsa Kurdi, bangsa Turki dan juga bangsa Assyria mengekalkan jati kebangsaan bangsa mereka sendiri, budaya dan agama sendiri. Sampai masa kemudiannya mereka menjadi suku kaum minoriti sahaja. Proses ini disempurnakan lagi dengan pembunuhan orang asli Assyria oleh Tamurlane pada kurun ke-14 M, dan selepas itu kota Assur pun ditinggalkan orang habis.

Namun, langgam-langgam bahasa Aramia baru masih lagi terselamat sampai ke hari ini dituturkan dalam kalangan 5 peratus orang Mesopotamia yang terselamat daripada pembunuhan besar-besaran, proses Arabisasi dan proses Islamisasi. Harus diingat juga bangsa Assyria dan bangsa Arab sebenarnya bangsa serumpun sahaja jadi proses begini boleh terjadi dengan lebih pantas lagi. Orang ini semua wujud lagi sampai hari ini menjadi bangsa Assyria moden yang tiada negara sendiri. Kadangkala disebut juga sebagai bangsa Chaldo-Assyria (Suryani Tukang Nujum) yang keseluruhannya beragama Kristian tradisi Timur. Mereka memakai bahasa sembahyang Aramia Baru yang diperturun oleh bahasa Aramia yang dituturkan di Mesopotamia kira-kira pada 1200 SM dan masih lagi mempunyai beratus-ratus kata pinjaman dari bahasa Semitik Timur Purwa, bahasa Akkadia serta tatabahasanya.   

Mereka menamakan juga anak-anak mereka dengan nama-nama tradisi purwa seperti Ashur, Shamas, Semiramis, Lamassu, Ninus, Lilitu, Sargon, Sharrukin, Sennacherib, Hadad dan lain-lain. Nama-nama bulan dalam penanggalan Assyria pun memakai nama devata lama. Penanggalan moden Assyria pula boleh dikesan berasal dari tradisi sama yang diamalkan oleh kota Ashur purwa dan juga devata, Ashur.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan