Selasa, 21 Januari 2014

Chitrai Purnami


Chitra Purnami atau Chittirai Purnima, merupakan upacara keagamaan Hindu yang dijalankan pada ketika bulan mengambang bulan Chitra (April-Mei). Kalau tahun 2014, tanggalnya jatuh pada 14 Mei 2014. Ia bermula pada jam 1:12 pagi pada 14 Mei dan ditutup pada 12:21 pagi 15 Mei di Tamil Nadu. Upacara dan perayaan ditujukan buat Sang Citra Gupta, penjaga karma dalam perumah Yama Deva, dan juga Sang Indra, raja devata.

Orang ramai akan menjalankan snanam dalam sungai dan kolam-kolam suci bagi membersihkan diri dulu. Kemudian pemujaan tertentu dijalankan di pura-pura penting negeri Tamil atau di tempat yang mempunyai penduduk keturunan Tamil. Pemujaan Deva Indra diadakan pada hari itu di Pura Sri Madurai Minakshi.

Caritra

Bagi penganut agama-agama Hindu, Sang Citra Gupta merupakan pembantu sulung Sang Yama, yang menyimpan catitan perbuatan baik dan buruk segala makhluk di muka bumi. Selepas kematian, kalau sesuatu jiwa itu sampai ke istana Yama, dia akan dipertontonkan segala perbuatannya itu dan haruslah mengakuinya kepada Sang Yama. Upacara pemujaan nanti dijalankan bagi penganut untuk meminta supaya Citra Gupta masuk campur dan meminta ampun buat mereka.

Cetera lain yang tak kurang pentingnya dikaitkan dengan perayaaan ini, melibatkan juga Sang Indra, raja kahiyangan dan Guru nya, Brighaspati. Terjadi pertelingkahan antara mereka berdua, maka Guru Brighaspati berhenti menasihati anak muridnya. Tanpa ajaran Guru, Sang Indra berbuat dosa banyak sekali. Guru Brighaspati kemudian mengalah sahaja lantas mengambil semula adhikara nya. Beliau menasihati Sang Indra supaya pergi berthirtayatram di bumi sana bagi mengangkat segala bebanan dosa yang diperbuatnya semasa ketiadaan Guru. 

Pada hari thirtayatramnya itu, Sang Indra tiba-tiba sedar bahawa baginda dibebaskan dari dosanya. Baginda melihat sekeliling dan ternampak bahawa ada Sivalingam bawah pokok Kadamba. Baginda sangatlah pasti bahawa Betara Siwa yang membantu baginda mengangkat dosa-dosa semua. Baginda pun memuja Sivalingam dan terkejut lah baginda apabila baginda terjumpa teratai emas dalam tasik berdekatan. Baginda memuja tabik Betara Siwa dengan menyemahkan teratai emas tersebut. Peristiwa ini terjadi semasa Citra Purnami, dan tempat itu adalah dalam kota suci Madurai, Tamil Nadu. Bagi mengingati kejadian itu, maka perayaan diadakan di Pura Sri Madurai Minakshi, sekaligus diadakan juga pemujaan (peringatan) Sang Indra. Upacara dijalankan panjang sekali, dan ada juga semahan nasi istimewa diperbuat untuk Sang Citra Gupta.

Upacara hari ini penting juga buat wanita sekelian. Ia merupakan hari memberi peringatan buat kematian. Menurut caritra, Sang Citra Gupta dijelmakan oleh Parvati Devi menerusi lukisan maka digelarlah ia Citra Putra. Kemudian, dia masuk ke saluran peranakan Kama Dhenu dan terlahir pula pada peristiwa bulan mengambang maka digelarlah ia Citra Gupta menjadi pembantu Yama Dharma Raja dalam penyimpanan Papa-Punyam karma. Tersebut bahawa pemujaan (peringatan) yang dijalankan untuknya itu dengan Cakkarai Pongal dan bahan-bahan tanpa garam akan membawa kesukaan sepanjang tahun pula buat keluarga yang membuat semahan itu.  

Perayaan di Kerala

Perayaan ini dirayakan dengan lebih beragama di Pura Mangala Devi terletak di Kumily di Idukki. Pura itu dibina dengan gaya senireka Pandiyan ditujukan untuk Kannagi Amman, watak utama dalam cetera Cilappatikkaram. Pura berusia 2000 tahun itu ditutup sepanjang tahun dan cuma dibuka bagi peristiwa Chitra Purnami sahaja! Yang berdharmayatram dari negeri Tamil yang berjiran pun ramai juga.  

Pantang 

Bagi yang menjalankan upacara, mereka akan berpuasa pula. Yang bukan jati Brahmana pula dibenarkan makan daging, tapi dilarang peram daging dengan garam. Daging yang dibenarkan pun seperti daging arnab (kelinci). 

Harus dielakkan pengambilan susu dan bahan-bahan tenusu pada hari itu kerana Citra Gupta turun dari Kama Dhenu. Tapi boleh ambil susu kerbau jika ada. Kemudian, selepas puja dan naivedhya, boleh danakan nasi, sayuran, kacang parpu (dhal), dan daksina dalam sebuah "muram".

Nanti akan dilukis jua Padi Kolam (lukisan atas lantai) dengan arah selatan dibiarkan kosong sebagai lambang jalan masuk buat Citra Gupta. Selepas pemujaan selesai maka kolam itu akan segera disapu bersih. Pemujaan turut diadakan untuk dewi penunggu Minakshi Amman dan juga Kallazhagar kerana dikatakan membawa hasil juga.

Penerangan

Dikatakan bahawa Citra Gupta itu adalah perkataan yang sama dengan Citta. Pemujaan yang dijalankan itu cuma antahkarana sahaja. Citta itu mewakili sisa-sisa ingatan kita saja dari segala kelahiran. Gupta itu rahasia. Maka ia membawa pengertian kepada rahasia segala ingatan kita.

Semasa kematian dan ketika kehidupan dalam janin, terdapat rakaman yang kita umpamakan sebagai "mikrochip" yang merupakan bahagian citta bagi antahkarana kita. Ia akan memainkan semua babak-babak dalam kehidupan kita yang lampau itu semasa kita sedang nazak nak tercabut nyawa. Ia akan membuka semula lipatan depan kita berdasarkan data yang terakam dan segala pusingan karma kita itu masuk dalam tayangan itu.... 

Maka, yang ini digambarkanlah sebagai pustaka yang dipegang oleh Sang Citra Gupta. Bukan Citra Gupta yang merakamkannya sebaliknya kita sendiri yang merakamnya.... Bulan purnama itu bulan yang mengambang. Ia pastinya memberikan kesan juga kepada antahkarana kita yang terdiri daripada manas, buddhi, chitta dan ahamkara. Yang pendeknya kita cuma sebut sebagai "hati dan akal".

Pengertian

Dewasa ini ada banyak jenis cara dijalankan untuk perayaan ini termasuklah di negara-negara Asia Tenggara seperti di kawasan Klang di negeri Selangor dan lain-lain. Namun dijelaskanlah dalam Thirukkural buat renungan rakan-rakan bahawa....
"Orang yang memadamkan gerbang pancaindera itu, dalam jalannya mengelakkan sebarang ketidak ikhlasan hati, mereka yang berdiri itu; maka panjanglah usianya".
Citra Gupta atau penyimpan catitan karma dan pembuat rayuan kepada Sang Yama, bagi pengampunan kesilapan jiwa. Peringatan yang dijalankan setiap tahun itu adalah untuk semua makhluk dalam planet bumi ini. Tujuannya supaya ia dapat membantu memperingatkan orang ramai supaya memperbaiki perbuatan sendiri. Cara dalam pengangkatan jiwa menerusi penilaian diri menurut rupakara tradisional ini sebenarnya banyak terpakai dalam samaya Vedika dan ditekankan oleh ramai resi dan yogi sepanjang samaya purana. 

Sang Yama Dharma Raja, wakil kematian, itu turut mewakili lima perjanjian tatasusila makhluk. Dalam bahasa Tamil, baginda digelar sebagai காலன் Kālan yang bererti, penjaga ajal dan masa. Baginda ini diberikan pertanggungjawab buat mengesahkan ஆல் காலன் Āl Kālan (jangka hayat) kita. 

Kadangkala, orang sekarang ini tak menjalankan pun proses tradisional penilaian diri itu dan menganggapnya sebagai tak berguna bagi setengah orang kerana membuang masa kata nya. Penilaian diri ini, tak kira dalam apa jua bentuk pun, tetaplah penting sepanjang yugam pun. Ada banyak penyebab kebaikan yang akan diberikan olehnya. Ia memberikan tapak bagi diri buat menambahkan lagi nilai-nilai baik dalam diri.  

Cara Agama

Penilaian Diri

Bermula dengan Chitra Purnami itu, cuba duduk bersunyi sepi dan sendiri-sendiri renungkan diri itu. Pilih tempat yang sesuai, contohnya tempat yang bebas gangguan dan tersembunyi, seperti dhyana mandapam, bilik semahiyang atau bilik yang mempunyai pengaruh alam sekeliling yang luas. Tetapkan ketenangan diri. Gunalah segala macam rupakara pun untuk menenangkan diri engkau. Nak bakar colok, nak pasang wangian, nak buat apa pun buat lah tapi pastikan diri engkau duduk berdiam-diam. Jangan dedahkan diri kalau tak perlu. Pastikan kau berada dalam keadaan positif saja, tak mau negatif!!!

Mulakan dengan semahiyang pilihan engkau.....
  • Disiplin diri.
  • Kawal diri.
  • Kesedaran diri.
  • Usaha kendiri.
  • Pembelajaran kendiri.
  • Pemikiran kendiri.
  • Kemajuan kendiri, apakah kebaikan engkau?
  • Keyakinan diri.
  • Kesedaran diri.
  • Kecukupan diri.
  • Kekuatan dan sakti, pikirkanlah mengenai kekuatan semulajadi engkau.
  • Kelemahan.
Sediakan diri engkau. Kenalpasti titik matlamat bagi diri kita untuk tahun depannya...........

Masa Lampau

Adakah tahun lepas kau buat baik atau buat jahat? Kau buat mana satu yang beratnya? Kau puas hati atau tidak? Kalau tak puas hati berikan sebabnya, kenapa???! Apakah yang kau anggap sebagai pencapaian penting kau tahun lepas? 

Masa Depan

Apakah tugasan yang kau anggap penting pada taun akan datangnya pula? Apakah tindakan yang kau boleh ambil untuk memperbaiki segala perbuatan engkau dan tugasan engkau? Cuba cari jalan untuk kaitkan perkembangan kendiri dengan perkembangan minat dan kesukaan yang engkau cenderung kepadanya itu.

Periksa Diri

Cuba renungkan dan ukurkan masa lampau dengan masa depan. Lihat semula perbuatan, contohnya kegiatan, tugasan, matlamat, pencapaian, satu demi satu, asingkan semuanya satu demi satu...

Sedarlah bahawa tahun demi tahun, hari Citra Purnami itu, Sang Citra Gupta sedang memeriksa amalan baik dan buruk kita dan menyimpan segala karma kita. Nanti segalanya akan dilaporkan kepada Sang Yama Dharma Raja pula segala yang tersimpan dari perbuatan kita itu. Sangat penting kau hargai masa. 

Jangan buat benda bodoh apabila kau menghadapi kekecewaan dan menyia-nyiakan kewujudan engkau. Contohnya kau mengambil nyawa sendiri semata-mata kecewa kerana awek kau lari, kau kecewa sebab kau tidak lulus peperiksaan, kau kecewa dengan segala yang terjadi. Mulakanlah langkah baik dengan kau periksa semula agama-agama (pustaka agama) supaya jiwa kau berkembang dan menjadi bersinar seperti bintang-bintang di sana....

Menerusi karunia Engkau, seseorang itu menjadi seorang resi, seseorang itu menjadi yang terpelajar, seseorang itu menjadi kaya, dimandikan oleh karunia Engkau dengan segala manikam kemewahan. Begitu jugalah baginda Dewi Saraswati, yang mengaruniai kita dengan kemewahan dan akal - Medha Suktam 

सह नव अवतु । सह नौ भुनक्तु । सह विर्यम् करववहि । तेजास्वि अधीतम् अस्तु । म विद्वि सवहै । ॐ शन्ति शन्ति शन्ति ॐ ॥

Semoga Dia itu melindungi kita berdua. Semoga Dia itu bersenang dengan kita berdua. Semoga kita bekerja bersama dengan kencangnya. Moga pengajian kita ini mencerahkan kita dengan sinaran cahaya. Semoga tiada kebencian antara kita. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan