Memaparkan catatan dengan label perayaan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label perayaan. Papar semua catatan

Rabu, 28 Januari 2015

Thaippūcam

Oṃ Svasti Astu


Pada 3 Feb 2015 ini akan berlangsung lagi perayaan Thaippūcam di pura-pura Hindu orang Tamil. Ia berlangsung pada ketika purnama bulan Thaiṣya mengikut penanggalan Selatan bersamaan penanggalan Utara, pada bulan Pauṣa.

Perayaan ini dilangsungkan dengan penuh gegak gempita di rantau Tamil Nadu di India yang terutamanya serta di beberapa negara lain yang mempunyai warganegara Hindu berketurunan Tamil seperti di:
  • Pesekutuan Malaysia, di negeri-negeri Selangor, Pulau Pinang, Perak, dan Johor.
  • Republik Indonesia, di sebelah Sumatera.
  • Republik Singapura.
  • Thailand di kota raya Bangkok.
  • Kesatuan Myanmar.
  • Sri Lanka.
  • Mauritius.
  • Guadalupe.
  • Reunion.
Penggunaan perkataan Thaippūcam ini terbit dari gabungan penanggalan suryamasa dan chandramasa. Ketika itu, bintang Pushya berada di titik ketinggian. Perayaan ini memperingati peristiwa devi Parvathi mengurniai deva Skandha Murugan sebilah lembing bergelar Śakthivel untuk menghapuskan asura degil bergelar Sūrapadman. Terdapat juga tanggapan salah bahawa perayaan ini adalah sempena penjelmaan deva Skandha. Sebenarnya hari penjelmaan deva ini jatuh pada bulan Vaikāsi atau bulan Vaisāka.

Asal-Usul Thaippūcam

Deva Skandha tercetus semasa peperangan para asura membantai deva-deva. Pada satu tahap, pihak deva menjadi lemah sehingga ditewaskan berkali-kali oleh asura. Deva-deva pun mendekati Betara Śiva memohon sarana. Betara Śiva berjanji untuk memberi pemimpin perwira yang mampu untuk menjadi ketua panglima deva-deva bagi mencapai vijaya atas para asura selepas deva-deva merayu baginda dengan bersungguh-sungguh.

Betara Śiva mencetuskan pahlawan perkasa, Skandha, dari Acintya Śakti. Skandha memegang kepimpinan dalam tentera kayangan, memberi petunjuk-petunjuk dan mengalahkan tentera asura. Untuk memperingati peristiwa ini, pengikut-pengikut baginda Skandha pun memuliakan hari kemenangan deva-deva itu sebagai Thaippūcam.

Menurut Skandha Purana dan kekawin Thiruppugaḷ yang berdasarkan kepada prinsip-prinsip Śaiva Paṃtha, deva Skandha adalah salah satu penjelmaan cahaya suci dan kebijaksanaan Betara Śiva. Pemuja-pemuja bermohon kepadanya untuk mengatasi halangan-halangan hidup kerana dia memusnahkan kegelapan. Teladan di sebalik perayaan ini adalah untuk bermohon kepada Sang Hyang Tunggal supaya memberi restu-Nya bagi menghapuskan ciri-ciri buruk dalam jiva manusia.

Kavadi

Penganut-penganut yang berbakti boleh menjalani kavadi attam atau tarian menanggung beban semasa upacara pemujaan deva Skandha. Kavadi melambangkan penunaian hutang penganut dan permohonan penganut yang dipanjatkan kepada deva.

Umumnya, penganut mengangkat sumpah untuk memakai kavadi bagi memberi persembahan di depan vikraha bagi tujuan menenangkan malapetaka yang muncul dalam hidup mereka. Contohnya, jika anak seseorang penganut itu terkena penyakit berat, maka dia akan bermohon kepada deva Skandha Shanmukha semoga anaknya dilindungi dan boleh terus hidup. Sebagai galang gantinya, dia akan turut serta mengangkat kavadi bagi dipersembah kepada Tuhan menerusi perwakilan deva Skandha.

Sebelum menyertai perarakan, penganut mesti bersedia dengan menyucikan jiwa raga dengan sembahyang dan berpuasa dalam tempoh kira-kira dua hari sebelum menjelang perayaan ini. Makanan satvik saja dibenarkan untuk dimakan dan makan sekali saja sehari. Selain itu, otak dan hati mesti bertumpu kepada Tuhan, dilarang terlibat dalam hubungan berahi dan dilarang berfikiran keji!

Sebelum perarakan di hari perayaan, penganut-penganut mesti mencukur kepala, berdharmayatra di laluan antara dua pura dan menjalani kebaktian sambil menanggung pelbagai jenis kavadi. Tindakan yang paling mudah adalah menanggung kendi susu untuk sesajen dan yang biasa diamalkan seperti mencucuk kulit pipi, lidah dan anggota tubuh dengan cerucuk besi vetrivel atau lambang lembing deva.

Kavadi yang paling ringkas sekali berbentuk separa bulatan dan dihiasi oleh payungan serta cerucuk kayu yang ditanggung di bahu ke pura. Yang berbakti boleh juga mencucuk pipi, belakang tubuh dan lidah dengan cerucuk besi serta cangkuk besi. Tindakan ini membolehkan lidah dan mulut membisu serta menumpukan fikiran penganut hanya kepada deva Skandha dalam menanggung bebanan.

Perayaan

Perayaan ini dirayakan dengan besar-besaran di beberapa negara seperti:
(Sila ketik judul-judul di atas untuk membaca samacara)

Orang Cina dan Thaipusam

Penduduk di beberapa negara seperti Thailand, Singapura dan Malaysia yang berketurunan Cina sesetengahnya turut menyertai perayaan ini. Penganut Taoisme dari cawangan rakyat mengamalkan hal yang hampir serupa dengan penganut Kaumara. Mereka memuja Devata Sembilan Maharaja selama sembilan hari di lautan, sungai dan alur-alur sungai.

Selasa, 4 November 2014

Perayaan Skandha Ṣaṣti

Oṃ Svasti Astu


 

Seperti yang disebutkan sebelum-sebelum ini, tradisi Skandha sebenarnya agak berpengaruh di sebelah Malaysia, Sri Lanka, Thailand dan Singapura terutamanya dalam kalangan warga yang berketurunan Tamil. 

Cawangan Skandha sebenarnya dipelopori oleh seorang Mahākavi dari Kota Kumara, Śrī Kanchi Pura bernama Kacchiapa Śivacharya. Beliau juga merupakan seorang guru dari aliran falsafah Śiva Siddhanta. Perayaan untuk dewa ini berlaku secara besar-besaran di semua pura pengikut Betara Śiva dan Subramanya Kartikeya di India Selatan. 

Perayaan ini memperingati baginda dewa Skandha menewaskan asura Sūrapadman. Acara berlangsung selama enam hari sebelum ditutup dengan upacara nobat pada hari keenam. Bulan Oktober ini, hari nobat berlaku dari 24 sehingga 29 Oktober 2014. Hari keesokannya pula, Thiru Kalyanam atau perwiwahan dewa.

Cara Sambutan
  • Puasa enam hari bermula pada pertama Kartika mengikut penanggalan Chandrasengkala dan berakhir puasa pada hari Sūra Saṃhara.
  • Bacaan kidung pujian untuk dewa dan permohonan sarana.
  • Bacaan cetera dewa Subramanya (Skandha).
  • Berkavadi dan kebaktian seperti mencucuk lidi besi di pipi dan tubuh.
Pusat Perayaan Utama di Tamil Nadu
  • Pura Palani Murugan, 100 km ke tenggara Coimbatore.
  • Pura Swami Malai Murugan dekat Kumbakonam.
  • Pura Thiruthani Murugan, 84 km dari Chennai.
  • Pura Pazhamudircholai Murugan, 10 km utara dari Madurai.
  • Pura Sri Subrahmanya Swami Devasthanam, Tiruchendur, 40 km ke selatan Thoothukudi.
  • Pura Thirupparamkunram Murugan, 10 km ke selatan Madurai.
Pura lain yang tidak kurang pentingnya juga seperti, Pura Marudamalai Muruga, terletak di hujung kota Coimbatore. Yang lain tidak termasuk dalam enam kediaman hinggap dewa Skandha, dikenali sebagai Pura Kukke Subramanya di negeri Karnataka. Semua enam kediaman dewa itu terletak di negeri Tamil Nadu.

Upacara: Nobat Skandha; Sūra Saṃhara Prayascitta
Sambutan: Hari ke-6 Śuklapakṣa, bulan Aippasi (Okt-Nov)
Pura: Śrī Vara Siddhi Vinayaka, Secunderabad
Negeri: Telengana, India
Milik Visual: Hindu Toronto; Youtube Channel
Nota: Pendidikan; untuk pengikut Muruga Skandha sahaja!

Sabtu, 18 Oktober 2014

Selamat Menyambut Perayaan Dīpavali

Om Svasti Astu


Pejam celik, kita sudah pun melangkaui tempoh setahun. Rentetan peristiwa Makara Sankranti atau Surya melintas zodiak Capricorn pun bermula kembali. Brihaspati minggu ini, orang Hindu sekelian akan menyambut peristiwa Dipavali. Pelbagai jenis ceritera melibatkan kitab suci diperdengar kepada orang ramai. Di Singapura, Thailand dan Malaysia, tradisinya mengikut tradisi orang Tamil dan India Selatan. Ia turut disambut oleh penganut Sikh, Buddha dan Jain mengikut tatacara kitab suci dan kebudayaan masing-masing.

Dipavali, bukan saja merupakan perayaan keagamaan dan kebudayaan bagi bangsa Hindu sekelian. Sebaliknya juga, ia merupakan tempoh terbaik untuk berlatih merenung diri di samping kegiatan bersuka-ria bersama keluarga. Nyalakan cahaya kemuliaan di hati kita, bermurah hati, bersimpati dan bersikap empati dengan keluhan kesah makhluk lain. Biar ia bersinar cemerlang dan menyinari seluruh dunia.

Hari-Hari Perayaan

Perayaan ini ditandai oleh kedudukan bulan. Menurut kalendar Hindu, Amavasya atau tempoh tiada bulan merupakan titik terbaik untuk merayakan Dīpavali. Tempoh ini muncul setiap sepurnama dan di bulan Kartik (Nov-Dis). Pada hari itu, kita akan menyalakan panjut pelita atau pelita minyak tanah sebagai simbolik kegelapan disinari oleh cahaya sinaran cemerlang. Perayaan ini disambut selama lima hari untuk lima peristiwa:
(Sila klik di perkara-perkara di atas untuk melihat samacar perayaan, terima kasih)

Untuk adik-adik, jangan merempit pula dan jangan sibuk berpeleseran di merata-rata. Tolong ibubapa dan keluarga untuk persediaan menyambut perayaan serta sambutan-sambutan penting. Bacalah buku-buku agama dan dengar ceramah mengenai peristiwa perayaan supaya sambutan menjadi lebih bermakna.

Asato mā sat gamaya
Tamaso mā jyotir gamaya
Mṛtyor mā amṛtam gamaya
Om śānti śānti śāntihi

Dari ketidakbenaran menuju ke kebenaran
Dari kegelapan menuju ke kecerahan
Dari kematian menuju ke keabadian
Om semoga tenang-tenang hening-hening

Lagu: Mangala Olivisom
Album: Dīpa Rāgā
Penyanyi: Śaraña Jegathesan dan Sukaña Laxshimi
Komposer: Suresh Rogen dan Mansir Singha
Lirik: Suresh Rogen

Rujukan

Untuk bibliografi, silakan klik di sini, terima kasih. Rujuk cara mandi minyak di sini.

Selasa, 15 April 2014

Tahun Baru Sankranti 1936 S

Svasti Srih!

Pic: Allan Wilson

Kita baru saja melalui perayaan Tahun Baru Sankranti pada 14-16 hb April 2014. Ikut perkiraan penanggalan kita pada 24-26 Chaitra 1936 Sakavarsa, Somavara-Budhavara. Perayaan ini disambut di rantau Kencanabumi meliputi Siam, Myanmar, Kemboja dan pengikut ajaran Buddha di Laos sampai ke Yunnan di China. Di Nepal, Bihar, Sri Lanka, Tamil Nadu, Oriya (Kalingga), Bengal, Punjab dan Kerala turut menyambutnya. Penanggalan Vikram Samvat pula memperkira sekarang ini dalam bulan Vaisakha.

Kiraan Penanggalan

Walaupun kita di sini memakai suryacandrasengkala, namun pengiraan Tahun Baru kita diperkira cuma menurut Suryasengkala. Sabdavali Sankranti ini bererti "berubah" dalam bahasa Sanskerta. Ia menandakan masuknya Surya ke Mesa Sankranti (Aries).

Ketika 1012-1044, kebanyakan negara di Srivijaya (meliputi Indonesia Barat, Selatan Thailand, Tanah Melayu sehingga Kemboja) dijajahi oleh empayar Chola dari Tamil Nadu. Maharaja mereka itu menyembah ke maharaja Rajendra Chola. Pengiraan untuk perayaan ini kebetulannya bertembung dengan Tahun Baru Tamil, Puthandu yang mengikuti Nirayanam, Vishuva Musim Bunga (vernal equinox) yang umumnya jatuh dalam 24 atau 25 Chaitra ikut penanggalan Saka. 24 atau 25 Chaitra itu diperkira hari pertama bagi penanggalan Tamil. Ia menjadi cuti umum di Tamil Nadu dan Sri Lanka. 

Vishuva musim bunga khatulistiwa selalunya jatuh pada 1 Chaitra (22 Mac) ditambah 23 darjah getaran kepadanya, maka dapatlah sisi sebenar untuk Nirayanam Mesa Sankranti di sini. Sankranti kita disambut serentak dengan orang Hindu lain di Tamil Nadu, Kerala, Bengal, Manipur, Tripura, Odisha (Kalingga), Punjab, Nepal, Sri Lanka dan Tanah Besar Asia Tenggara.

Cetera

Baru-baru ini perayaan kelihatan seperti dikomersilkan oleh bahagian pelancongan sama ada di Thailand atau di Singapura. Kita tidak pasti jika ini sesuatu yang postif atau negatif. Yang positifnya mungkin budaya Hindu-Buddha daratan dikenali orang tetapi dibimbangi pula semangat sebenarnya luput disebabkan unsur dharma itu digantikan dengan kesukaan melampau menjirus-jirus air bertepung tawar kosong saja tanpa sisipan agama!

Cetera perayaan kita ini terbit dari cetera raja para Brahma, bernama Sri Harsi, kalah bertaruh dengan Betara Indra. Kepala si Brahma pun dipenggalnya disebabkan itu pertaruhan mereka. Kemudian kepalanya diganti dengan kepala gajah, lalu dia menjadi Ganesa. 

Brahma menjadi begitu sakti sehinggakan, jika kepalanya dilontar ke laut maka habis kering terpercik air lautan keluar. Jika dilontar ke tanah pula, pasti besar lopak kawahnya. Jika dibanting ke langit pasti terbakar habis meletup di udara. Betara Indra memerintahkan supaya seorang Phra Kumari kayangan membawa kepala Brahma untuk digantikan setiap tahun baru. 

Maka, Sankranti ini mengertikan perubahan kepala Brahma dari satu tangan ke tangan yang lain (Min Kyaw Min, Perayaan Thingyan).

Sambutan

Maha Sankranti

Hari pertama ini ditandai dengan berpakaian persalinan baru. Perkara biasa diperbuat pengikut ajaran Buddha itu adalah menyalakan colok wangian dan lilin di gedung vikraham. Keluarga-keluarga Hindu yang mengikut kepada Buddha akan menyembah (tabik) ke Phra Guru berterima kasih kerana baginda berkongsi ajaran. Tindakan sembah itu meliputi berdiri lurus dengan puspanjali, tunduk, melutut dan sujud tiga kali dengan berpandukan vikraha baginda sebagai lambang.

Pengikut Buddha mesti menjalani Astanga Arya Marga disertai Pancasila. Makan sekali saja sebelum tengah hari. Uposatha pun dimulakan selepas itu. Pemberian dana disemahkan kepada bhiksu-bhiksu di vihara. Bahan-bahan seperti sesikat pisang dililit dengan pisang hijau dan buah Jambu Keling (Syzgium Cumini) pula disemahkan untuk Phra Guru. Kemudian curah juga Chahamod (air mawar) dari kepala Vikraha.

Upasaka dan upasikan membasuh muka dengan air di pagi hari, membasuh dada di tengah hari dan membasuh kaki di malam hari sebelum tidur itu.

Vinaraka Vanabat

Hari kedua diwarnai dengan pemberian dharma dana untuk membantu orang miskin, pelayan-pelayan, orang merempat dan keluarga-keluarga berpendapatan rendah. Orang ramai ke percandian untuk upacara semah nenek moyang (pitru bali).

Virak Luang Sakra

Hari ketiga ini, Sang Sakra turun dari keinderaan. Penduduk mengikut rantau akan memberi sambutan seperti menembak meriam dan orang ramai pun keluar bersama dengan bekas air dan buah Jambu Keling seraya menuang air ke tanah sambil membaca mantra. Ia dibiar mengalir menerusi ikatan buah Jambu Keling itu. Kemudian vikraha-vikraha Buddha dibersihkan dan dituang air. Ia melambangkan kepentingan air untuk semua kehidupan seperti tumbuhan dan makhluk-makhluk lain. Kemudian semua orang dalam rumah dimandikan bersama-sama. Selepas itu, orang tua akan menasihati yang muda supaya hidup dengan baik.

Pendita brahmana diraja turut akan membuat omkara untuk ramalan tahun baru ini dengan mengikut kepada jenis vahana (binatang) tunggangan Sang Sakra ketika turun ke bumi dan benda yang dipegang di tangannya. Budak-budak digempar supaya jangan nakal takut Sang Sakra menitik nama mereka dalam pustaka anjing. Kalau mereka sopan dan baik pula nanti nama mereka dititik dalam pustaka kencana.

Semburan air itu dibuat untuk lambang penyucian dosa tahun lepas. Yang di pedalaman cuma merenjis air dengan bekas perak saja. Sekarang ini, perkara ini sudah jadi komersil pula dengan orang simbah menyimbah air seperti di Bangkok, Hadyai, dan Yangon. Wanita mengandung dan bhiksu itu kalau boleh janganlah jirus. Tidak sopan!

Dalam semua hari pun diadakan hiburan seperti persembahan wayang orang, wayang kulit, persembahan tarian, nyanyian, lawak jenaka dan wayang pacak mengikut kesesuaian asal jangan melanggar dharma.

Adat Perayaan

Di percandian, orang ramai membuat gunungan pasir di perkarangan candi. Mereka membuat gon atau kubah di tengahnya mewakili satya Sakyamuni dan stupa di Tavatimsa, tempat rambut dan sarira baginda tersimpan. Stupa besar dikelilingi empat stupa kecil mewakili stupa-stupa murid terkenal baginda, Sariputra, Mogallana, Ananda dan Maha Kasyapa.

Makanan enak ketika perayaan ini pula seperti Khao Lam (Pulut Kabung) diperbuat dari pulut kukus sama kekacang manis, santan dan nyiur parut. Semua bahan ini disumbat dalam tabung buluh dan dilayur dengan api seperti membuat lemang di rantau selatan.

Selasa, 21 Januari 2014

Chitrai Purnami


Chitra Purnami atau Chittirai Purnima, merupakan upacara keagamaan Hindu yang dijalankan pada ketika bulan mengambang bulan Chitra (April-Mei). Kalau tahun 2014, tanggalnya jatuh pada 14 Mei 2014. Ia bermula pada jam 1:12 pagi pada 14 Mei dan ditutup pada 12:21 pagi 15 Mei di Tamil Nadu. Upacara dan perayaan ditujukan buat Sang Citra Gupta, penjaga karma dalam perumah Yama Deva, dan juga Sang Indra, raja devata.

Orang ramai akan menjalankan snanam dalam sungai dan kolam-kolam suci bagi membersihkan diri dulu. Kemudian pemujaan tertentu dijalankan di pura-pura penting negeri Tamil atau di tempat yang mempunyai penduduk keturunan Tamil. Pemujaan Deva Indra diadakan pada hari itu di Pura Sri Madurai Minakshi.

Caritra

Bagi penganut agama-agama Hindu, Sang Citra Gupta merupakan pembantu sulung Sang Yama, yang menyimpan catitan perbuatan baik dan buruk segala makhluk di muka bumi. Selepas kematian, kalau sesuatu jiwa itu sampai ke istana Yama, dia akan dipertontonkan segala perbuatannya itu dan haruslah mengakuinya kepada Sang Yama. Upacara pemujaan nanti dijalankan bagi penganut untuk meminta supaya Citra Gupta masuk campur dan meminta ampun buat mereka.

Cetera lain yang tak kurang pentingnya dikaitkan dengan perayaaan ini, melibatkan juga Sang Indra, raja kahiyangan dan Guru nya, Brighaspati. Terjadi pertelingkahan antara mereka berdua, maka Guru Brighaspati berhenti menasihati anak muridnya. Tanpa ajaran Guru, Sang Indra berbuat dosa banyak sekali. Guru Brighaspati kemudian mengalah sahaja lantas mengambil semula adhikara nya. Beliau menasihati Sang Indra supaya pergi berthirtayatram di bumi sana bagi mengangkat segala bebanan dosa yang diperbuatnya semasa ketiadaan Guru. 

Pada hari thirtayatramnya itu, Sang Indra tiba-tiba sedar bahawa baginda dibebaskan dari dosanya. Baginda melihat sekeliling dan ternampak bahawa ada Sivalingam bawah pokok Kadamba. Baginda sangatlah pasti bahawa Betara Siwa yang membantu baginda mengangkat dosa-dosa semua. Baginda pun memuja Sivalingam dan terkejut lah baginda apabila baginda terjumpa teratai emas dalam tasik berdekatan. Baginda memuja tabik Betara Siwa dengan menyemahkan teratai emas tersebut. Peristiwa ini terjadi semasa Citra Purnami, dan tempat itu adalah dalam kota suci Madurai, Tamil Nadu. Bagi mengingati kejadian itu, maka perayaan diadakan di Pura Sri Madurai Minakshi, sekaligus diadakan juga pemujaan (peringatan) Sang Indra. Upacara dijalankan panjang sekali, dan ada juga semahan nasi istimewa diperbuat untuk Sang Citra Gupta.

Upacara hari ini penting juga buat wanita sekelian. Ia merupakan hari memberi peringatan buat kematian. Menurut caritra, Sang Citra Gupta dijelmakan oleh Parvati Devi menerusi lukisan maka digelarlah ia Citra Putra. Kemudian, dia masuk ke saluran peranakan Kama Dhenu dan terlahir pula pada peristiwa bulan mengambang maka digelarlah ia Citra Gupta menjadi pembantu Yama Dharma Raja dalam penyimpanan Papa-Punyam karma. Tersebut bahawa pemujaan (peringatan) yang dijalankan untuknya itu dengan Cakkarai Pongal dan bahan-bahan tanpa garam akan membawa kesukaan sepanjang tahun pula buat keluarga yang membuat semahan itu.  

Perayaan di Kerala

Perayaan ini dirayakan dengan lebih beragama di Pura Mangala Devi terletak di Kumily di Idukki. Pura itu dibina dengan gaya senireka Pandiyan ditujukan untuk Kannagi Amman, watak utama dalam cetera Cilappatikkaram. Pura berusia 2000 tahun itu ditutup sepanjang tahun dan cuma dibuka bagi peristiwa Chitra Purnami sahaja! Yang berdharmayatram dari negeri Tamil yang berjiran pun ramai juga.  

Pantang 

Bagi yang menjalankan upacara, mereka akan berpuasa pula. Yang bukan jati Brahmana pula dibenarkan makan daging, tapi dilarang peram daging dengan garam. Daging yang dibenarkan pun seperti daging arnab (kelinci). 

Harus dielakkan pengambilan susu dan bahan-bahan tenusu pada hari itu kerana Citra Gupta turun dari Kama Dhenu. Tapi boleh ambil susu kerbau jika ada. Kemudian, selepas puja dan naivedhya, boleh danakan nasi, sayuran, kacang parpu (dhal), dan daksina dalam sebuah "muram".

Nanti akan dilukis jua Padi Kolam (lukisan atas lantai) dengan arah selatan dibiarkan kosong sebagai lambang jalan masuk buat Citra Gupta. Selepas pemujaan selesai maka kolam itu akan segera disapu bersih. Pemujaan turut diadakan untuk dewi penunggu Minakshi Amman dan juga Kallazhagar kerana dikatakan membawa hasil juga.

Penerangan

Dikatakan bahawa Citra Gupta itu adalah perkataan yang sama dengan Citta. Pemujaan yang dijalankan itu cuma antahkarana sahaja. Citta itu mewakili sisa-sisa ingatan kita saja dari segala kelahiran. Gupta itu rahasia. Maka ia membawa pengertian kepada rahasia segala ingatan kita.

Semasa kematian dan ketika kehidupan dalam janin, terdapat rakaman yang kita umpamakan sebagai "mikrochip" yang merupakan bahagian citta bagi antahkarana kita. Ia akan memainkan semua babak-babak dalam kehidupan kita yang lampau itu semasa kita sedang nazak nak tercabut nyawa. Ia akan membuka semula lipatan depan kita berdasarkan data yang terakam dan segala pusingan karma kita itu masuk dalam tayangan itu.... 

Maka, yang ini digambarkanlah sebagai pustaka yang dipegang oleh Sang Citra Gupta. Bukan Citra Gupta yang merakamkannya sebaliknya kita sendiri yang merakamnya.... Bulan purnama itu bulan yang mengambang. Ia pastinya memberikan kesan juga kepada antahkarana kita yang terdiri daripada manas, buddhi, chitta dan ahamkara. Yang pendeknya kita cuma sebut sebagai "hati dan akal".

Pengertian

Dewasa ini ada banyak jenis cara dijalankan untuk perayaan ini termasuklah di negara-negara Asia Tenggara seperti di kawasan Klang di negeri Selangor dan lain-lain. Namun dijelaskanlah dalam Thirukkural buat renungan rakan-rakan bahawa....
"Orang yang memadamkan gerbang pancaindera itu, dalam jalannya mengelakkan sebarang ketidak ikhlasan hati, mereka yang berdiri itu; maka panjanglah usianya".
Citra Gupta atau penyimpan catitan karma dan pembuat rayuan kepada Sang Yama, bagi pengampunan kesilapan jiwa. Peringatan yang dijalankan setiap tahun itu adalah untuk semua makhluk dalam planet bumi ini. Tujuannya supaya ia dapat membantu memperingatkan orang ramai supaya memperbaiki perbuatan sendiri. Cara dalam pengangkatan jiwa menerusi penilaian diri menurut rupakara tradisional ini sebenarnya banyak terpakai dalam samaya Vedika dan ditekankan oleh ramai resi dan yogi sepanjang samaya purana. 

Sang Yama Dharma Raja, wakil kematian, itu turut mewakili lima perjanjian tatasusila makhluk. Dalam bahasa Tamil, baginda digelar sebagai காலன் Kālan yang bererti, penjaga ajal dan masa. Baginda ini diberikan pertanggungjawab buat mengesahkan ஆல் காலன் Āl Kālan (jangka hayat) kita. 

Kadangkala, orang sekarang ini tak menjalankan pun proses tradisional penilaian diri itu dan menganggapnya sebagai tak berguna bagi setengah orang kerana membuang masa kata nya. Penilaian diri ini, tak kira dalam apa jua bentuk pun, tetaplah penting sepanjang yugam pun. Ada banyak penyebab kebaikan yang akan diberikan olehnya. Ia memberikan tapak bagi diri buat menambahkan lagi nilai-nilai baik dalam diri.  

Cara Agama

Penilaian Diri

Bermula dengan Chitra Purnami itu, cuba duduk bersunyi sepi dan sendiri-sendiri renungkan diri itu. Pilih tempat yang sesuai, contohnya tempat yang bebas gangguan dan tersembunyi, seperti dhyana mandapam, bilik semahiyang atau bilik yang mempunyai pengaruh alam sekeliling yang luas. Tetapkan ketenangan diri. Gunalah segala macam rupakara pun untuk menenangkan diri engkau. Nak bakar colok, nak pasang wangian, nak buat apa pun buat lah tapi pastikan diri engkau duduk berdiam-diam. Jangan dedahkan diri kalau tak perlu. Pastikan kau berada dalam keadaan positif saja, tak mau negatif!!!

Mulakan dengan semahiyang pilihan engkau.....
  • Disiplin diri.
  • Kawal diri.
  • Kesedaran diri.
  • Usaha kendiri.
  • Pembelajaran kendiri.
  • Pemikiran kendiri.
  • Kemajuan kendiri, apakah kebaikan engkau?
  • Keyakinan diri.
  • Kesedaran diri.
  • Kecukupan diri.
  • Kekuatan dan sakti, pikirkanlah mengenai kekuatan semulajadi engkau.
  • Kelemahan.
Sediakan diri engkau. Kenalpasti titik matlamat bagi diri kita untuk tahun depannya...........

Masa Lampau

Adakah tahun lepas kau buat baik atau buat jahat? Kau buat mana satu yang beratnya? Kau puas hati atau tidak? Kalau tak puas hati berikan sebabnya, kenapa???! Apakah yang kau anggap sebagai pencapaian penting kau tahun lepas? 

Masa Depan

Apakah tugasan yang kau anggap penting pada taun akan datangnya pula? Apakah tindakan yang kau boleh ambil untuk memperbaiki segala perbuatan engkau dan tugasan engkau? Cuba cari jalan untuk kaitkan perkembangan kendiri dengan perkembangan minat dan kesukaan yang engkau cenderung kepadanya itu.

Periksa Diri

Cuba renungkan dan ukurkan masa lampau dengan masa depan. Lihat semula perbuatan, contohnya kegiatan, tugasan, matlamat, pencapaian, satu demi satu, asingkan semuanya satu demi satu...

Sedarlah bahawa tahun demi tahun, hari Citra Purnami itu, Sang Citra Gupta sedang memeriksa amalan baik dan buruk kita dan menyimpan segala karma kita. Nanti segalanya akan dilaporkan kepada Sang Yama Dharma Raja pula segala yang tersimpan dari perbuatan kita itu. Sangat penting kau hargai masa. 

Jangan buat benda bodoh apabila kau menghadapi kekecewaan dan menyia-nyiakan kewujudan engkau. Contohnya kau mengambil nyawa sendiri semata-mata kecewa kerana awek kau lari, kau kecewa sebab kau tidak lulus peperiksaan, kau kecewa dengan segala yang terjadi. Mulakanlah langkah baik dengan kau periksa semula agama-agama (pustaka agama) supaya jiwa kau berkembang dan menjadi bersinar seperti bintang-bintang di sana....

Menerusi karunia Engkau, seseorang itu menjadi seorang resi, seseorang itu menjadi yang terpelajar, seseorang itu menjadi kaya, dimandikan oleh karunia Engkau dengan segala manikam kemewahan. Begitu jugalah baginda Dewi Saraswati, yang mengaruniai kita dengan kemewahan dan akal - Medha Suktam 

सह नव अवतु । सह नौ भुनक्तु । सह विर्यम् करववहि । तेजास्वि अधीतम् अस्तु । म विद्वि सवहै । ॐ शन्ति शन्ति शन्ति ॐ ॥

Semoga Dia itu melindungi kita berdua. Semoga Dia itu bersenang dengan kita berdua. Semoga kita bekerja bersama dengan kencangnya. Moga pengajian kita ini mencerahkan kita dengan sinaran cahaya. Semoga tiada kebencian antara kita. 

Rabu, 6 November 2013

Brahmana Siam dan Triwambhawe

Swasti Srih!

 

Pernahkah anda mendengar perayaan Trimbawe ini? Trimbawe atau Tribhawe ini dirayakan oleh orang Siam sekelian terutamanya di ibu kota. Adakah nama ini kelihatan seperti biasa di pendengaran rakan-rakan orang Hindu berketurunan Selatan India? Ia memang terbitan dari bahasa Tamil pun.

Perayaan ini dirayakan selama 15 hari nya antara 14 Disember sampai 12 Januari wulan Margazhi oleh kelompok pedanda Brahmana. Mereka akan membaca sastera suci serta seloka memuji para dewata. Perayaan ini disebut juga sebagai Thiruppawai dan Thiruwembawai. 

Kotaraya Bangkok merupakan satu-satunya tempat di seluruh loka yang membaca Thiruppawai dan Thiruwempawai semasa wulan Margazhi (Margasira). Bacaan seloka suci dibaca pendanda Brahmana Siam. Mereka ini adalah anak cucu kepada Brahmana Tamil dari Sri Rameswaram, Sri Williputtur dan lain-lain bahagian di India Selatan yang dibawa masuk ke rantau Siam sejak kurun ke-2 M lagi. Bagi memahami kehadiran bangsa Brahmana di Thailand hari ini, perlu lah diselidiki latarbelakang rantau lama di sempadan negara itu.

Setengah orang mungkin mengetahui bahawa rantau yang membentuk Thailand, Kemboja dan Myanmar hari ini sebahagiannya diperintah oleh empayar Angkor sampai kurun ke-13 M. Sejarawan percaya bahawa raja-raja yang dilantik dari Pallawawamsa di Kemboja juga berkaitan dengan yang di India sana. Mereka memerintah orang Khemir di sebelah Indochina.

Samaya Angkor

Raja orang Khemir dari empayar Angkor, merupakan penganut agama Hindu yang mengamalkan ajaran Waisnawa dan Saiwa. Mereka membina Angkor Wat dengan baginda maharaja Suryawarman merupakan penganut ajaran Waisnawa maka dibina Pura Betara Wisnu di kota baginda di Kemboja kini. Raja Kemboja ini memakai konsep Dewaraja dalam pemerintahan dengan raja dipandang sebagai jelmaan Betara Wisnu atau Betara Siwa. Murti dewata dipasak juga bagi mewakili diri mereka sebagai maharaja agung tiada terlawan oleh sahaya rakyat.

Brahmana masuk ke rantau Indochina bersama dengan raja-raja Kesatria sebagai penasihat keagamaan dan adat-istiadat walaupun ada raja-raja yang menganut ajaran Buddha. Raja Pallawawamsa Kemboja memakai khidmat Brahmana dalam istana bagi pengamalan pemerintahan seperti di Jambudwipam. Brahmana akan menjalankan upacara Warathiya Soma bagi menaikkan raja-raja asing yang dilantik menjadi raja ke kedudukan Kesatriya. Raja Kesatria kadangkala juga mengahwini keluarga Brahmana dan bila raja tak ada keturunan, maka anak lelaki dari keluarga Brahmana diraja yang akan dibela menjadi raja baru. Brahmana makanya bukan sahaja menjadi penasihat istana, menteri dan pedanda purohitam bagi perlayanan keluarga diraja sebaliknya juga menjadi penjalan upacara dan pengamalan serta menjadi pemangku raja-raja.

Empayar Angkor selepas 1300 tahun kegemilangannya diperintah raja-raja Hindu jatuh ke tangan orang Siam sekitar 1282 apabila maharaja Sri Jayawarman dikalahkan oleh orang Thai yang membentuk kerajaan Thai pertama di Indochina, iaitu kerajaan Sukhothai. Sepatutnya, pencetusan kerajaan yang melindungi ajaran Buddha ini menghabisi amalan Brahmana yang diamalkan orang Kemboja. Sebaliknya tidak pula! Ia masih hidup... Ia tak mati langsung dengan kejatuhan empayar Angkor.

Sebab

Orang Siam, walaupun penganut ajaran Buddha namun meneruskan juga amalan Dewaraja bagi dua sebab. Disebabkan mereka menjajah Tanah Kemboja, maka mereka tak mahu merubah amalan tanah tersebut dan kemudian dipulaukan orang tempatan. Keduanya, Dewaraja ini bersesuaian dengan niat mereka untuk mendapatkan kekuasaan dalam masa yang segera dan diterima orang ramai. Raja-raja empayar Siam dalam kerajaan terkemudian iaitu kerajaan Sri Ayutthaya berbeda dengan kerajaan Sukhothai. Mereka merupakan bangsa campuran dengan orang tempatan di lembangan tengah Thailand kini. Amalan budaya Brahmana diterima dan pedanda Brahmana dilindungi oleh istana. Raja-raja Kesatria dianggap sebagai jelmaan dewata di samping mereka mengamalkan ajaran Buddha. Keadaan ini berterusan sampai wangsa pemerintah sekarang, wangsa Chakri.

Kini, biarkan sahaja perkara raja-raja purwa itu dulu. Kita teruskan dengan pengajian mengenai Brahmana di Thailand. Brahmana di Thailand hari ini, merupakan kelompok pedanda yang melayan upacara diraja seperti upacara pemahkotaan dan upacara upanayanam keluarga diraja. Mereka juga menjalankan upacara wasthu sastram, upacara membajak, upacara upanayanam penduduk biasa yang mengikut amalan Brahmana dan juga meneruskan amalan upacara Brahmana lampau.

Antara upacara Brahmana yang dijalankan sampai hari ini adalah bacaan Thiruppawai atau dipanggil sebagai Tribhawe atau Triwambhawe. Mungkin ramai dalam kalangan tuan-tuan dan puan-puan belum melawat Dewastanam yang menempatkan murti Sri Wiganeswara, Betara Siwa dan Betara Wisnu di Bangkok. Ia bukan berupa pura atau mandel dewa yang dijaga orang Hindu biasa atau seperti pura Mariamman. Ia merupakan jenis asrama yang dipanggil sebagai Bott Brahmana bedepan dengan Dewa Mandel, sebelah Buai Gergasi. Menariknya, Buai Gergasi itu pernah menjadi tapak upacara Wunjalaattam bagi Betara Siwa sebelum dihentikan disebabkan oleh kecelakaan terjadi di situ. Bacaan Thiruppawai dijalankan di Bott Brahmana selama 15 hari. Bangsa Brahmana seluruh Thailand akan berpusu-pusu ke asrama tersebut dan berdiam di situ selama 15 hari.

Upacara Triwambhawe

Brahmana yang datang dari benua India berkahwin dengan wanita-wanita tempatan dan selepas beberapa lama, rupa anak cucu mereka sudah tak berupa seperti orang India lagi. Mereka bercakap dalam bahasa Siam dan nampak berbeda. Pakaian mereka putih berbeda dengan bhikkhu Buddha di situ. Mereka juga memakai benang suci poonool.

Majlis bermula di Bott Brahmana dengan cara yang sama seperti di pura Hindu lain dengan Thiraparadhanai, tiupan sangkakala dan neiwedhiyam. Penghuung puja baru dibacakan Thiruppawai macam di video yang disertakan. Thiruppawai ditulis dengan aksara Grantha dengan aksara Siam yang disertakan sekali. Tapi cara bacaan Brahmana Siam itu sudah tak sama dengan bacaan Brahmana Tamil kerana Brahmana Siam tak bercakap bahasa Tamil.

Guru Kanchi dengan penuh hormatnya memuji pengamalan upacara membaca Thiruppawai dalam sebuah negara yang majoriti penduduknya menganuti ajaran Buddha seperti Thailand di Matham Mayawaram Daksinamurti pada 1952. Ulasan beliau, "Walaupun Tamil Nadu pun membaca Thiruppawai, tapi kita tak menjalankannya dalam bentuk perayaan seperti di sebuah negara Buddha beribu batu dari sini perbuat pun".

Atas permintaan Guru Kanchi, sekumpulan sarjana bahasa Tamil pergi ke Thailand dan belajar aksara Thiruppawai dan Thiruwempawai yang dibacakan di Bangkok serta dilaporkan bahawa aksara dipakai Brahmana Siam itu adalah aksara Grantha. Ucapan Guru Kanchi dirujuk dalam pustaka Padma Subramaniyam mengenai pengaruh tarian Bharata Natiyam dalam kesenian tarian klasik Siam.

Pasti ramai yang akan terkejut juga bahawa Brahmana Siam turut membaca Thiruwacagam semasa upacara pemahkotaan maharaja. Jika ingin melihat upacara itu, silalah melawat tempat tersebut pada petang hari nya. Upacara pemahkotaan maharaja bermula pada sekitar jam 19:00.

Sampai pengujung kurun ini pun, bacaan Thiruppawai ini merupakan perayaan kebangsaan negara Thailand bersama dengan Upacara Buaian di Buaian Gergasi. Hari ini, hanya sedikit sahaja orang Thailand yang menyaksikan upacara pemujaan dan bacaan puja yang dijalankan oleh 10 sampai 20 orang Brahmana Siam. Bilangan saksi menurun pun, namun semangat Brahmana tak pernah mati. Ia berada dalam pemandangan upacara yang dijalankan oleh kumpulan Brahmana yang kecil itu yang setia memegang adat-adat Brahmana. Adat yang memainkan peranan penting dalam pembentukan dasar keagamaan dan falsafah negara ini.

Jumaat, 1 November 2013

Selamat Hari Raya Dipawali 2013

Om Swastiastu!


Ku ucapkan selamat menyambut Hari Raya Dipawali buat sekelian rakan-rakan beragama Hindu tak mengira keturunan apa sekali pun...

 

Bangun awal bersiap-siap sapukan minyak di tubuh semua dan pergi semahiyang di pura sana bersama-sama keluarga. Kemudian minta lah asyurwat keluarga masing-masing dan melawat rakan-rakan sanak saudara sekelian...

Sabtu, 26 Oktober 2013

Gita Bakti: Dhaker Tale Komodorle

Om Swastiastu...

Sempena Nawaratri Durga Puja baru hari itu.... Saniwara depan sudah mau Hari Raya Dipawali pula... Ada yang tak dapat bercuti tu mesti menyumpah-nyumpah majikan mereka, hahaha...

 

Lagu ini dalam bahasa Bengali, bahasa di negeri Bengal Barat (India) dan juga di Bangladesh.

Rabu, 25 September 2013

Magha Puja

Swasti Srih!


Magha Puja atau Bulan Purnima Tabaum ini merupakan perayaan terutama bagi masyarakat Buddha yang berlangsung dalam bulan Magha. Ia dirayakan di Siam, Kemboja, Laos dan di Myanmar berlangsung dalam bulan Phalguna.

Matlamat kejiwaan yang ingin dicapai menerusi perayaan ini adalah menghentikan karma buruk, menjalankan karma baik sahaja; menyucikan pemikiran itu biar murni. Penganut ajaran Buddha tak kira jati sama ada Brahmana, Kesatria, Waisya dan sebagainya akan ke biara menjalankan kegiatan membuat pahala yang kita sebut sebagai tam bun.

Hari ketiga wulan candramasa disebut kita di rantau Siam ini sebagai Magha. Puja ertinya itu kita tabik pula. Jadi kita bertabik kepada baginda Phra Buddha dan ajaran baginda pada bulan purnama ketiga penanggalan candramasa.

Terbitan

Magha Puja ini menandakan empat kejadian bertuah yang terjadi semilan bulan sebelum Pencerahan tuanku Siddhartha Gautama di hutan buloh Weluwana dekat dengan Rajagraha di India Utara. Pada ketika itu seperti tercatat dalam ulasan Mahasamayasutra, DN-Comm 20 terjadi empat peristiwa bertuah:

1. Seramai 1250 pelajar menemui baginda Phra Buddha pada petangnya walaupun tak menerima jemputan.
2. Semua mereka itu merupakan Phra Arahant yang dicerahi dan dilantik sendiri oleh baginda Buddha.
3. Baginda Phra Buddha memberi ajaran Buddha kepada Phra Arahant semua dalam ucapan Owadhapratimoksha. Ringkasannya supaya menjauhkan diri dari kejahatan, berkebajikan dan membersihkan pemikiran.
4. Malam itu bulan purnima.

Baginda Phra Buddha Chao menyampaikan ajaran penting kepada semua bhikkhu yang berkumpul pada hari ini sekitar 2500 tahun lampau dan ia digelar Owadapratimoksha. Ia mengandungi dasar ajaran Buddha. Di Siam, ia dianggap sebagai "Hati bagi ajaran Buddha".

Perlaksanaan

Myanmar

Di Myanmar, perayaan ini disebut sebagai Bulan Penuh Tabaum. Ia merupakan perayaan tradisional penganut ajaran Buddha membuat pahala. Ia merupakan hari terakhir dalam penanggalan Burma tradisional. Orang ramai akan ke biara dan pecandian. Antara pecandian terkenal dikunjungi adalah Candi Swedagon bermula dalam bulan Dhapaum atau Tabaum. Perayaan bermula denga Nakyake Shitsu iaitu upacara semahan untuk 28 Buddha bermula dari Phra Tanigara samapai kepada Phra Gautama. Diikuti dengan 10 hari yang dibaca dengan Prarthana tak berhenti-henti, menjelaskan tentang 24 punca fenomena loka benda.

Yang lain di Candi Swesettaw di rantau Magwe dalam perbandaran Minbu dan Candi Alaungdaw Kadhapa dekat dengan Taman Negara Alaungdaw Kadhapa di rantau Sagaing. Bulan Penuh Tabaum ini juga bersempena dengan Hari Kebangsaan Pa-O yang secara tradisionalnya ditetapkan sempena hari kelahiran baginda Raja Suriyachanda.

Pradesh Thailand

Pada petang bulan penuh wulan Magha, semua biara di Thailand dan utara Tanah Melayu akan mengadakan perarakan lilin disebut sebagai wian thiean yang bererti berkeliling lilin. Orang ramai bersama dengan para bhikkhu memegang bungaan, colok dan juga lilin berkeliling mengikut arah ghatiwat (arah jam) tiga kali di Phra Ubosot atau bangunan perlantikan. Setiap satu pusingan melambangkan isi Trairattana iaitu Sang Guru, Dharmma dan Sanghom.

Orang ramai akan pergi ke biara bagi menjalani upacara istimewa hari itu dan menyertai kegiatan berkaitan ajaran Buddha yang lain bagi membuat pahala. Ada juga rapsin iaitu menjaga panchasila. Pengamalan membuang lokamaya dari mengikat hati, amalan tapa dan disiplin mental dengan diam dalam biara memakai pakaian serba putih selama beberapa hari.

Sabtu, 24 Ogos 2013

Amalan Pemujaan Ayudha


Peralatan dan semua bahan-bahan yang terlibat dalam pekerjaan seseorang itu dibersihkan dulu. Semua bahan, jentera, kenderaan dan lain-lain peralatan kemudian dilap bersih atau dikilatkan cantik selepas dibersihkan dengan sebatian kunyit, sebatian cendana dan kumkum dibuat bentuk lambang agama contohnya lambang agama penganut Sri Waisnawa, Saiwa, dan lain-lain. 

Kemudian, petangnya itu sebelum hari Wijayadasami, barangan akan diletakkan di pentas yang dikhaskan dan berhias bungaan. Bagi senjata perang macam keris, belati, dan lain-lain pun dibersihkan lalu ditatah dengan bungaan dan dilukis dengan lambang agama. Kemudian disusun sebaris bersandar di dinding. 

Pagi hari Nawami itu peralatan semua dipuja bersama dengan rupa dewi Sakti: Saraswati, Laksmi dan Parwati. Buku dan alatan bunyian pun ditempatkan juga di para rendah bagi dipuja saktinya. Hari pemujaan itu, barangan jangan diusik. Hari itu orang ramai cuma menjalankan pemujaan dan lepas itu merenung diri bertapa.

Amalan Pemujaan di India Selatan

Tamil Nadu

Perayaan Golu dirayakan dalam tempoh Nawaratri. Pada ketika itu, disusun murti-murti sang hiyang dewata sekelian pada para pemujaan tujuh tingkat dibangunkan dari kayu. Kemudian murti marapakshi mewakili sang Perumal (Betara Wisnu) dan Thayar dipamerkan bersama pada tingkat tertinggi sekali. 

Hari nawami hari kesanga iaitu pawedalan sang yang haji Saraswati, dewi saktinya itu dipuja dengan pujaan khusus untuknya. sahaja sebagai punca utama bagi kebijaksanaan dan pencerahan. Pustaka dan alatan bunyian ditempatkan di para dasar dan dipuja. Alatan semua diletak bagi tujuan ayudha puja. 

Kenderaan seperti motorsikal, gerek, kereta, bas, lori dan lain-lain pun dicuci bersih dan dihiasi bagi tujuan dipuja sakti yang menggerakkannya. Dalam perayaan Golu ini, pemujaan dewi Saraswati diperkira sebagai sebahagian daripada ayudha puja. Ia diikuti oleh peristiwa Wijayadasami pada kemuncak perayaan 10 hari atau Dasahara. Syarikat perusahaan semua pun sangatlah suka merayakan perayaan ini.    

Negeri Kerala

Ayudha puja disebut juga Saraswati puja yang menjadi bahagian penting dalam upacara pemujaan 10 hari. Ia juga dinamakan sebagai perayaan malam yang sama panjangnya dengan siang pada musim luruh dijalankan selama tiga minggu daripada permulaan matahari melintas langit menjadikan tempoh malam sama dengan siang. 

Amalannya adalah pemujaan dalam dua hari melibatkan hari pembuka yang disebut sebagai Pujaweppu atau mula puja. Penutup puja hari keduanya disebut Pujayeduppu. Hari pertamanya, peralatan dipuja dan penutup semuanya akan dibawa keluar ke tempatnya semula bagi digunakan macam biasa. Di kampung-kampung, pemujaan dijalankan dengan sesungguhnya dan beberapa kesenian bentuk kesenian pertahanan diri serta tarian tradisional kampung akan dipersembah. 

Negeri Karnataka

Raja-raja Mysore di negeri Karnataka memulakan perayaan Dussehara yang purwa sebagai adat keluarga diraja. Ia dirayakan dalam kawasan istana diraja. Keluarga diraja akan menjalankan upacara pemujaan ayudha sebagai sebahagian daripada perayaan Dussehara di laman istana.

Upacara dijalankan dengan memuja senjata pada Mahanawami iaitu kemuncak yang kesanga, diikuti oleh Kusumananda atau adat memecahkan labu di laman istana. Lepas itu, senjata akan dibawa dengan pelangking emas ke Pura Sri Bhuwaneswari bagi dipuja. Tradisi ini dikesan bermula semasa pemerintahan empayar Wijayanegara (1336-1565) lalu diangkat juga menjadi nada habba atau perayaan orang ramai.

Raja Wodeyar I (1578-1617) yang merupakan uparaja bagi maharaja Wijayanegara bertakhta di Mysore, memperkenal semula amalan orang Wijayanegara yang merayakan Dasara pada 1610. Baginda menggariskan semula peraturan tentang cara merayakan Nawaratri dengan penuh bakti dan gemilang. Selepas sembilan malam durbar, maharaja akan menjalankan pemujaan di pura diraja dalam kawasan istana, diikuti dengan perarakan besar-besaran menerusi jalan utama di kota Mysore sampai ke Bannimantap di kurungan gajah.    

Di Bannimantap, maharaja akan memuja di pokok Banni atau pokok Shami kerana perkaitannya dengan lagenda dalam Mahabharata, sang Arjuna yang menyembunyikan senjatanya di pokok itu. Tujuan pemujaan dijalankan di pokok itu adalah mencari karunia kejayaan orang samaya lampau bagi pekerjaan yang diperbuat termasuklah dalam peperangan. 

Perayaan ini dirayakan oleh orang ramai di serata negeri, dan di kampung-kampung. Di pedalaman, hampir setiap kampung dan masyarakat akan menjalankan perayaan ini dengan patuh tapi ada juga pertelingkahan terjadi dalam beberapa kejadian tentang masyarakat yang mana mempunyai hak awal menjalankan pemujaan sebab banyak jati. Di kampung umumnya, pemujaan senjata dimulakan dengan pengorbanan kambing biri-biri atau menyimbah pedati dengan darah kambing. 

Jumaat, 8 Mac 2013

Perayaan Mahasiwaratri

Aku ingin berkongsi mengenai perayaan Mahasiwaratri. Aku tidak pasti di negara lain mempunyai perayaan yang sama dengan nama berlainan tetapi perayaan ini ada dirayakan di negara aku. Perayaan ini dirayakan bagi menghormati dewa Siwa pada setiap tahun. Kadang-kadang disebut juga sebagai Padmaja Ratri. Maksud Maha Siwa Ratri adalah Malam Agung Dewa Siwa. Ia dirayakan setiap tahun pada malam ke-13 dan ke-14 bulan Magha dan Phalguna dalam penanggalan Hindu.

Terdapat pelbagai jenis penanggalan yang digunakan oleh kelompok pelbagai bahasa di negara India, nama bulan dan tithi tidaklah sekata di semua bahagian di India dan negara Nepal. Ia dirayakan dalam masa dua minggu Kresna Paksha dalam bulan Magha menurut kepada Saliwahana atau Wikram Gujerat atau bulan Phalguna dalam penanggalan Wikrama.

Perayaan ini asasnya dirayakan dengan semahan Daun Wilwam kepada dewa Siwa, puasa sepanjang hari dan berjaga malamnya. Sepanjang masa itu para pemuja akan membaca mantra Panchakshara ditujukan kepada dewa Siwa, "Om Nama Ciwaya". Menurut kepada tradisi sastra, keguruan dan agama, upacara tersebut dijalankan bagi mendapatkan pahala dalam pengamalan yoga dan tapa semadhi dalam usaha mencapai kehidupan terbaik dengan kadar segera. Pesta Siwaratri Antarabangsa berlangsung selama seminggu di daerah Mandi, wilayah Himachal Pradesh merupakan salah satu acara tahunan yang menarik tumpuan pelancongan ke negeri tersebut. Pada peristiwa Mahasiwaratri, Nishta Kala dianggap sebagai masa terbaik bagi menjalankan puja kepada Sang Iswara. Pada hari itu, semua kuil dewa Siwa akan menjalankan pemujaan Lingodbhaya Puja.

Puja Chaturyama Mahasiwaratri


Satu bentuk perayaan dalam renteten Mahasiwaratri dijangka akan berlangsung Ahad ini di Bengaluru. Cawangan Matham Sringeri Sankara menjadi tuan rumah bagi upacara puja tersebut yang bermula pada 10 Mac dan ditutup pada 11 Mac.

Ketika malam Mahasiwaratri, para Brahmana yang mahir dalam veda segala veda berkumpul di Siwalaya atau gunungan dewa Siwa seraya memulakan puja kepada dewa Siwa dengan cara menurut kepada veda-veda, agama serta sastra. Hal ini turut melibatkan Abisekam, dengan air, pancamerta, sebatian kayu cendana dan lain-lain sambil membaca mantra veda. 

Malam itu terbahagi kepada empat bahagian iaitu setiap satunya berjalan selama tiga jam. Bagi setiap bahagian malam itu dikenali sebagai satu Yama dan pemujaan dewa Siwa berlangsung dalam empat Yama kesemuanya itu dipanggil lah Chatur Yama Puja. Chatur Yama Puja bermula selepas pradosakala atau waktu senjakala sekitar jam 19:30 pm dan berlangsung sampai 07:30 am keesokan harinya. Puja bagi setiap Yama itu dipanggil Mahamangala Ratih pada kemuncaknya.

Sri Rudram juga dikenali sebagai Rudra Dhiyaya, Rudra Prasna dan lain-lain dibacakan 11 kali. Ramai orang termasuk para sarjana pendita dan dukun ayurveda menyatakan bahawa Sri Rudram bukan sahaja mengandungi ciri kebaktian terhadap dewa Siwa malahan juga mengandungi kesan menyembuhkan. Ia menyembuhkan secara perlahan-lahan tanpa disedari penderita sakit apabila bunyian yang benar dari bacaan mantraveda disampaikan oleh pinandita veda.

Tak banyak kuil hari ini melaksanakan puja begini. Tetapi, menerusi petunjuk dari Jagat Guru Sringeri dari Matham Sringeri cawangan Bangaluru, pemujaan dimulakan kembali di situ dan masih lagi berlangsung sejak tiga tahun lepas. Setiap tahun pinandita veda dari semua warga Brahmana iaitu Smartha, Sri Vaisnava dan Mathawa serta dari pelbagai Sakha Veda berkumpul membaca mantra Rudra dengan cara yang asli.

Barangsiapa yang berkeinginan merayakan Mahasiwaratri ini, dipinta supaya anda menjadi sebahagian daripada peserta dalam menghadiri sesi bhajan kerana ia lebih baik daripada menonton wayang gambar sepanjang malam, bersembang-sembang kosong semasa vratam dan lain-lain. Sebagaimana yang dijelaskan ramai pendita, tiada yang lebih baik selain daripada mendengar bunyian dari bacaan mantra veda. Ia adalah satu ciri tersendiri dalam Sanatana Dharma. Ambil peluang ini untuk membersihkan papa dosa dan manfaat kebendaan dari peristiwa agung itu.

Penduduk Bengaluru, pastikan anda menyertai perayaan ini. Maklumat lanjut adalah seperti berikut. Jika tidak dapat sertainya pun janganlah bimbang kerana ada siaran langsung di vedavishvapooja dan di saluran Sri Sankara walaupun mantra hanyalah memberi manfaat apabila didengari di tempat ia dibacakan.

Ahad, 10 Mac 2013

Rudrabisekam dan Laksa Bilwarchana
07:00-16:00
Oleh Jawatankuasa Pradosa Puja, Bangalore.

Abhang dan Bhajan Hindustan berkenaan dewa Siwa
16:00-18:00
Oleh Mumbai Sri Anand Begawatara

Chaturveda Sahita Chaturyama Mahasiwaratri Puja
18:00 - Terbit Mentari

Isnin, 11 Mac 2013

Ashirvadam
07:00
Oleh Pendita Veda dan Vidwat Sambhawana