Selasa, 15 April 2014

Tahun Baru Sankranti 1936 S

Svasti Srih!

Pic: Allan Wilson

Kita baru saja melalui perayaan Tahun Baru Sankranti pada 14-16 hb April 2014. Ikut perkiraan penanggalan kita pada 24-26 Chaitra 1936 Sakavarsa, Somavara-Budhavara. Perayaan ini disambut di rantau Kencanabumi meliputi Siam, Myanmar, Kemboja dan pengikut ajaran Buddha di Laos sampai ke Yunnan di China. Di Nepal, Bihar, Sri Lanka, Tamil Nadu, Oriya (Kalingga), Bengal, Punjab dan Kerala turut menyambutnya. Penanggalan Vikram Samvat pula memperkira sekarang ini dalam bulan Vaisakha.

Kiraan Penanggalan

Walaupun kita di sini memakai suryacandrasengkala, namun pengiraan Tahun Baru kita diperkira cuma menurut Suryasengkala. Sabdavali Sankranti ini bererti "berubah" dalam bahasa Sanskerta. Ia menandakan masuknya Surya ke Mesa Sankranti (Aries).

Ketika 1012-1044, kebanyakan negara di Srivijaya (meliputi Indonesia Barat, Selatan Thailand, Tanah Melayu sehingga Kemboja) dijajahi oleh empayar Chola dari Tamil Nadu. Maharaja mereka itu menyembah ke maharaja Rajendra Chola. Pengiraan untuk perayaan ini kebetulannya bertembung dengan Tahun Baru Tamil, Puthandu yang mengikuti Nirayanam, Vishuva Musim Bunga (vernal equinox) yang umumnya jatuh dalam 24 atau 25 Chaitra ikut penanggalan Saka. 24 atau 25 Chaitra itu diperkira hari pertama bagi penanggalan Tamil. Ia menjadi cuti umum di Tamil Nadu dan Sri Lanka. 

Vishuva musim bunga khatulistiwa selalunya jatuh pada 1 Chaitra (22 Mac) ditambah 23 darjah getaran kepadanya, maka dapatlah sisi sebenar untuk Nirayanam Mesa Sankranti di sini. Sankranti kita disambut serentak dengan orang Hindu lain di Tamil Nadu, Kerala, Bengal, Manipur, Tripura, Odisha (Kalingga), Punjab, Nepal, Sri Lanka dan Tanah Besar Asia Tenggara.

Cetera

Baru-baru ini perayaan kelihatan seperti dikomersilkan oleh bahagian pelancongan sama ada di Thailand atau di Singapura. Kita tidak pasti jika ini sesuatu yang postif atau negatif. Yang positifnya mungkin budaya Hindu-Buddha daratan dikenali orang tetapi dibimbangi pula semangat sebenarnya luput disebabkan unsur dharma itu digantikan dengan kesukaan melampau menjirus-jirus air bertepung tawar kosong saja tanpa sisipan agama!

Cetera perayaan kita ini terbit dari cetera raja para Brahma, bernama Sri Harsi, kalah bertaruh dengan Betara Indra. Kepala si Brahma pun dipenggalnya disebabkan itu pertaruhan mereka. Kemudian kepalanya diganti dengan kepala gajah, lalu dia menjadi Ganesa. 

Brahma menjadi begitu sakti sehinggakan, jika kepalanya dilontar ke laut maka habis kering terpercik air lautan keluar. Jika dilontar ke tanah pula, pasti besar lopak kawahnya. Jika dibanting ke langit pasti terbakar habis meletup di udara. Betara Indra memerintahkan supaya seorang Phra Kumari kayangan membawa kepala Brahma untuk digantikan setiap tahun baru. 

Maka, Sankranti ini mengertikan perubahan kepala Brahma dari satu tangan ke tangan yang lain (Min Kyaw Min, Perayaan Thingyan).

Sambutan

Maha Sankranti

Hari pertama ini ditandai dengan berpakaian persalinan baru. Perkara biasa diperbuat pengikut ajaran Buddha itu adalah menyalakan colok wangian dan lilin di gedung vikraham. Keluarga-keluarga Hindu yang mengikut kepada Buddha akan menyembah (tabik) ke Phra Guru berterima kasih kerana baginda berkongsi ajaran. Tindakan sembah itu meliputi berdiri lurus dengan puspanjali, tunduk, melutut dan sujud tiga kali dengan berpandukan vikraha baginda sebagai lambang.

Pengikut Buddha mesti menjalani Astanga Arya Marga disertai Pancasila. Makan sekali saja sebelum tengah hari. Uposatha pun dimulakan selepas itu. Pemberian dana disemahkan kepada bhiksu-bhiksu di vihara. Bahan-bahan seperti sesikat pisang dililit dengan pisang hijau dan buah Jambu Keling (Syzgium Cumini) pula disemahkan untuk Phra Guru. Kemudian curah juga Chahamod (air mawar) dari kepala Vikraha.

Upasaka dan upasikan membasuh muka dengan air di pagi hari, membasuh dada di tengah hari dan membasuh kaki di malam hari sebelum tidur itu.

Vinaraka Vanabat

Hari kedua diwarnai dengan pemberian dharma dana untuk membantu orang miskin, pelayan-pelayan, orang merempat dan keluarga-keluarga berpendapatan rendah. Orang ramai ke percandian untuk upacara semah nenek moyang (pitru bali).

Virak Luang Sakra

Hari ketiga ini, Sang Sakra turun dari keinderaan. Penduduk mengikut rantau akan memberi sambutan seperti menembak meriam dan orang ramai pun keluar bersama dengan bekas air dan buah Jambu Keling seraya menuang air ke tanah sambil membaca mantra. Ia dibiar mengalir menerusi ikatan buah Jambu Keling itu. Kemudian vikraha-vikraha Buddha dibersihkan dan dituang air. Ia melambangkan kepentingan air untuk semua kehidupan seperti tumbuhan dan makhluk-makhluk lain. Kemudian semua orang dalam rumah dimandikan bersama-sama. Selepas itu, orang tua akan menasihati yang muda supaya hidup dengan baik.

Pendita brahmana diraja turut akan membuat omkara untuk ramalan tahun baru ini dengan mengikut kepada jenis vahana (binatang) tunggangan Sang Sakra ketika turun ke bumi dan benda yang dipegang di tangannya. Budak-budak digempar supaya jangan nakal takut Sang Sakra menitik nama mereka dalam pustaka anjing. Kalau mereka sopan dan baik pula nanti nama mereka dititik dalam pustaka kencana.

Semburan air itu dibuat untuk lambang penyucian dosa tahun lepas. Yang di pedalaman cuma merenjis air dengan bekas perak saja. Sekarang ini, perkara ini sudah jadi komersil pula dengan orang simbah menyimbah air seperti di Bangkok, Hadyai, dan Yangon. Wanita mengandung dan bhiksu itu kalau boleh janganlah jirus. Tidak sopan!

Dalam semua hari pun diadakan hiburan seperti persembahan wayang orang, wayang kulit, persembahan tarian, nyanyian, lawak jenaka dan wayang pacak mengikut kesesuaian asal jangan melanggar dharma.

Adat Perayaan

Di percandian, orang ramai membuat gunungan pasir di perkarangan candi. Mereka membuat gon atau kubah di tengahnya mewakili satya Sakyamuni dan stupa di Tavatimsa, tempat rambut dan sarira baginda tersimpan. Stupa besar dikelilingi empat stupa kecil mewakili stupa-stupa murid terkenal baginda, Sariputra, Mogallana, Ananda dan Maha Kasyapa.

Makanan enak ketika perayaan ini pula seperti Khao Lam (Pulut Kabung) diperbuat dari pulut kukus sama kekacang manis, santan dan nyiur parut. Semua bahan ini disumbat dalam tabung buluh dan dilayur dengan api seperti membuat lemang di rantau selatan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan