Memaparkan catatan dengan label siwa. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label siwa. Papar semua catatan

Jumaat, 3 Januari 2014

Bhakti Yoga


Bhakti yoga merupakan jalan kerohanian yang digambarkan dalam falsafah Hindu sebagai berkesan bagi memupuk cinta, kepercayaan dan penyerahan diri kepada Tuhan. Ia bererti menyedari Tuhan, dan merupakan cara termudah bagi orang awam kerana ia tidak melibatkan amalan-amalan yoga yang banyak.

Bhagavad Gitam, Bhagavata Purana dan Purana lain merupakan sastera suci yang menerangkan lagi falsafah Bhakti. Pergerakan Hindu yang menekankan amalan bhakti sebagai keutamaan digelarkanlah sebagai pergerakan Bhakti. Aliran yang menekankan gerakan Bhakti ini adalah seperti Vaishnava, Saiva dan Sakti.

Falsafah

Bhakti merupakan sabdavali bahasa Sanskerta yang menandakan sikap kebaktian kepada Tuhan perseorangan yang serupa dengan sebilangan hubungan antara manusia dengan manusia. Perbedaannya itu cuma perhubungan kebaktian ini adalah antara roh makhluk dengan Roh Tertinggi, atau Tuhan. Sikap ini digambarkan seperti sikap perhubungan pencinta dengan yang dicintai, rakan dengan rakan, ibu bapa dengan anak-anak, dan tuan dengan hamba. 

Bhagavata Puranam (7.5.23-24) mengajarkan enam bentuk dasar bagi kebaktian seperti yang dijelaskan oleh Prahlada, pengikut setia Betara Wisnu dalam jelmaan Narasimha....

1. Sravaṇa, mendengar cetera sastera suci mengenai begawan Kresna dan rakan-rakan baginda.
2. Kīrtana, memuji yang selalunya merujuk kepada kumpulan penyanyi keagamaan.
3. Smaraṇa, mengingati atau mengarahkan ingatan kepada betara Wisnu.
4. Pāda-sevana, menjalankan seva.
5. Arcana, pemujaan rupa.
6. Vandana, memberi tabik.
7. Dāsya, perhambaan diri.
8. Sākhya, persahabatan.
9. Atma-nivedana, penyerahan diri terus.

Semua samilan prinsip seva bakti ini digambarkan sebagai membantu anak bakti supaya lebih memberi tumpuan dalam hubungan secara berterusan dengan Tuhan. Proses japa dan tapa dalam dengan memberi tumpuan kepada jelmaan devata dipilih oleh anak bakti terutamanya sangat terkenal dalam aliran kebaktian. Bhakti ini merupakan jalan yoga, yang bertujuan suci demi mencari penyatuan dengan Tuhan Maha Agung. Rupa sebenar Tuhan, atau jenis penyatuan itu berbagai pula menurut kepada aliran pemikiran Hindu, tetapi kandungan bagi setiap proses itu semua sama sahaja. 

Guru kerohanian India, Meher Baba menyatakan bahawa, "Daripada sebilangan amalan yang membawa kepada matlamat tertinggi kemanusiaan iaitu menyedari-Nya itu, Bakti Yoga antara salah satu yang terpenting. Hampir seluruh kemanusiaan itu melibatkan Bakti Yoga. Dalam perkataan ringkasnya, Bakti Yoga itu sejenis silpa kesenian bagi pemujaan. Tetapi ia mestilah dipahami dalam semua aspek sebenarnya, dan bukan dengan pemikiran yang sempit dan cetek, seperti yang dipergunakan dalam penafsiran perkataan ini. Pemujaan yang jelas berdasarkan kepada ideal-ideal falsafah tinggi dan kerohanian, dilatari oleh cinta suci, tanpa keraguan yang mewarnai Bakti Yoga".

Bhagavadgitam

Sementara sastera agama ini mempunyai senarai falsafah dan perkaitan keagamaan yang berjela-jela, ia juga dilihat sebagai sudut utama bagi ketuhanan dalam gerakan kebaktian Hindu, terutamanya dalam lingkungan kelompok Waisnawa.

Namun, kebaktian ini seringlah ditafsirkan oleh ramai orang sebagai satu panduan yang tidak semestinya terbatas hanya kepada pengikut begawan Kresna sahaja. Tidak mengira sebarang kejadian mau pun keadaan, dalam sabda begawan Kresna itu, bahawasanya cinta dan niat murni tiada celanya itu merupakan kuasa yang memotivasikan anak bakti secara berkesan dalam kehidupan rohaniahnya.  

Kebaktian itu sangat jelas sekali memaparkan pernyataan aturan akal seorang yang berbakti itu terhadap Guru nya. Begawan Kresna bersabda seperti tercatat dalam Bhagavadgitam 9.34...
"Libatkan pemikiran mu itu dalam pemikiran yang senantiasa mengingati Ku, jadilah orang-orang yang berbakti kepada-Ku, dan pujalah Aku. Biarkan diri mu itu sempurna terserap dalam Ku, maka kau pasti akan datang kepada Aku!"
Seseorang itu pastilah memahami sabda begawan Kresna yang menyebut "Aku" itu sebenarnya merujuk kepada Jiwa Yang Maha Tinggi dan dengan memahami bahawa "Aku" itu adalah sebahagian daripada diri sendiri sahaja, maka seseorang itu akan menghilangkan segala sikap mementingkan dirinya sendiri. Apabila seseorang itu sedar sepenuhnya mengenai "Aku" itu dengan kebaktiannya, maka dia pun akan masuk ke kerajaan Tuhan (Bhagavadgitam 18.55).  

Gerakan Bakti

Ada tiga kumpulan pengamal kebaktian dalam agama orang Hindu.....
  • Pengikut Betara Siwa yang memuja menerusi Betara Siwa dan keluarga baginda, termasuklah Sang Ganesa dan Kumara Murugan.
  • Pengikut Betara Wisnu, yang memuja rupa-rupa Betara Wisnu, jelmaan baginda yang membawa sabda-sabda agung seperti begawan Kresna atau Seri Rama serta lain-lain yang dikaitkan dengan Betara Wisnu.
  • Pemuja Sakti (Kuasa Tuhan), yang memuja rupa-rupa kesaktian yang terjelma dalam Jagat Raya ini menerusi jelmaan dewi Durga, dewi Kali, dewi Laksmi dan dewi Parwati.
Semua pergerakan ini menghormati dewata-dewata utama kelompok lain di samping memuja Tuhan menerusi wahana utama serta jelmaannya dalam pemujaan keagamaan masing-masing. Yang termaju dalam kalangan kelompok pengamal tersebut, agama-agama kelompok tersebut, itu adalah setiap mereka mengenalpasti bahawa dewa atau dewi itu masing-masing berkaitan rapat sesama sendiri dan tercetus dari satu kejadian juga, walaupun setiap satunya dilihat dari pandangan manusia sebagai berbeda pada rupa atau berbeda ciri-ciri pertama dan ciri-ciri kedua pada tahap pencetusan.

Dalam lain perkataan, cendekiawan Hindu berkata bahawa bukit itu dilihat dari segenap arah berbeda pula kelihatannya pada mata manusia ini. Namun ia itu masih lagi bukit yang sama, cuma pandangannya saja berbeda sudut. Setiap seorang itu haruslah mendekati bukit itu dari tempat mereka berdiri.  

Selasa, 6 Ogos 2013

Siwa Puja: Bungaan Pantang

Om Swastiastu!


Mengenai bungaan itu, kita ulangi sekali lagi bahawa pantanglah dua jenis bunga ini disemahkan kepada Sang Prabhu, Betara Siwa mahupun pada lambang baginda!!

 
Cempaka

Yang pertamanya itu, bunga Cempaka atau bunga Cempa Kuning. Kita tidak gunakan bunga ini dalam pemujaan walaupun wangi baunya. Dalam Siwa Purana, diceterakanlah bahawa kenapa bunga ini pantang diguna dalam pemujaan. Tersebut ceteranya bahawa di perjalanan ke Pura Siwa di Gokarna, ada sebatang pokok bungan Cempaka yang indah dengan rimbunan bunga. Maharesi Narada ketika menuju ke pura itu menyedari hal itu dan kagumlah beliau. 

Tiba-tiba, muncul seorang pedanda Brahmana berdekatan situ. Brahmana itu memetik bungaan tapi tatkala dilihatnya Maharesi Narada maka pedanda itu berhenti memetiknya. Bila ditanyakan, Brahmana memberitahu bahwa dia sedang menuju ke rumahnya lalu berhenti sebentar menikmati kecantikan pokok Cempaka. Selepas Maharesi Narada pergi ke pura, Brahmana pun memetik bunga dan meletakkannya dalam bakul. Lalu disembunyikannya. Dalam perjalanan pulang dari pura, Maharesi Narada terserempah dengan Brahmana itu lagi. Brahmana tergesa-gesa menyatakan ingin pulang ke rumah. Maharesi Narada berasa pelik dengan sikap Brahmana itu lalu ditanyalah kepada pokok Cempaka jika ada sesiapa memetik bunganya.

Pokok Cempaka menafikannya. Tapi, Maharesi Narada masihlah rau-ragu. Beliau pergi semula ke pura lalu ditemuinya bunga Cempaka menutupi Siwalinga. Maharesi bertanyalah kepada seorang lelaki yang bertapa tidak jauh dari situ, siapa yang menyemahkan bunga ini kepada Sang Prabhu? Lelaki itu menjawab bahawa ada seorang Brahmana jahat yang hari-hari datang memberi semah kepada Siwalinga dengan bunga Cempaka. Sang Prabhu berasa suka dengan tindakannya itu lalu diberinya karunia restu yang Brahmana itu menjadi berpengaruh sekali dalam istana raja dan kini Brahmana itu menganiayai orang miskin.

Maharesi Narada pun bertemu dengan Betara Siwa dan ditanya kepada baginda kenapa baginda membantu lelaki jahat itu? Betara Siwa menjawab bahawa baginda tidak dapat menolak kebaktian pemuja yang memuja baginda dengan bunga Cempaka. Maharesi Narada murkalah lalu beliau pergi ke pokok Cempaka dan menyumpahnya kerana berbohong. Maharesi Narada menyebut dalam sumpahannya bahawa bunga Cempaka tidak akan diterima lagi dalam pemujaan Betara Siwa. Pedanda Brahmana jahat itu juga disumpah lalu dijelmakanlah dia menjadi setan dan hanya akan mencapai moksa tatkala dia dibunuh oleh Seri Rama.


Bunga Pandan

Aku tak tahu bahasa Melayu bagi bunga ini apa. Bahasa Sanskertanya bunga Ketaki, bahasa Hindu biasa-biasa nya disebut Keyura. Bunga ini pun pantang dalam pemujaan kepada Betara Siwa. Ia disumpah sendiri oleh Betara Siwa. Dalam Purana, dijelaskanlah bahawa suatu ketika, Sang Brahma dan Betara Wisnu bertengkar tentang siapa yang lagi agung. Bagi menjelaskan perkara ini, maka Betara Siwa pun menjelma pertama kalinya menjadi rupa Jotirlingam atau Lingodabhawamurtih iaitu rupa jaluran api yang tak berpengujung atau berpemula di depan Betara Wisnu dan Betara Brahma.

Betara Siwa masuk campur dalam pertengkaran dan bersabda bahawasanya barangsiapa yang ketemu mula atau hujung Siwalinga itu maka Dia lah yang Agung. Betara Wisnu dan Sang Brahma pun melayang menjelajahi Jotirlingam itu. Betara Wisnu menjelma menjadi babi dan turun ke bawah manakala Sang Brahma pula menjelma menjadi angsa terbang ke atas. Betara Wisnu tak mampu mencari dasar Jotirlinga itu lalu mengaku kalah lah baginda. Sang Brahma yang terbang ke atas dalam rupa angsa itu pula terjumpa dengan bunga Ketaki. Baginda cuba naik ke atas lagi tapi tak sampai pun ke puncak Jotirlingam itu. Jadi, baginda berkeputusan meminta bantuan bunga Ketaki.

Lalu dipetiknya bunga Ketaki pulang berjumpa dengan Betara Wisnu bagi menjadi saksi kononnya baginda sudah pun menemui puncak kepada tiang cahaya itu. Sang Brahma menyebut bahawa baginda berjumpa bunga itu di atas puncak Jotirlingam dan bunga itu pun mengiyakan sahaja. Pembohongan ini menyebabkan Betara Siwa murka! Maka baginda menyumpah Sang Brahma biar jangan baginda itu disembah oleh manusia di bumi. Sama juga dengan bunga Ketaki, pantanglah ia menjadi bahan pujaan Betara Siwa lagi! Makanya, dari sini bermula pantang disemahkan bunga ini kepada Siwalinga pada pemujaan Betara Siwa.

Ahad, 4 Ogos 2013

Siwa Puja: Abisekam


Siwa Abisekam ini selalunya dijalankan pada Lingam yang mewakili jelmaan Nya sebagai pencetus kepada kebaikan dengan memusnahkan kejahatan. Dalam kebanyakan pura, boleh ditemui oleh kita sebiji bekas yang tergantung atas Lingam. Bekas ini kita panggil sebagai Thara Pathra. Bekas ini akan menitiskan air atau lain-lain bahan semahan ke atas Lingam itu bagi memastikan abisekam terus berjalan.

Bahan Abisekam

Setengah bahan-bahan yang biasa diguna untuk abisekam dan patut ada dalam rumah pemuja Betara Siwa adalah:

1. Susu kental
2. Susu segar
3. Madu
4. Air nyiur muda
5. Wibhuti atau debu suci
6. Panchamruta iaitu manisan berlima terdiri daripada susu, gula, minyak sapi, madu dan susu kental
7. Pisang
8. Sebatian cendana
9. Minyak sapi
10. Kunyit
11. Daun Maja atau daun Bila

Daun Maja ini penting sekali. Semasa nak pilih atau memetik daun ini, pastikan cakra dan wajra tak ada di situ. Cakra ini adalah tanda putih sebab serangga, sementara wajra itu pula adalah bahagian keras di tulang daun. Dedaunan ini diguna dalam pemujaan, moleknya tiga helai. Jangan dipisahkan-pisahkan ketiga dedaunan ini biar ia di tangkai kerana pemujaan jadi tiada guna kalau dipisahkan.

Bungaan
  • Bunga Akanda
  • Bunga Datura
  • Bunga Teratai Biru, Putih atau Merah Jambu
Puspanjali Betara Siwa
  • Ahimsa prathamam puspam tiada keganasan itu bunga pertama
  • Puspam indriya nigraham kawalan pancaindera itu bunga kedua
  • Sarwa bhutha daya puspam baik terhadap semua ciptaan itu bunga ketiga
  • Kshama puspam wisesata memaafkan itulah bunga istimewa tulen semahan keempat
  • Santi puspam tenang aman itu bunga kelima
  • Dhyanah puspam tapa semadi itu yang ketujuh
  • Satyam asta widha puspam kebenaran itu bunga kelapan.
Tatkala menuang abisekam, susu, susu kental atau panchamrita itu jangan dituang dari bekas gangsa kerana nanti ia akan jadi sama seperti perahan anggur. Jari pula jangan dicelup dalam air, susu dan minyak sapi serta semahan lain kerana mencelupnya akan menjadikannya hilang tuah.

Kerana Betara Siwa itu melingkarkan Nageswara atau dewa naga di lehernya maka diceterakanlah bahawa wangian daun lidah buaya yang menarik perhatian ular menjadi salah satu bahan suci dalam pemujaan Betara Siwa. Berlawanan pula dengan Betara Siwa yang suka bersuci, Betara Wisnu menyukai Alankara Priyar atau hiasan. Makanya, Wisnusthalam atau para pemujaan Betara Wisnu selalunya akan dihiasi dengan murti Betara Wisnu serta dihiasi dengan hiasan-hiasan upacara selepas abisekam. Upacara kaum Waisnawa panjanglah sedikit dan tak ringkas seperti kaum Saiwa.

Harus juga diambil perhatian, semua upacara ini adalah terbitan daripada tafsiran weda-weda, serta dari purana sekelian. Sastera weda tak pernah menggariskan pun dewata tertentu atau upacara tertentu bagi pemujaan sebaliknya ia diambil dari purana bagi tradisi-tradisi. Pemujaan Brahma tak begitu penting tapi ada jua tempat yang masih memujanya seperti Siam dan di Rajastan di India. Ada pemujaan untuk Betara Brahma utamanya oleh kaum pedanda tilik bintang. 

Khamis, 2 Mei 2013

Dewata Hindu: Ibu Maha Sakti


!Om!
 
Banyak kali aku memaparkan mengenai Ibu Jagat. Banyak wayang gambar mengenai Nya yang menerangkan tentang perananya. Boleh tonton di sini, tekan di bahagian yang ditebalkan, Maha Sakti Ma. Terutamanya, rakan-rakan beraliran Saiwa-Sakti boleh cuba menontonnya walaupun tiada sari kata.... Aku kesal kerana aku malas hendak menerangkan sekarang, huhu... Ada masanya akan aku cuba merencanakan bahagian Adi Parasakti bagi rakan-rakan penganut Hindu Siwa-Sakti.

Om Shanti Shanti Om...

Ahad, 7 April 2013

Tandawa Nritya


Tandawa Nritya merupakan bentuk kesenian keagamaan yang dipersembah oleh Betara Siwa. Menurut kepada cetera Hindu, Siwa Tandawa ini merupakan tarian yang sifatnya perkasa yang menjadi sumber kepada pusingan ciptaan, pemeliharaan dan pencairan.

Rudra Tandawa pula merupakan gambaran kepada alam yang liar iklimnya, yang mulanya dicetuskan oleh Pencipta dan kemudian dihancurkan pula. Ananda Tandawa menggambarkan kesukaan-Nya. Betara Siwa sebagai Nataraja dianggap sebagai dewata tertinggi tarian.

Tandawa ini asalnya dari nama Tandu, pengasuh Betara Siwa yang mengarahkan Bharata atau pencipta Natya Sastra dalam penggunaan Angahara dan Karana, bentuk-bentuk Tandawa melalui arahan Betara Siwa. Setengah cendekiawan menganggap Tandu sendiri yang mengarang karya awal seni pementasan, yang digabungkan dalam Nritya Sastra. Sememangnya kesenian tradisi seperti tarian, nyanyian dan lagu-lagu berdasarkan kepada mudra dan upacara dari tradisi Saiwa.

32 angahara dan 108 karana, diperbincang oleh Bharata dalam bab keempat Nritya Sastra berjudul Tandawa Lakchannam. Karana merupakan gabungan lambang tangan dengan kaki bagi membentuk satu tarian. Angahara digubah kepada tujuh atau lebih karana. 108 karana dimasukkan ke dalam Tandawa boleh digunakan dalam tarian, seni pertahanan diri dan peperangan persendirian serta dalam pergerakan khusus semasa bersiar-siar. 

Tarian ini menggambarkan laksana bagi lima jelmaan utama kesaktian abadi....

1. Sresti, penciptaan dan evolusi
2. Sthiti, pemeliharaan dan dukungan
3. Samhara, pemusnahan dan evolusi
4. Tirobhawa, khayalan
5. Anugeraha, kelepasan, kebebasan dan keanugerahan

Tandawa ini melambangkan pusingan jagat dari penciptaan sampai kehancurannya, selain menggambarkan rentak kelahiran, kematian dan juga "pemusnahan kematian". Tandawa yang dijalankan dalam pementasan keagamaan di India Selatan mempunyai pergerakan yang bertenaga dan laju. Ia dipersembahkan dengan bhawa kesukaan, jadi dikenali juga sebagai Ananda Tandawam. Jika dipersembahkan dalam bhawa ganas, maka ia dikenali sebagai Rudra Tandawa. Dalam agama HIndu, sekurangnya ada tujuh jenis tandawa yang ditemui seperti Ananda, Tripura, Sandhiya, Samhara, Kalika, Uma dan Gauri Tandawa. Walau bagaimanapun, ramai juga percaya ada sekurang-kurang 16 jenis tandawa.

"Berapa banyak jenis tarian Betara Siwa yang diketahui anak bukti tiadalah saya ketahui. Tidak syak lagi, asal-usul tarian ini dari satu jenis tarian juga atau sama akarnya. Ia merupakan jelmaan kepada kesaktian rentak awal. Walau apa pun asal-usul tarian Betara Siwa, ia jelas menunjukkan bahawa ia berasal dari kegiatan-Nya yang menjadi sebahagian daripada kesenian agama". - Ananda Kumaraswami.

Tarian yang dipersembah oleh dewi Parwati sebagai memberi maklum balas kepada Siwa Tandawa dikenali sebagai Lasya. Lasya ini gerakannya lembut sedikit, sopan santun dan kadang-kala sedikit menghairahkan. Setengah sarjana menganggap lasya sebagai bentuk kewanitaan bagi tandawa. Lasya ada dua jenis pula iaitu jarita lasya dan yauwaka lasya.

Agama Hindu menceterakan pelbagai peristiwa apabila Betara Siwa dan lain-lain dewata menjalankan tandaawa. Apabila dewi Sati melompat ke dalam Agni Kunda dalam Daksa Yagna dan membunuh diri, Betara Siwa dikatakan menjalankan Rudra Tandawa yang melambangkan kemurkaan baginda dan kesedihan. Siwapradosa Stotram menyebut apabila Betara Siwa menjalankan Sandhiya Tandawa, dewata lain seperti Sang Brahma, Dewa Wisnu, Dewi Saraswati, Dewi Laksmi dan Betara Indera memainkan bunyian dan menyanyikan gita memuji Betara Siwa.

Dewa Ganesa, anakanda Betara Siwa, digambarkan sebagai astabhuja tandawa nritya murti atau Sang Ganesa menari tandawa bertangan lapan dalam arca kuil. Bhagawata Purana menyebut bahawa Seri Kresna menarikan tandawanya di atas kepala ular Kaliya. Menurut tradisi Jina Mahawira, Betara Indera pun dikatakan menjalankan tandawa bagi memberi tabik namah kepada Empu Risabha, iaitu salah seorang Thirtankara Jina dalam penjelmaan kemudian.

Sabtu, 6 April 2013

Dewi Sati


Dewi Sati dikenali juga sebagai Dhakshayani. Dewi Sati merupakan dewi dalam kepercayaan Hindu yang mewakili kaliyanam dan dirgahayu. Dalam lagenda masyarakat Hindu, dewi Sati Parwati memainkan peranan dalam membawa Betara Siwa keluar dari pertapaan menyertai cetusan dalam lokamaya. Tindakan dewi Sati yang dituruti oleh wanita-wanita Kesatria Hindu menceburkan dirinya ke dalam pembakaran mayat suami sebagai jalan menyatakan kesetiaan dan cinta bakti. Dewi Sati membakar dirinya disebabkan mempertahan maruah suaminya, Betara Siwa. 

Dantakatha

Dewi Sati mengambil jelmaan manusia menurut perintah Sang Brahma. Dewi Sati terjelma sebagai anakanda kepada Daksha Prajapatti dengan isteri baginda, Prasuti. Daksha Prajapatti adalah anakanda kepada Sang Brahma. Baginda itu raja yang agung dan mempunyai kekuasaan tersendiri. Sebagai anakanda Daksha Prajapatti, dewi Sati dikenali lah juga sebagai Dakshayani. Arti nama Sati itu adalah kebenaran. Menurut kepada keadaan ini, dewi Sati ini adalah cucunda kepada Sang Brahma melalui Daksha Prajapatti. Baginda juga cucunda Sang Brahma melalui Prasuti, anakanda kepada Manu kerana Manu itu juga anakanda Sang Brahma.   

Perwiwahan Sati

Dalam perintah Sang Brahma itu, dewi dikehendaki mengambil rupa manusia dan harus menyukakan Betara Siwa dengan kebaktian merendah diri dan mengahwini baginda. Sudah semestinya, dewi Sati membesar dengan mendengar cetera-cetera mengenai Betara Siwa dan menjadi seorang yang bakti amat terhadap Betara Siwa. Dewi Sati atau Gauri tidak mau lah berwiwaha dengan orang lain walaupun dijodohkan ayahandanya. Segala suruhan Prajapatti Daksha terhadapnya itu sia-sia sahaja. Sebaliknya, baginda cuma mahukan Betara Siwa, Maheswara yang mengaruniakan segala yang ada di lokamaya ini.

Bagi mendapatkan perhatian Betara Siwa, puteri kepada Prajapatti Daksha pun meninggalkan kemewahan istana dan masuk ke hutan bertapa. Menujukan kebaktian dan memuja Betara Siwa. Bersangatanlah tapa yang dijalankannya secara beransur-ansur sehingga akhirnya baginda meninggalkan makan minum. Sehari sehelai daun biluwa yang dimamahnya, sehingga tiadalah apa lagi diambilnya walaupun untuk lapik perut. Nigraha begini menyebabkan dewi Sati dikenali sebagai Aparna. Artinya meninggalkan terus dedaunan sebagai makanan. Pujaan baginda dewi Sati memberikan hasil apabila Betara Siwa bersetuju mengambil dewi Sati sebagai isteri. Dewi Sati yang berbahagia berpulanglah ke istana menunggu bakal suaminya, malangnya baginda ayahanda langsung tidak suka dengan hal tersebut. Perwiwahan tetap berlangsung dengan Gauri (dewi Sati) mengikut Betara Siwa pulang ke pergunungan Kailasa. Dalam dantakatha ini, Prajapati Daksha digambarkan sebagai raja yang sombong, tidak bergaul baik dengan anak menantu baginda yang meninggalkan maya serta menghalau puteri baginda keluar dari istana.     

Keangkuhan Prajapati Daksha

Suatu ketika, Prajapati Daksha menjalankan mahayagna dengan menjemput semua dewata menghadirinya. Yang tidak dijemput cuma dewi Sati dan menantunya, Betara Siwa. Dewi Sati pula ingin melawati kedua orang tuanya, saudara-mara dan teman sepermainan ketika kecilnya jadi baginda cuba untuk memunasabahkan pemulauan mereka. Baginda bersangka baik bahawa mungkin ayahanda baginda tidak menghantar jemputan resmi kepada mereka hanya kerana mereka itu keluarga, maka tidak perlu beresmi segala. Lagipun baginda dewi tidak memerlukan jemputan pun untuk melawati ibunda baginda dan tetap akan pergi melawatinya. Betara Siwa menghalangnya pergi namun baginda dewi tetap bertekad mahu pergi. Oleh itu, baginda menghantar butagana baginda menjaga dewi Sati serta mengarahkan baginda dewi jangan mencetuskan sebarang kejadian tidak diingini.

Membakar Diri

Baginda dewi Sati diterima dengan dingin sahaja oleh ayahanda baginda. Kemudian terjadilah pertikaman lidah mengenai ciri kebaikan Betara Siwa. Setiap pala berlalu menjadikan dewi Sati lebih jelas bahawa ayahanda baginda itu tidak mampu langsung menghargai ciri-ciri terbaik yang terdapat suami baginda. Kesedaran ini kemudian datang kepada dewi Sati bahawa semua kejian itu cuma ditujukan kepada Betara Siwa hanya kerana baginda berwiwaha dengan baginda dewi. Baginda dewi menyedari bahawa baginda menjadi punca suami baginda dicaci-caci! Baginda dewi menjadi tersinggung teramat kepada ayahanda baginda dan menyampah dengan pemikiran baginda itu.

Baginda dewi pun menjalankan puja supaya pada jelmaan akan datang, biarlah baginda dilahirkan dari ayahanda yang dihormati oleh baginda. Dewi Sati menyeru api Agni dengan sakti Yoga yang diterima baginda semasa tapa wratam yang bersangatan lantas membakar diri baginda sendiri dengannya.

Kemurkaan Betara Siwa

Betara Siwa menyedari bencana ini, lantas kemurkaan baginda tidaklah tertahan lagi! Baginda menyayangi dewi Sati melebihi segalanya pun. Lantas, baginda mencetuskan Wirabhadra dan Bhadrakali. Kedua-dua makhluk yang ganas ini mencetuskan kekacauan dan bencana di tempat kejadian. Semua yang berada di tempat kejadian rebah dalam masa semalam sahaja. Baginda Prajapati Daksha sendiri dipancung mati. 

Menurut setengah tradisi, dipercayai baginda Betara Siwa yang murka itu menjalankan tandawa yang menakutkan dengan mengusung tubuh dewi Sati di bahu baginda. Semasa tarian tandawa, tubuh dewi Sati jatuh berkecai-kecai di pelbagai tempat di bumi. Menurut tradisi lain lagi, tubuh dewi Sati diusung di bahu Betara Siwa dan dibawa berlari mengelilingi loka sambil ditangisi baginda Betara Siwa. Dewa-dewa kahiyangan menyeru Dewa Wisnu Narayana bagi mengembalikan Betara Siwa kepada keadaan tenang. Dewa Wisnu melemparkan cakra baginda, Sudarshana Chakra lantas mengoyakkan tubuh dewi Sati yang tiada nyawa itu sehingga Betara Siwa tenang.      

Kedua-dua tradisi cetera ini menyatakan tubuh dewi Sati dikoyak 51 ceraian lalu jatuh merata-rata di bumi. Kesemua 51 tempat itu menjadi Sakti Pita atau tempat suci. Setengahnya menjadi tempat thirtayatram kerana ditunggu oleh dewi menurut aliran Sakti. Yang lain-lain tempat suci pun ada juga hasil daripada Bindudhama atau titisan darah dari tubuh dewi Sati.

Selepas malam yang menakutkan itu, Betara Siwa mengampunkan semua dan menghidupkan semula segala yang disembelih lalu dikaruniakan lagi asirwada. Prajapati Daksha pun dihidupkan semula dan dikembalikan ke takhta. Tapi kepala baginda yang dipenggal itu digantikan dengan kepala kambing. Selepas insaf, baginda Prajapati Daksha menjadi anak bakti kepada Betara Siwa sebelum kemangkatan sebenar baginda.

Susulan

Dewi Sati dijelmakan semula sebagai dewi Parwati, anakanda raja Himawata di pergunungan dan isteri baginda Dewi Mena. Kali ini, ayahanda baginda dewi adalah seorang yang dihormati baginda. Baginda raja Himawata menghormati Betara Siwa. Seperti biasa, dewi Parwati tetap setia dengan Betara Siwa lalu menjadikan baginda Betara Siwa suaminya. Dantakatha ini muncul dengan lengkap sekali dalam sastera Tantrayana, dalam purana, dan dalam Kumarasambhawam karya Kalidasa. Kumarasambhawam merupakan epik yang menceterakan perihal penjelmaan dewa Kartikeya atau dewa Murugan.

Jumaat, 8 Mac 2013

Puja Chaturyama Mahasiwaratri


Satu bentuk perayaan dalam renteten Mahasiwaratri dijangka akan berlangsung Ahad ini di Bengaluru. Cawangan Matham Sringeri Sankara menjadi tuan rumah bagi upacara puja tersebut yang bermula pada 10 Mac dan ditutup pada 11 Mac.

Ketika malam Mahasiwaratri, para Brahmana yang mahir dalam veda segala veda berkumpul di Siwalaya atau gunungan dewa Siwa seraya memulakan puja kepada dewa Siwa dengan cara menurut kepada veda-veda, agama serta sastra. Hal ini turut melibatkan Abisekam, dengan air, pancamerta, sebatian kayu cendana dan lain-lain sambil membaca mantra veda. 

Malam itu terbahagi kepada empat bahagian iaitu setiap satunya berjalan selama tiga jam. Bagi setiap bahagian malam itu dikenali sebagai satu Yama dan pemujaan dewa Siwa berlangsung dalam empat Yama kesemuanya itu dipanggil lah Chatur Yama Puja. Chatur Yama Puja bermula selepas pradosakala atau waktu senjakala sekitar jam 19:30 pm dan berlangsung sampai 07:30 am keesokan harinya. Puja bagi setiap Yama itu dipanggil Mahamangala Ratih pada kemuncaknya.

Sri Rudram juga dikenali sebagai Rudra Dhiyaya, Rudra Prasna dan lain-lain dibacakan 11 kali. Ramai orang termasuk para sarjana pendita dan dukun ayurveda menyatakan bahawa Sri Rudram bukan sahaja mengandungi ciri kebaktian terhadap dewa Siwa malahan juga mengandungi kesan menyembuhkan. Ia menyembuhkan secara perlahan-lahan tanpa disedari penderita sakit apabila bunyian yang benar dari bacaan mantraveda disampaikan oleh pinandita veda.

Tak banyak kuil hari ini melaksanakan puja begini. Tetapi, menerusi petunjuk dari Jagat Guru Sringeri dari Matham Sringeri cawangan Bangaluru, pemujaan dimulakan kembali di situ dan masih lagi berlangsung sejak tiga tahun lepas. Setiap tahun pinandita veda dari semua warga Brahmana iaitu Smartha, Sri Vaisnava dan Mathawa serta dari pelbagai Sakha Veda berkumpul membaca mantra Rudra dengan cara yang asli.

Barangsiapa yang berkeinginan merayakan Mahasiwaratri ini, dipinta supaya anda menjadi sebahagian daripada peserta dalam menghadiri sesi bhajan kerana ia lebih baik daripada menonton wayang gambar sepanjang malam, bersembang-sembang kosong semasa vratam dan lain-lain. Sebagaimana yang dijelaskan ramai pendita, tiada yang lebih baik selain daripada mendengar bunyian dari bacaan mantra veda. Ia adalah satu ciri tersendiri dalam Sanatana Dharma. Ambil peluang ini untuk membersihkan papa dosa dan manfaat kebendaan dari peristiwa agung itu.

Penduduk Bengaluru, pastikan anda menyertai perayaan ini. Maklumat lanjut adalah seperti berikut. Jika tidak dapat sertainya pun janganlah bimbang kerana ada siaran langsung di vedavishvapooja dan di saluran Sri Sankara walaupun mantra hanyalah memberi manfaat apabila didengari di tempat ia dibacakan.

Ahad, 10 Mac 2013

Rudrabisekam dan Laksa Bilwarchana
07:00-16:00
Oleh Jawatankuasa Pradosa Puja, Bangalore.

Abhang dan Bhajan Hindustan berkenaan dewa Siwa
16:00-18:00
Oleh Mumbai Sri Anand Begawatara

Chaturveda Sahita Chaturyama Mahasiwaratri Puja
18:00 - Terbit Mentari

Isnin, 11 Mac 2013

Ashirvadam
07:00
Oleh Pendita Veda dan Vidwat Sambhawana

Ahad, 2 Disember 2012

Sutra-Sutra Siwa dalam Saiwa Kashmir


Usaha pertama yang agung dalam sejarah adalah dari aliran kebatinan Wasugupta (875-925). Wasugupta menyusun untuk pertama kalinya prinsip-prinsip dan doktrin utama sistem ini.

Karya asas bagi aliran Saiwa, secara tradisinya banyak dikaitkan dengan Wasugupta. Ia terdapat dalam sastera Sutram Dewa Siwa oleh Wasugupta. Sutra-sutra ini dianggap sebagai wangsit dari Sang Sambo kepada Wasugupta. Menurut ceteranya, Wasugupta bermimpi bahawa Sang Sambo memerintahkannya pergi ke gunung Mahadewa di Kashmir. Di gunung itu, dikatakan bahawa dia bertemu dengan ayat-ayat terpahat pada sebiji batu. Ayat-ayat itu adalah Sutra Siwa yang menggariskan ajaran Mayawada Sang Sambu Maheswara

Sastera ini adalah satu daripada sumber utama ajaran Saiwa di Kashmir. Karya ini merupakan kumpulan madah-madah. Sutra ini memperincikan ilmu ghaib dari falsafah adwaita. Sutra ini dikelaskan sebagai sejenis agama atau sastera Hindu. Ia juga dikenali sebagai Siwopanishat Samgraha atau Siwarahasyagama Samgraha. 

Pengelasan Tradisi Bertulis

Teks Saiwa Kashmir pertama bertulis dalam awal abad ke-9 M. Sebagai satu sistem tantra bersifat mayawada, trikasaiwa mengambil ajaran daripada Sruti, seperti juga aliran mayawada lain seperti bhairawatantra, siwasutra oleh wasugupta dan juga satu versi unik Bagawadgita yang mempunyai ulasan daripada Abhinawagupta, dikenali sebagai Gitartha Samgraha. Ajaran-ajaran juga diambil dari Tantraloga oleh Abhinawagupta, yang terutama antara kumpulan smerti yang digunakan oleh pengamal aliran Saiwa Kashmir.

Umumnya seluruh tradisi bertulis aliran Saiwa boleh dibahagikan kepada tiga bahagian asas:

1. Agamasastram.

Tulisan-tulisan yang dianggap wangsit terus dari Sang Sambu. Tulisan-tulisan ini pertama kalinya dibacakan dari guru-guru kepada pelajar-pelajar yang dihargai. Ia termasuklah karya-karya asas seperti Maliniwijayatantra, Swacchandatantra, Wignanabhairawatantra, Netratantra, Mergendratantra, Rudrayamalatantra, Siwasutra dan lain-lain. Ada banyak ulasan untuk karya-karya ini. Siwasutra mempunyai paling banyak ulasan.   

2. Spandasastram.

Karya utama untuk sastra ini adalah Spandakarika oleh Wasugupta dengan ulasan sekali. Daripada ini, ada dua yang utama iaitu Spandaspandoha yang berbicara tentang ayat pertama Spandakarika dan Spanda Nirnaya yang merupakan ulasan semua ayat dan lengkap. 

3. Pratyabhignasastram.    

Tulisan-tulisan yang ini mempunyai isi kandungan tentang ilmu ghaib. Disebabkan tinggi tahap kebatinan dan tahap akademiknya, maka tulisan ini merupakan bahagian yang paling sukar sekali hendak difahami dalam aliran Saiwa secara keseluruhannya dan usaha membawanya ke khalayak umum juga sukar. Penulisan ini merujuk kepada asas kepada kesadaran diri yang terus dan ringkas. Pratyabhigna bermaksud pengiktirafan dan merujuk kepada pengiktirafan tak semena-mena sifat ketuhanan yang wujud dalam setiap atman yang terkandung dalam manusia.

Karya penting dalam kategori ini adalah:

a. Iswarapratyabhigna iaitu karya asas daripada Utpaladewa.
b. Pratyabhigna Wimarsini iaitu ulasan kepada karya Iswara Pratyabhigna.
c. Siwa Drishti iaitu kekawin oleh Somananda yang mempunyai maksud yang sukar dimengertikan. 

Iswara Pratyabhigna membawa maksud Hakikat Pengiktirafan Terus dari Tuhan seperti yang di dalam Hati

Konsep dalam Aliran Saiwa Kashmir


Pandangan Seluruh Falsafah

Pandangan seluruh oleh aliran ini boleh diringkaskan melalui konsep seperti:

1. Citi
2. Mala
3. Upaya
4. Moksha

Makna konsep-konsep ini adalah:

1. Citi

Kesedaran sejagat merupakan asas kepada alam semesta. Kesedaran ini hanyalah satu dan merangkumi semua. Ia dikenali juga sebagai Tuhan atau Siwa.

2. Mala

Kesedaran mengikat dirinya pada janji. Satu itu menjadi banyak. Siwa menjadi jiwa. Ikatan ini disebut sebagai mala atau kekotoran. Maka ada trimala atau tiga mala:

a. anawamala ertinya kekotoran oleh sebab pengasingan diri dari kesedaran.
b. mayiyamala atau mala kerana terbatasnya pemikiran.
c. karmmamala yang bererti mala oleh sebab tubuh.  

3. Upaya

Seseorang itu menderita kerana kewujudannya dikurung tubuh. Maka dia pun terkena kesan trimala ini. Akhirnya dia berkeinginan untuk kembali kepada keadaan azalinya dengan Kesedaran Sejagat. Bagi mencapai keadaan ini, dia perlu lah menjalani saadhana atau amalan kebatinan. Sementara kebanyakan orang dari aliran lain mengamalkan penyembahan colok dan makanan kepada dewata. Pengikut aliran ini hanya menyembahkan nyawa atau nafas. Orang itu akan mengawal hatinya dan nadi dengan mengurangkannya secara perlahan-lahan. Tahap terakhir sekali adalah meninggalkan makanan dan minuman. Kesannya nanti, dia akan berhubung dengan keadaan tertinggi dalam bentuk Siwa atau Sang Pemusnah. 

Aliran ini mengenalpasti empat kaedah atau upaya ini sebagai:

a. anawopaya iaitu kaedah tubuh.
b. saktopaya ertinya kaedah minda.
c. sambhawopaya yang bererti kaedah kesedaran.
d. anupaya atau kaedah tanpa kaedah. 

4. Moksha    

Ini adalah buah daripada sadhana orang perseorangan. Ertinya itu kesedaran diri. Kita akan menyedari diri kita ini siapa. Dalam aliran ini, mukti atau keadaan dibebaskan itu dipanggil sebagai sahaja semadhi. Ia dicirikan dengan pencapaian kesedaran dan kebahagiaan tanpa keraguan semasa seseorang itu masih menjalani kehidupan seperti biasa.

Anuttara

Perkara ini merupakan prinsip tertinggi dalam aliran Saiwa Kashmir. Ia merupakan hakikat asas yang tersirat dalam alam semesta. Antara pelbagai tafsiran anuttara ini adalah Yang Tertinggi, Atas daripada Semua dan Hakikat yang Tidak Mampu Dicapai. Dalam bahasa Sanskrit, aksara anuttara ini dikaitkan dengan aksara pertama dalam aksara brahmi semuanya iaitu "a". Sebagai prinsip tertinggi ini, ia dikenalpasti sebagai siwa, sakti (kuasa penggerak), cit (kesedaran tertinggi), prakasa (cahaya tidak tercipta), aham (tertakluk pada yang tinggi) dan spanda (getaran tanpa kiraan masa).

Pengamal yang menyedari anuttara tidak kira melalui apa cara sekalipun, sama ada dia melaluinya dengan usahanya sendiri atau melalui wangsit terus daripada Sang Sambu atau Sakti, maka dia terbebas lah sudah dan tidak lagi melihat dirinya itu sebagai diri yang asing daripada alam semesta. Semua makhluk menjadi satu atau sama sahaja dan melalui geseran berahi, yang mana tertakluk itu menyedari sesuatu bahan dan yang dalam tindakan membuat pandangan itu dipenuhi dengan makhluk yang satu sahaja, kesedaran dan kebahagiaan. Anuttara ini berbeza dengan sebutan melampaui sempadan ruangan, walaupun ia masih tertinggi. Ia tidak mencerminkan sebarang pemisahan antara sesuatu makhluk itu dengan alam semesta.  

Aham

Ini juga dikenali sebagai hati dewa Siwa. Ia dianggap sebagai bukan duaan yang berada dalam ruangan dalaman Siwa. Ia menyokong seluruh jelmaan, mantra yang agung dan dikenali juga sebagai Sakti.

Pratyabhignna

Ini adalah sebutan falsafah aliran Saiwa Kashmir. Ia bermaksud "pengiktirafan tak semena-mena" kerana ia tidak mempunyai sebarang upaya. Tiada sebarang amalan untuk ini, yang perlu dibuat hanyalah mengenalpasti siapa diri kita. Kaedah ini boleh juga dipanggil sebagai anupaya atau tak ada kaedah langsung. Ksemaraja iaitu pelajar kepada Abhinawagupta menggunakan analogi cerminan untuk menjelaskan perkara ini.

Kaula         

Walaupun dijadikan sebagai tradisi dalam rumah, amalan ini masih dicadangan oleh aliran ini dijalankan sebagai amalan rahasia dalam menjaga tradisinya. Ia dilakukan dengan mengasingkan diri daripada orang awam pada saat dan ketika, jadi seseorang itu masih boleh tinggal bermasyarakat dan kelihatan seperti orang biasa.

Swatantraya

Konsep membuat pilihan secara rasional bagi menentukan nasib memainkan peranan penting dalam aliran ini. Ia bererti penyebab kepada terciptanya alam semesta, kuasa azali yang mengocak kemutlakan dan menjelmakan dunia dalam kesedaran tertinggi Siwa. 

Dalam Swatantraya, semua yang tertakluk dan sedar itu adalah peserta bersama dalam pelbagai tahap dalam kedaulatan ketuhanan. Manusia mempunyai tahap kebebasan memilih yang terhad berdasarkan tahap-tahap kesedaran mereka. Aliran ini sebagai satu sistem falsafah idealis mayavada, memandang semua yang tertakluk itu adalah satu. Dan yang satu itu Siwa, iaitu Kesedaran Tertinggi.

Maka semua yang tertakluk mempunyai kebebasan memilih bagaimana nasib mereka ditentukan. Mereka adalah dewa-dewa juga tetapi boleh jadi jahil akan hakikat ini. Kejahilan juga adalah sejenis kuasa yang dipancarkan oleh Swatantraya ke atas ciptaan dan boleh dibuang melalui Swatantraya dan juga melalui hikmat Diri.  

Satu fungsi Swatantraya adalah untuk mengurniakan saktipat atau rahmat ketuhanan. Dalam sistem falsafah ini, pembebasan kerohanian boleh dicapai dengan sedikit sahaja usaha. Tapi melalui rahmat dan kehendak Tuhan pun seseorang masih juga boleh bebas atau melalui guru-guru. Jadi, jika pelajar menemui guru sebegini, maka dia hanya perlu menyerahkan dirinya dan menunggu rahmat ketuhanan untuk menghapuskan kekurangan yang mengekang kesedarannya.  
    
Kebetulan dalam aliran ini juga dianggap sebagai diciptakan oleh Swatantraya bersama-sama dengan alam semesta ini. Jadi, tak ada sebarang percanggahan, keterhadan atau kuasa pun yang boleh memaksa Siwa untuk bertindak dengan cara yang lain daripada pengetahuan Nya. Swatantraya selalu wujud melampaui perisai khayalan alam sejagat yang terhad iaitu, Maya.