Jumaat, 3 Januari 2014

Bhakti Yoga


Bhakti yoga merupakan jalan kerohanian yang digambarkan dalam falsafah Hindu sebagai berkesan bagi memupuk cinta, kepercayaan dan penyerahan diri kepada Tuhan. Ia bererti menyedari Tuhan, dan merupakan cara termudah bagi orang awam kerana ia tidak melibatkan amalan-amalan yoga yang banyak.

Bhagavad Gitam, Bhagavata Purana dan Purana lain merupakan sastera suci yang menerangkan lagi falsafah Bhakti. Pergerakan Hindu yang menekankan amalan bhakti sebagai keutamaan digelarkanlah sebagai pergerakan Bhakti. Aliran yang menekankan gerakan Bhakti ini adalah seperti Vaishnava, Saiva dan Sakti.

Falsafah

Bhakti merupakan sabdavali bahasa Sanskerta yang menandakan sikap kebaktian kepada Tuhan perseorangan yang serupa dengan sebilangan hubungan antara manusia dengan manusia. Perbedaannya itu cuma perhubungan kebaktian ini adalah antara roh makhluk dengan Roh Tertinggi, atau Tuhan. Sikap ini digambarkan seperti sikap perhubungan pencinta dengan yang dicintai, rakan dengan rakan, ibu bapa dengan anak-anak, dan tuan dengan hamba. 

Bhagavata Puranam (7.5.23-24) mengajarkan enam bentuk dasar bagi kebaktian seperti yang dijelaskan oleh Prahlada, pengikut setia Betara Wisnu dalam jelmaan Narasimha....

1. Sravaṇa, mendengar cetera sastera suci mengenai begawan Kresna dan rakan-rakan baginda.
2. Kīrtana, memuji yang selalunya merujuk kepada kumpulan penyanyi keagamaan.
3. Smaraṇa, mengingati atau mengarahkan ingatan kepada betara Wisnu.
4. Pāda-sevana, menjalankan seva.
5. Arcana, pemujaan rupa.
6. Vandana, memberi tabik.
7. Dāsya, perhambaan diri.
8. Sākhya, persahabatan.
9. Atma-nivedana, penyerahan diri terus.

Semua samilan prinsip seva bakti ini digambarkan sebagai membantu anak bakti supaya lebih memberi tumpuan dalam hubungan secara berterusan dengan Tuhan. Proses japa dan tapa dalam dengan memberi tumpuan kepada jelmaan devata dipilih oleh anak bakti terutamanya sangat terkenal dalam aliran kebaktian. Bhakti ini merupakan jalan yoga, yang bertujuan suci demi mencari penyatuan dengan Tuhan Maha Agung. Rupa sebenar Tuhan, atau jenis penyatuan itu berbagai pula menurut kepada aliran pemikiran Hindu, tetapi kandungan bagi setiap proses itu semua sama sahaja. 

Guru kerohanian India, Meher Baba menyatakan bahawa, "Daripada sebilangan amalan yang membawa kepada matlamat tertinggi kemanusiaan iaitu menyedari-Nya itu, Bakti Yoga antara salah satu yang terpenting. Hampir seluruh kemanusiaan itu melibatkan Bakti Yoga. Dalam perkataan ringkasnya, Bakti Yoga itu sejenis silpa kesenian bagi pemujaan. Tetapi ia mestilah dipahami dalam semua aspek sebenarnya, dan bukan dengan pemikiran yang sempit dan cetek, seperti yang dipergunakan dalam penafsiran perkataan ini. Pemujaan yang jelas berdasarkan kepada ideal-ideal falsafah tinggi dan kerohanian, dilatari oleh cinta suci, tanpa keraguan yang mewarnai Bakti Yoga".

Bhagavadgitam

Sementara sastera agama ini mempunyai senarai falsafah dan perkaitan keagamaan yang berjela-jela, ia juga dilihat sebagai sudut utama bagi ketuhanan dalam gerakan kebaktian Hindu, terutamanya dalam lingkungan kelompok Waisnawa.

Namun, kebaktian ini seringlah ditafsirkan oleh ramai orang sebagai satu panduan yang tidak semestinya terbatas hanya kepada pengikut begawan Kresna sahaja. Tidak mengira sebarang kejadian mau pun keadaan, dalam sabda begawan Kresna itu, bahawasanya cinta dan niat murni tiada celanya itu merupakan kuasa yang memotivasikan anak bakti secara berkesan dalam kehidupan rohaniahnya.  

Kebaktian itu sangat jelas sekali memaparkan pernyataan aturan akal seorang yang berbakti itu terhadap Guru nya. Begawan Kresna bersabda seperti tercatat dalam Bhagavadgitam 9.34...
"Libatkan pemikiran mu itu dalam pemikiran yang senantiasa mengingati Ku, jadilah orang-orang yang berbakti kepada-Ku, dan pujalah Aku. Biarkan diri mu itu sempurna terserap dalam Ku, maka kau pasti akan datang kepada Aku!"
Seseorang itu pastilah memahami sabda begawan Kresna yang menyebut "Aku" itu sebenarnya merujuk kepada Jiwa Yang Maha Tinggi dan dengan memahami bahawa "Aku" itu adalah sebahagian daripada diri sendiri sahaja, maka seseorang itu akan menghilangkan segala sikap mementingkan dirinya sendiri. Apabila seseorang itu sedar sepenuhnya mengenai "Aku" itu dengan kebaktiannya, maka dia pun akan masuk ke kerajaan Tuhan (Bhagavadgitam 18.55).  

Gerakan Bakti

Ada tiga kumpulan pengamal kebaktian dalam agama orang Hindu.....
  • Pengikut Betara Siwa yang memuja menerusi Betara Siwa dan keluarga baginda, termasuklah Sang Ganesa dan Kumara Murugan.
  • Pengikut Betara Wisnu, yang memuja rupa-rupa Betara Wisnu, jelmaan baginda yang membawa sabda-sabda agung seperti begawan Kresna atau Seri Rama serta lain-lain yang dikaitkan dengan Betara Wisnu.
  • Pemuja Sakti (Kuasa Tuhan), yang memuja rupa-rupa kesaktian yang terjelma dalam Jagat Raya ini menerusi jelmaan dewi Durga, dewi Kali, dewi Laksmi dan dewi Parwati.
Semua pergerakan ini menghormati dewata-dewata utama kelompok lain di samping memuja Tuhan menerusi wahana utama serta jelmaannya dalam pemujaan keagamaan masing-masing. Yang termaju dalam kalangan kelompok pengamal tersebut, agama-agama kelompok tersebut, itu adalah setiap mereka mengenalpasti bahawa dewa atau dewi itu masing-masing berkaitan rapat sesama sendiri dan tercetus dari satu kejadian juga, walaupun setiap satunya dilihat dari pandangan manusia sebagai berbeda pada rupa atau berbeda ciri-ciri pertama dan ciri-ciri kedua pada tahap pencetusan.

Dalam lain perkataan, cendekiawan Hindu berkata bahawa bukit itu dilihat dari segenap arah berbeda pula kelihatannya pada mata manusia ini. Namun ia itu masih lagi bukit yang sama, cuma pandangannya saja berbeda sudut. Setiap seorang itu haruslah mendekati bukit itu dari tempat mereka berdiri.  

Tiada ulasan:

Catat Ulasan