Rabu, 28 Januari 2015

Thaippūcam

O Svasti Astu


Pada 3 Feb 2015 ini akan berlangsung lagi perayaan Thaippūcam di pura-pura Hindu orang Tamil. Ia berlangsung pada ketika purnama bulan Thaiya mengikut penanggalan Selatan bersamaan penanggalan Utara, pada bulan Paua.

Perayaan ini dilangsungkan dengan penuh gegak gempita di rantau Tamil Nadu di India yang terutamanya serta di beberapa negara lain yang mempunyai warganegara Hindu berketurunan Tamil seperti di:
  • Pesekutuan Malaysia, di negeri-negeri Selangor, Pulau Pinang, Perak, dan Johor.
  • Republik Indonesia, di sebelah Sumatera.
  • Republik Singapura.
  • Thailand di kota raya Bangkok.
  • Kesatuan Myanmar.
  • Sri Lanka.
  • Mauritius.
  • Guadalupe.
  • Reunion.
Penggunaan perkataan Thaippūcam ini terbit dari gabungan penanggalan suryamasa dan chandramasa. Ketika itu, bintang Pushya berada di titik ketinggian. Perayaan ini memperingati peristiwa devi Parvathi mengurniai deva Skandha Murugan sebilah lembing bergelar Śakthivel untuk menghapuskan asura degil bergelar Sūrapadman. Terdapat juga tanggapan salah bahawa perayaan ini adalah sempena penjelmaan deva Skandha. Sebenarnya hari penjelmaan deva ini jatuh pada bulan Vaikāsi atau bulan Vaisāka.

Asal-Usul Thaippūcam

Deva Skandha tercetus semasa peperangan para asura membantai deva-deva. Pada satu tahap, pihak deva menjadi lemah sehingga ditewaskan berkali-kali oleh asura. Deva-deva pun mendekati Betara Śiva memohon sarana. Betara Śiva berjanji untuk memberi pemimpin perwira yang mampu untuk menjadi ketua panglima deva-deva bagi mencapai vijaya atas para asura selepas deva-deva merayu baginda dengan bersungguh-sungguh.

Betara Śiva mencetuskan pahlawan perkasa, Skandha, dari Acintya Śakti. Skandha memegang kepimpinan dalam tentera kayangan, memberi petunjuk-petunjuk dan mengalahkan tentera asura. Untuk memperingati peristiwa ini, pengikut-pengikut baginda Skandha pun memuliakan hari kemenangan deva-deva itu sebagai Thaippūcam.

Menurut Skandha Purana dan kekawin Thiruppuga yang berdasarkan kepada prinsip-prinsip Śaiva Patha, deva Skandha adalah salah satu penjelmaan cahaya suci dan kebijaksanaan Betara Śiva. Pemuja-pemuja bermohon kepadanya untuk mengatasi halangan-halangan hidup kerana dia memusnahkan kegelapan. Teladan di sebalik perayaan ini adalah untuk bermohon kepada Sang Hyang Tunggal supaya memberi restu-Nya bagi menghapuskan ciri-ciri buruk dalam jiva manusia.

Kavadi

Penganut-penganut yang berbakti boleh menjalani kavadi attam atau tarian menanggung beban semasa upacara pemujaan deva Skandha. Kavadi melambangkan penunaian hutang penganut dan permohonan penganut yang dipanjatkan kepada deva.

Umumnya, penganut mengangkat sumpah untuk memakai kavadi bagi memberi persembahan di depan vikraha bagi tujuan menenangkan malapetaka yang muncul dalam hidup mereka. Contohnya, jika anak seseorang penganut itu terkena penyakit berat, maka dia akan bermohon kepada deva Skandha Shanmukha semoga anaknya dilindungi dan boleh terus hidup. Sebagai galang gantinya, dia akan turut serta mengangkat kavadi bagi dipersembah kepada Tuhan menerusi perwakilan deva Skandha.

Sebelum menyertai perarakan, penganut mesti bersedia dengan menyucikan jiwa raga dengan sembahyang dan berpuasa dalam tempoh kira-kira dua hari sebelum menjelang perayaan ini. Makanan satvik saja dibenarkan untuk dimakan dan makan sekali saja sehari. Selain itu, otak dan hati mesti bertumpu kepada Tuhan, dilarang terlibat dalam hubungan berahi dan dilarang berfikiran keji!

Sebelum perarakan di hari perayaan, penganut-penganut mesti mencukur kepala, berdharmayatra di laluan antara dua pura dan menjalani kebaktian sambil menanggung pelbagai jenis kavadi. Tindakan yang paling mudah adalah menanggung kendi susu untuk sesajen dan yang biasa diamalkan seperti mencucuk kulit pipi, lidah dan anggota tubuh dengan cerucuk besi vetrivel atau lambang lembing deva.

Kavadi yang paling ringkas sekali berbentuk separa bulatan dan dihiasi oleh payungan serta cerucuk kayu yang ditanggung di bahu ke pura. Yang berbakti boleh juga mencucuk pipi, belakang tubuh dan lidah dengan cerucuk besi serta cangkuk besi. Tindakan ini membolehkan lidah dan mulut membisu serta menumpukan fikiran penganut hanya kepada deva Skandha dalam menanggung bebanan.

Perayaan

Perayaan ini dirayakan dengan besar-besaran di beberapa negara seperti:
(Sila ketik judul-judul di atas untuk membaca samacara)

Orang Cina dan Thaipusam

Penduduk di beberapa negara seperti Thailand, Singapura dan Malaysia yang berketurunan Cina sesetengahnya turut menyertai perayaan ini. Penganut Taoisme dari cawangan rakyat mengamalkan hal yang hampir serupa dengan penganut Kaumara. Mereka memuja Devata Sembilan Maharaja selama sembilan hari di lautan, sungai dan alur-alur sungai.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan