Sabtu, 5 April 2014

Itihasa Setan: Mara Deva yang Jahat

Penelitian oleh Paul Carus, 1900
Terjemahan NG Group


Ajaran Buddha merupakan sebuah revolusi melawan pengaruh buruk yang menguasai ajaran Brahmana. Baginda Siddartha Gautama, muni Sakyawangsa yang menerima pencerahan, menjadi seorang Buddha, menolak pengorbanan berdarah, pendita-pendita yang menerbitkan pengajian veda-veda suci yang mendakwa mereka berkuasa menentukan bentuk agama, menolak kebergantungan membuta-tuli terhadap upacara, menolak pembedaan samudaya berjati yang tindas-menindas dan mengajar susila yang diterima baginda semasa kejadian pencerahan di bawah pohon Pipal.

Baginda mengenalpasti kewujudan kejahatan mencari keselamatan menerusi penghapusan seluruh sikap mementingkan diri sendiri secara radikal menerusi penyebaran rasa cinta yang boleh dipahami dengan mudah kepada seluruh makhluk tidak mengira jenis bangsa dan alamnya.

Kepelbagaian sudut pandangan dalam ajaran Buddha ini ditonjolkan dengan baik sekali dalam konsep kejahatan dan perlepasan diri muktamad dari kejahatan yang diajarkan kepada para pemikir dalam rupa bentuk falsafah, dan kepada orang ramai yang tidak berpendidikan dalam bentuk cetera kekawin, sekaligus memberi peluang kepada para seniman untuk memaparkan renungan-renungan mendalam ini dalam bentuk kiasan perumpamaan.

Mara Deva yang Jahat

Kejahatan itu dirupakan sebagai Mara, mewakili godaan, dosa dan kematian. Dia itu dikenalpasti sebagai Namuche, iaitu seekor asura jahat dalam cetera Hindu. Betara Indra pernah bertapik dengan asura ini. Namuche ini merupakan semangat jahat yang menghalang hujan sekaligus menyebabkan kemarau. Namuche itu ertinya, "penghadang air". Betara Indra lalu memaksanya menyerahkan cecair kesuburan dan mengembalikan semula unsur tersebut ke bumi.

Mara disebut juga sebagai Papin (Papiyan) Yang Jahat, Pembunuh, dan Penggoda. Sebagai tambahan, dia digelar sebagai Varsavarti (Vasavatti) yang bererti Yang Memuaskan Keinginan-Keinginan. Kata ini diterbitkan dari kata vasa yang ertinya itu, keinginan dan kemahuan. Childers menjelaskan bahawa kata ini membawa erti, "memperhambakan". Mara bergelar penuh dengan gelaran Paranirmita Varsavati, "Yang memperhamba sesuatu yang dicetuskan oleh yang lain". Varsavarti ini merupakan salah satu nama kegemarannya. Dengan kekuatannya dalam rupa Varsavati, Mara menjelma menjadi pemenuhan keinginan atau tiga kedahagaan:
  • Dahaga untuk kewujudan.
  • Dahaga terhadap kuasa.
  • Dahaga terhadap keseronokan.
Mara menjadi raja kepada sorga keseronokan deria. Terdapat kebenaran mendalam dalam konsep Mara sebagai Varsavati ini. Ia dimengertikan sebagai sikap mementingkan diri yang terbit dari diri manusia itu sendiri dan kepuasan diri dari sikap itu sebenarnya adalah neraka.

Perkara ini membawa ingatan kita kepada karya Leander berjudul Märchen, yang memberitahu kita bahawa seorang lelaki telah meninggal dunia dan terjaga di loka lain. St. Peter muncul kemudiannya dan bertanya mengenai kehendaknya. Dia pun meminta sarapan pagi, surat khabar harian dan segala keselesaan yang sudah biasa dilaluinya dalam hidup. Kehidupan begitu berlangsung selama beberapa satavarsa sampai dia naik bosan dan mula mencarut-carut kepada St. Peter. Dia mengadu bahawa betapa bosannya kehidupan yang senada saja di sorga loka. Pada ketika itu diberitahukanlah kepadanya oleh St. Peter bahawa dia itu sebenarnya berada dalam neraka kerana neraka itu tempat bagi kehendak diri sendiri, sedang sorga itu tempat bagi sesiapa yang menuruti kehendak Tuhan sahaja. Begitu juga keadaannya dalam kerangka pandangan penganut ajaran Buddha Guru, bahawasanya sorgaloka bagi keseronokan deria itu adalah neraka, tempat tinggal Yang Teramat Jahat.

Dalam Dharmapada, Mara Deva lebih merupakan perlambangan jika dibandingkan sebagai seorang tokoh. Perumpaan ciri Yang Teramat Jahat itu dirasai di setiap susunan kata yang menyebut nama Mara. Contohnya, kita dapat lihat dalamnya, "Dia yang hidup cuma mencari keseronokan saja, deria-derianya tidak terkawal, tidak bersederhana dalam makanannya, mandom dan lemah, si Mara itu pasti akan menggulingkannya seperti pokok yang lemah". Pandangan ajaran Buddha yang murni tidak mengenalpasti setan yang lain pun kecuali Mara, yang mewakili keseronokan yang disertai keegoan, kesenangan deria, dosa dan kematian.

Cetera Phra Jataka yang sampai kepada penglipurlara di benua China dan kepulauan Jepun tela mengisi jagat raya ini dengan per'orangan semangat jahat pelbagai jenisnya seperti setan guruh dan kilat, dirupakan juga pelbagai penyakit kehidupan dan mara bahaya yang mengisi ceruk alam semulajadi.

Sementara itu, kesan buruk dosa dipaparkan dengan seksaan neraka, seperti kepercayaan pengikut Kristus, perlepasan diri dari kejahatan pula diungkapkan dengan kepercayaan bahawa pengikut baginda Buddha yang berkebajikan akan dijelmakan semula di Sorga Barat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan