Memaparkan catatan dengan label setan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label setan. Papar semua catatan

Ahad, 13 April 2014

Setan: Krasue


Sudah lama kita tidak bercakap mengenai cerita hantu. Kali ini, kita bercakap tentang jenis setan jadian di rantau kepulauan India Timur, iaitu Penanggalan. Di sebelah Siam, disebut sebagai กระสือ Krasue manakala di Kemboja disebut sebagai Ap. Di Tanah Melayu pula disebut Penanggal sedang di Sabah dipanggil Balan-Balan. Di Filipina, Menananggal dan di Vietnam, Ma'Lai. Di Pulau Bali, Leyak. Ia berbentuk kepala terbang yang tali perutnya dan isi perutnya tergantung di lehernya.

Menurut Phraya Hanuman Rajadhon, Krasue mempunyai kepala yang terapung selepas tertanggal dengan tali perut semua sekali tercabut dari tubuh dan mengeluarkan cahaya. Penjelasan diperbuat mengenai punca sinaran perut itu mungkin disebabkan oleh kewujudan gas metana di kawasan berpaya bakau. Krasue ini jenis perempuan yang mengamalkan santet sedang yang lelaki disebut, Krahang.

Setan ini berterbangan di udara disebabkan tiada tubuh bawah. Tekaknya boleh kelihatan salurnya saja atau lehernya semua. Yang berikutnya itu anggota dalaman tubuh seperti jantung, perut dan tali perut yang menunjukkan kegelojohan setan itu mencari mangsa.

Dalam wayang Siam terbaru, Krasue Valentine, setan ini turut dipaparkan dengan lebih banyak anggota dalaman seperti paru-paru dan hati tapi ukurannya dikecilkan berbanding kepalanya. Tali perutnya kadangkala kelihatan berlumuran dengan darah dan bersinar-sinar. Paparan semasa menggambarkannya dengan gigi Yaksha atau gigi pontianak. Dalam cerita, Ghosts of Guts Eater, setan ini ditonjolkan mempunyai lingkaran cahaya di kepala.

Krasue menjadi bahan cerita dalam wayang-wayang di Siam dan Kemboja. Contohnya, wayang berjudul Kun Aeuy Madai Ahp di Kemboja pertama kali diperbuat di Republik Rakyat Kemboja selepas ketiadaan wayang-wayang keluaran tempatan serta tekanan oleh pemerintah Komunis ketika samaya Khmer Merah.

Kimvadanti

Cetera

Di Siam, cetera ini melibatkan seorang puteri diraja bangsa Kemboja yang bertukar menjadi setan Krasue selepas dihukum supaya dibakar beberapa kurun yang lalu. Negeri puteri ini kalah dalam peperangan dengan kerajaan Siam lalu baginda tuan puteri dipaksa kahwin dengan seorang orang besar bangsa Siam. Tuan puteri tertekan kerana baginda mencintai seorang tentera Siam tetapi tentera itu cuma hamba tentera biasa saja. 

Kemudiannya, tuan puteri ditangkap sedang bercumbuan dengan kekasihnya itu. Orang besar Siam itu mengamuk sakan dan menjatuhkan hukuman mati kepada tuan puteri menerusi upacara bakar. Sebelum hukuman dilaksanakan, tuan puteri pergi berjumpa dengan dukun santet bangsa Kemboja minta supaya tubuhnya itu kebal tidak dimamah api. Mantra yang diberi itu memang sakti tetapi kesannya lambat bertindak. Ia cuma bertindak bila hampir seluruh tubuhnya terbakar tinggal kepala dan anggota dalaman saja. Semenjak itu, bahagian tubuh puteri itu yang tidak rosak berada dalam sumpahan mantra dukun itu dan menjadi Krasue (Penanggalan). Versi cetera penglipurlara ini pernah dipapar dalam wayang seram Thailand (2002) berjudul Demonic Beauty.

Terdapat juga cetera lain yang berkaitan menyebut mengenai seorang bekas wanita kaya yang sering memakai selempang hitam menutupi kepala dan lehernya dari cahaya mentari. Wanita itu katanya kerasukan semangat jahat sampai bertukar menjadi Krasue.

Di samping itu, ada cetera terbitnya setan ini dikaitkan dengan seorang wanita pengamal santet tersilap membaca mantra sampai tertanggal kepalanya dari tubuh. Karma dosa lampau turut menjadi punca seseorang itu menjadi Krasue, contohnya wanita yang pernah menggugurkan kandungan atau membunuh yang lain di kehidupan lampau. Masa kininya, dia terjebak dengan kehidupan Krasue pula sebagai balasan karma lampaunya.

Cerita rakyat berikutnya pula menjelaskan orang yang makan atau minum bahan yang terkena air liur Krasue atau tercemar oleh setan itu pun akan berjangkit menjadi Krasue. Khayalan terkenal juga mendakwa Krasue cuma berlegar dalam kalangan keluarga terdekat pengamal santet tersebut saja. Pengamalnya digelar แม่มด Mae Mod atau ยายมด Nyai Mod. Mereka menurunkan santet kepada anak perempuan atau cucu perempuan mereka. Selalu di kampung-kampung di Kemboja atau di Siam, perempuan yang pelik perangainya selalu dibimbangi mengamalkan santet Krasue ini dan dicurigai penduduk kampung lain.

Gambaran Penglipurlara Siam

Krasue berada bawah pengaruh sumpahan yang menyebabkannya sentiasa lapar dan cergas di malam hari. Dia akan terbang mencari darah, atau memamah daging mentah. Mungkin dia menyerang lembu atau ayam itik dalam kegelapan malam di samping memamah isi perut binatang-binatang tersebut.

Boleh jadi dia makan bangkai seperti bangkai kerbau di malam hari. Jika darah tidak ditemui, Krasue boleh saja makan tahi atau bangkai membusuk. Pakaian penduduk kampung di ampaian kalau tidak dikutip sebelum malam menjelma, alamatnya nanti jadi napkin mengelap mulut setan Krasue di pagi keesokan hari. Kalau baju di ampaian itu ada darah kering atau tahi kering maka itu kerja tidak lain dan tidak bukan, setan Krasue itu lah. Kerana itu, jika kita dapat lihat semasa berkunjung ke kampung-kampung di pedalaman tanah besar ini, penduduk kampung tidak akan menyidai kain mereka di luar rumah pada malam hari.

Krasue juga suka memburu di rumah wanita-wanita bunting atau rumah yang mempunyai bayi. Dia akan bergentayangan di bumbung rumah tersebut sambil berteriak untuk menimbulkan ketakutan. Lidahnya panjang boleh menjulur masuk ke salur peranakan wanita dan mencapai janin atau kantung berisi bayi dalam kandungan. Tabiat setan ini dipercayai menjadi punca bagi penyakit yang menghinggapi wanita mengandung di pedalaman kerana lidah setan itu kotor. Dalam setengah kejadian juga, janin di perut berjaya dicuri setan itu dan dimakan hidup-hidup.

Jadi penduduk kampung turut menanam pokok-pokok berduri sekeliling rumah mereka atau memasang pagar berkawat untuk menghalang setan Krasue datang menghisap darah atau menyakiti wanita mengandung di rumah mereka. Tali pusat selalunya ditanam sebaik saja bayi dilahirkan. Ia ditanam sedalam mungkin supaya Krasue tidak boleh menguisnya dengan mukanya atau lidahnya.

Krasue menyembunyikan tubuhnya yang tidak berkepala itu di tempat-tempat sunyi yang tidak diganggu sesiapa kerana ia akan bercantum semula dengan kepala menjelang siang. Krasue itu hidup seperti biasa di siang hari. Tubuhnya jika dihancurkan semasa tidak berkepala itu, boleh menyeksanya dan membunuhnya. Kepala itu mungkin terpaksa bercantum dengan tubuh yang lain dan terseksa sampai mati.

Jika kepala itu separuh bahagiannya jatuh di tanah sebelum siang pun memberi bahaya kepadanya. Tali perutnya jika dipotong pun boleh membunuhnya. Tubuhnya pun boleh dikenakan orang semasa ketiadaannya mencari makan. Penduduk kampung-kampung percaya setan itu boleh dibunuh dengan membakarnya. Musuh utama Krasue sebenarnya orang kampungnya sendiri yang merusuh membawa jamung dan senjata. Mereka boleh menangkapnya atau membunuhnya dengan pelbagai cara. Krasue ini bukan jenis makhluk ghaib tetapi lebih kepada manusia yang mengamalkan jenis kedukunan hitam atau santet tertentu.

Sabtu, 5 April 2014

Itihasa Setan: Mara Deva yang Jahat

Penelitian oleh Paul Carus, 1900
Terjemahan NG Group


Ajaran Buddha merupakan sebuah revolusi melawan pengaruh buruk yang menguasai ajaran Brahmana. Baginda Siddartha Gautama, muni Sakyawangsa yang menerima pencerahan, menjadi seorang Buddha, menolak pengorbanan berdarah, pendita-pendita yang menerbitkan pengajian veda-veda suci yang mendakwa mereka berkuasa menentukan bentuk agama, menolak kebergantungan membuta-tuli terhadap upacara, menolak pembedaan samudaya berjati yang tindas-menindas dan mengajar susila yang diterima baginda semasa kejadian pencerahan di bawah pohon Pipal.

Baginda mengenalpasti kewujudan kejahatan mencari keselamatan menerusi penghapusan seluruh sikap mementingkan diri sendiri secara radikal menerusi penyebaran rasa cinta yang boleh dipahami dengan mudah kepada seluruh makhluk tidak mengira jenis bangsa dan alamnya.

Kepelbagaian sudut pandangan dalam ajaran Buddha ini ditonjolkan dengan baik sekali dalam konsep kejahatan dan perlepasan diri muktamad dari kejahatan yang diajarkan kepada para pemikir dalam rupa bentuk falsafah, dan kepada orang ramai yang tidak berpendidikan dalam bentuk cetera kekawin, sekaligus memberi peluang kepada para seniman untuk memaparkan renungan-renungan mendalam ini dalam bentuk kiasan perumpamaan.

Mara Deva yang Jahat

Kejahatan itu dirupakan sebagai Mara, mewakili godaan, dosa dan kematian. Dia itu dikenalpasti sebagai Namuche, iaitu seekor asura jahat dalam cetera Hindu. Betara Indra pernah bertapik dengan asura ini. Namuche ini merupakan semangat jahat yang menghalang hujan sekaligus menyebabkan kemarau. Namuche itu ertinya, "penghadang air". Betara Indra lalu memaksanya menyerahkan cecair kesuburan dan mengembalikan semula unsur tersebut ke bumi.

Mara disebut juga sebagai Papin (Papiyan) Yang Jahat, Pembunuh, dan Penggoda. Sebagai tambahan, dia digelar sebagai Varsavarti (Vasavatti) yang bererti Yang Memuaskan Keinginan-Keinginan. Kata ini diterbitkan dari kata vasa yang ertinya itu, keinginan dan kemahuan. Childers menjelaskan bahawa kata ini membawa erti, "memperhambakan". Mara bergelar penuh dengan gelaran Paranirmita Varsavati, "Yang memperhamba sesuatu yang dicetuskan oleh yang lain". Varsavarti ini merupakan salah satu nama kegemarannya. Dengan kekuatannya dalam rupa Varsavati, Mara menjelma menjadi pemenuhan keinginan atau tiga kedahagaan:
  • Dahaga untuk kewujudan.
  • Dahaga terhadap kuasa.
  • Dahaga terhadap keseronokan.
Mara menjadi raja kepada sorga keseronokan deria. Terdapat kebenaran mendalam dalam konsep Mara sebagai Varsavati ini. Ia dimengertikan sebagai sikap mementingkan diri yang terbit dari diri manusia itu sendiri dan kepuasan diri dari sikap itu sebenarnya adalah neraka.

Perkara ini membawa ingatan kita kepada karya Leander berjudul Märchen, yang memberitahu kita bahawa seorang lelaki telah meninggal dunia dan terjaga di loka lain. St. Peter muncul kemudiannya dan bertanya mengenai kehendaknya. Dia pun meminta sarapan pagi, surat khabar harian dan segala keselesaan yang sudah biasa dilaluinya dalam hidup. Kehidupan begitu berlangsung selama beberapa satavarsa sampai dia naik bosan dan mula mencarut-carut kepada St. Peter. Dia mengadu bahawa betapa bosannya kehidupan yang senada saja di sorga loka. Pada ketika itu diberitahukanlah kepadanya oleh St. Peter bahawa dia itu sebenarnya berada dalam neraka kerana neraka itu tempat bagi kehendak diri sendiri, sedang sorga itu tempat bagi sesiapa yang menuruti kehendak Tuhan sahaja. Begitu juga keadaannya dalam kerangka pandangan penganut ajaran Buddha Guru, bahawasanya sorgaloka bagi keseronokan deria itu adalah neraka, tempat tinggal Yang Teramat Jahat.

Dalam Dharmapada, Mara Deva lebih merupakan perlambangan jika dibandingkan sebagai seorang tokoh. Perumpaan ciri Yang Teramat Jahat itu dirasai di setiap susunan kata yang menyebut nama Mara. Contohnya, kita dapat lihat dalamnya, "Dia yang hidup cuma mencari keseronokan saja, deria-derianya tidak terkawal, tidak bersederhana dalam makanannya, mandom dan lemah, si Mara itu pasti akan menggulingkannya seperti pokok yang lemah". Pandangan ajaran Buddha yang murni tidak mengenalpasti setan yang lain pun kecuali Mara, yang mewakili keseronokan yang disertai keegoan, kesenangan deria, dosa dan kematian.

Cetera Phra Jataka yang sampai kepada penglipurlara di benua China dan kepulauan Jepun tela mengisi jagat raya ini dengan per'orangan semangat jahat pelbagai jenisnya seperti setan guruh dan kilat, dirupakan juga pelbagai penyakit kehidupan dan mara bahaya yang mengisi ceruk alam semulajadi.

Sementara itu, kesan buruk dosa dipaparkan dengan seksaan neraka, seperti kepercayaan pengikut Kristus, perlepasan diri dari kejahatan pula diungkapkan dengan kepercayaan bahawa pengikut baginda Buddha yang berkebajikan akan dijelmakan semula di Sorga Barat.

Isnin, 24 Mac 2014

Māra Deva


Māra Deva merupakan jenis jin setan yang menggoda Siddharta Gautama dengan memperlihat kepada baginda wanita-wanita cantik yang menurut ceteranya diperkata sebagai putri-putri sang Māra. Dalam prapancavijnana Buddha, Māra ini merupa dari keinginan kuat tiba-tiba untuk perkara tidak semenggah, ketidakmahiran, dan kematian kehidupan kerohanian. Māra itu adalah keadaan jiwa, menggelincirkan manusia dari kehidupan rohaniah dengan menjadikan benda-benda yang biasa kelihatan menarik hati atau yang negatif itu kelihatan positif.

Pengertian rujukan kepada Māra diberikan dalam empat pengertian menurut ajaran Buddha tradisional:
  • Klesa Māra, Māra sebagai jelmaan semua emosi tak mahir.
  • Mrtyu Māra, Māra sebagai kematian dengan pengertian gelung kelahiran dan kematian.
  • Skandha Māra, Māra sebagai gambaran bagi keseluruhan kewujudan bersyarat.
  • Devaputra Māra, Māra putra kepada sejenis deva, yang memang wujud.
Ajaran Buddha awal mengenalpasti kedua-dua jenis tafsiran perkataan itu sebiji begitu atau kejiwaannya. Ia dijelaskan sebagai entiti yang memang betul-betul wujud, seperti juga devata Vedika yang ditunjukkan wujud di sekeliling baginda Buddha, dan juga dijelaskan secara dasarnya sebagai tenaga kejiwaan, perlambangan bagi pelbagai proses keraguan dan godaan yang menghalang amalan kerohanian.

Buddha jayanti atas Māra merupakan asana biasa diperguna dalam seni membentuk arca Buddha. Buddha Guru digambarkan dengan tangan kiri di riba, tapak tangan menghadap langit, dan tangan kanan diletak di lutut kiri. Jari tangan kanan baginda menyentuh bumi, menyeru Phra Dharani menjadi saksi jaya baginda mengatasi Māra dan mencapai tahap kesedaran Buddha. Asana ini dirujuk juga sebagai mudra sentuh tanah. Deva ini dirujuk juga sebagai Kama Deva oleh pengikut sastera Vedika dengan pengertian "dia yang mencederakan".

Terbitan

Sir Ralph Lilley Turner dan Dorothy Rivers Turner (2006) dalam A comparative dictionary of the Indo-Aryan languages mencatitkan bahawa kata Māra diterbitkan dari akar bahasa Indo-Eropah Tua, mer yang bererti mati. Ia turut berkaitan dengan Mara di Eropah, Marzanna di Slavia dan Māra di Latvia. Mara di Latvia diberi pengertian ibu pertiwi dan mempunyai pengertian positif, berciri bijaksana dan pemurah.

Tiga Putri

Dalam setengah cetera pencerahan baginda Buddha, diperkata bahawasa Māra Deva menghantar tiga putrinya (māradhītā) untuk menduga baginda Buddha serta untuk menghentikan usaha baginda. Tiga putrinya itu dikenalpasti sebagai:

1. Taṇhā, nafsu keinginan.
2. Arati, kebosanan dan menyampah.
3. Raga, nafsu kebirahan.

(SN 4.25, berjudul, "Māradhītā" (Bodhi, 2000, m.s. 217-20); Suttanipata 835 (Saddhatissa, 1998, m.s 98))

Sebagai contoh, dalam Māra-sayutta dari Samyutta Nikaya, putri-putri Mara Deva itu gagal menundukkan baginda Buddha...

Mereka mendatangi baginda serba indah gemerlapan, Tahā, Arati, dan Rāga. Namun Guru menyapu terus mereka di situ juga. Bagai angin menghembus putik kapas luruh (SN 4.25, v. 518; Bodhi, 2000, m.s 220). Setengah cetera merujuk kepada kewujudan lima putri, yang mewakili rupa tiga racun: tarikan, kemeluatan, dan khayalan, diikuti dengan kebanggaan dan takut. Dengan bentuk keterangan yang sama, dalam Suttanipata 436 (Saddhatissa, 1998, p. 48), taṇhā dijelmakan sebagai salah satu senā (tentera) Kematian bersama dengan kāmā (keinginan membirah), arati (menyampah) dan khuppipāsā (rasa lapar serta dahaga).

Rujukan

1. Bodhi, Bhikkhu (terj.) (2000). The Connected Discourses of the Buddha: A Translation of the Samyutta Nikaya. Boston: Wisdom Pubs.

2. Saddhatissa, H. (penterjemah) (1998). The Sutta-Nipāta. London: RoutledgeCurzon Press.

Selasa, 7 Januari 2014

Dunia Makhluk Halus: Punca Diserang


Sebelum masuk lebih jauh lagi, sebenarnya orang ramai perlu sedar satu perkara ini. Kau tak semestinya menjadi mangsa dunia makhluk halus itu disebabkan oleh ilmu hitam, santet atau santau. Dalam syarat-syarat tertentu pun, ada saja makhluk halus lain yang boleh melekat kepada engkau. Ertinya itu, kau mengalami kelemahan cakra disebabkan lemah rohani. Satu lagi makhluk tersebut terpanggil untuk melekat kepada engkau disebabkan oleh perhubungan gelombang cakra tertentu yang dikeluarkan menerusi tubuh engkau yang disebut sebagai "pembayang". Pembayang ini boleh menyebabkan kejadian lain pula berlaku iaitu "kerasukan".  

Dasar-Dasar
  • Wanita lebih mudah menjadi mangsa dunia makhluk halus dibandingkan dengan lelaki.
  • Petanda nampak lebih jelas pada wanita kalau dibandingkan dengan lelaki. Jadi lelaki menghadapi risiko besar pula kehilangan nyawa disebabkan lambat sedar. Kecuali jika orang tesebut kuat amalan kerohaniannya atau kesedarannya berada di tahap tertinggi maka makhluk halus sukar mendekatinya jika dibandingkan dengan orang biasa.
  • Wanita yang menarik perhatian atau yang cantik menawan mudah jatuh menjadi mangsa makhluk halus dan setan.
Kelemahan Perisai Cakra

Beberapa perbuatan ini menyebabkan cakra perisai engkau lemah maka engkau mudah terdedah kepada ancaman makhluk halus yang nakal atau menerima pendamping tak diundang.....
  • Menyental daging berjenis-jenis sesuka hati setiap nya hari.
  • Meminum benda yang melalaikan seperti tuak atau ambil dadah.
  • Ketegangan perasaan dan kemurungan.
  • Melawat perkuburan dan tapak pembakaran mayat.
  • Masuk hutan dan berseorangan di tempat-tempat jin bertendang tiada orang.
  • Melawat puing-puing bangunan lama yang runtuh seperti kubu, gua, muzium, pecandian, piramid, bangkai kapal lama dan tapak peperangan.
  • Masuk tempat kotor dan tak bersih seperti bar, kelab malam, kelab suka-ria seperti kelab gay, atau pasar-pasar.
  • Kepala otak kaki dengki dan suka membenci.
  • Mengamuk melampau-lampau dan perasaan tak terkawal.
  • Behubungan jenis dengan teman secara tidak betul terutamanya di rantau mandala gelap seperti pada malam-malam bulan purnima atau amavasya (gelap).
  • Kemalangan atau kesakitan.
Untuk dua pekara di bawah itu iaitu kemalangan dan kesakitan sila lah ambil perhatian. Aku sedang dan pernah terkena keadaan ini. Hal itu menyebabkan aku menjalani tapasvinam dan upuvasa selain memarahi orang-orang degil yang membawa masuk daging dalam dapur rumah sewa aku!!!!!    

Sabtu, 26 Oktober 2013

Hantu: Kanjirottu Yakshi

Om Swastiastu!


Pengenalan

Kanjirottu Yakshi atau Chiru Thewi ini merupakan jenis pontianak yang terdapat cetera rakyat di Tamil Nadu, India Selatan. Menurut cetera, Chiru Thewi ini dilahirkan dalam keluarga kaya, Padamangalathu Nair Tharawad dikenali dengan nama keluarga Mangalathu di Kanjitakota di Selatan Travancore dalam Tamil Nadu kini. Beliau ini seorang gadis kaya yang sangat cun dan cantik tetapi menjadi pelacur kelas atasan yang berhubungan pula dengan Kunju Thambi, saingan kepada Marthanda Warma

Cetera

Chiru Thewi ini merupakan seorang pelacur atasan yang sering berhubungan dengan lelaki kaya dan berkuasa. Namun, sebenarnya dia itu sangat cintakan salah seorang daripada pekerja yang lebih rendah kedudukan daripadanya, Si Kunjuraman. Si Kunjuraman ini, merupakan seorang Pondan Nair atau Pengangkut Pelangking, tubuhnya kekar, kulit cerah, tinggi dan segak lah.   

Chiru Thewi dan saudaranya, Si Gowindan sering diangkut di belakang Si Kunjuraman balik ke tempat berdekatan. Chiru Thewi itu sukalah mendera si Kunjuraman secara kasar menyakiti juga perasaannya. Seronok sungguh Chiru Thewi menyeksa si Kunjuraman, memalukannya, memukul-mukulnya, menyebabkan si Kunjuraman terpaksa mengangkut benda berat, membakar kakinya dengan besi panas dan mencekiknya semasa diangkut. Diperbuat pelbagai cara biar si Kunjuraman itu berpisah dengan isterinya. Masa demi masa, si Gowindan yang belum kahwin lagi dan si Kunjuraman menjadi rakan rapat. Mereka selalu berkongsi bilik yang sama. Chiru Thewi tak suka dengan keadaan ini apabila saudaranya itu pun menjadi rapat dengan kekasih hatinya itu. Tapi dia tidak bertindak dan tak berbuat apa-apa.

Chiru Thewi merancang rencana jahat dan membunuh isteri si Kunjuraman. Ketika itu si Kunjuraman sedang berada di luar kawasan membawa Gowindan berurusan. Kemudian si Gowindan mendedahkan saudarinya itu jahat dan membunuh orang. Beberapa hari kemudian, si Kunjuraman mencekik Chiru Thewi mati apabila mereka hampir berasmara. Si Gowindan cuma menutup mata dan buat bodoh sahaja kerana melindungi rakan tercinta nya itu.

Chiru Thewi menjelma kembali sebagai seekor Yakshi yang jahat di Kanjirukota. Dia segera memperolehi kesaktian mendapatkan rupa cantik sekejap mata sahaja selepas menjelma semula. Walaupun dia menggoda dan menghisap darah ramai lelaki, namun dalam hatinya itu cuma ada satu tujuan sahaja mahu mendapatkan si Kunjuraman yang tampan itu!

Dia menyatakan kepada si Kunjuraman bahawa dia sedia mengampunkannya kalau dia berwiwaha dengannya. Si Kunjuraman tak mau dan terus menolak. Chiru Thewi yang merupakan yakshi itu terus menumpukan saktinya itu menyeksa si Kunjuraman yang malang. Terdesak sangat, si Kunjuraman pergi mendapatkan Gowindan Mangalathu, yang merupakan seorang upasaka setia Begawan Sri Narasimha meminta bantuan. Gowindan setuju membantu. Gowindan berkata kepada yakshi itu bahawa dia boleh bersama Kunjuraman selama setahon tapi dengan tiga syarat. Satunya, dia mesti setuju dirumahkan dalam sebuah pura selepas tempoh setahun. Kedua, selepas beberapa tahun tertentu nanti, pura itu akan dihapuskan dan dia mesti mencari perlindungan saranagati dengan Begawan Narasimha bagi mencapai moksa. Ketiga, dia mesti membuat puja pula supaya hubungan Gowindan dan Kunjuraman bukan sahaja dalam kelahiran ini tapi dalam kelahiran depan. Kedua-dua pihak pun bersetuju. 

Pura Kanjirakota Waliawidu

Setahun kemudian, yakshi itu dikurung dalam pura ini yang selepas itu dipunyai oleh Kanjirakota Waliawidu. Keluarga Waliawidu mula memuja yakshi ini bersama dengan kula dewata mereka, Sri Ramanuja Perumal iaitu rupa Begawan Kresna ditemani oleh Sri Rukmini dan Bala Rama. Pemuja selalunya akan menyemahkan pongala atau nasi meruap susu kepada yakshi ambha di pura ini semasa chelongan puram dalam bulan Minom (Phalguna). Pura ini sudah tak wujud lagi sebab sudah hancur.

Yakshi dengan Pura Sri Padmanabhaswami

Selepas meminta perlindungan Begawan Narasimha di Thekkedom, yakshi ini kini dipercayai berada di Mahabharata Konathu Kallara di Pura Sri Padmanabhaswami. Rupa menawan tapi menakutkan yakshi ini ada dilukiskan di bahagian barat daya pura itu.

Seorang pemuja setia kepada yakshi ini, adalah seorang penari dan juga isteri kepada Duli Yang Maha Mulia Swathi Thirunal Rama Warma iaitu Sundara Laksmi Dewi.

Rujukan

1. Kaimal, Kesawa. 2002. Thekkan Thiruwithamkurile Yakshikal. Srinidhi Publications.
2. Nair, Balasankaran. 2001. Kanjirottu Yakshi. Sastha Books.
3. Nair Balasankaran. 1999. Waliawidu Charitrathil. Sastha Books.

Jumaat, 14 Jun 2013

Attanatiya Mantram

Swasti Srih!

 

Mantra ini datang dari Cetera Agung Para Buddha Jina. Ringkasnya, ia merupakan mantra kata yang menghalau setan, asura dan yaksa dan diberikan kepada para bhikkhu dan yogi pertapa dalam pada mereka bertapa itu bolehlah mereka mengelakkan mara-mara yang mengganggu dalam hutan. Yang lainnya, sama seperti Hanuman Chalisa dan juga Skandha Sasti Kawacham, bacaan ini melindungi pembaca daripada santau, santet dan dukun-dukun jahat. Bacaan ini menyeru Datuk Wiswara atau Datuk Kubera yang merupakan ketua panglima bagi segala asura, yaksa dan lain-lain rupa asura serta hantu. Membaca mantra kata ini sebenarnye menyerunya datang dan membantu kerana beliau menjadi pelindung dharma juga selain para Brahmana pun membaca seruan kepada beliau bersama baginda dewi Laksmi. Nanti kalau aku rajin, aku masukkan sahaja.