Sabtu, 21 Jun 2014

Melayu Tua: Puak Temuan

Karyawan Temuan, En. Kujal Sahar dari Kg. Pulau Kempas di Banting bersama ukiran Mamak Bungsuk

Orang Temuan boleh ditemui di Semenanjung Malaysia sebelah pantai barat. Mereka ini bangsa Melayu Tua yang terdiri daripada kelompok animis dan pengikut nenek moyang selain daripada mereka yang menganut agama rasmi di Malaysia. Menurut Jabatan Orang Asli perangkaan 2008, jumlah jiwa seramai 22,700 orang.

Mereka tinggal bertaburan di penempatan dalam negeri-negeri separa selatan di Semenanjung seperti di Negeri Sembilan, Selangor, Johor, negeri persekutuan Putrajaya dan di Kuala Langat. Kadangkala mereka ini dikenali juga sebagai orang Benua atau orang Niap.

Jenis bahasa mereka pun banyak mengikut sukuan seperti bahasa:
  • Beduanda (Biduanda)
  • Belanda (Belanas, Landa)
  • Berembun (Birmun)
  • Mantra (Mintra, Mentera)
  • Temuan
  • Udai
Cetera Banjir

Beberapa ribu tahun lampau, ramai orang Temuan mati disebabkan membuat celau (dosa) yang menimbulkan murka devata dan moyang. Devata menghantar hukuman celau berbentuk banjir besar yang menenggelamkan pendosa-pendosa dalam kalangan orang Temuan.

Yang terselamat cuma dua orang saja bernama Mamak Bungsuk dan Inak Bungsuk. Mereka memanjat pokok gaharu di Gunung Raja yang terletak di sempadan Selangor dan Pahang. Di situ, terdapat sebuah perkampungan orang asli bernama Kampung Pertak. 

Mamak dan Inak Bungsuk terselamat kerana membaca mantra yang menenangkan celau. Gunung Raja itu kemudian menjadi tempat timbulnya puak Temuan dan tanah nenek moyang mereka. Mamak Bungsuk mewakili lelaki, dan Inak Bungsuk itu perempuan.

Agama Kepercayaan

Mereka percaya Tuhan dan moyang sentiasa bersama mereka dan melindungi mereka. Setiap hujung tahun, mereka merayakan Aik Gayak Muyang (Hari Raya Moyang). Ketika itu mereka memberi tabik kepada Tuhan serta moyang kerana merestui tanaman mereka serta menjaga keselamatan mereka.

Mereka percaya mereka dihantar ke Tanah Tujuh (Bumi) oleh Muyang mereka untuk menjaga hutan hujan. Jika mereka gagal, maka dunia ini akan huru-hara dan kemanusiaan pun lenyap. Sungai-sungai, bukit, batu, pokok-pokok dan lumut semuanya dihuni oleh roh-roh penunggu. Sungai dihuni oleh naga dan ular yang akan membuat kacau jika rumah mereka dicemari.

Budaya mereka mencerminkan kepercayaan terhadap roh persekitaran. Bentuk animisme yang diamalkan itu dalam bentuk pantang, rempah ratus, upacara dan kedukunan. Di sebuah kampung itu, mesti ada seorang dukun dan bomoh. Bentuk perubatan mereka itu melibatkan perhubungan dengan roh-roh persekitaran. Dukun yang menjadi pemandu untuk penduduk menjalani sawai tahunan yang menyembuhkan bumi dan memuja nenek moyang serta roh-roh penunggu.

Adat Istiadat

Beberapa jenis kepercayaan tradisi mereka seperti:
  • Yang gagal hormat ke ibu bapa dan muyang itu nanti kecelakaan.
  • Pantang memuji anak kecil, nanti sakit dan mati.
  • Yang berjalan dan hujan pun sedikit saja, mesti diselit sehelai daun di telinga untuk keselamatan.
  • Jika hajat tidak kesampaian, mesti sebut "pinah hunan" lalu calit ludah di leher, untuk mengelak celaka.
  • Jika tidak sempat menjamah makanan disebabkan ada kerja, mesti tempot (tempuh) makanan dulu sebelum pergi. Berbuat begitu untuk mengelak celaka.
  • Mesti diam semasa kedengaran guruh di langit. Berbuat bising itu bimbang nanti dianggap oleh deva kilat sebagai setan maka nanti sia-sia saja dipanah. Guruh dan kilat itu memburu setan. Sebab itu mesti diam-diam.
  • Pembunuh nanti diburu oleh hantu mangsa.
  • Jangan mendekati tempat keras, bimbang tersampuk dengan hantu jahat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan