Jumaat, 20 Jun 2014

Penaklukan Chola atas Srivijaya


Pada 1025 M, Sri Vira Rajendra Chola dari persemayaman di Koromandel menyerang pelabuhan-pelabuhan Srivijaya di selatan. Mereka memaksa mandala Srivijaya di Kedah (di Malaya) menyembah ke Tamil Nadu serta merampasnya dari Srivijaya untuk beberapa lama. Peristiwa ini sesungguhnya sangat mengejutkan kerana diketahui perhubungan mereka sebenarnya tenang-tenang saja.

Latarbelakang

Diketahui menerusi petitih lama, bahawa Tanah Besar Hindu dengan Kepulauan Hindu jauh di selatan ini mempunyai mitrabhava yang baik serta hubungan pun bagus sekali. Oleh itu, serangan Sri Vira Rajendra Chola itu menjadi satu titik yang pelik dalam itihasa kita semua.

Sekitar kurun ke-9 dan ke-10 itu, Srivijaya berhubungan erat sekali dengan Pala Wangsa di Bengal. Prasasti Nalanda 860 M mencatitkan bahawa Sri Maharaja Balaputra Deva Srivijayendra Raja pernah membuka biaro di Mahawidyalaya Nalanda di rantau jajahan Pala.

Hubungann Srivijaya dengan Chola Wangsa pun bagus juga ketika pemerintahan Sri Viraraja Raja Chola I. Pada 1006 M, Sri Mara Vijayatunggo Varman Sailendra Wangsa membangunkan Biaro Sri Chudamani di kota pelabuhan Nagapattinam. Ketika pemerintahan Sri Viraraja Rajendra Chola I, tiba-tiba saja baginda memerintahkan supaya dipukul habis negara-kota di Srivijaya.

Chola Wangsa melanun dan juga mendapat untung dari segi perdagangan di laut antarabangsa pula. Kadangkala tentera laut mereka menjarah sampai ke hulu kepulauan Hindu. Sementara itu, Srivijaya mengawal dua pintu utama kelautan iaitu Selat Melaka dan Selat Sunda. Ketika itu Srivijaya memang jaguh berniaga dan mempunyai tentera laut yang pakar dalam kalangan suku-suku kaum Melayu seperti suku Jakun Laut, Orang Laut dan sebagainya. Sebelah Barat Laut di Selat Melaka itu, hilirnya dikawal di dua penjuru pula. Negara kota Kedah mengawal di Malaya, di Sumatera pula negara kota Pannai yang menjaga. Di Tenggara pula, negara kota Malayu (Jambi) dan negara kota Palembang menjadi pengawal di Selat Sunda. Mereka pun mengamalkan kegiatan monopoli perdagangan dan kapal-kapal pedagang yang masuk ke perairan mereka mesti singgah di kota-kota pelabuhan mereka. Jika ketegar, maka sedialah dirompak.

Punca-punca ekspedisi ketenteraan di lautan masih lagi belum ditemui. Punca-punca cetera semua diam saja mengenai punca sebenar. Nilakanta Sastri mencadangkan kemungkinan punca serangan itu disebabkan oleh cubaan Srivijaya menghadang laluan perdagangan Chola dengn Timur (China terutamanya). Kemungkinan juga Sri Vira Rajendra sendiri mahu memperluas Digvijaya ke negara-negara Hindu selatan yang memang sudah terkenal selain menambah seri mahkota baginda.

Satu lagi teori mencadangkan bahawa penyebab penaklukan itu terjadi mungkin disebabkan oleh perhubungan geopolitik dan diplomasi. Kelihatan seperti baginda Sri Suryavarman I (keturunan diraja Melayu) yang memerintah di mandala orang Khmer meminta bantuan dari maharaja Tamil, Sri Vira Rajendra Chola I untuk memerangi negara Tamralinga (Ligor). Bila mendengar cerita ini, pemerintah negara Tamralinga menghantar sembah tabik meminta bantuan maharaja Srivijaya, Sang Rama Vijayo Tungga Varman. Keadaan ini menyebabkan Chola bertelingkah pula Srivijaya. Perikatan ini seperti menunjukkan bayang agama pula kerana Chola mandala dan Srivijaya mandala, kerana Chola dan negara Khmer beragama Saiva, sedang Tamralinga dan Srivijaya resminya Buddha Mahayana.

Penaklukan

Nampak seperti Chola menjarah dengan pantas dan deras sekali. Mereka menyerang senyap-senyap menyebabkan Srivijaya terpinga-pinga tidak bersedia. Pelayaran dari benua Tanah Besar India dengan Kepulauan India (Indonesia) memerlukan tongkang-tongkang serta kapal India itu belayar ke timur menerusi Teluk Bengal serta singgah di kota pelabuhan Lamuri di negara Aceh atau di pengkalan Bujang di negara Kedah di tanjung seberang sebelum memasuki Selat Melaka.

Kelihatan juga seperti angkatan tentera laut Chola belayar terus ke pantai barat Sumatera. Pelabuhan Barus di pantai barat terletak di Sumatera Utara ketika itu seperti dikuasai oleh jaringan perdagangan etnik Tamil, dan bertindak sebagai pelabuhan untuk mengisi air segar dan logistik selepas menyeberangi Lautan Hindi. Tentera laut Chola kemudian meneruskan pelayaran di sepanjang pantai barat menuju ke selatan lalu ke Selat Sunda. Kerajaan pusat Srivijaya yang tidak menyedari mara bahaya ini cuma meletakkan tentera lautnya di sebelah Selat Melaka dan barat laut saja demi memerhatikan negara kota Kedah di Tanah Melayu. Serangan orang Tamil itu bermula di Sumatera Selatan dengan ibu kota Srivijaya, Palembang pun di situ juga.

Penduduk Srivijaya pun terkejut kerana tidak menyangka mereka diserang. Kedatuan Srivijaya di Palembang serta biara-biara habis dijarah. Selatan Sumatera pun kelang-kabut, penduduk pun keliru habis bertempiaran. Mandala Srivijaya yang lemah tak mampu memberi pertahanan yang diperlukan. Prasasti maharaja Rajendra menitikkan catitan bahawa mereka menawan maharaja Srivijaya, Sang Rama Vijayo Tungga Varma serta berkodi-kodi harta termasuk gerbang perang agung Srivijaya, Vidhyadara Torana.

Selepas menjarah kedatuan kota Palembang, menculik maharaja Srivijaya dan kerabat diraja sebagai tebusan, mereka bergerak ke kota-kota pelabuhan lain pula seperti Malayu, Tumasek (Singapura), Panai, dan Kedah. Kota Kedah agak sukar dipukul kerana kubu mereka kuat serta pertahanan yang berani. Kedah tetap kalah juga. Tentera Chola kelihatan seperti tidak berminat untuk membuat jajahan di kota-kota itu. Mereka cuma menjarah seperti belalang melanda padang gandum. Mereka turut mengambil kesempatan daripada laluan angin di rantau itu untuk bergerak pantas. Serangan sepantas kilat dan senyap itu menjadi punca kejayaan Chola. Keadaan ini menjadikan mandala Srivijaya tidak bersedia, tidak sempat menyusun diri semula dan menyediakan bantuan untuk membalas serangan.

Tiada petunjuk pula mengenai ekspedisi ketenteraan Chola itu diikuti oleh pendudukan tentera. Mereka kelihatannya mengikut adat mereka berpulang semula ke Tanjore bersama rampasan perang. Peperangan selesai dengan jaya berpihak ke Cholawangsa. Rajendra I berjaya menghancurkan monopoli dan tentera laut Srivijaya.

Selepas Serangan

Srivijaya yang tidak beraja ketika itu haru-biru dengan kota-kota berselerak. Pemerintahan Sailendrawangsa pun berakhir. Kerabat diraja negara-negara lain dalam mandala Srivijaya pun berebut-rebut singgahsana kemaharajaan. Menurut Sejarah Melayu, Rajendra I didakwa berkahwin dengan puteri Onang Kiu, anakanda Sang Rama selepas penaklukan 1025 M.

Srivijaya terpaksa berdamai dengan musuh lama, kerajaan Kahuripan (pengganti Medang). Perdamaian itu dirintis oleh seorang puteri maharaja Srivijaya yang berjaya lari dari Palembang. Puteri itu masuk ke kedatuan Jawa Timur meminta suaka Prabhu Airlangga. Kemudian baginda menjadi parameswari bergelar Dharmaprasado Tungga Devi. Prabhu membangun pula biara Buddha untuk permaisuri baginda, dinamai biara itu, Srivijiayasrama.

Walaupun teruk dihentam tentera Chola namun Srivijaya masih lagi mampu berdiri kerana tentera Chola cuma diperintah untuk menjarah saja di kota-kota Srivijaya. Penguasaan Srivijaya menjadi lemah dan negara-negara dalam mandala pun melepaskan diri. Contohnya seperti kerajaan Kahuripan dan seterusnya Kediri di Tanah Jawa. Orang Jawa terselamat disebabkan mereka menjalankan perdagangan jarak jauh serta bentuk ekonomi mereka lebih berbentuk pertanian berbanding dengan orang Melayu yang bergantung kepada kegiatan melaut. Srivijaya pun ditundukkan saja menerusi serangan. Orang Tamil tidak menghancurkan pun kerajaan tersebut. Selepas seketika, dilaporkan pula pertabalan maharaja Srivijaya baru, menurut rekod Cina bernama Sri Deva. Kegiatan perdagangan diteruskan seperti biasa dan rajaduta turut dikirim semula ke China pada 1028 M.

Kesan serangan ini lebih berbentuk ekonomi berbanding politik....
  • Pemecahan monopoli perdagangan yang sebelum ini dikuasai oleh orang Melayu di sekitar pelabuhan.
  • Peniaga-peniaga Tamil pun meningkat pengaruh mereka.
  • Kawasan pantai Sumatera dan Utara Tanah Melayu dipengaruhi oleh kehadiran kelompok peniaga Tamil.
Dua punca utama kuasa Srivijaya itu adalah kemewahan mereka serta prestij yang terkumpul menerusi hubungan diplomasi dan perdagangan. Selepas serangan Chola itu, habis semua berantakan. Negara-negara jajahan pula mulai sedar kelemahan bentuk persekutuan dengan Srivijaya itu kerana mereka turut menerima akibat dirempuh teruk oleh orang asing. Negara yang mula-mula sekali memberontak adalah negara Kedah yang memberontak terhadap kedatuan di Palembang sekitar 1060 M.

Walaupun peniaga-peniaga Tamil mula meningkat di rantau ini, wangsa kemaharajaan di Srivijaya cuma menurut saja keadaan. Kesatria dan bangsawan Tamil Chola diterima di kedatuan Srivijaya. Rekod Cina menyebut, pada 1067 M, rajaduta Srivijaya bernama Devakara atau Divakala yang dihantar ke empayar China itu, sebenarnya seorang keturunan diraja Cholawangsa. Baginda merupakan kemenakan Rajendra I. Kemudian dilantik menjadi menteri patinggi di Srivijaya sebelum berpulang ke Tamil Nadu menjadi raja pada 1070 M, bergelar Rajendra Devakulotungga.

Pemberontakan Kedah berjaya dipadamkan dengan bantuan wangsa Chola. Pada 1068 M, Virarajendra Chola, menghantar tentera laut untuk membantu Srivijaya mematahkan pemberontakan Kedah. Cholawangsa tidak menjatuhkan raja Kedah disebabkan oleh permintaan maharaja Srivijaya. Kedah pun kekal ketika itu dalam mandala Srivijaya dengan pertolongan Cholawangsa. Kejadian ini disalahertikan oleh pihak Cina dengan catitan, Cholawangsa itu tunduk ke Srivijaya. Cholawangsa bukan negara jajahan Srivijaya.

Rujukan

Munoz, Paul Michel (2006). Early Kingdoms of the Indonesian Archipelago and the Malay Peninsula. Singapore: Editions Didier Millet. Sastri, pp 219–220

Power and Plenty: Trade, War, and the World Economy in the Second Millennium by Ronald Findlay,Kevin H. O'Rourke p.67

Craig A. Lockard (27 December 2006). Societies, Networks, and Transitions: A Global History. Cengage Learning. p. 367.

Hermann Kulke, K. Kesavapany, Vijay Sakhuja (2009). Nagapattinam to Suvarnadwipa: Reflections on Chola Naval Expeditions to Southeast Asia. Institute of Southeast Asian, 2009. p. 1.

Kenneth R. Hall (October 1975), "Khmer Commercial Development and Foreign Contacts under Sūryavarman I", Journal of the Economic and Social History of the Orient 18 (3), pp. 318-336, Brill Publishers.

R. C. Majumdar (1961), "The Overseas Expeditions of King Rājendra Cola", Artibus Asiae 24 (3/4), pp. 338-342, Artibus Asiae Publishers.

Buddhism, Diplomacy, and Trade: The Realignment of Sino-Indian Relations by Tansen Sen p.226

Tiada ulasan:

Catat Ulasan