Sabtu, 19 Julai 2014

Teladan Brahmana Sudama

Persembahan Sudama lebih Agung


 

Ramai orang kata, Kresna tidak berkawan dan tidak bermusuh. Jadi, bagaimana pula baginda sebagai seorang raja mencemar duli di gerbang istana baginda untuk menjemput rakan baginda, Sudama? Sudama merupakan seorang Brahmana miskin. Beliau itu kawan rapat dengan begawan Kresna semenjak kecil lagi. Kenapa baginda memberi Sudama seluruh kemewahan loka ini sebagai membalas segenggam nasi yang dihadiahi oleh Sudama miskin itu kepadanya? Bukankah ini menunjukkan yang baginda pun berkawan?

Ia bukan mitrabhava yang istimewa, tetapi cuma sekadar mitrabhava. Di sini pun, pemikiran kita muncul seperti pemahaman kita juga. Mungkin kita nampak bahawa membalas hadiah segenggam beras dengan kemewahan seluruh loka itu seperti melampau. Namun, kita terlupa pula bahawa betapa sukarnya Sudama yang miskin itu hendak memberikan segenggam beras sebagai semahan untuk kawannya, Kresna berbanding dengan Kresna yang memberi kemewahan itu dengan mudah. Sudama itu sudahlah fakir lagi miskin, beras itu pun merupakan barang mewah untuknya. Selain itu beliau turut berhadapan dengan rasa rendah diri dan malu!

Oleh itu, Kresna sangat memahami keadaan kawan baiknya itu. Semahan itu dipandang oleh baginda dengan penuh hormat dan penting. Berbeda dengan kita ini. Kita cuma melihat kepada kuantiti barangan, bukannya semangat dan kualiti di sebalik bahan tersebut. Kita tak sedar bahawa begitu sukar sekali seorang Brahmana yang hidup begitu sederhana untuk mengumpulkan segenggam beras berbanding dengan Kresna, seorang raja yang memberi persembahan kembali dengan begitu mudah. Begawan Kresna tidak berlebih-lebihan pun membalas persembahan Sudama, sebaliknya baginda cuma memberi balas hadiah kawannya saja. Kita pun boleh melihat juga, baginda Kresna pun masih belum berpuas hati lagi dengan persembahan kembali baginda kerana baginda berasa baginda boleh berbuat dengan lebih baik lagi.

Persembahan Sudama itu sebenarnya jarang-jarang sekali. Beliau itu hidup melarat. Pada pandangan kita, Sudama lah sahabat yang terbaik. Begawan Kresna pula sangat memahami, jadi baginda bukan seorang yang menentang persahabatan! Baginda itu seperti sebuah lembah yang menggemakan panggilan kita yang sekali itu dengan tujuh kali gema. Sebuah lembah itu tidak menunggu panggilan kita dan tidak pula berkewajiban untuk memberi maklumbalas kepada kita. Namun sudah fitrahnya begitu untuk menggemakan panggilan kita tujuh kali. Perbuatan begawan Kresna itu berakar dari sifatnya sendiri. Baginda cuma membalas kasih sayang sahabatnya yang luarbiasa itu.

Tujuan Sudama pergi ke istana Kresna bukanlah untuk meminta apa-apa. Beliau cuma ingin menyatakan kasih sayang persahabatan beliau kepada Kresna. Walaupun miskin papa, namun beliau masih lagi membawa persembahan untuk kawan lamanya itu. Umumnya diketahui, orang miskin itu cuma menerima saja. Jarang memberi. Namun, di sini, Sudama sendiri membawa persembahan. Persembahan tersebut ikhlas dan bukan untuk meminta balasan. Beliau tidak pergi untuk mengemis di istana Kresna!!! Bila seorang fakir itu memberi persembahan, maka pastilah kekayaan hatinya itu tidak boleh ditandingi oleh kekayaan seluruh loka pun.

Selalunya seorang miskin itu meminta kepada yang kaya. Itu biasa saja. Namun bila orang miskin memberi pula, maka besar maknanya. Sudama miskin membawa tandul (bertih beras) untuk kawannya dari jauh. Beginilah kasih seorang kawan. Persembahan itu bukannye penting sangat besar atau kecilnya. Ingatan dan kasih itu yang penting

Marilah memahami aspek cinta kasih ini. Cinta itu cuma memberi dan memberi. Ia tak pernah puas memberi. Tiada sempadan dalam cinta kasih. Cinta sentiasa menaburkan persembahan namun sentiasa malu kerana berasa persembahannya itu tidak mencukupi. Jika tuan beritahu seorang wanita itu bahawa dia itu sudah berusaha keras demi anaknya itu lalu dia mengiyakan pujian tersebut maka dia itu cuma seorang pengasuh saja. Jika dia itu sebenar-benar ibu, maka mestilah dia spontan berkata, "Saya cuma mampu memberi sedikit saja, banyak lagi yang belum terlaksana." Seorang pengasuh itu menyedari segala perbuatannya itu demi anaknya, namun seorang ibu itu sedar mengenai perkara yang belum diperbuat untuk kebaikan anaknya itu. Jika seorang ibu itu asyik membesarkan pengorbanannya itu demi anaknya, maka dia itu cuma seorang pengasuh saja. Bukannya seorang ibu. Cinta itu mengenai perkara yang belum pernah diperbuat semasa bersama mereka yang dikasihi.

Sudama mengetahui bahawa Kresna itu serba cukup, baginda itu seorang raja. Namun, beliau bimbang dengan persembahan beliau itu. Sebelum meninggalkan rumah, isteri beliau pernah berkata, "Sahabat mu itu seorang raja, jangan lupa untuk membawa kembali hadiah dari baginda". Sudama membawa persembahan namun tidak meminta balasan demi cinta kasihnya kepada sahabat beliau. Bila bertemu Kresna, beliau ragu-ragu untuk menyampaikan persembahan tersebut. Beliau menyembunyikan bungkusan bertih beras itu.

Cinta itu bukan mengenai pemberian biasa saja. Ia suka memberi dalam diam-diam. Jadi, Sudama ragu, beliau pun menyembunyikan bungkusan sembahannya dari Kresna. Beliau ragu itu bukan kerana sembahannya itu cuma bertih beras dan bahan itu tidak berharga. Beliau akan tetap ragu juga walaupun beliau membawa sebutir permata untuk sahabat baiknya itu. Cinta bakti tidak pernah berkompang keliling kampung mengenai pemberiannya biar diketahui ramai. Perbuatan begitu menunjukkan keegoan!

Oleh itu, Sudama pun ragu-ragu dan takut. Ia sesuatu yang jarang sekali terjadi. Yang menariknya itu, begawan Kresna terus saja bertanya oleh-oleh apa yang dibawa oleh sahabatnya itu? Kresna pun memahami bahawa cinta itu adalah mengenai memberi, bukan meminta dan mengambil. Tapi, kebijaksanaan baginda itu turut mengesan bahawa cinta itu adalah malu dan berahsia. Baginda tidak henti-henti bertanya mengenai oleh-oleh sehingga diragutnya bungkusan beras itu dari tangan kawan lamanya itu.

Sungguh menakjubkan sekali pekerti begawan Kresna kita. Baginda terus saja memakan bertih beras yang dibuka dari bungkusan Sudama itu. Namun, begitu lah caranya cinta kasih. Kita terkejut ini pun disebabkan oleh cinta kasih semakin menghilang dari muka bumi ini. Marilah memberi kasih dan menerima kasih dengan penuh bakti dan ikhlas. Terima kasih tuan-tuan budiman demi kesudian singgah ke gubuk kita ini... Hari Om Namah!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan