Churail

Churail चुडैल adalah setan wanita yang terkenal di benua kecil India serta di Nusantara. Kita di Nusantara ingatkan bahawa setan ini hanya wujud di sini sahaja. Namun, ia sebenarnya ada di India, Pakistan dan juga Bangladesh. Setan ini lazimnya digambarkan sebagai ibu yang tidak suci, tinggal di pokok-pokok dan kadang kala disebut sebagai semangat pokok. Di Malaysia dan Indonesia, setan ini dikenali sebagai Pontianak atau Kuntilanak. Di Pakistan, ia dikenali sebagai Pichal Peri manakala di rantau Bengal pula ia dikenali sebagai Petni atau Shakchunni.

Menurut sesetengah lagenda, Churail ini adalah roh seorang wanita meninggal dunia semasa melahirkan anak atau semasa mengandung atau disebabkan oleh mati didera oleh keluarga mertua. Ia kembali untuk menuntut keadilan dan menyasarkan ahli keluarga lelaki di kampungnya. Selalunya, setan ini digambarkan sebagai sangat hodoh namun berupaya menyamar menjadi wanita cantik bagi menggoda lelaki supaya mengikutnya ke pergunungan. Ia akan membunuh mereka atau menghisap keremajaan mereka sehingga mereka berubah menjadi lelaki tua.

Banyak juga kaedah atau petua yang diberikan oleh pelbagai pihak untuk menghalang kemunculan setan ini atau menghalaunya. Contohnya, upacara dijalankan jika terdapat kemungkinan seorang wanita meninggal dunia di rumah selepas dia didera oleh ahli keluarga. Mayat wanita tersebut akan dikebumikan dengan cara tertentu bagi mengelakkannya muncul dan mengganggu keluarganya. Perkataan Churail juga membawa maksud ahli sihir wanita di India dan Pakistan.
Rujukan
  • Crooke, William (1848-1923). An Introduction to the Popular Religion and Folklore of Northern India. 1894.