Oleh Yang Mulia Mpu Candrasekara
Terjemahan NG
13. Pendidikan yang betul itu patutnya membuat kita tahu bahawa Tuhan itu Kebenaran. Pengetahuan mesti mengisikan seseorang dengan ciri-ciri baik, yang menerusinya itu seseorang menyedari Kebenaran, iaitu Tuhan. Maka, matlamat pengetahuan itu adalah Pemahaman Kebenaran Tertinggi. Buah pemula kepada pengetahuan itu kerendahan hati dan kawalan diri.
14. Penyerahan diri sepenuhnya kepada Tuhan itu adalah belajar bahawa kita ini tidak penting dan mempelajari anugerah-Nya yang mencakupi seluruh Jagat dan loka.
15. Jika kita terlibat dalam pertanyaan lanjut ke dalam Atman, maka penghujungnya itu, kita sedari bahawa Dia itu berdiam dalam diri kita sendiri. Tatkala kita mencapai tahap yang itu, kita tak perlu lagi kepada para dewa menjadi penghubung dengan Nya. Segala karma akan jatuh dari kita. Tapi, sebelum dicapai tahap itu maka perlulah kita melaksanakan karma serta menghalakannya menerusi dewa-dewa.
16. Yang menjadi kepala masyarakat, kumpulan atau negeri janganlah lupa melestarikan agama dan adat. Mungkin mereka tak perlu kepada upacara pura dan koil, kejiwaan mereka yang tinggi mungkin tak memerlukan perkara sebegitu. Tapi, jika mereka mengabaikannya maka orang-orang yang sepatutnya memerlukan pelayanan upacara pun akan mula mengabaikannya. Yang ini selanjutnya akan memberi pengaruh buruk. Tersebut dalam Bhagawadgitam, "Yang bijaksana janganlah mengusutkan kepala mereka yang jahil, dan yang tergantung kepada amalan atau karma; sebaliknya harus mereka menggalakkan mereka beramal dengan perkara yang dimestikan ke atas mereka dengan dia dahulu melaksanakan tindakan yang sesuai dan sesungguhnya. Inilah dharma para pemerintah dan yang memimpin. Bukannya dia mengelak daripada upacara puja tradisional.
Daripada segala sastera suci itu, Bhagawadgitam itu mempunyai keistimewaannya tersendiri. Sepertinya jua, ada pustaka bahagian lain lagi dalam Mahabharata yang mengajarkan kebijaksanaan. Di samping itu, ada purana sekelian seperti Siwa Purana, Skandha Purana, Wisnu Purana dan Jnanopadesa. Begitu juga dengan sastera agama. Tapi, apa yang penting sangat dengan Bhagawadgitam? Bukan hanya di negara kita ini mengikut kebijaksanaan Bhagawadgitam, sebaliknya negara jauh nun di Pulau Jawa sekitarnya pun mengikut ajaran Bhagawadgitam. Tanggapan awal saya, bahawa terbitnya itu dalam suasana bebas daripada keterikatan. Ia tidak terikat dengan jiwa, tidak terikat dengan tubuh, tidak juga dengan pertalian darah bagai, sebaliknya cuma terikat dengan Hakikat maka terkenal lah ia serata loka.
Pada pertimbangan mendalam, ahimsa itu ternampak bagus jika dibawa dalam pengucapan dan pengajaran. Tapi, untuk diamalkan itu payah amat bukan semudah kata-kata meluncur di mulut. Pertamanya, cintailah semua. Tapi, jika kita mencintai seseorang itu dengan melampau maka kesannya nanti kesedihan pula. Maka, patutlah kita mencintai Tuhan yang memberi anugerah, suka bahagia selalu dan bukannya duka. Saya bertanya diri saya, adakah saya mencintai-Nya? Tak patutkah kita mencintai sesiapa lagi dalam loka ini? Jawabnya, selagi pengetahuan salah berkenaan Tuhan itu "dibedakan" dari loka seluruhnya, maka akan ada lah perselisihan. Tatkala kita mencapai jnana (gnosis) bahawa Tuhan sarwa loka, maka timbul lah cinta bagi semua sebagai manifestasi cintai kita kepada-Nya. Ini lambang bagi ahimsa.
Demi makanan, tempat tinggal dan pakaian, semua orang terpaksa bekerja keras dan hari-hari penuh dukanya. Jika kita cuba menghilangkan kedukaan itu dan menjadi suka bahagia, maka segala kerja kita itu biar ditujukan buat kebaktian kepada Nya. Jika menerima limpah karunia Nya itu, tak perlu pun kita bersusa payah untuk suka bahagia. Tuhan itu Tuan yang Maha Baik. Dengan memuji Nya sahaja bukan semestinya kita menyenangkan-Nya. Pujaan pujian itu tak mengurangkan atau melebihkan apa-apa pun kepada-Nya. Sebaliknya, segala tindakan karma itu sebenarnya diarahkan oleh-Nya supaya menjadi punca kemurnian hati dan minda kita.
Kenapalah banyaknya dewa ini??? Tak cukupkah dengan Iswara Nan Satu itu? Agama lain cuma bercakap mengenai Tuhan Yang Esa. Tiada ramai-ramai. Kita pun terbawa-bawa dengan keraguan disebabkan ajaran agama lain. Kita ini makan demi mengenyangkan perut. Perut diisi tidaklah lapar lagi. Jadi, kenapa tak makan nasi kosong sahaja? Kenapa kena ada lauk-pauk dan sayur-mayurnya? Jadi, nak makan pun kena ada perencah rasa bagai menyenangkan mata juga memandang untuk memakannya. Makanya, dewa-dewa itu seumpamanya lah juga keadaannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan