Rabu, 2 Oktober 2013

Kerajaan Sriwijaya: Catitan Itihasa

Swasti Sri!


Kedatuan Sriwijaya atau kerajaan Sriwijaya ini merupakan empayar orang Melayu yang menganut ajaran Hindu-Buddha pada samaya purwa. Empayar ini beribukota di Palembang, Pulau Sumatera dalam rantau negara Indonesia moden. Kedatuan Sriwijaya merupakan pusat terpenting ajaran Buddha dalam kurun ke-8 sampai ke-12 M. 

Bukti cargali sejarah awal sekali ditemui dari kurun ke-7 M. Seorang bhikkhu Buddha berbangsa Cina namanya Yiching menulis bahawa beliau ada singgah di Sriwijaya pada 671 M selama enam bulan lamanya. Prasasti pertama dengan nama Sriwijaya terukir pada batu ada dalam Prasasti Kedukan Bukit ditemui sekitar kota Palembang di Sumatera bertanggal 16 Jun 682. Kalau tuan dan puan ada belajar bahasa Melayu Sijil Tinggi Peperiksaan pastilah akan menemui pengajian lanjut bahasa Melayu purwa yang dipengaruhi ajaran Buddha ini. 

Catitan Itihasa

Tak dapat dipastikan mengenai perjalanan sejarah empayar ini. Ia merupakan masa lampau yang dilupakan sampai ditemukan semula oleh orang-orang Barat. Sebenarnya dalam babad dari istana diraja orang Melayu Patani yang beragama Islam di Selatan Thailand pada kurun ke-17 menceterakan mengenai kerajaan tempatan bersalin agama dari penganut Buddha menjadi penganut agama lain dan beberapa batu batu bersurat dalam biara Buddha di sebelah Selatan Thailand ada menceterakan mengenai empayar ini. Di Indonesia, dikatakan kerajaan ini cuma kedengaran dalam tahun 1920 sahaja apabila sarjana Perancis George Coedes menerbitkan hasil pengajian beliau dan tafsiran dalam surat khabar berbahasa Indonesia dan berbahasa Belanda. Coedes membuat catitan bahawa rujukan China dengan bunyi, "Sanfochi" itu dalam bahasa Hindu sepatutnya dibaca sebagai Sribhoja. Sribhoja ada tercatit dalam prasasti berbahasa Melayu purwa yang merujuk empayar ini.

Rekod Sriwijaya yang dibina semula ada didapati menerusi prasasti berbahasa Melayu purwa seperti di Kedukan Bukit, Talang Tuwo, Telaga Batu dan Kota Kapur. Sriwijaya ini menjadi lambang kepada kepentingan rantau Sumatera sebagai empayar besar mengimbangi empayar orang Jawa iaitu, Majapahit di sebelah timur rantau lautan selatan. Dalam kurun ke-20 M, kedua-dua empayar ini dirujuk juga oleh sarjana yang bersemangat kebangsaan negara mereka bagi membahaskan identiti negara Indonesia dalam negeri yang terdapat dalam rantau negara Indonesia sebelum ia menjadi negeri jajahan Belanda.

Sriwijaya dan meluas lagi daripada Sumatera itu dikenali berlainan nama dalam kalangan pelbagai jenis orang. Orang Cina memanggilnya Sanfochi. Sebelum itu lagi, ada sebuah kerajaan lama yang dipanggil sebagai kerajaan Kanduli yang dikatakan wujud sebelum Sriwijaya. Bahasa Sanskerta dan bahasa Bali menyebutnya sebagai Yawadesa. Orang Arab memanggilnya sebagai Zabag. Orang Khemir menyebutnya sebagai Melayu. Keadaan ini juga menyebabkan penemuan Sriwijaya ini sukar sekali diperbuat. Setengah namanya pula hampir sama dengan nama Pulau Jawa walaupun jatinya berlainan. Kata awalan Sri itu merujuk kepada nama penghormatan bagi sesuatu tempat, seperti juga Sri Lanka Dwipa. Wijaya pula merujuk kepada kejayaan dan hampir sama dengan nama sebuah lagi empayar Hindu di sebelah India Tanah Besar iaitu, Wijayanagaram.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan