Langkasuka ini merupakan kerajaan bentuk kesatuan di Semenanjung Tanah Melayu. Setengah cendekiawan berpendapat bahawa nama kerajaan ini merupakan gabungan nama maharaja Asoka yang kemudian menganuti ajaran Buddha dengan perkataan Langkha yang ertinya itu Gemilang.
Langkasuka ini sebenarnya dibentuk oleh kerajaan-kerajaan dan kedatuan di Tanah Melayu, manakala ibu kotanya itu yang digelar Langkasuka. Dipercayai bahawa permulaan kerajaan ini sebenarnya bermula dengan kedatangan penyebar ajaran Buddha keturunan Asoka dari kerajaan Magadha di India.
Kerajaan Langkasuka bersama-sama dengan kerajaan Kedah Tua merupakan antara kerajaan terawal sekali yang ditemui di rantau Semenanjung Tanah Melayu. Menurut tradisi, pengasasan kerajaan terjadi pada kurun ke-2 M tetapi ada disebutkan bahawa kerajaan di sebelah Kedah Tua sudah bermula semenjak 110 AD. Lagenda orang Melayu menyebutkan bahawa Langkasuka sebenarnya dimulakan di Kedah sebelum berpindah ke Patani di sebelah Timur tapi nampak seperti kedua-dua kerajaan itu berfungsi sebagai pelabuhan yang saling bekerjasama antara satu sama lain.
Catitan
Catitan mengenai negara ini berselerak. Tapi catitan wangsa Liang (500 M) merujuk kerajaan ini dengan nama Lang Yashiu yang sudah bermula sekitar kurun pertama masehi. Seperti diterangkan dalam babad China, Langkasuka ini 30 hari perjalanan dari Barat ke Timur nya, dan 25 hari dari Utara ke Selatan, berukuran jarak 24,000 li pula dari negeri Guangzhou di selatan China.
Ibu kotanya digambarkan dikelilingi tembok yang membentuk kota dengan pagar dua lapis, menara dan sala-sala. Bhikku I Tsing, menceterakan bahawa beliau ada terjumpa tiga orang bhikku bangsa Cina lagi yang berdiam di situ.
Sebutan nama negara ini selalu berubah menurut babad China kerana sistem bunyian tulisan China yang pelik dan berubah-ubah, contoh semasa wangsa Song (960-1279), ia disebut sebagai Lang Yase Chia, manakala semasa wangsa Yuan (1279-1368), ia dipanggil Lang Ya Si Chiao sahaja. Semasa wangsa Ming (1279-1368), ia digelar sebagai Lang Se Chia menurut kepada peta Mao Kun oleh laksamana Cheng Ho.
Nama Langkasuka turut tersebut dalam babad-babad Melayu dan babad Jawa. Sumber catitan Tamil mencatatkan negara ini dengan nama Ilangasokam, dalam salah satu penjarahan baginda Rajendra Chola menentang Sriwijaya. Dijelaskan oleh catitan Tamil itu bahawa kerajaan tersebut antara kerajaan yang "garang" sekali dalam peperangan.
Pada 515 M, raja Bhagadatta dari Langkasuka membuat hubungan pertama dengan empayar China dan menghantar lagi rajaduta baginda pada 523, 531, dan 568 ke sana. Pada kurun ke-12 M, ia menyembah ke Sriwijaya di Jambi dan sekitar kurun ke-15 M, ia digantikan terus dengan kesultanan Patani selepas bersalin agama ke Islam.
Pada 1963, Steward Wavell mengetuai ekspedisi Cambridge bagi menjejaki tinggalan kota Langkasuka dan Tamralingam. Catitan lanjut beliau ada dalam The Naga King's Daughter, terbitan Barath Chandran Antara Books.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan