Khamis, 26 Disember 2013

Sriwijaya: Kejatuhan

Swasti Srih!


Kejatuhan empayar Sriwijaya ini terjadi disebabkan oleh kegiatan melanun orang asing dan serangan dari kerajaan lain yang mengganggu perdagangan dan keselamatan serantau. Maharaja Rajendra Chola pada 1025 berasa tertarik pula melihat kemewahan empayar Sriwijaya. Baginda Rajendra Chola memerintah dari Koromandel di India Selatan lantas melancarkan serangan kelautan ke pelabuhan-pelabuhan Sriwijaya. 

Yang terawal ditakluki adalah pelabuhan Kadaram atau negara Kedah Tua yang menyembah ke Sriwijaya. Tentera Tamil Chola berada di situ beberapa lamanya. Empayar Chola didapati juga mendapat manfaat daripada kegiatan melanun di samping perdagangan antarabangsa. Kadangkala, kerajaan Chola akan menjarah dan menakluk sampai jauh ke Hindia Timur di Asia Tenggara. Satu prasasti dipahat bagi pihak maharaja Rajendra Chola menyatakan bahawa baginda berjaya menawan Sang Rama Wijayo Tungga Warman, pemerintah Sriwijaya di Kedah, lalu membawa pulang bersama harta berkodi-kodi banyaknya termasuk lah Widhyadara Torana atau Gerbang Perang Bertatah Permata yang dibuat orang Sriwijaya buat gerbang perang mereka. Orang Chola terus menerus melakukan serangan dan penaklukan di beberapa bahagian di Pulau Sumatera dan Semenanjung Tanah Melayu selama 20 tahun lamanya.  

Penyebab Serangan Empayar Chola

Ekspedisi seberang laut maharaja Rajendra menentang empayar Sriwijaya ini agak istimewa dalam itihasa India dan ia sepatutnya merupakan hubungan tenang-tennag sahaja dengan negara-negara kepulauan India Timur. Penyebab ekspedisi peperangan pun masih lagi tidak diketahui dengan tepatnya kerana ia berlaku senyap-senyap sampai sukar hendak dicari penyebab sebenarnya.   

Nilakanta Sastri mencadangkan bahawa serangan itu kemungkinan terjadi disebabkan cubaan empayar Sriwijaya untuk menghalang laluan perdagangan empayar Chola ke Timur, atau kemungkinannya juga semata-mata keinginan Sri Maharaja Rajendra sendiri untuk memperluas Digwijaya baginda ke negara-negara Hindu seberang laut yang sememangnya sudah dikenali ramai penduduk di negara Tamil dan juga menambahkan lagi kilauan pada mahkota baginda.

Walaupun Sriwijaya mandala masih bertahan dan penapikan Chola itu kurang berjaya, namun ia sebenarnya melemahkan penguasaan Sriwijaya dan membolehkan negara-negara yang menyembah ke kedatuan Sriwijaya membebaskan diri lalu membentuk kerajaan kerantauan mereka semula seperti kerajaan Kediri di Pulau Jawa yang sangat bergantung kepada kegiatan pertanian jika dibandingkan dengan kegiatan perdagangan tepi pantai dan perdagangan jarak jauh. Sriwijaya cuma direndahkan sahaja kedudukannya menerusi serangan kerajaan Tamil tetapi bukannya dihapuskan terus. Ketahanan mandala empayar Sriwijaya masih lagi ada dengan kenaikan anggota-anggota kerabat diraja Sriwijaya sendiri dalam mandala mereka menjadi datu-datu tempatan.

Antara 1079 dan 1088, rekod Cina menunjukkan bahawa empayar Sriwijaya menghantar rajaduta dari Jambi dan Palembang ke empayar China. Pada 1079, seorang rajaduta dari Jambi dan Palembang setiap satu nya akan melawat ibu kota empayar China. Keadaan mencadangkan bahawa pusat pemerintahan Sriwijaya banyak kali berubah antara dua kota utama itu ketika itu. Penjarahan Chola serta perubahan laluan perdagangan kelautan turut melemahkan kota Palembang, menyebabkan kota Jambi mengambilalih kepimpinan kedatuan Sriwijaya pula dari kurun ke-11 M sampai seterusnya.

Sriwijaya pada Kurun ke-12 M

Menurut karya sejarah Cina berjudul Chu Fan Chi, bertulis sekitar 1225, Chou Ju Kua menggambarkan kepulauan Asia Tenggara pernah ada dua buah kerajaan berkuasa dan kaya iaitu kerajaan Sriwijaya dan kerajaan Jawa (Kediri). 

Pulau Jawa

Di Jawa pula ada dua bentuk agama yang diamalkan penduduk iaitu agama Brahmana dan agama Buddha, sementara di Sriwijaya pula hampir keseluruhannya itu penganut ajaran Buddha. Penduduk Pulau Jawa pula jenis yang kepala angin. Kesukaan mereka menghabiskan masa senggang itu adalah berlaga babi dan berlaga ayam. Matawang terperbuat daripada timah, perak dan gangsa.

Chu Fan Chi menjelaskan bahawa Pulau Jawa diperintah oleh maharaja yang memerintah beberapa mandala iaitu Pacitan, Medan, Tumapel (Malang), Dieng, Hujong Galoh (Surabaya), Jenggi dan Papua Barat, Sumba, Papua Tenggara, Bali, Gorong atau Sorong di Barat Papua atau Pulau di Nusa Tenggara, Tanjung Pura di Borneo, Timor, Banggai di Sulawesi, dan Maluku.

Sriwijaya di Rantau Lain

Sriwijaya ketika kurun ke-12 M mempunyai 15 mandala semuanya dan masih lagi merupakan yang terkaya dan terkuat di sebelah Barat Asia Tenggara. Mandalanya di Pahang, Terenganu, Langkasuka, Kelantan, Dungun, Cherating, Semawe, Sungai Paka, Tambralingam, Grahi, Palembang, Sunda, Lamuri di Aceh, Jambi, dan satu rantau di Kemboja. 

Sunda

Menurut catitan mulaan kurun ke-13 M, Sriwijaya tetaplah memerintah Sumatera, Malaya dan Barat Jawa iaitu Sunda. Mengenai Sunda pula, Chu Fan Chi menjelaskan bahawa pelabuhannya kemungkinannya merujuk kepada Banten atau Sunda Kelapa merupakan pelabuhan yang baik kedudukannya. Lada dari Sunda merupakan antara yang terbaik kualitinya.

Penduduk bercucuk tanam dan rumah mereka dikenali sebagai rumah panggung. Negara Sunda banyaklah penyamun dan perompak. Maka keseluruhannya, Chou Ju Kua menegaskan bahawa kepulauan Hindu itu pernah diperintah dua buah kerajaan yang berasingan. Yang sebelah Barat berada dalam sembahan bakti kepada Sriwijaya manakala di Timurnya pula menyembah ke Kediri.

Pertentangan dengan Jawa

Pada 1228, kerajaan Singosari pengganti kerajaan Kediri di Jawa memukul negara Melayu termasuklah kota seperti Palembang, Jambi dan juga rantau Sriwijaya semasa ekspedisi Pa Malayu.

Pada 1293, Majapahit mengusai juga kebanyakan rantau di Sumatera selepas naik sinar menggantikan kerajaan Singosari. Kumara Aditya Warman diberikan pertanggungan buat memerintah Sumatera sekitar 1347 oleh maharaja Sri Tribuana Wijaya Tungga Dewi, pemerintah ketiga kerajaan Majapahit. Pemberontakan 1377 dipadamkan oleh kerajaan Majapahit namun ia menyebabkan rantau selatan Sumatera senantiasa dalam kerajaan huru-hara dan kacau-bilau.

Salin Agama

Pada tahun berikutnya, pemendakan di mulut Sungai Musi menyebabkan ibu kota terputus daripada perhubungan terus dengan hubungan laut. Keadaan ini melumpuhkan perdagangan kerajaan. Semasa keruntuhan ini terjadi, agama Islam dari Barat mula masuk meresap di Aceh, disebarkan menerusi orang-orang Arab dan orang India beragama Islam yang menjadi pedagang.

Menjelang hujung kurun ke-13 M, kerajaan Pasai di utara Sumatera menjadi kerajaan Islam pula. Pada masa yang sama, mandala Sriwijaya di Malaya (Selatan Thailand), menyembah sebentar ke kerajaan Angkor dan selanjutnya menyembah ke kerajaan Sukhothai untuk beberapa ketika. Prasasti terakhir, yang menyebut mengenai Kumara Anangga Warman, anakanda Sri Adityawarman memaparkan tanggal 1374 M.

Saki-Baki Sriwijaya di Singapura

Beberapa percubaan pernah dibuat orang buat menghidupkan semula empayar Sriwijaya termasuklah oleh kerabat diraja Sriwijaya yang melarikan diri ke bekas mandalanya. Pada 1324, putera kerabat diraja Sriwijaya, Sri Maharaja Sang Utama Parameswara Batara Sri Tribhuvan (Sang Nila Utama) membangunkan negara kota kerajaan Singapura di Temasek.

Baginda kekal berkuasa selama 48 tahun di situ dan kerajaan itu berjaya memukul dan menghalau angkatan kerajaan Majapahit (Jawa) yang memintanya menyembah ke sana. Mereka menerima pengiktirafan maharaja China pada 1366 sebagai sebuah negara. Kemudian baginda digantikan Paduka Sri Pekerma Wira Diraja (1472-1386), dan cucunda Paduka Sri Rana Vira Karma (1386-1399). 

Pada 1401, cucunda Paduk Sri Rana Vira Karma, Paduka Sri Maharaja Paramesvara terpaksa melarikan diri dari Temasek pada masa penjajahan Majapahit. Baginda naik ke utara dan menubuhkan kerajaan Melaka pada 1402 sebelum ia berubah menjadi Kesultanan Melaka selepas salin agama. Kesultanan Melaka dianggap ramailah menjadi kesinambungan Sriwijaya dan mewakili suku-suku kaum Melayu di rantau Asia Tenggara kemudiannya.

Baca: Serangan Chola atas Srivijaya

Tiada ulasan:

Catat Ulasan