Rabu, 2 Oktober 2013

Kerajaan Sriwijaya: Pembentukan

Swasti Sri!


Ada sedikit sangat bukti carigali berkenaan empayar ini ditemui. Menurut kepada Prasasti Kedukan Bukit, tahun Saka 605 (683 M), kerajaan Sriwijaya dimulakan oleh Sang Dapunta Hiyang Sri Yasanasa atau Sri Jayanasa. Baginda mengheret bersama 20,000 bala tentera dan 312 orang dalam berangai dengan 1312 tentera darat dari Minanga Tamwan ke Jambi dan Palembang.

Walaupun disebut bahawa kerajaan ini dibangunkan dalam tapak kota Palembang, namun disebut bahawa baginda Dapunta Hiyang itu terbit dari Minanga Tamwan. Kedudukan tempat itu masih diperbicara lanjut tanpa ditemui jawapannya lagi. Teori Palembang sebagai tempat berdirinya Sriwijaya itu dipersembah oleh G. Coedes dan disokong oleh Pierre Yves Manguin. Soekmono pula, membahaskan kota Palembang itu bukannya tapak kota Sriwijaya tetapi mencadangkan bahawa rupakara Sungai Kampar di Kepulauan Riau dekat dengan runtuhan Biara Muara Takus itu lah letaknya Minanga Tamwan. Teori lain pula mencadangkan Dapunta Hiyang itu datang dari Pantai Timur Semenanjung Tanah Melayu dan dicadangkan Jaya (kini dalam Thailand selatan) sebagai kota pusat Sriwijaya.

Sekitar 500 M, tapak Sriwijaya mula berkembang sekitar Palembang di Indonesia moden. Empayr ini disusun dengan tiga pusat mandala yang pusat agungnya di Palembang, dekat lembangan Sungai Musi di perhuluan. Bahagian hulu bukit Sungai Musi itu banyak bahan-bahan penting bagi pedagang Cina. Ibukota diperintah oleh pemerintah secara terus manakala kawasan hulu diperintah datu-datu tempatan. Mereka akan membuat jaringan persekutuan dengan Maharaja Sriwijaya pada masa-masa tertentu.

Jambi dan Bangka

Prasasti bahasa Sanskerta menyatakan Sri Jayanasa melancarkan serangan di lautan pada 684 dengan 20,000 bala tentera bagi mendapatkan kemewahan dan kesaktian. Dengan dikepalai baginda, kerajaan Malayu dikatakan merupakan kerajaan pertama yang diserap masuk ke empayar Sriwijaya. Kejadian ini berlaku kira-kira pada 680-an M. Kerajaan Malayu yang beribukota di Jambi kaya dengan galian emas dan dipandang tinggi orang sekitar. Maharaja Sriwijaya merasakan bahawa menundukkan kerajaan ini akan dapat memperkukuh lagi kedudukan kerajaan baginda. 

Prasasti Kota Kapur di Pulau Bangka menyebut, Sriwijaya menakluki hampir keseluruhan Sumatera Selatan dan kepulauan berjiran dengan Bangka, sejauh Lampung. Disebut lanjut, Sang Hiyang Jayanasa melancarkan juga serangan ke Bhumi Jawa pada lewat kurun ke-7 M yang ketika itu di Bhumi Jawa kerajaan Tarumanegara di Barat Jawa dan Kalingga di Tengah Jawa sedang mengalami kejatuhan. Sriwijaya turut mengawal Selat Melaka, Selat Sunda, Laut Cina Selatan, Laut Jawa dan Selat Karimata.

Jawa Tengah dan Jawa Barat

Rekod Cina sekitar kurun ke-7 M menyebut dua kerajaan orang Sumatera, bersama dengan tiga kerajaan di Pulau Jawa dijajah oleh Sriwijaya. Pengujung kurun ke-8 M, banyak kerajaan Jawa Barat, seperti Tarumanegara dan Kalingga sudah pun meyembah ke Sriwijaya. Disebut juga, keluarga kedatuan penganut ajaran Buddha Mahayana berkaitan dengan Sriwijaya ada menguasai rantau Jawa Tengah ketika itu. Kemungkinannya merujuk kepada wangsa Sailendra. Putera-putera raja dari Sriwijaya berkahwin campur dengan kelompok datu-datu tempatan seperti juga berlaku kepada wangsa Sailendra yang berpengaruh di Jawa Tengah dan mereka hidup bersama dengan wangsa Sanjaya yang memang wangsa tempatan. Bila empayar mengembang, maka ibukota baru turut dibuka di tempat yang menyembah ke pusat mandala.

Tanah Melayu dan Selatan Thailand

Negara-negara kota persekutuan Langkasuka di Semenanjung Tanah Melayu sampai ke Segenting Kra di bahagian Thailand moden turut ditundukkan menyembah ke Sriwijaya. Kemudian dua negara kota lain iaitu Panpan dan Tambralinga di utara Langkasuka turut ditundukkan kebaktiannya kepada maharaja Sriwijaya. Kerajaan-kerajaan di Semenanjung Tanah Melayu serta Selatan Thailand itu merupakan negara kota yang memindahkan barangan dagangan sekitar Semenanjung dan Segenting Kra serta menjadi jalan pintas bagi ke Timur Jauh.

Dengan menembusi rantau Pulau Jawa dan Semenanjung Tanah Melayu, kerajaan Sriwijaya berjaya menguasai dua laluan perdagangan utama di Asia Tenggara dan Kepulauan Hindu umum. Setengah runtuhan biara Sriwijaya masih lagi kedapatan di rantau Siam dan Kemboja.

Kawasan Jaya (Chaiya), dalam negeri Surat Thani di Thailand, sudah pun didiami oleh orang Semang dan puak-puak cawangan orang Melayu sejak samaya sebelum itihasa lagi. Sriwijaya pula dikatakan sudah berada dalam ksetram loka ini sejak kurun ke-3 SM sebelum menakluki Tanah Melayu dan kebanyakan kawasan di Pulau Jawa yang di selatan sampai kurun ke-13 M. Kota Jaya ini kemungkinan datang dari kata bahasa Melayu-Sankserta, cahaya yang bererti sinaran berkelip-kelip. Setengah sarjana percaya kata Chaiya kemungkinan datang dari Sriwijaya. Ia memang merupakan ibukota perantauan kerajaan Sriwijaya bermula pada kurun ke-5 sampai ke-13 M. Setengah sejarawan Thailand membahaskan bahawa Jaya itu sendiri adalah ibukota negara agung Sriwijaya itu tapi pendapat mereka ini umumnya tak dikira. 

Indochina

Pada satu tahap sekitar kurun ke-7 M, pelabuhan kerajaan Cheam di timur Indochina mula menarik ramai pedagang. Keadaan ini menyebabkan aliran perdagangan di Sriwijaya berubah ke sebelah Cheampa. Dalam usaha menarik pedagang ke Sriwijaya, maharaja Sriwijaya, maharaja Dharmasetu melancarkan serangan demi serangan ke negara kota pelabuhan di rantau Indochina sana. Negara kota Indrapura di sebelah Sungai Mekong untuk sementara waktunya dikawal dari Palembang selepas serangan pada awal kurun ke-8 M. Kerajaan Sriwijaya terusan menguasai kawasan-kawasan di sekitar Kemboja moden sampai maharaja wangsa Angkor, Sri Maharaja Jayawarman II mengambil alih selepas melemahkan lingkaran mandala Sriwijaya di situ dalam samaya yang sama.

Selepas Maharaja Dharmasetu, naik pula Maharaja Samaratungga memerintah Sriwijaya. Baginda memerintah dari 792 M sampai 835 M. Tak seperti maharaja sebelumnya, baginda Maharaja Samaratungga tak berminat dengan kegiatan menjajah tapi lebih berminat menumpukan perhatian mencengkam kedudukan di sebelah Pulau Jawa. Baginda sendiri yang memantau pembinaan Candi Bhumisambharabudara atau Borobudur di Jawa Tengah sampai selesai pembinaannya pada 825 M dalam pemerintahan baginda.

1 ulasan:

  1. Kerajaan Sriwijaya berasal dari palembang. ini berdasarkan keterangan itsing ketika dia dtg disriwijaya th 670 dia menyebut sriwijaya dengan nama Shelifoshi ibukotanya kota foshi terletak disungai foshi dama ketika itsing datang lagi kesriwijaya th 685 itsing masih menyebut sheli foshi dan kota foshi dan sungai foshi. artinya tidak berubah. tidak ada perubahan nama atau perpindahan ibukota. dan pula nama ibukota hampir dama fengan nama kerajaan tetletak di sungai foshi sama dengan kotanya. sungai foshi afalah sungai musi kota foshi adalah kota musi/ kota palembang jaya. .
    asal usul Dapunta adalah Negri palembang uluan sebsb bahasa prasasti sriwijaya yang dikrluarkan dapuntahyang srijaya nasa itu adalah bahasa melayu palembang atau bahasapalembang lama yaitu bahasa melayu tengah / kelompok pasrmah/ negri palembang ulu.

    BalasPadam