Khamis, 17 Mei 2012

Madhyama Pratipad

 
Jalan Pertengahan 

Jalan Pertengahan merupakan istilah yang digunakan baginda Gautama Buddha untuk menerangkan sifat jalan-jalan yang ditemuinya bagi mencapai kebebasan rohaniah. Dalam aliran Mahayana, ia merujuk kepada pandangan ke dalam kekosongan yang mencakupi kenyataan berlawanan tentang kewujudan. Takrifannya banyak pulak:

1. Amalan tidak melampau iaitu satu jalan sederhana yang tidak menggalakkan melampau-lampau dalam memanjakan diri atau menyakiti diri.

2. Tapak pertengahan antara pandangan metafizika tertentu misalnya perkara yang akhirnya wujud atau tak wujud. 

3. Penerangan mengenai Nibbhana atau Pencerahan Sempurna iaitu satu keadaan apabila sesuatu itu menjadi jelas dan semua keduaan di dunia ini bersifat menipu sahaja.

4. Satu lagi istilah kekosongan, sifat muktamad bagi semua fenomena (dalam aliran Mahayana), kekurangan kewujudan yang wujud yang menghalang lampau kekal dan nihilisme atau kewujudan yang wujud dan kekosongan.  

Rabu, 16 Mei 2012

Brahmaviharam

 

Empat yang Tak Terukur 

 

Apabila Gautama mencari pencerahan, baginda menggabungkan amalan yoga yang diajarkan oleh gurunya Kalama dengan apa yang disebut kemudiannya sebagai yang tiada ukuran. Gautama menghasilkan manusia jenis baru yang tak ada ego dalam dirinya melalui amalan ini.

 

Benda ini disebut juga sebagai Empat Minda Tak Berukuran yang mengandungi cinta kasih, belas kasihan, ketenangan dan kebahagiaan. Ia dikenali juga sebagai Brahmaviharam atau tempat tinggal suci. Dari empat ini, mettaa atau tapa cinta kasih merupakan yang paling terkenal. 

 

Brahmaviharam yang diajarkan adalah sebagai satu bentuk pertapaan yang memupuk "sikap yang sihat terhadap makhluk berperasaan". Pengamalnya akan berdoa:

 

1. Semoga semua makhluk berperasaan mencapai kebahagiaan dan puncanya. 

2. Semoga semua makhluk berperasaan bebas dari kesengsaraan dan puncanya.

3. Semoga semua makhluk berperasaan tak pernah dipisahkan daripada kebahagiaan tanpa sengsara.

4. Semoga semua makhluk berperasaan berada dalam ketenangan, bebas dari berat sebelah, kebergantungan dan kemarahan. 

Ashthangika Ariya Margga


Lapan Jalan Mulia Berlapis

Ini adalah lantaran dari Ariya Chattwari Sattyani yang keempat. Iaitu cara menghapuskan derita atau dukkha. Ada lapan bahagian semuanya bermula dengan perkataan samyak atau bererti dengan betulnya atau dengan baiknya.  

Ia dibahagikan kepada latihan tertinggi yang tiga. Dalam masukan yang ini kita akan menggunakan perkataan bahasa Sanskrit bagi mewakili aliran Mahayana walaupun kita lebih cenderung ke Theravada:

Prajnya

Hikmat yang menyucikan minda pemikiran membenarkannya mencapai penglihatan kerohanian dan melihat ke dalam sifat segala mata benda. Ia termasuklah:

1. Drishti bermaksud melihat hakikat sebagai hakikat bukan sebagai sesuatu yang kelihatan di penglihatan sepintas lalu kita.  
2. Sangkalpa bererti niat untuk melepaskan, kebebasan dan tidak memberi sebarang kesan yang berbahaya.

Sila

Etika dan akhlak mulia. Menegah perbuatan yang tak semenggah dan tak sihat. Ia termasuklah:

3. Vaac bererti bercakap perkara sebenar dengan cara yang sopan-santun.
4. Karman maksudnya bertindak dengan jalan yang tidak kasar.
5. Aajivana ertinya kehidupan yang tidak menyusahkan orang tidak menyakiti sekeliling.  

Samadhi

Disiplin latehan mental dan rohani diperlukan untuk mengembangkan penguasaan minda kita sendiri. Ia dilakukan dengan pelbagai amalan berbentuk renungan dan tapa. Antaranya termasuklah dalam:

6. Vyaayaama maknanya berusaha ke arah yang lebih baik. 
7. Smartih atau kesedaran untuk melihat benda tersebut seadanya dengan kesedaran yang jelas, sedar akan hakikat kini dalam sesuatu tanpa ada sebarang keinginan atau menghindarinya.
8. Samadhi atau tapa yang betul atau memberi tumpuan dalam pertapaan. Ia dijelaskan dalam bahagian awal empat jhana.

Amalan Jalan Berlapis ini difahami dalam dua cara sama ada perkembangannya secara serentak (semua lapan jalan diamalkan serentak) atau secara langkah demi langkah melalui tindakan pengamalnya. Kemuncak kepada satu langkah akan memulakan satu lagi tahap.

Punca dan Penyelesaian Kesengsaraan


 Arya Chattwari Sattyani: Empat Kebenaran Mulia

Menurut Tripitaka dan Agama-Agama dari aliran-aliran ajaran Buddha awal, ada empat kebenaran mulia yang awal-awal sekali diajarkan oleh Buddha Gautama selepas baginda mencapai Nibbhana. Yang ini kadang-kadang dianggap mengandungi asas-asas kepada ajaran Buddha...

1. Hidup sebagaimana kita ketahuinya akan membawa kepada dukkha atau derita dalam cara yang begini atau cara yang begitu. 

2. Derita itu disebabkan oleh keinginan dan idaman. Ini selalu digambarkan sebagai keinginan deria dan kita tertarik hati kepada sesetengah kewujudan yang "tidak benar", kepada sesuatu diri atau perkara-perkara atau fenomena yang kita anggap sebagai punca kepada kebahagian atau ketidakbahagiaan. Keinginan juga mempunyai aspek buruk contohnya apabila seseorang yang ingin sesuatu hal atau keadaan itu berkeadaan begitu walaupun halnya tak wujud begitu.       

3. Derita akan hilang apabila keinginan berakhir. Ia dicapai dengan menghapuskan khayalan seterusnya mencapai tahap kebebasan dan pencerahan atau bodhi.  

4. Mencapai tahap bebas ini adalah melalui jalan yang diajarkan oleh Buddha menerusi pengalaman baginda.

Cara ini dijelaskan oleh cendekiawan Barat dan diajarkan oleh sesetengah guru-guru aliran Mahayana moden dalam pengenalan kepada ajaran Buddha misalnya seperti Dalai Lama. Menurut sesetengah tafsiran guru-guru dan cendekiawan ajaran Buddha, kebenaran tidak mewakili hanya kenyataan. Tetapi ia merupakan kategori-kategori atau aspek yang kebanyakan fenomena dunia ini berada di dalamnya. Ia dikelaskan kepada dua iaitu: 

1. Derita dan punca-punca derita.
2. Menghentikan derita dan jalan-jalan ke arah kebebasan dari penderitaan. 

Dari Ensiklopedia Macmillan diterangkan mengenai ajaran Buddha ini, ia dipecahkan kepada:

1. Kebenaran mulia itu lah duka.
2. Kebenaran mulia itu, punca timbulnya duka.
3. Kebenaran mulia itu adalah penghakhiran duka.
4. Kebenaran mulia itu adalah jalan yang membawa kepada pengakhiran duka.

Pemahaman tradisional aliran Theravada berkenaan hal ini merupakan ajaran yang maju dari yang sedia ada. Pendirian aliran Mahayana Asia Timur pula merupakan ajaran awal bagi orang ramai yang tak bersedia ke tahap tinggi dalam ajaran Buddha aliran Mahayana.

Konsep Penting dalam Ajaran Buddha


Oleh sebab penulisan tidak begitu meluas di kawasan tempat Siddhartha Gautama tinggal, maka apa sahaja yang diketahui dihafal dengan hati-hati secara lisan sehingga ia mula dituliskan mungkin pada seawal abad pertama sebelum masehi.

Perkataan Buddhism ini merupakan sesuatu yang baru sebenarnya. Ia mula diperkenal dalam Kamus Bahasa Inggeris Oxford pada 1801 dengan ejaan Boudhism dan ejaannya berubah sehingga kepada ejaan sekarang ini pada 1816. Dalam satu ulasan terbitan Jurnal Asiatic menggunakan perkataan ini dalam sebuah rencananya.

Tiga Mestika iaitu Buddha, Dharmma dan Sangkhom, begitu juga dengan karmma, janma dan amalan yoga sudah wujud sebelum kelahiran Siddhartha Gautama lagi tetapi kemudiannya mula dikaitkan dengan ajaran Buddha.

Hidup dan Lokamaya

Karmma

Istilah ini bermaksud kerja atau tindakan. Ia merupakan daya yang membawa kepada kesengsaraan. Putaran kesengsaraan dan jelmaan semula merupakan proses yang dilalui oleh semua benda. Perbuatan kusala (baik atau bertauliah) dan perbuatan akusala (tak baik dan tak bertauliah) menghasilkan "benih" dalam minda yang akan berbuah sama ada dalam kelahiran ini atau kelahiran seterusnya. Perbuatan mengelakkan sesetengah perkara yang tak bermoral dan menuai balasan perbuatan baik disebut sebagai sila.  

Dalam ajaran Buddha, karmma khasnya merujuk kepada perbuatan sama ada berasal dari badan, pikiran atau minda yang muncul dari niat di hati. Ia disebut sebagai cetana. Hal ini memberikan kesan atau buah disebut sebagai pahala atau pun wipaaka yang bermaksud keputusan. 

Dalam ajaran Buddha Theravada, tidak ada keselamatan atau keampunan untuk karmma seseorang. Ia merupakan satu proses yang bersifat peribadi yang merupakan sebahagian daripada solekan di jagat raya ini. Dalam aliran Mahatana, sutra-sutra seperti Padmasutra, Angulimaliyasutra dan Nirvanasutra mendakwa bahawa membaca atau hanya mendengar sutra-sutra ini sahaja pun sudah mampu menghapuskan karmma-karmma buruk. 

Setengah aliran ajaran Buddha yang lain misalnya seperti Vajrayana menganggap bahawa bacaan montra boleh membantu menghancurkan karmma buruk lampau. Guru aliran Tanah Suci Jepun iaitu Genshin mengajarkan bahawa Amitabha Buddha mampu untuk menghapuskan karmma yang jika tak dihapuskan akan mengikat seseorang dalam sengsara.

Jelmaan Semula

Jelmaan merujuk kepada proses yang mana sesuatu itu melalui proses berganti-ganti dalam kehidupan sebagai satu daripada bentuk-bentuk hidupan berperasaan yang datang dari kelahiran sehingga kematian. Ajaran Buddha menolak konsep diri yang tetap dan tak berubah atau roh yang abadi sebagaimana yang terdapat dalam ajaran Hindu atau ajaran Kristian.   

Menurut ajaran Buddha, pada akhirnya tak ada satu benda pun yang serupa dengan bergantung kepada diri sendiri daripada semua yang ada dalam jagat ini (doktrin anatta). Kelahiran atau jelmaan semula dalam kewujudan berikutnya mesti difahami sebagai satu kesinambungan kepada proses yang "timbul daripada kebergantungan" ditentukan oleh undang-undang sebab dan kesan (karmma) berbanding dengan satu kejadian itu, berhijrah atau menjelma semula daripada satu kewujudan ke satu kewujudan lain. Proses yang timbul daripada kebergantungan ini dikenali sebagai pratityasamutpaada

Setiap kelahiran semula itu bertempat dalam satu daripada lima alam menurut kepada aliran Theravada atau enam menurut aliran lain. Semua alam ini kemudian terbahagi pula kepada 31 satah kewujudan.

1. Makhluk Neraka

Iaitu yang dijelmakan di dalam salah satu neraka.

2. Pretam

Kadang-kadang berkongsi alam dengan manusia tetapi tidak kelihatan di mata kebanyakan orang. Dalam bahasa Cina disebut sebagai hantu lapar. 

3. Binatang

Berkongsi alam dengan manusia. Tetapi dianggap jenis hidupan yang lain. 

4. Manusia

Salah satu alam jelmaan semula yang mana dalam alam ini baru dapat mencapai nibbhana.

5. Asura

Biasanya diterjemahkan menjadi dewata tahap rendah, syaitan, jin dan alam ini tak dianggap sebagai alam yang berbeza dengan alam dewata dalam tradisi Mahawihara aliran Theravada

6. Dewata

Termasuklah para Brahma atau diterjemahkan menjadi dewa-dewa, dewata, roh-roh sekeliling, malaikat, peri-peri atau tak diterjemahkan langsung. Jelmaan semula dalam sorga-sorga tertinggi dikenali sebagai Suddhaawaasaloga atau alam tempat tinggal yang murni. Ia boleh dicapai oleh pengamal ajaran Buddha yang berkemahiran yang dikenali sebagai anaagaami atau yang dah tak kembali lagi. Kelahiran semula dalam arupa dhatu atau alam tak berupa boleh dicapai oleh orang yang bertapa dengan aruupajhaana iaitu tumpuan pertapaan yang tertinggi.

Menurut tradisi Asia Timur dan aliran Buddha Tibet, ada tahap peralihan yang disebut sebagai bardo antara alam ini ke alam seterusnya. Aliran Theravada ortodoks menolak hal ini. Tapi ada ayat-ayat dalam Samyutta Nigaya dari sutra Bali yang digunakan dalam tradisi Theravada menyokong pendapat yang Buddha pernah mengajarkan tahap peralihan antara satu kehidupan ke satu kehidupan yang seterusnya. 

Sengsara

Makhluk berperasaan mengidamkan kesenangan dan tak suka dengan kesakitan dari kelahiran sampai lah ke kematiannya. Dalam hidupan yang dikawal oleh sikap sebegini, mereka mengekalkan putaran kewujudan bersyarat dan sengsara. Ia menghasilkan punca-punca dan syarat-syarat kepada jelmaan seterusnya selepas kematian jasad.  

Setiap jelmaan itu mengulangi proses in dalam pusingan yang dipaksa yang mana penganut ajaran Buddha cuba untuk mengakhirinya dengan membasmi punca-punca dan syarat-syarat ini memakai cara-cara yang diajarkan oleh Buddha dan penganut Buddha yang berikutnya.


Ahad, 13 Mei 2012

Makanan Baik untuk Kulit


Tenusu Rendah Lemak

Kaya dengan vitamin A. Bagus untuk kulit. Jika ingin elakkan lemak kerana banyak lemak didapati dalam makanan jenis ini maka cari yang rendah lemak punya bagi keju dan susu. 

Minyak Ikan Omega-3

Makanan yang mengandungi minyak ini sangat bagus. Ia adalah lemak baik dan sangat diperlukan badan. Ia mengelakkan lecur pada kulit. Boleh didapati dalam ikan tuna, kerangan, sardin dan salmon.

Minyak Bunga Matahari

Tak perlu makan ikan untuk dapatkan asid lemak bagi badan dan untuk kulit. Boleh ambil minyak bunga matahari atau makan biji bunga matahari. Penganut Brahmana dan Jina boleh memakannya bagi mengelakkan ikan. 

Kacang Walnut

Yang ini alternatif untuk biji bunga matahari dan ikan. Ia pun kaya dengan asid lemak yang baik untuk kesihatan dan kulit.

Buah Anggur

Kaya dengan vitamin C. Bagus untuk masalah kulit kerana melambatkan proses penuaan dan kedutan.

Buah Oren 

Sama macam buah anggur. Bagus untuk kulit sebab kaya dengan vitamin C.

Tunas Brussel

Sama macam buah-buahan berasid juga ia mengandungi vitamin C walaupun sejenis sayuran. Kalau mahu pilihan lain, boleh ambil kacang peas. 

Gandum Penuh

Selenium ada didapati dalam makanan diperbuat dari gandum ini seperti bijirin, roti dan kueh-kueh yang dibakar. Selenium bagus untuk kesihatan kulit. Ia membantu memperbaiki kulit di tahap selnya dan menjadikan seseorang itu kelihatan muda dan cantik.

Daging Merah Tanpa Lemak

Kulit kelihatan teruk dan pucat kalau tak cukup zat besi dalam makanan seharian kita. Jika kita ada lingkaran hitam bawah mata dan terlalu pucat maka tandanya kita perlukan zat besi. Daging merah kaya dengan zat besi tapi pastikan anda mengelakkan daging merah yang terlalu tinggi kadar lemaknya.

Telur

Sama macam daging merah juga, ia membekalkan zat besi kepada tubuh. Kalau seseorang itu tak mahu makan terlalu banyak daging merah atau mengelakkan daging maka boleh ambil telur.


Sattva dalam Tradisi Jina


Makanan Jina tradisional adalah makanan sayuran yang lengkap. Mereka tidak mengambil bawang dan bawang putih sama macam makanan penganut ajaran Buddha di Jepun. Kedua-duanya dianggap sebagai tama.

Makanan orang Jina sangat ketat. Mereka tidak ambil kentang dan sayuran yang berakar kerana akar akan dicabut dan seluruh tumbuhan akan mati. Penganut Jina percaya bahawa semua benda hidup ada nyawa dan dalam penjelmaan, tersangkut dalam putaran kelahiran dan kelahiran semula.

Penganut Jina mengambil jalan ahimsa dengan tahap tertinggi dan menghormati semua benda hidup termasuklah tumbuhan. Gaya hidup mereka dipastikan tidak mencederakan orang lain. Kesannya makanan mereka juga mengandungi banyak bijirin seperti beras, gandum, lentil, kacang-kacang, dan biji-biji minyak yang termasuk dalam kumpulan makanan tak merbahaya. 

Sayuran yang kering dan mati sahaja dituai menjadi makanan. Buah dan sayuran yang masak di atas pokok atau ranting pokok akan jatuh sendiri jadi ini yang digunakan pengikut ajaran Jina sebagai makanan. Mencabut tumbuhan dikira sebagai keganasan. Minuman keras juga dielakkan kerana minda perlu dalam keadaan sedar sentiasa. 

Aspek lain dalam falsafah pemakanan orang Jina adalah: 

1. Menyedekahkan makanan kepada orang miskin
2. Puasa pada hari tertentu
3. Tidak membazir makanan
4. Minum air bertapis
5. Makan selepas matahari naik dan sebelum matahari jatuh takut terbunuh serangga yang berada di makanan

Puncanya mereka tidak makanan sayuran berakar disebabkan akar sayuran mempunyai banyak sel-sel di dalamnya. Misalnya sebijik kentang itu dianggap sama dengan seluruh epal dari segi sel-selnya. Orang Jina terkenal dengan sikap menghindari banyak jenis makanan rutin orang India seperti bawang dan kentang. Disebabkan hal ini, mereka mempunyai sistem pemakanan yang unik dengan menggantikan kentang dengan mengupas kulit tembikai dan menggunakannya sebagai ganti kentang atau memasak buahan segar seperti anggur dan mangga dalam kari-kari masam manis mereka.   

Pemakanan Sattva


Pemakanan sattva merujuk kepada pemakanan yoga atau pemakanan yang menjana kesedaran. Ia merupakan pemakanan yang berdasarkan kepada ajaran ayurveda, yoga, jina dan mempunyai tahap guna yang tinggi. Ia membawa kepada minda yang lebih jelas, tenang dan berguna kepada tubuh. 

Makanan tersebut termasuk lah air, bijirin, kekacang bertangkai, sayuran, buah-buahan, kacang-kacang, susu yang tidak terpastur dan asli, serta bahan-bahan berasaskan susu misalnya seperti minyak sapi, mentega, keju, krim dan susu masam. Selain itu madu asli juga dianggap sebagai sattva.

Pemakanan yang Tradisional

Kekacang dan bijian yang segar dan tidak digoreng melampau atau tidak digaramkan merupakan satu tambahan yang baik dalam pemakanan sattva. Ia diambil secara sedikit-sedikit. Setengah pilihan seperti kacang almond terutamanya yang dikupas dan direndam semalaman, kelapa, kacang pokok rhu, bijan, biji labu dan biji bunga matahari. Minyak yang digunakan pula harus lah dari kualiti terbaik dan diperah sejuk. Setengah pilihan minyak yang baik adalah minyak zaitun, minyak bijan dan minyak biji bunga matahari.  

Sayuran

Kebanyakan sayuran yang lembut dikira sebagai sattva. Sayuran tajam seperti cili, tomato, terung, bawang puteh dan bawang terkeluar dari senarai sattva. Makanan lain seperti cendawan dan kentang merupakan punca angin. Jadi cendawan dan kentang dikira sebagai raja dan tama. Kadang-kadang kesan buruk makanan-makanan ini boleh dielakkan dengan mengatasinya melalui penyediaan makanan yang baik. Amalan meminum jus sayuran segar bagus untuk prana, enzim-enzim hidup dan mudah diserap tubuh.

Bijirin Penuh

Bijirin penuh membekalkan keperluan tubuh. Setengahnya termasuklah beras organik, gandum asli, gandum spelt (Eropah), oatmeal dan barli. Kadang-kadang bijirin digoreng sedikit sebelum dimasak bagi membuang kualiti beratnya. Roti beryis tidak digalakkan kecuali jika dibakar. Gandum dan bijirin lain boleh dibela sampai bertunas sebelum dijadikan tepung. Setengah persediaan adalah dalam bentuk kichari (beras basmati perang atau putih yang dimasak dengan kacang hijau, minyak sapi atau rempah lembut), khir (beras dimasak dengan susu dan dimaniskan), chapati (roti penuh yang tak diperbuat dari tepung atta) dan roti yang diperbuat dari bijiran bertunas. Setengah yogi akan mengelakkan bijirin sepanjang amalan-amalan yang khas.  

Kekacang

Kacang hijau, lentil, kacang dhal, kacang kuda, kacang merah, kacang biasa, tauhu organik dan taugeh dianggap juga sebagai sattva jika disediakan dengan betul. Umumnya kacang yang kecil lebih mudah untuk dihadamkan. Penyediaan kacang termasuklah memecahkannya dua, mengupas kulit kacang, mengisar, menjadikannya tunas, memasak dan merempah. Kekacang yang digabungkan dengan bijirin penuh mampu memberikan punca protein yang lengkap kepada tubuh.  

Pemanis

Setengah yogi menggunakan madu yang selalunya dicampur susu dan sejenis gula mentah. Dalam setengah tradisi, gula dan madu dielakkan dari pemakanan.

Rempah-Ratus

Rempah sattva biasanya jenis lembut termasuklah daun selasih, buah pelaga, kulit kayu manis, ketumbar, jintan puteh, halba, halia segar dan kunyit. Rempah yang raja seperti lada hitam, cili merah dan bawang puteh dielakkan dari pemakanan. Kadang-kadang sahaja digunakan dalam kadar sedikit untuk membersihkan hingus dalam saluran pernafasan dan untuk melawan tama dalam badan.

Herba Sattva

Herba lain yang digunakan untuk menyokong sattva dalam minda dan semasa bertapa adalah ashwagandha, bacopa, calamus, pegaga, pegaga cina, jatamansi, purnavarnava, shatavari, saffron, shankhapushpi, tulsi dan mawar.

Makanan Merangsang

Kadang-kadang disebut juga sebagai makanan raja atau yang boleh bermutasi sering menyebabkan keletihan kepada minda. Tak sepenuhnya berguna dan tak sepenuhnya merosak kepada minda dan tubuh. Makanan yang tak dapat dikategorikan sebagai tetap atau tak tetap akan dimasukkan ke dalam kumpulan makanan ini. Makanan sebegini dikatakan membawa kepada sikap ganas dan pemikiran suka menakluk terutamanya orang lain. Makanan sebegini memberi tenaga dan membangunkan chakra manipura di pusat serta tubuh tetapi tidak membawa seseorang itu ke chakra yang lebih atas.

Jenis makanan ini termasuklah teh dan minuman berkafein, coklat, makanan pedas dan berempah, serta garam.   

Makanan Penyebab Khayal

Juga disebut sebagai tama atau melemahkan. Menurut sistem yoga, makanan ini jika diambil membawa kepada kelemahan minda dan tubuh. Ia menyebabkan minda menjadi mudah bosan dan tahap kesedaran yang tidak begitu stabil.

Bagi tubuh pula makanan yang membahayakannya adalah yang menyebabkan tekanan kepada anggota badan secara terus atau tidak langsung melalui ketakseimbangan tubuh. Makanan begini penting semasa waktu tekanan besar dan kesakitan. Ia mengurangkan kesakitan dan merendahkan kesedaran kita, jadi tubuh badan kita boleh sembuh sendiri. Makanan seperti ini dianggap penting pada masa tekanan besar dan peperangan.   

Makanan tama merangsang dan menguatkan dua chakra rendah kita tetapi tidak membantu pembangunan kita ke chakra tertinggi. Ia tidak baik terhadap kemajuan kita ke chakra tertinggi. 

Makanan sebegini termasuklah daging, ikan, bawang, bawang puteh, bawang besar, segala mak nenek daun bawang, cendawan, minuman memabukkan, ganja, dan makanan basi. 

Rujukan Sutra

Patanjali dalam Yoga Sutra bahagian Niyama menyebut perkataan tapa. Tapa disini termasuklah ahara niyam iaitu makanan yang bertepatan dengan jumlah sedikit. Jadi, niyama merupakan disiplin individu yang antaranya termasuk juga peraturan dalam tabiat pemakanan. Dalam sutra lain misalnya Hatha Yoga Pradhipika pun ada menyebut mengenai pranayam yang menekankan tabiat pemakanan yang menurut kaedah betul. 

Kehidupan yang Sattva


Sattva merupakan perkataan bahasa Sanskrit yang bermaksud harmoni, jelas dan seimbang. Ada tiga guna dalam kehidupan seharian kita:

1. Sattva
2. Raja
3. Tama

Ketiga-tiga ini wujud dalam semua benda di persekitaran dan alam sekitar kita. Ia juga wujud dalam pemikiran kita. Sattva atau suci bermaksud keadaan minda seseorang itu berada dalam tahap yang tenang, sedar, sentiasa baik dan sentiasa berjalan. Seorang yang berminda terlalu rajasik atau terlalu cergas akan melencong dan tak berhenti-henti pikir.

Pemikiran tamasik pula merupakan minda yang kosong, bosan dan lesu. Minda lesu membawa kepada kejahilan dan kemalasan. Makan makanan yang sattva atau suci serta mengikut gaya hidup yang sattva menurut ajaran ayurveda merupakan matlamat utama dalam mencapai kesihatan penuh bagi jasad dan minda. Konsep kesihatan dalam pemakanan dan kehidupan yang sihat sudah wujud beribu-ribu tahun lampau di India purba. Ia masih lagi relevan pada hari ini.  

Dewi Mari Amma

Bhajan yang ditujukan oleh penyanyi kepada dewi Sakti iaitu Kali Amma. Ia dinyanyikan dalam bahasa Tamil iaitu bahasa orang India Selatan. Nama lain dewi in dalah dewi Durga. Di Malaysia, dewi ini mempunyai ramai penganutnya sama juga seperti di negara India dan di mana-mana. Dewi ini menghapuskan kejahatan dan merupakan jelmaan dari peneman kepada dewa Siva Maheswara.


Dewi ini juga mengubati penyakit misalnya seperti penyakit cacar. Dalam filem-filem di negara India wilayah selatan misalnya seperti filem Ammoru ada memaparkan kisah dewi ini memberi jasa kepada penduduk setempat dan mengajarkan perubatan kepada penduduk supaya menggunakan daun semambu untuk mengubati penyakit tersebut.

Di pulau Jawa di negara Indonesia, dewi ini juga pernah mempunyai tempat dalam kalangan penganut Hindu Kejawen beraliran Siva-Tantra.  

Selasa, 8 Mei 2012

Pengenalan tentang Pranayam

Pranayam atau yoga pernafasan ini merupakan satu cabang pengajian mengawal pernafasan. Ia mengandungi siri-siri latihan utamanya yang bertujuan untuk memenuhi keperluan jasad dan mengekalkannya pada tahap kesihatan yang bertenaga.

Pranayam berasal dari kata-kata:

Prana bererti tenaga hidup
Yama bererti disiplin atau kawalan
Ayama bererti pengembangan, tidak menyekat atau lanjutan

Jadi, pranayam bererti teknik-teknik pernafasan atau pengawalan pernafasan. Hakikatnya, amalan yang membuka tenaga hidup dalaman ini tidak hanya meliputi kepada pernafasan yang mendalam. Ia bertujuan untuk para pengamal yoga lebih tumpuannya dalam proses bertapa. 

Dalam proses pernafasan kita, kita bernafas atau menyedut oksigen ke dalam badan kita. Ia melalui sistem badan kita dalam bentuk tenaga untuk mengecas bahagian-bahagian badan kita. Apabila kita meniup pernafasan pula, karbon dioksida akan terbebas dan melepaskan toksik-toksik dari badan kita. Melalui amalan pranayam ini, keseimbangan oksigen dan karbon dioksida dicapai. Menyerap prana melalui kawalan pernafasan menghubungkan jasad, minda dan roh kita

Hidup ini penuh dengan tekanan. Kerana tekanan kerja seharian, keluarga atau tekanan kewangan, kita cenderung untuk mengabaikan pernafasan kita. Jadi pernafasan kita menjadi lebih pendek dan laju. Penggunaan hanya sepecahan dari paru-paru menyebabkan kita kekurangan oksigen dan membawa kepada beberapa jenis kerumitan kesihatan. Sakit jantung, masalah tidur tidak teratur dan keletihan merupakan tanda bahawa kita kekurangan oksigen. Tenaga negatif dari masalah ini membawa kepada kekurangan prana dalam jasad kita. Melalui latihan pernafasan mendalam dan tersusun pranayam ini, kita memberi tenaga semula kepada jasad kita.   

Ada empat tahap pranayam

1. Arambha iaitu tahap permulaan yang mana seseorang itu berminat dengan pranayam atau menerima pencerahan mengenai keperluan kepada pranayam.
2. Ghata iaitu tahap apabila tiga sarira bergabung untuk menyelubungi jiwa. Tiga sarira ini adalah jiwa kasar, jiwa halus dan jiwa sebab musabab.
3. Parichay atau tahap seorang yogi mengalami pengetahuan pranayam itu sendiri.
4. Nispatti atau tahap apabila seorang yogi itu melepasi jasadnya dan bergabung dengan paramatman.

Pernafasan merupakan perkara yang biasa dalam hidup kita walaupun ramai dari kita yang gagal memberikan perhatian kepadanya. Ia merupakan fungsi autonomi di jasad kita yang sentiasa berjalan walaupun kita tidak memberikan tumpuan terhadapnya. Jadi kenapa perlu kita belajar pranayam ini? 

Kepentingan Pranayam

Ia mengajar kita cara yang betul untuk bernafas atau bernyawa. Apabila kita biasa bernafas dari dalam dada kita, hanya satu saja pecahan paru-paru digunakan, dan kita tak tahu bahawa ia tidak sihat. Cara pernafasan yang tidak semulajadi akan menyebabkan beberapa masalah kepada badan kita. Dengan teknik pranayam, kita akan meningkatkan lagi kemampuan paru-paru, lebih oksigen dibekalkan ke badan untuk ia berfungsi dengan baik. Kita belajar untuk bernafas perlahan dan dalam-dalam dan ini cara yang betul. 

Ia mengurangkan toksin dan sisa buangan dalam badan kita. Mengurangkan seseorang dari terkena penyakit. Ia juga membantu sistem penghadaman. Dengan cara pernafasan betul, kadar metabolisme badan dan keadaan kesihatan akan bertambah baik.

Selain itu, pranayam membantu meningkatkan lagi tumpuan kita dalam kegiatan harian. Ia melawan tekanan dan menenangkan jasad. Mengawal pernafasan membawa ketenangan kepada jasad dan pikiran. Ia menyebabkan seseorang dapat mengawal dirinya. Melalui tumpuan, seseorang akan dapat mengawal tahap kemarahannya dan juga tindakbalasnya kepada persekitaran. Pikiran akan berfungsi jelas untuk pertimbangan, menghalang hujah-hujah dan pembuatan keputusan yang salah. Lagi, mengawal diri juga melibatkan pengawalan jasad kasar kita. Benda ini agak berguna juga kepada penganut ajaran Buddha. Dengan pranayam, kita akan memulakan perjalanan kerohanian melalui pikiran yang dan jasad yang tenang.  

Walaubagaimana pun, pranayam tak boleh dipaksa pula. Ia mesti dijalankan dengan persediaan yang betul. Jika tidak, ia boleh menyebabkan masalah gangguan saraf. Persediaan adalah sebahagian dari proses beryoga seterusnya ke pertapaan. Kawalan nafas ini merupakan amalan kerohanian menyucikan pemikiran dan jasad yang mesti dijalankan dengan tunjuk ajar dan persediaan.   

Pranayam - Seni Nafas Yoga

 
"Apabila nafas tidak tentu hala, maka pikiran akan menjadi berkecamuk. Tapi apabila nafas itu tenang, maka pikiran juga menjadi tenang" - Hatha Yoga Prathipika

Jelasnya di sini, nafas itu adalah nyawa. Ia merupakan salah satu fungsi terpenting dalam diri kita. Salah satu daripada lima prinsip yoga adalah pranayam. Pranayam merupakan senaman pernafasan yang menggalakkan pernafasan yang betul. Dalam pandangan para yogi, pernafasan yang betul membawa lebih oksigen ke dalam darah dan ke otak. Ia seterusnya mengawal prana atau tenaga hidup yang penting. 

Pranayam yoga juga seiringan dengan asanna. Gabungan kedua-dua prinsip yoga ini dianggap sebagai bentuk tertinggi dalam penyucian diri dan disiplin diri seseorang. Ia meliputi kedua-dua minda dan jasad. Penting sekali kita ketahui mengenai pranayam yoga dengan melalui beberapa pembahagian:

1. Apa itu yoga pernafasan?
2. Kepentingan pernafasan
3. Teknik pernafasan tradisional
4. Tahap-tahap pernafasan dalam yoga
5. Menahan dan merehatkan pernafasan
6. Teknik untuk memanjangkan lagi rehat pernafasan
7. Bentuk-bentuk rehat pernafasan
8. Kepentingan melepaskan pernafasan
9. Garis panduan keselamatan
10. Prana dan jasad
11. Tujuh Chakra
12. Bernafas di pantai
13. Teknik pernafasan bagi yang baru bermula
14. Teknik-teknik pernafasan tahap tinggi
15. Brahman pranayam

Dengan senaman-senaman ini baru kita dapat melalui kehidupan tanpa resah gelisah dan seterusnya mencapai moksha dengan mudahnya.